SN432 – Sukan Yang Merosakkan

PDF

SN keluaran 26 Jun 2015

SUKAN YANG MEROSAKKAN

[SN432] Pada Jun 2015, Singapura menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA yang ke-28. Sukan yang gilang gemilang penganjurannya itu merupakan kali ke empat dalam sejarah diadakan di negara tersebut. Kali ini, kira-kira 7000 atlet telah menyertai pelbagai kejohanan yang disediakan dan sudah pasti dengan hasrat dan impian untuk meraih pingat dan dalam masa yang sama mengharumkan nama negara masing-masing. Seperti anggota ASEAN yang lain, Malaysia adalah antara negara yang komited menjayakan temasya sukan yang berprestij ini. Sejak lama, persediaan yang rapi telah dibuat bagi memastikan prestasi atlet di tahap terbaik bagi mendapatkan sebanyak mungkin emas yang akan mengharumkan nama negara. Di sebalik keghairahan mengejar kejayaan merangkul pingat emas di dalam temasya ini, ada perkara yang telah mencuri perhatian bukan sahaja umat Islam, malah non-Muslim juga berhubung aurat seseorang atlet.

Dalam temasya Sukan SEA kali ini, atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi tiba-tiba menjadi perbualan hangat di media sosial. Ia bukanlah kerana kejayaan atlet tersebut merangkul emas dalam acara yang disertainya, tetapi kerana sut pakaian gimnastik yang dikenakan oleh atlet perempuan tersebut. Dari satu sudut, alhamdulillah masih ada rakyat Malaysia yang prihatin tentang persoalan aurat atlet sukan dan cuba mengetengahkan isu ini di media sosial sehingga menjadi ‘viral’. Kehangatan perbincangan telah berjaya menarik perhatian menteri dan golongan agamawan sehingga mereka memberikan reaksi terhadap isu ini. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mempertahankan Farah melalui mesej di twitternya, “Dalam gimnastik, Farah mengagumkan para hakim dan menyumbang emas. Dalam perbuatan, hanya Tuhan Yang Maha Kuasa sahaja boleh menghakimi dia. Bukan anda. Jangan ganggu atlet kami.”

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam reaksinya berkata, kerajaan akan mengkaji semula pakaian sukan untuk atlet berikutan timbulnya kritikan mengenai pakaian sendat (leotard) yang dipakai gimnas negara. Mengulas hal yang sama, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, “Gimnastik bukan untuk wanita Islam, menunjukkan aurat dan bentuk tubuh badan sudah jelas haram hukumnya bagi mereka. Jika mahu juga menyertainya, gimnas berkenaan perlu mencari serta memakai pakaian yang menutup aurat dan sekali gus mungkin tidak sesuai dengan sukan berkenaan. Memang itu yang seharusnya, bukan sahaja gimnas, ia termasuk sukan lain seperti bolasepak kepada lelaki, sepatutnya seluar melepasi paras lutut.” Farah Ann pula membidas para pengkritiknya dengan mengatakan “tin kosong membuat bunyi yang paling bising”.

Sukan Dan Kapitalisme

Senario kehidupan umat Islam pada hari ini yang berada di bawah aturan hidup sekular serta dipimpin oleh ideologi kapitalisme telah meletakkan manfaat dunia, bukannya halal-haram,  sebagai kayu ukur dalam hidup mereka. Inilah pemikiran asas yang membina negara pada hari ini yakni manfaat, bukannya halal-haram. Generasi umat Islam lahir dan dibentuk dengan asas pemikiran ini yang mendominasi negara. Maka tidak hairanlah jika berapa ramai dari umat Islam yang tidak mempedulikan halal-haram dalam tingkah laku mereka, tetapi apa yang cuba diraih dalam hidup ialah manfaat semata-mata. Bidang sukan pun tidak terkecuali daripada pemikiran asas ini. Jika dulu sukan hanya sekadar permainan untuk mengisi masa lapang dan keseronokan, tetapi kini ia telah menjelma menjadi satu kerjaya professional yang dipandang tinggi dan mampu mendatangkan manfaat kepada individu terbabit dan juga negara. Malah sukan kini telah menjanjikan hasil pendapatan yang cukup lumayan sehingga boleh menjadikan seseorang itu jutawan.

