SN447 – Malapetaka Peninggalan Obama

PDF

SN Keluaran 04 Disember 2015

banner_sn

[SN447] Malaysia sekali lagi hilang pertimbangan, maruah dan kedaulatan dengan sambutan yang diberikan kepada presiden negara penjajah yang juga merupakan pembunuh umat Islam, Barack Obama. Selama dua hari keberadaannya di negara ini, Obama menjadi raja kepada segala raja yang tidak boleh sezarah debu pun melekat di pipinya, kecuali berdosalah seluruh rakyat jelata. Walaupun dia telah pulang, namun itu tidak bermakna yang maruah dan kedaulatan Malaysia kembali pulih, kerana segala wasiat dan peninggalannya akan terus dijaga dan dilaksanakan oleh pemegang kekuasaan dan pengikut setianya di sini. Di atas kertas, kedatangannya kali ini adalah bertujuan untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan kerjasama serantau. Namun, jadual di kertas tidak lebih daripada merupakan kulit sahaja kepada kedatangan musuh Allah itu, kerana segala isinya tidak tercatat di situ. Isinya dapat difahami dari lisan dan tindakannya selama berada di sini. Bagi yang mempunyai mata hati, sudah pasti akan nampak bahawa tidak mungkin kedatangan penjajah dalam masa tidak sampai dua tahun ini, hanya kerana ingin mengadiri satu persidangan semata-mata, melainkan adaya suatu agenda kepentingan besar yang ingin diraihnya.

Kedatangan Obama kali ini dilatar belakangi dengan satu insiden yang memberi kredit kepadanya. Hanya beberapa hari sahaja sebelum menjejakkan kaki ke bumi Malaysia untuk kali yang kedua, kota Paris telah dibom dan diserang oleh sekelompok manusia yang mana kumpulan bersenjata Islamic State (IS) dikatakan mengaku melakukannya. Serangan Paris ini setidak-tidaknya telah memberi nafas baru kepada Obama dalam perangnya memerangi “pengganas” (umat Islam). Serangan ini menjadi seperti butang “refresh” kepada Obama untuk mengingatkan para penguasa Muslim yang sentiasa tunduk kepadanya bahawa “perang melawan keganasan” (perang melawan umat Islam yang tidak sehaluan dengannya) sentiasa relevan dan mesti sentiasa dipertingkatkan. Serangan Paris tersebut telah memberi talian hayat kepada Obama untuk menyampaikan mesej lapuknya mengenai keganasan yang sudah ditolak oleh umat Islam yang semakin sedar akan agenda Amerika Syarikat (AS) ke atas Islam dan umatnya.

Obama: Pengganas Yang Meludah Ke Langit

Umum mengetahui bahawa agenda evergreen Presiden AS ke mana-mana sahaja dia menjejakkan kakinya ialah “war on terrorisme” dan “war on extremisme”, apatah lagi kalau kakinya yang penuh dosa itu dijejakkan ke bumi umat Islam. Umum juga mengetahui bahawa siapa yang dimaksudkan oleh AS dengan terroris dan ekstremis itu tidak lain tidak bukan ialah umat Islam, khususnya umat/gerakan Islam yang tidak sehaluan dengan AS. Inilah kerjasama, atau lebih tepat untuk dikatakan sebagai arahan, AS kepada seluruh pemimpin kaum Muslimin dalam Sidang Kemuncak kali ini, iaitu tidak boleh ada dalam mana-mana negeri kaum Muslimin, apa jua kelompok, malah seorang individu pun, yang berpemikiran atau bertindak tidak selaras dengan kehendak Amerika! Jika ada, maka orang itu adalah pengganas!

Inilah antara mesej yang dapat dilihat daripada ASEAN Summit kali ini. Dalam usaha merealisasikan program “Combating Violent Extremism”, Malaysia telah bersetuju untuk mengetuai pelaksanakan Pusat Pintasan Mesej Serantau bagi memastikan wilayah Asia Tenggara ini berada dalam keadaan yang bebas dari sebarang ideologi ekstremis. Kesediaan Malaysia dalam program ini melibatkan penggunaan semua medium sosial di mana melalui program ini, kefahaman masyarakat termasuk para ulama dan cendekiawan dapat dipantau dan seterusnya diselaraskan bersesuian dengan sudut pandang yang dikehendaki oleh Amerika Syarikat. Agenda licik yang dijalankan AS ini sememangnya bertujuan untuk terus mendominasi pemikiran umat Islam agar menyimpang dari pemahaman Islam yang sebenar.

