SN435 – Derma: Bila Halal Dan Haram?

PDF

SN Keluaran 14 Ogos 2015

DERMA: BILA HALAL DAN HARAM?

[SN435] Angka RM2.6 bilion kini menjadi angka yang paling popular dan terpanas di Malaysia. Angka ini menarik perhatian setiap golongan tanpa mengira latar belakang, dari golongan bawahan hingga ke atasan, malah mereka yang selama ini tidak pernah minat politik atau isu semasa pun tidak lepas dari membincangkannya. Pendek kata aura RM2.6 bilion sungguh kuat sehingga bukan sahaja rakyat Malaysia, malah seluruh dunia pun turut memperkatakannya. Untuk mengurangkan sakit hati dan kemarahan rakyat, sinis dan lawak jenaka berkenaan angka 2.6 billion tidak putus-putus memenuhi alam maya apatah lagi menerusi aplikasi telefon pintar. Itulah angka jumlah “derma” yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.  Kerana angka RM2.6 bilion inilah, kita menyaksikan beberapa pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditangkap, digeledah premis mereka dan disoalsiasat oleh pihak polis.

Tidak cukup dengan tangkapan dan soal siasat, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Strategik Komunikasi Datuk Rohaizad Yaakob telah mendapat arahan serta-merta untuk dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, namun arahan tersebut telah ditarik balik beberapa hari kemudian. Bahri merupakan pegawai SPRM yang terlibat secara langsung dalam penyiasatan kes SRC International Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dikatakan ada kaitan dengan syarikat pelaburan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Pegawai Jabatan Peguam Negara Jessica Gurmeet Kaur dan bekas penasihat SPRM Tan Sri Rashpal Singh pun turut ditahan dan disoalsiasat atas isu yang sama. Rakyat yang mahukan jawapan dari Najibsendiri yang dilihat berdolak-dalik tentang kemasukan jumlah yang luar biasa besarnya ke akaun peribadinya itu, akhirnya hanya mendapat jawapan dari SPRM bahawa memang wujud transaksi kemasukan tersebut yang disahkan oleh SPRM sebagai “derma” kepada Najib untuk kempen.

Beza Antara Rasuah Dan Derma

Sejak penangkapan dan soal siasat ke atas pegawai tinggi SPRM oleh PDRM, siasatan ke atas jumlah kemasukan RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib seperti terbantut seketika. Apa pun, kita mengharapkan kes ini akan diselesaikan juga oleh SPRM dengan telus dan benar. Menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), “suapan” didefinisikan dengan cukup luas yang merangkumi antaranya seperti wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta, sama ada alih atau tak alih, faedah kewangan atau apa-apa manfaat seumpama itu atau yang lain. Dari definisi ini, secara literalnya membawa maksud bahawa derma RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib boleh terjumlah sebagai suapan, bergantung pada bukti-bukti yang akan dikemukakan seterusnya.

Menurut syarak, “suapan” (rasuah) adalah setiap harta yang diberikan kepada penguasa, hakim atau pegawai negara, dengan maksud untuk memperoleh maslahat (berupa keputusan) mengenai suatu kepentingan yang semestinya diputuskan oleh mereka tanpa pembayaran. Suap (rasuah) seluruhnya adalah haram, apapun bentuknya, baik sedikit mahupun banyak, dengan cara manapun ia diserahkan dan dengan cara apapun harta itu diterima, semuanya haram. Abu Daud meriwayatkan dari Abu Hurairah yang berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Laknat Allah terhadap penyuap dan penerima suap dalam (urusan) kekuasaan/pemerintahan”.

Imam Tirmizi meriwayatkan dari Abdullah bin Amru yang berkata,Rasulullah SAW bersabda,

“Laknat Allah terhadap penyuap dan penerima suap”.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Tsauban, ia berkata,

“Rasulullah SAW melaknat penyuap, penerima suap dan orang yang menyaksikan suapan”.