Ideologi kapitalisme yang mendominasi dunia pada hari ini telah berjaya merubah pandangan manusia terhadap sukan, dari hanya bersifat permainan semata-mata, kepada sebuah “industri” yang boleh membawa keuntungan dan membentuk cara hidup serta sudut pandang yang belum pernah terfikir oleh manusia sebelumnya. Negara yang kuat dan maju dalam sukan membawa erti yang negara tersebut juga kuat dan maju dalam aspek lainnya, termasuklah dalam aspek politik dan pengaruhnya terhadap dunia. Lihat sahajalah sukan Olimpik dan lain-lain sukan di peringkat dunia, yang sebenarnya telah menjadi platform kepada negara-negara berideologi untuk menyebarkan pengaruh ideologi dan cara berfikir masing-masing ke seantero dunia. Suatu ketika dulu Amerika Syarikat dan Russia mendominasi sukan dunia yang menunjukkan kekuatan ideologi yang dibawa oleh kedua-dua negara terbabit.

Bagi negara membangun dan dunia ketiga pula, yang cuba untuk bangkit dan masih menjadi pengekor kepada negara maju, sukan di peringkat dunia menjadi platform untuk mereka cuba menonjol dan menaikkan nama negara masing-masing. Negara-negara tersebut sanggup menghabiskan wang ratusan juta demi memajukan industri sukan masing-masing agar tidak dipandang rendah oleh negara maju dan cuba untuk menyaingi negara maju, walaupun dalam keadaan terkial-kial. Mereka cuba tunjukkan yang mereka juga boleh bangkit dan bersaing, jika tidak di bidang teknologi pun, sekurang-kurangnya di bidang sukan. Ini semua terhasil dari cara berfikir dan sudut pandang yang telah dibentuk oleh negara maju yang berideologi, khususnya Kapitalis. Maka tidak hairanlah negara membangun seperti Malaysia, yang hakikatnya hanya pengekor kepada Barat yang Kapitalis, berusaha bersungguh-sungguh memajukan industri sukan tanah air agar tidak dikatakan ketinggalan dan selamanya mundur.

Dari dominasi Kapitalisme Barat inilah, cara berfikir pemimpin dan penduduk negara membangun, termasuk Malaysia, terbentuk. Masyarakat baik di bandar mahupun di kampung sudah ditanam sejak kecil dengan cita-cita untuk menjadi ahli sukan yang berjaya dan mengharumkan nama negara. Sejak di peringkat sekolah lagi, aktiviti sukan dilakukan dengan tersusun dengan adanya latihan dan pertandingan-pertandingan yang begitu banyak. Pendek kata, takwim tahunan sekolah pasti akan mengandungi temasya sukan dan siapa sahaja yang berjaya dalam dunia sukan akan pasti dijulang kerana berjaya menaikkan nama sekolah. Malah diwujudkan pula sekolah sukan yang tersendiri yang tujuan utamanya adalah untuk melahirkan atlet- atlet yang akan mewakili negara dalam pelbagai kejohanan. Begitulah juga yang terjadi di peringkat daerah, negeri dan negara dalam usaha memajukan sukan untuk negara.

Umat Islam terutama peminat sukan dan para atlet terus menerus terperangkap dalam cara berfikir seperti ini. Manakala pemerintah pula sanggup mengerahkan segala potensi dalam negara untuk dibazirkan ke bidang sukan hanya semata-mata mahu melonjakkan nama negara di samping meraih manfaat dari industri yang melalaikan ini. Umum mengetahui bahawa di mana ada sukan, di situlah ada maksiat. Di situlah berlakunya ikhtilat (percampuran) lelaki dan perempuan yang tidak syarie, di situlah berlakunya pendedahan aurat tanpa mengira lelaki dan perempuan, malah dunia sukan hari ini turut dicemari dengan rasuah, judi, penyalahgunaan dadah, pergaduhan dan banyak lagi. Itu belum mengambil kira semangat assabiyyah dan wathaniyyah yang ada pada para atlet dan peminat sukan dalam setiap pertandingan. Pendek kata, aktiviti keharaman melingkari setiap acara sukan, manakala halal dan haram tiada dalam kamus sukan pada hari ini.

