SN436 – Hukum Sekitar Parti Politik
SN keluaran 28 Ogos 2015
HUKUM SEKITAR PARTI POLITIK
[SN436] Kegawatan terus melanda negara ini dengan pelbagai isu serius yang nampaknya seperti sudah tidak terkawal, baik di bidang pemerintahan, politik, ekonomi, jenayah dan lain-lain.Antara isu panas yang melibatkan umat Islam dan gerakan Islam ialah penubuhan sebuah gerakan baru yang dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB) yang terhasil setelah Muktamar Parti Islam se-Malaysia (PAS) yang lepas. Selain menimbulkan polemik dan ‘perbalahan’ di antara pihak-pihak tertentu, kewujudan GHB juga menimbulkan banyak persoalan yang perlu dijawab dari segi hukum Islam. Persoalan hukum ini wajib diperjelaskan agar umat Islam, apatah pihak yang terbabit, tidak tersalah langkah dalam memilih perjuangan yang mengakibatkan umat Islam bukan sahaja terjerumus dalam dosa, tetapi juga kekalahan dan kekecewaan yang berpanjangan.
Sebelum membincangkan lebih lanjut tentang hukum menubuhkan parti baru, persoalan mengenai hukum keluar dari parti yang sedia ada perlu turut dibincangkan. Bagi mereka yang telah menjadi anggota dan melakukan baiah (sumpah taat setia) terhadap sesebuah parti, bolehkah mereka keluar dari parti yang telah disertai itu? Perlu difahami bahawa kedudukan baiah dalam sesebuah parti hanyalah ketaatan yang diberikan kepada parti atau pemimpin parti tersebut yang merupakan jama’ahminal Muslimin(salah satu jemaah dari kalangan kaum Muslimin). Apa yang tidak boleh (haram) ialah, keluar dari ketaatan kepada jama’atul Muslimin (jamaah/umat Islam yang dipimpin oleh seorang Khalifah). Hadis-hadis yang melarang hal ini, bahkan mengancam seseorang melepaskan baiahnya, adalah terhadap Imam atau Khalifah dari jama’atul Muslimin, bukannya terhadap Imam (ketua) dari jama’ahminal Muslimin.
Oleh yang demikian,diperbolehkan bagi seseorang untuk melepaskan baiahnya dari pemimpin atau dari partinya setelah dia meyakini bahawa terdapat penyimpangan daripada jalan yang lurus (syarie) dalam tubuh jemaah tersebut baik penyimpangan dalam diri qiyadah (pimpinan)nya mahupun thariqah (jalan) perjuangannya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
“Tidak ada ketaatandalam suatu kemaksiatan akan tetapi ketaatan kepada hal yang ma’ruf” [HR Bukhari dan Muslim].
Namun hendaklah pelepasan baiah atau keluar dari parti dilakukan setelah pelbagai usaha mengingatkan, muhasabah atau memberikan nasihat secara langsung atau pun tidak langsung, tidakditerima atau dilayani sehingga mengakibatkan kesalahan-kesalahan itu terus berulang dan sudah tiada harapan untuk memperbetulkannya.
Namun, tidak berakhir di situ, ketika dia memutuskan untuk melepaskan baiahnya, maka hendaklah setelah itu dia mencari jama’ahminalMuslimin lainnya yang diyakini lebih baik dari jemaah yang ditinggalkannya, untuk dia meneruskan kewajipan menegakkan agama Allah bersama dengan jemaah baru tersebut.Jika dia tidak mendapati adanya jemaah yang lebih baik, maka dia hendaklah menubuhkan sebuah jemaah baru (jika mampu) atas dasar Islam dan melakukan aktiviti sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah ke atas sebuah jemaah. Dalam keadaan apa pun, dia tetap wajib menjaga tutur kata dan tingkah laku, menjaga ukhuwwahIslamiyyah dengan anggota jemaah yang ditinggalkannya, wajib terus memuhasabah mereka dan haram untuknya memfitnah, mencaci-maki, membenci atau memusuhi jemaah yang tersebut.