Hadis-hadis ini menunjukkan dengan jelas bahawa suap itu adalah perbuatan terlaknat dan haram di sisi Islam.

Suap kadang-kadang dipungut sebagai ganti kerana telah memperoleh maslahat (berupa keputusan) mengenai suatu kepentingan yang semestinya diputuskan tanpa perlu balasan jasa, kerana sudah menjadi kewajipan orang itu untuk menyelesaikan/mengurusnya. Kadangkala suap diambil (sebagai imbalan) kerana tidak mengerjakan suatu kewajiban yang seharusnya dikerjakan. Suap juga kadang-kadang diambil sebagai imbalan atas suatu pekerjaan yang dilarang oleh negara. Seluruhnya tidak ada perbezaan, apakah akan mendatangkan maslahat atau menghindari mudarat, semua harta yang diperoleh dengan cara suap adalah harta haram dan tidak akan menjadi milik penerimanya. Dari segi hukum, ia wajib dikembalikan (kepada pemiliknya) atau disita dan disimpan di Baitul Mal sebagai sebahagian dari harta ghulul (harta yang diperoleh dengan cara curang). Pelakunya wajib dihukum, baik yang menyuap, yang disuap mahupun perantara keduanya.

Manakala “derma” (tabaru’at) pula merupakan suatu amalan yang amat mulia di sisi Islam. Derma merupakan suatu pemberian oleh seseorang kepada sesiapa sahaja, khususnya yang memerlukan, tanpa sebarang niat untuk mendapatkan imbalan sama ada pada masa tersebut mahupun dikemudian hari. Niat pemberi tersebut hanyalah untuk mendekatkan diri kepada Allah (taqarrubilallah) bagi mendapat pahala dan redha daripada Allah semata-mata.

Namun demikian, berbeza sekiranya derma tersebut diperoleh oleh para penguasa, hakim atau pegawai negara seperti halnya hadiah atau hibah. Para penguasa atau kakitangan negara (penjawat awam) tidak boleh menerimanya sama sekali meskipun pihak yang memberi derma atau hadiah tersebut pada saat itu tidak mempunyai kepentingan tetapi ia ingin memperoleh kepentingan itu di kemudian hari. Tindakan ini sebenarnya sama seperti suap, yang haram diterima oleh penguasa, hakim dan juga pegawai negara. Derma, hadiah atau hibah yang diberikan kepada para penguasa, hakim dan pegawai negara merupakan perbuatan curang (ghulul) dan tempat bagi orang yang curang adalah neraka. Firman Allah SWT,

“…dan barangsiapa yang curang (yaghlul), pada hari kiamat ia akan datang membawa hasil kecurangannya” [TMQ Ali-Imran (3):161].

Terdapat larangan tegas dari Rasulullah SAW untuk menerima harta curang seperti itu. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abi Humaid as-Sa’idi yang berkata,

“Nabi SAW menugaskan seseorang lelaki dari Bani Asad. Ia adalah Ibnu Atabiyyah, sebagai pengumpul zakat. Selesai melaksanakan tugasnya, Ibnu Atabiyyah datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata: ‘Ini (harta zakat) kuserahkan kepadamu, sedangkan ini (harta lain) adalah hadiah yang diberikan orang kepadaku.’ Lalu Rasululah SAW berdiri di atas mimbar, memuji Allah kemudian bersabda, ‘Seorang ‘amil yang kami tugaskan, kemudian ia datang dan berkata, ‘Ini kuserahkan kepadamu, sedangkan ini adalah hadiah yang diberikan orang kepadaku’. Apakah tidak lebih baik jika ia duduk sahaja di rumah orang tuanya, kemudian lihat apakah dia (akan) diberi hadiah atau tidak. Demi Dzat yang jiwaku ada di tanganNya, salah seorang dari kalian tidak akan mendapatkan sedikitpun dari hadiah itu, kecuali pada hari kiamat diadatang dengan mengusung di lehernya seekor unta yang meringkik-ringkik atau sapi yang melenguh atau kambing biri-biri yang mengembek’. Kemudian baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kami melihat ketiaknya yang putih, lalu baginda berdoa, ‘Ya Allah, apakah aku telah menyampaikan hal ini?’. Itu diucapkannya dua kali”.