Obama mahu pastikan yang kempennya untuk memerangi terroris dan ekstremis bukan sekadar disahut secara lisan oleh para pemerintah Muslim, tetapi mesti disusuli dengan tindakan sebagai bukti kerjasama (atau tepatnya ketaatan) mereka kepada AS tidak berbelah bagi. Kerana itu, apabila dia mengumumkan sahaja untuk menjejakkan kakinya ke negara ini, kawalan keselamatan ke atas pembunuh ini dipertingkatkan ke tahap maksimum kerana dikhuatiri adanya serangan “pengganas”. Di saat kedatangan Obama, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan pekeliling yang kemudiannya tersiar ke media sosial bahawa terdapat lapan pengebom berani mati di Sabah dan sepuluh orang di Kuala Lumpur. “Kumpulan pengebom berani mati ini telah menjalani latihan ketenteraan di Syria, Afghanistan dan Iraq, serta sedia menerima arahan daripada ketua mereka untuk melancarkan serangan / pengeboman” tegas Ketua Polis Negara itu. Namun demikian, Ketua Polis Sabah menafi sekeras-kerasnya dakwaan mengenai lapan pengebom berani mati di beberapa lokasi penting di Sabah seperti dinyatakan.

Hizbut Tahrir Malaysia tidak terkecuali daripada menjadi sasaran apabila dua orang anggotanya telah ditangkap sebelum ketibaan Obama. Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dan seorang lagi anggota HTM, Ustaz Umar Hussein ditangkap di kediaman masing-masing pada jam 6.30 pagi hari Jumaat 20 November dan komputer riba serta telefon bimbit mereka turut dirampas. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa mengesahkan yang kedua orang aktivis Hizbut Tahrir itu ditahan bagi membantu siasatan susulan protes dan himpunan bagi membantah kehadiran Presiden Amerika ke ibu negara. Dalam siasatan ke atas kedua-dua anggota HTM itu, ternyata pihak kerajaan/PDRM cuba mengaitkan Hizbut Tahrir dengan kumpulan bersenjata Islamic State (IS) yang mereka labelkan sebagai pengganas. Walhal seluruh dunia telah mengetahui bahawa Hizbut Tahrir merupakan parti politik Islam yang berjuang melalui jalan politk dan intelektual dan tidak pernah menggunakan kekerasan, apatah lagi keganasan dalam dakwahnya.

Inilah antara paluan gendang AS yang para pemerintah umat Islam telah menari mengikut rentaknya. Walaupun para pemimpin umat Islam masih ramai mabuk dengan tarian ini, namun apa yang pasti, sudah semakin ramai umat Islam di Malaysia yang sedar hakikat ini dan tidak lagi menyahut paluan gendang AS itu. Malah, ramai yang sudah semakin sedar dan dapat membezakan antara pengganas sebenar dan golongan yang dilabel sebagai pengganas. Usaha berterusan HTM dan lain-lain pihak menolak kedatangan Obama dan menjelaskan siapakah Obama dan apakah perancangan jahatnya ke atas umat Islam dan negara umat Islam telah menyedarkan banyak pihak untuk mereka mengenali siapakah pengganas sebenar di dunia pada hari ini. Umum semakin sedar dan menyampah dengan ucapan / kempen Obama untuk memerangi pengganas yang sebenarnya tidak lebih daripada satu tindakannya meludah ke langit!

Obama Dan Misi Liberalisme

Seperti mana lawatannya ke Malaysia pada April 2014, dalam lawatan kali ini juga Obama sekali lagi mengadakan pertemuan dengan kumpulan yang terkenal memperjuangkan hak asasi manusia, liberalisme, pluralisme dan moderat. Presiden AS itu telah bertemu antara lain dengan Maria Chin Abdullah (Pengerusi Bersih 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan (Presiden HAKAM), Cynthia Gabriel (Pengarah Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme, C4), Nisha Ayub (Justice for Sisters) dan beberapa yang lain. “Kami sangat menghargai usaha-usaha mereka. Salah satu sebab saya mahu bertemu dengan mereka ialah untuk menghantar satu mesej yang jelas bahawa Amerika Syarikat menyokong usaha penting yang mereka lakukan dari hari ke hari” tegas Obama dalam pertemuan tersebut.

Manakala pada sesi “townhall” dengan belia dari Asia Tenggara di Taylors Univesity, Obama yang terkenal sebagai pendukung LGBT itu menegaskan yang polisi kerajaan mengenai perkahwinan perlu adil kepada semua rakyat. Orang dengan orientasi seksual berbeza berhak kepada penghormatan dan maruah diri “seperti lain-lain”, katanya apabila menjawab soalan daripada belia biseksual dari Thailand bernama Dara, yang bertanya sekiranya seseorang patut dipenjarakan kerana orientasi seksualnya. “Jawapan mudah kepada soalan itu adalah tidak,” kata Obama disambut tepukan gemuruh hadirin seramai 500 belia yang mewakili 10 negara Asean di bawah US Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI).

Inilah antara kumpulan yang disayangi oleh Obama yang berjalan sehaluan dengan kehendak Amerika. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan yang mereka ini sebenarnya adalah lidah penyambung Amerika di Malaysia. Inilah antara mesej Obama dalam lawatan rasminya ke Malaysia kali ini, yang ternyata bukan hanya menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, tetapi membawa idea jijik Amerika mengenai liberalisme, hak asasi manusia dan LGBT yang dia mahu diterapkan di negara ini dan kesemua negara Asean. Anehnya, kerajaan pimpinan Najib yang kononnya menentang keras idea liberalisme dan LGBT, memberi sambutan kenegaraan yang melebihi first class kepada penganut, pendukung dan pengembang idea tersebut!