Parti Islam Dan Asasnya
Parti Islam ialahparti yang berdiri atas dasar akidah Islam, yang mengambil dan mengamalkan fikrah, hukum dan penyelesaian Islam, yang thariqah (metode) perjuangannya adalah mengikuti thariqahRasulullah SAW. Hukum mendirikan parti Islam adalah wajib (kifayah) yang bermaksud jika di tengah-tengah umat Islam sudah ada satu parti Islam yang mampu menjalankan tugasnya, bererti gugurlah kewajipan seluruh umat Islam untuk mewujudkan parti ini. Ini berdasarkan firman Allah SWT,
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat (jemaah) yang menyeru kepada kebajikan (Islam), menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar” [TMQ Ali Imran (3):104].
Ayat ini memerintahkan tentang kewajipan untuk adanya “sekurang-kurangnya” satu parti dan tidak mencegah dari wujudnya banyak parti (ta’addud al-jama’ah) asalkan menjalankan fungsi sebagaimana yang diperintahkanNya. Namun perlu diingat bahawa hukum (fardu kifayah) itu adalah hukum ‘mewujudkan’ parti, bukannya hukum (bagi seseorang) bergabung dengan parti bagi menjalankan kewajipan menegakkan agama. Hukum menegakkan agama itu adalah fardu ain sehingga wajib bagi seseorang Muslim untuk bergabung dengan jemaah/parti yang diyakininya paling benar dan mampu menegakkan agama, sehinggalahurusan agama itu selesai dilaksanakan.
Ayat ini menegaskan perintah kepada kaum Musliminuntuk mewujudkan kelompok yang wajib menjalankan dua fungsi: Pertama, yad’unaila al-khair (menyeru kepada kebajikan – Islam) dan kedua, wa ya’muruna bi al-ma’ruf wa yanhauna an al-munkar (memerintahkan kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar). Berdasarkan ayat ini, teramat jelas bahawa kelompok yang dikehendaki Allah adalah kelompok yang berjuang untuk menyerukan kepada Islam semata-mata. Ini dari satu sisi. Dari sisi lain, kelompok tersebut adalah kelompok siyasi (politik) di mana hal ini dapat difahami dari ‘fungsi’nya iaitu melakukan amar ma’ruf nahi munkar.
Cakupan amar ma’ruf nahi munkar amat luas, yang termasuk di dalamnya menyeru para penguasa agar mereka melakukanma’ruf (menerapkan syariah Islam) dan melarangnya berbuat munkar (menerapkan sesuatu yang bertentangan dengan syariah Islam). Bahkan, memuhasabah para penguasa dan menyampaikan nasihat kepadanya merupakan bahagian terpenting dan terbesar dari aktiviti amar ma’ruf nahi munkar. Aktiviti ini merupakan aktiviti politik, malahaktiviti politik yang amat penting, yang menjadi ciri utama kegiatan sesebuah parti politik. Jadi, ayat tersebut mengisyaratkan tentang kewajiban mendirikan parti politik yang berdasarkan Islam. Dengan kata lain, parti politik yang wajib ada/didirikan adalah parti politik yang tegak di atasmabda’ (ideologi) Islam.
Sesuai dengan perintah Allah dalam ayat di atas, maka haram hukumnya (dan tidak boleh bagi negara membenarkan) adanya parti politik yang tidak berdasarkan akidah Islam, seperti partinasionalis, komunis, sosialis, parti liberal dan sebagainya. Ini kerana, semua parti ini tidak didirikan atas asas akidah Islam, bahkan, bertentangan dengan Islam. Dalam konteks ini, mana-mana parti yang berdiri atas dasar demokrasi, atas kehendak demokrasi atau tuntutan demokrasi atau lunas-lunas demokrasi, adalah haram kerana demokrasi itu sendiri bertentangan dengan Islam. Parti yang didirikan atas ‘kehendak’ rakyat juga adalah haram, kerana apa yang diperintahkan oleh Allah ialah mendirikan parti atas kehendak (perintah) Allah semata-mata dan menjalankan aktiviti/tugas mengikut apa yang Allah kehendaki.