Jadi, derma, walaupun asalnya adalah amalan mulia dan menganugerahkan pahala kepada pemberinya, namun ia menjadi haram sekiranya derma itu diberikan kepada penguasa, hakim mahupun pegawai negara. Ukurannya, jika ia tinggal di rumah (tidak menjawat jawatan tersebut), adakah ia akan mendapat derma atau hadiah tersebut? Sekiranya ia hanya mendapat derma, hadiah atau hibah tersebut kerana jawatan yang dipegangnya, maka derma tersebut merupakan harta ghulul yang haram diterimanya, bahkan tidak akan menjadi miliknya yang sah dan wajib dikembalikan kepada pemiliknya atau disimpan di Baitul Mal jika pemiliknya tidak diketahui. Sebab, harta tersebut diperoleh dengan cara yang diharamkan oleh Allah SWT. Seterusnya, ia wajib dikenakan uqubat (hukuman) kerana telah melakukan keharaman!

Demokrasi, Haram Lagi Mahal

Pengumuman SPRM bahawa wang yang masuk ke akaun peribadi Najib itu adalah untuk kegunaan kempen bukanlah mengejutkan sangat, apa yang mengejutkan ialah jumlahnya yang sungguh luar biasa. Najib menegaskan bahawa tidak ada wang yang masuk ke akaunnya kecuali untuk kegunaan parti dan pilihan raya, malah Presiden UMNO itu sanggup mendedahkan dari mana sumber kewangan UMNO jika pembangkang juga sanggup mendedahkan dari mana sumber kewangan mereka. Umum mengetahui bahawa setiap parti politik memerlukan dana, apatah lagi parti politik yang terlibat dalam pilihan raya demokrasi. Kos aktiviti kempen dan kos pilihan raya dalam demokrasi bukan lagi sejuta dua, tetapi mencecah billion ringgit. Inilah harga untuk berjuang dalam demokrasi!

Jika penganut demokrasi sering melaungkan konsep dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, semua itu sebuah kedustaan yang besar lagi nyata. Hakikatnya, ia adalah dari kapitalis (pemilik modal), oleh kapitalis dan untuk kapitalis. Faktanya, pilihan raya mana pun dalam sistem demokrasi, yang menjadi tunjangnya adalah pelabur-pelabur atau penderma-penderma, yang membiayai parti-parti yang bertanding, khususnya parti pemerintah yang sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kekuasaan. Para kapitalis inilah (baik syarikat mahupun individu) yang berada di balik layar untuk mendukung parti-parti yang bertanding yang sangat memerlukan bantuan kewangan. Sebagai kapitalis, sudah tentu apa yang dilaburkan itu diharap untuk mendapat pulangan berlipat kali ganda. Akhirnya, merekalah yang sebenarnya mengawal ahli politik dan setelah ahli politik itu menang dalam suatu pilihan raya, maka segala polisi dan projek akan dibuat mengikut kepentingan pelabur/penderma tadi. Kepentingan rakyat? Hanya mimpi di siang hari!

Kepentingan ekonomi dan politik (eko-politik) dalam sistem demokrasi akan sentiasa berjalan seiringan. Politik merupakan sumber untuk menghasilkan polisi dan peraturan. Sementara ekonomi merupakan penopang utama keberlangsungan pemerintahan. Sistem demokrasi “mewajibkan” siapa pun yang berkuasa untuk mempunyai pendukung kewangan yang kuat dan besar dari kalangan para pemilik modal. “Sumbangan” pemilik modal ini sudah tentu bukan secara percuma, tetapi sarat dengan kesepakatan tersembunyi di sebalik semua itu. Pemilik modal hanya menginginkan undang-undang, peraturan dan polisi yang ada memudahkan mereka untuk membesarkan pelaburan atau menguasai pasaran. Maka di sinilah ada ikatan antara pemerintah dengan pemilik modal, sebuah simbiosis berupa peraturan dan polisi pemerintah yang pro kepadanya selakupemilik modal (kapitalis). Inilah realiti demokrasi, sebuah sistem politik yang muncul dari ideologi kapitalisme yang sememangnya di ‘design’ untuk menjaga kepentingan para kapitalis.