Obama Dan Penjajahan Ekonomi

Usaha penjajahan bentuk baru Amerika ke rantau Asia amnya dan Malaysia khasnya semakin menghampiri kejayaan apabila Perdana Menteri Malaysia menyatakan kesediaaannya terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Perjanjian yang sarat dengan muslihat dan agenda tersembunyi itu akan dibentangkan di kabinet pada Januari 2016 dan dijangka akan dilaksanakan tidak lama selepas itu. Masih ramai yang tidak mengetahui bahawa TPPA adalah sebuah bentuk penjajahan ekonomi alaf baru yang bakal mencagarkan hak dan kedaulatan sesebuah negara anggota. Perjanjian perdagangan bebas yang melibatkan 12 negara ini telah mendatangkan kebimbangan pelbagai pihak seperti pakar-pakar ekonomi, tokoh-tokoh akademik dan juga NGO.

Umat Islam di Malaysia bakal menjadi sebahagian daripada episod mangsa TPPA. Perjanjian ini akan mengheret mereka ke gelanggang persaingan yang lebih luas dalam pelbagai bidang. Rakyat di negara ini akan berhadapan dengan peningkatan kos rawatan sehingga 3 kali ganda berikutan pemanjangan tempoh paten ubatan yang didominasi syarikat luar serta pengharaman penggunaan ubatan generic yang sememangnya lebih murah berkali ganda dan selama ini dihasilkan oleh pengusaha tempatan serta menjadi pilihan di kalangan hospital kerajaan mahupun swasta. Peningkatan kos buku dan perisian multimedia juga dijangka akan membebankan para mahasiswa berikutan kawalan terhadap akta hak cipta yang sememangnya diketahui bahawa bidang ini dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar dari Amerika Syarikat.  TPPA bukan sahaja perjanjian haram kerana ditandatangani dengan AS sebagai sebuah negara kafir harbi fi’lan, tetapi juga bakal membawa malapetaka ke atas rakyat Malaysia.

Obama Cuba Perkukuh Cengkaman

Sesungguhnya kehadiran Obama tidak lain hanyalah untuk mengekalkan ketuanannya di rantau Asia dan di seluruh dunia secara amnya. AS sebagai sebuah negara Kapitalis penghisap darah sudah pasti tidak akan berbuat sesuatu jika ia tidak menguntungkannya. Apa yang menyedihkan kita ialah ketundukan dan ketakutan membabi buta penguasa umat Islam kepada AS. Dalam masa yang sama, penguasa ini cuba menonjolkan diri sebagai wira yang menjuarai isu-isu rakyat dan berusaha untuk dilihat sebagai protagonis dalam isu-isu yang melanda umat Islam. Mereka kononnya begitu lantang menyuarakan bantahan terhadap kezaliman dan jenayah yang dilakukan oleh entiti Yahudi ke atas Palestin, tetapi dalam masa yang sama menjalin hubungan erat dengan AS yang merupakan pendukung tegar negara haram itu. Inilah realiti penguasa umat Islam sekarang.

Sesungguhnya Amerika sudah semakin lemah dan ia semakin menuju kehancuran, tetapi oleh sebab adanya penguasa umat Islam yang masih tunduk kepada negara kafir itu, kerana itulah Amerika kelihatan seperti kuat. Sebagai presiden sebuah negara yang tamak dan gila kuasa, Obama cuba sedaya upaya untuk terus mencengkam kukunya ke atas negara-negara lain, khususnya negara umat Islam yang dilimpahi dengan kekayaan sumber alam. Cengkamannya itu sebenarnya sudah tidak kuat, tetapi malangnya penguasa umat Islamlah yang membantu AS untuk menguatkan cengkaman itu. Hasil ketundukan dan pengkhianatan penguasa ini, umat Islam sentiasa menjadi mangsa dan diperkotak-katikkan oleh AS dalam percaturan politik antarabangsa.

Khatimah

Wahai Kaum Muslimin! Sudah berapa banyak malapetaka yang menimpa negara akibat dosa-dosa tangan pembuat dosa, apatah lagi tangan-tangan pemimpin. Musuh Allah disambut tetapi pejuang agama Allah ditangkap. Tidak ada cara lain untuk kita melepaskan cengkaman AS atau melepaskan diri daripada malapetaka yang berterusan ini, kecuali dengan kita melepaskan diri daripada pemimpin dan sistem yang rosak ini dan dalam masa yang sama berjuang untuk mengembalikan semula sistem Islam (Khilafah) dan melantik seorang Khalifah yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Sistem inilah yang telah diwariskan oleh baginda Nabi SAW dan diteruskan oleh para sahabat serta generasi sesudah mereka. Sistem inilah yang menjadi satu-satunya harapan umat Islam dalam memastikan seluruh kehidupan kita dipenuhi dengan berkat dan rahmat. Sedarlah, bahawa agenda terpenting umat Islam pada ketika ini bukanlah sekadar menolak kehadiran Amerika Syarikat dan dominasinya terhadap dunia Islam, tetapi berjuang mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah dengan jalan menegakkan semula Daulah Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah. Wallahu a’lam.