Karakteristik Parti Islam
Selain wajib berdiri atas dasar akidah Islam, parti Islam wajib mentabanni (mengambil dan menggunapakai) fikrahdan thariqah yang berasal dari Islam. Fikrah dan thariqah ini termanifestasi dalam penentuan tujuan dan aktiviti (program) untuk mencapai tujuan sesebuah parti. Berdasarkan hal ini, parti politik Islam adalah parti yang berideologi Islam, yang mentabanni hukum-hakam dan penyelesaian masalah dari perspektif Islam semata-mata, serta berjuang denganthariqah yang sama sebagaimana Rasulullah SAW.Maka, tidak dikatakan parti Islam jika perjuangannya menggunakan undang-undang dan pemikiran non-Islamiseperti demokrasi dan nasionalisme. Bahkan tidak dikatakanparti Islam jika thariqah yang digunakan ialah jalan perlembagaan dan undang-undang yang ditinggalkan oleh kuffar penjajah atau mengambil jalan berdasarkan akal sendiri yang penuh dengan pragmatisme dan oportunisme.
Parti Islam wajib beranggotakan Muslim sahaja. Maka bukanlah parti Islam, kalau menerima anggota-anggota non-Muslim. Perlu difahami bahawa masalah keanggotaan ini sebenarnya menunjukkan jenisrabithah (ikatan) yang menyatukan seluruh anggota menjadi satu kesatuan yang integral. Jika anggotanya Muslim (sahaja), ini bererti ikatannya adalah ikatan Islamiyah yang berpangkal pada kesamaan akidah, selain kesamaan dari segi mabda’ dan peraturan parti yang juga dipegang oleh parti atas asas akidah Islam. Jika anggotanya campuran (ada Muslim dan non-Muslim), ini bererti ikatan parti itu bukan lagi ikatan Islam, tetapi telah berganti dengan ikatan lain yang bukan Islam, seperti ikatan wathaniyyah (patriotisme), assabiyyah(nasionalisme) atau ikatan atas dasar maslahat (kepentingan) dan ‘borang keahlian’ semata-mata. Ikatan-ikatan seperti ini tidak sejalan dengan perintah Allah sebagai sebuah parti politik yang Allah telah tetapkan tugas dan fungsinya.
Selain Surah Ali Imran (3):104, terdapat banyak nas yang menjelaskan bahawa amar ma’ruf nahi munkar adalah ciri khas umat Islam sahaja, bukan (ciri) orang kafir. Mana mungkin non-Muslim menyeru untuk masuk Islam, untuk solat, zakat, puasa, dakwah, wasiat, haramnya arak, riba, zina, wajib menerapkan Islam, jihad dan lain-lain padahal dia sendiri tidak mempercayai wajibnya dan haramnya perbuatan-perbuatan itu? Tidak mungkin!!! Walhal itu semua adalah amar ma’ruf nahi munkar. Ingatlah wahai kaum Muslimin bahawa tugas amar ma’ruf nahi munkaritu mewajibkan keIslamanpelakunya atau anggotanya.
Parti Islam juga diharamkan untuk bertahaluf (kerjasama politik) dengan parti kafir/sekular. Ini kerana, tahalufantara parti Islam dan parti kafir/sekular merupakan tolong menolong dalam perkara yang haram, iaitu tolong menolong yang mengarah kepada penerapan hukum-hukum kufur yang diharamkan oleh Islam. Tujuan utama kewujudan parti kafir/sekular dalam sistem demokrasi adalah untuk meraih kekuasaan dan yang pasti kekuasaan yang bertentangan dengan Islam dari sudut mana sekalipun. Justeru tahaluf yang wujud sudah pasti akan memperpanjangkan lagi umur kebatilan (sistem kufur/sekular) sekali gus merupakan kemaksiatan kepada Allah SWT.