Ini dari satu sisi. Dari sisi lain yang lebih penting untuk disedari oleh umat Islam ialah, demokrasi merupakan sebuah sistem yang lahir dari akidah sekularisme dengan prinsip-prinsip pokoknya yang bertentangan seratus peratus dengan Islam. Antara prinsip pokok dalam demokrasi adalah kedaulatan rakyat. Suara rakyat dianggap sebagai suara keramat dan menjadi sumber hukum (source of law). Atas dasar ini, kebenaran diletakkan kepada suara rakyat yang dikatakan suara majoriti dan rakyatlah yang berhak menentukan peraturan, baik dan buruk serta halal dan haram untuk diri mereka.

Berdasarkan prinsip kedaulatan di tangan rakyat ini, kemudian dibangun sistem beserta mekanismenya. Maka dibuatlah sistem pilihan raya secara berkala untuk memilih pemimpin dan wakil rakyat. Terdapat lembaga Parlimen yang didakwa merupakan representasi daripada rakyat, mekanisme membuat hukum dan pengambilan keputusan di Parlimen yang didasarkan kepada suara majoriti, mekanisme pembahagian kekuasaan yang dikenal dengan triaspolitica dan mekanisme check and balance melalui parti-parti politik. Sistem demokrasi yang berasal dari Barat ini bukan sahaja bertentangan dengan Islam dari segi pokoknya, malah dari segi realitinya, ia penuh dengan penipuan, penindasan, korupsi, penyelewengan, kezaliman, kediktatoran dan segala macam keburukan lagi, yang kesemuanya bertentangan dengan perintah dan larangan Allah SWT.

Dalam sistem demokrasi, rakyat terus tertipu dan ditipu. Sayangnya masih ramai umat Islam tidak sedar dan tidak mahu sedar akan hakikat ini. Dalam pemerintahan demokrasi, hampir tidak kita temui pemimpin yang baik, yang bersih lagi bertakwa kerana demokrasi bukan untuk orang-orang seperti ini. Kerana itulah kita menyaksikan berapa ramai pemerintah dan orang atasan yang kebal dari hukuman, walaupun telah banyak bukti tentang kesalahan mereka. Sebaliknya berapa ramai orang bawahan yang ditangkap kerana cuba membuktikan kesalahan orang atasan atau yang dijadikan kambing hitam. Derma RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi seorang pemerintah menjadi secebis bukti bahawa demokrasi, sebuah sistem yang bukan sahaja bertentangan dengan Islam, malah sangat mahal harganya!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sudah terbukti bahawa sistem yang korup akan melahirkan pemimpin yang juga korup. Sudah lebih 50 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaan dengan penggantian pemimpin demi pemimpin, namun ternyata pemimpin yang berganti tidak lebih baik dari yang sebelumnya. Kezaliman dan keburukan yang kita saksikan dan alami semakin parah dari semasa ke semasa. Sesungguhnya kitaran kerosakan yang dibawa oleh sistem demokrasi ini tidak akan pernah hilang selagi sistem kufur ini tidak ditukar kepada sistem Islam. Makasaudaraku, tinggalkanlah pemimpin dan sistem demokrasi yang merosakkan ini dan ayuhlah berjuang untuk mengembalikan sistem Islam dengan mendirikan kembali Daulah Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah dan melantik seorang Khalifah yang akan memimpin kita berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Wallahua’lam.