Sukan Menurut Kaca Mata Islam

Dalam pandangan Islam, permainan (sukan) adalah termasuk dalam aktiviti yang dibenarkan selama mana tidak melanggar syarak. Malah lebih dari itu, Islam menganjurkan permainan yang tujuannya untuk membina dan menyediakan setiap Muslim untuk menjadi seorang mujahid seperti menembak, berkuda, memanah, merejam lembing, bermain pedang,  berenang, lari, gusti, seni mempertahankan diri dan yang seumpamanya. Rasulullah SAW bersabda,

“Hendaklah kalian sentiasa berlatih memanah kerana ia merupakan sebaik-baik lahwun (permainan)” [HR al-Bazzar & al-Thabrani].

Dalam Islam, sukan merupakan salah satu aktiviti lahwun yang diperbolehkan dengan syarat tiada unsur keharaman di dalamnya. Kebolehan yang diizinkan oleh syarak ini juga terbatas selama mana ia tidak mengakibatkan tertinggalnya atau terlalainya suatu kewajipan. Sabda Rasulullah SAW,

“Setiap permainan di dunia ini adalah batil kecuali tiga: memanah, menjinakkan kuda dan bermain dengan isteri” [HR al-Hakim].

Batil di sini bermaksud sia-sia, tidak berfaedah atau yang seumpamanya, suatu yang tidak berguna serta tidak menghasilkan apa-apa dan Rasulullah SAW mencegah umatnya dari terlibat dalam permainan yang batil.

Dalam hal ini, Imam al-Syathibi menyatakan, “Hiburan, permainan dan bersantai adalah mubah (harus) asal tidak terdapat suatu perkara yang terlarang.” Selanjutnya beliau juga menambahkan, “Namun demikian, perkara tersebut tercela dan tidak disukai oleh para ulama. Bahkan mereka tidak menyukai seorang lelaki yang dipandang tidak berusaha untuk memperbaiki kehidupannya di dunia dan tempat kembalinya di akhirat kelak, kerana ia telah menghabiskan waktunya dengan pelbagai macam kegiatan yang tidak mendatangkan suatu hasil duniawi atau ukhrawi.” Sudah amat masyhur dalam Islam bahawa para ulama memang mencegah umat Islam daripada melakukan perkara yang sia-sia, yang tidak menghasilkan apa-apa pahala di dunia dan tidak membawa apa-apa keuntungan di akhirat. Kerana itulah, umat Islam seharusnya peka akan hal ini dan tidak terus hanyut dalam perkara yang tidak berfaedah lagi melalaikan.

Aktiviti sukan perlulah dilakukan seadanya tanpa perlu dijadikan sebagai agenda penting di dalam hidup seseorang Muslim sehingga terpaksa diurus secara terorganisasi dan sistematik yang menuntut komitmen pelbagai pihak dan menghabiskan banyak wang. Ikutilah hadis Rasulullah SAW di mana baginda menganjurkan umatnya untuk bersukan dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah. Lakukanlah permainan yang boleh menyihatkan tubuh badan sehingga kita sentiasa boleh beribadah kepada Allah SWT dalam keadaan baik dan sentiasa boleh melakukan aktiviti dakwah tanpa sering terganggu dengan masalah kesihatan. Lebih dari itu, lakukanlah aktiviti permainan yang dengannya kita sentiasa menyediakan diri untuk berjihad di jalan Allah seperti memanah, (menembak), menunggang kuda (kenderaan perang), berenang dan lain-lain. Negara sepatutnya menyediakan segala kemudahan latihan permainan seperti ini bagi melatih dan menyiapkan umat Islam ke arah jihad fi sabilillah.