Hala Tuju Parti Islam
Dalam keadaan tidak ada Negara Islam (Khilafah), maka menjadi tugas dan kewajipan kepada parti Islam untuk mewujudkan negara. Dalam konteks ini, parti politik Islam hendaklah berusaha menyedarkan masyarakat untuk berjuang bersamanya bagi mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah. Parti politik Islam tidak ditujukan untuk meraih suara dalam pilihan raya atau berjuang untuk meraih kepentingan yang bersifat sementara, melainkan parti yang wajib berjuang untuk merubah sistem kufur/sekular kepada sistem yang diatur oleh syariah Islam dalam bingkai Negara Khilafah Islamiyyah. Parti politik Islam tidak sepatutnya terbuai dengan wacana demokrasi dan pilihan raya yang terbukti hanya fatamorgana dalam menegakkan Islam dan Negara Islam. Jika parti Islam terus tenggelam dalam jurang demokrasi seperti ini, maka ia bukan sahaja akan gagal meraih tujuannya, malah ia sebenarnya sudah termasuk ke dalam perangkap musuh Islam dan hanya mengundang kemurkaan Allah SWT terhadapnya.Na’uzubillah min zalik.
Pada masa lalu, hizb al-Rasul (yang terdiri daripada Rasulullah SAW dan para sahabat) mendakwahkah Islam, sekaligus melakukan perjuanganpolitik untuk menukar sistem kufur kepada sistem Islam dengan usaha mendirikan Daulah Islam. Rasulullah dan para sahabat tidak menjadikan alat, mengambil atau memanfaatkan sistem kufur yang sedia ada, sebaliknya menghentam dan berusaha menghapuskan sistem kufur itu untuk digantikan dengan sistem Islam. Dengan perjuangan politik sistematis berdasarkan tuntunan wahyu yang ditempuh oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, akhirnya Daulah Islam berjaya ditegakkan di Madinah. Dari situ, keseluruhan hukum Allah SWT dapat ditegakkan, selain dapat dikembangkan ke seluruh dunia yang sekali gus menjadikan agama Islam zahir di atas agama-agama yang lain dan rahmat Allah pun tersebar ke seluruh penjuru alam.
Justeru, setiap parti politik Islam wajib mengikuti thariqah Rasulullah SAW ini. Malangnya, berapa banyak dari parti Islam yang menempuh jalan demokrasi yang tidak syarie, atas alasan menjadikannya alat untuk menukar sistem kufur ini kepada sistem Islam secara perlahan-lahan. Inilah pertimbangan akal/logik yang digunakan, yang bukan sahaja terbukti gagal dan terus gagal, malah bertentangan dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya. Sejak puluhan tahun hingga kini, fakta menunjukkan bahawa perubahan hakiki tidak pernah terjadi melalui jalan demokrasi, pilihan raya atau parlimen. Metode perubahan melalui pilihan raya dan demokrasi berparlimen hanya bersifat teoribelaka yang hanya indah khabar dari rupa. Selain itu, apa yang lebih penting ialah, demokrasi dan pilihan raya bukanlah thariqahperubahan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAWuntuk mendirikan pemerintahan Islam.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sedarlah bahawa perjuangan melalui jalan demokrasi bukan sahaja bertentangan dengan Islam, malah tidak pernah membuahkan hasil untuk tegaknya Islam dan Negara Islam. Sudah ratusan kali parti politik yang bergelumang dengan demokrasi dipatuk dari lubang yang sama, namun malangnya masih membiarkan diri dan membawa ahli-ahlinya untuk terus dipatuk. Jika muncul berapa banyak sekalipun parti baru yang cuba membawa harapan baru, sekiranya perjuangan mereka masih dalam selimut demokrasi, maka bukan sahaja harapan akan tinggal harapan, malah kemaksiatan dan dosa jua yang akan terus menyelimuti mereka. Cukuplah umat Islam berharap perubahan akan berlaku atau kemenangan akan tiba melalui jalan demokrasi yang haram lagi merosakkan, ayuhlahwahai umat Muhammad, ayuhlah berjuang bersama parti Islam yang diyakini benar dan mampu menegakkan DaulahKhilafah ala minhaj nubuwwah melalui jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Wallahua’lam.