Inilah kewajipan negara sebenarnya. Negara tidak sepatutnya terpengaruh dan terjebak dalam industri sukan tajaan Kapitalis yang penuh dengan keharaman, apatah lagi di peringkat dunia seperti sekarang, yang ternyata melalaikan dan menjauhkan umat Islam dari perjuangan menegakkan agama Allah. Masalah sut ketat yang dipakai oleh Farah Ann dan gimnas yang lain hanyalah secebis dari kerosakan dan keharaman yang ada dalam dunia sukan. Permainan bola sepak, bola tampar, olahraga, renang, bina badan dan banyak lagi, juga terdapat keharaman yang jelas di dalamnya kerana pakaian para atlet dalam permainan-permainan ini kesemuanya mendedahkan aurat, baik lelaki mahupun perempuan, di samping percampuran lelaki dan perempuan yang jelas lagi nyata bercanggah dengan hukum syarak. Dalam dunia sukan ini, bukan soal pakaian atlet sahaja yang perlu kita lihat, namun lebih jauh dari itu iaitu industri sukan itu sendiri yang banyak telah memesongkan umat dari ajaran Islam.

Jika diperhalusi, kita akan menyedari hakikat bahawa agenda sukan negara, sebesar mana sekalipun, tidak akan mampu membawa kebangkitan, apatah lagi kemuliaan umat Islam. Ada apa dengan sebutir pingat, malah ratusan pingat yang dibawa pulang sekali pun, sekiranya para atlet dan pihak pengurusan sukan bergelumang dengan aktiviti maksiat? Hakikatnya, agenda sukan ini akan terus melalaikan dan melarikan fokus umat Islam daripada masalah utama yang sedang menimpa umat pada masa ini. Lihat sahaja apa yang berlaku di temasya sukan SEA ini di mana kerajaan sanggup menghabiskan jutaan ringgit untuk menghantar para atlet, tetapi tidak sanggup membantu saudara seakidah mereka sendiri (Muslim Rohingya) yang sangat-sangat memerlukan sesuap nasi dan perlindungan akibat kekejaman kaum kuffar ke atas mereka. Memenangi satu pingat itu jauh lebih berharga bagi kerajaan berbanding menyelamatkan nyawa saudara seakidah mereka! Tuntutan sukan telah menjadi agenda yang lebih utama berbanding tuntutan agama!

Fitnah sukan ini benar-benar telah mengheret umat Islam dari pelbagai golongan usia dan latar belakang sehingga umat Islam tidak sedar bahawa sukan telah dijadikan sarana oleh musuh untuk meracuni pemikiran mereka dan menghalangi mereka dari melakukan kewajipan sebagai seorang Muslim. Pengaruh sukan ditambah dengan gaya hidup yang hedonis telah berjaya melenakan umat Islam dari urusan menegakkan agama Allah, seterusnya telah menjerumuskan mereka ke dalam perangkap musuh yang ingin melihat umat ini hancur.

Khatimah

Wahai Kaum Muslimin. Sesungguhnya amalan hidup yang tidak memberi manfaat kepada umat Islam perlu ditinggalkan. Kita tidak akan bangkit dan menjadi mulia dengan mengangkat martabat sukan tanah air ke persada dunia atau dengan kilauan emas yang kita menangi. Kemuliaan akan tiba tatkala kita mengambil Islam secara kaffah dalam kehidupan. Apakah dengan bersukan di peringkat Asia mahupun dunia mampu membawa kita kepada penyelesaian yang melanda umat Islam pada hari ini? Apakah dengan mengumpul banyak pingat di temasya sukan mampu untuk membolehkan umat Islam menguasai percaturan politik dunia dan menjadi super power dunia seperti di masa lalu? Semua itu dan berapa banyak kemenangan sukan sekalipun yang umat Islam capai, sekali-kali tidak akan membawa kemenangan Islam. Hanya dengan penegakan Khilafah sahaja, suasana dan aktiviti berteraskan ketakwaan akan timbul di tengah- tengah masyarakat dan menggantikan suasana yang penuh dengan aktiviti- aktiviti yang lagha (sia-sia) sebagaimana sekarang.

Wallahu a’lam.