SN450 – Dua Kejahatan Digandingkan Bersama: “Gencatan Senjata” Dalam Syria Dan Rundingan Saudi Di Luar

PDF

SN Keluaran 1 Januari 2016

Dua Kejahatan Digandingkan Bersama: “Gencatan Senjata” Dalam Syria Dan Rundingan Saudi Di Luar

…sambungan dari minggu lepas

Mereka (warga Syam) bukanlah orang-orang yang berdusta dengan mengatakan bahawa mereka akan melakukan rundingan dengan rejim Basyar walhal dalam masa yang sama mengatakan bahawa tiada tempat untuk ketua rejim ini; Siapa jua yang tidak menerima Basyar tidak akan melakukan rundingan langsung dengan rejimnya! Dan warga Syam ini bukanlah dari kalangan mereka yang layak untuk negara sivil sekular dan menundukkan kepala bersetuju sambil mengaku Islam! Dan warga Syam bukanlah orang-orang yang menyeru kepada demokrasi yang meletakkan halal dan haram serta pembuatan undang-undang di tangan manusia dan bukannya di tangan Tuhan manusia. Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana berfirman:

“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [TMQ Yusuf (12):40].

Raja Saudi, tuannya dan pengarahnya dan siapa sahaja pemerintah yang menyertai mereka, akan gagal dan mereka akhirnya akan sedar bahawa mereka tidak akan mampu mengalahkan al-Syam. Al-Syam akan mengalahkan sekularisme dan negara sivil mereka. Sekiranya mereka menang pun dalam pertempuran kelalaian warga Syria, urusan mereka tidak akan selesai, tidak kiralah berapa banyak kezaliman dan jenayah yang mereka timpakan, kerana Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Berkuasa telah berfirman:

“Orang-orang yang berdosa, nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan seksa yang keras disebabkan mereka selalu membuat tipu daya” [TMQ al-An’am (6):124].

Seperti mana amaran yang kami berikan kepada orang-orang yang menandatangani gencatan senjata dengan penguasa zalim ini, kami juga memberi amaran kepada wakil-wakil di persidangan Riyadh dan wakil mereka dalam rundingan dengan rejim dan juga kepada mereka yang menyerukan negara sivil, kami memberi amaran kepada mereka bahawa tanah al-Syam adalah tanah yang suci yang tidak akan menerima sebarang konspirasi terhadapnya. Ia akan menolak mereka dan kejijikan mereka walaupun selepas beberapa ketika dan mereka kemudiannya akan diselubungi kerugian hidup di dunia dan di akhirat. Sungguh, itu adalah kerugian yang nyata.

Kami menyeru anda wahai wakil persidangan, bahawa sekarang ini persidangan kalian telah berakhir dan kalian telah bebas dari jubah Raja Saudi dan jauh dari tongkatnya, maka bersedialah untuk menghadapi akibatnya. Tanpa ragu, kalian pasti tahu bahawa rundingan dengan rejim ini merupakan satu pengkhianatan selepas semua jenayah yang telah dilakukannya yang telah menimpa manusia, pepohonan dan batuan, dan kalian juga pasti tahu bahawa seruan untuk menegakkan sebuah negara sivil sekular merupakan suatu jenayah. Kalian adalah orang Islam dan Islam mewajibkan pemerintahan dengan apa yang Allah turunkan. Sistem pemerintahan Islam adalah Khilafah di atas jalan kenabian, yang pasti akan berlaku, dengan izin Allah, melalui tangan-tangan hambaNya yang ikhlas seperti yang dijanjikan oleh Allah dan berita gembira dari RasulNya SAW…Oleh itu kembali kepada akal sihat kalian dan ketahuilah bahawa kembali kepada kebenaran itu merupakan suatu kebaikan, dan orang yang bertaubat daripada dosa adalah seumpaman orang yang tidak mempunyai dosa. Maka adakah di antara kalian seorang yang cerdik yang menolak gencatan senjata dengan rejim dan menolak persidangan yang sangat hina dan memalukan ini? “Tidak adakah di antaramu seorang yang berakal?” [TMQ Hud (11):78].

Wahai mereka yang ikhlas lagi jujur di bumi al-Syam, janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah…berdiri teguhlah di atas kebenaran yang kalian berada di atasnya. Kebatilan ada gilirannya dan kebenaran ada gilirannya. Revolusi kalian telah benar-benar menampakkan hasilnya, membongkar segala skandal. Ia telah mendedahkan pembuat komplot dan orang-orang munafik dan mereka semua telah terbuka. Tidak ada siapa yang akan diperdayakan oleh mereka kecuali orang-orang yang leka dan tidak ada siapa pun yang akan ditimpa oleh makar mereka kecuali orang-orang yang bodoh.

Sungguh Hizbut Tahrir adalah pelopor yang tidak membohongi warganya. Ia berjuang siang dan malam bersama dengan kalian dan di samping kalian untuk menggagalkan perancangan musuh Islam dan musuh kaum Muslimin dan untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan mendirikan semula Khilafah al-Rasyidah. Oleh yang demikian, dukunglah ia dan berdirilah di belakangnya agar kita sama-sama menyaksikan fajar Khilafah menyingsing.

“Dan di hari (kemenangan) itu bergembiralah orang-orang yang beriman, kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang” [TMQ al-Rum (30):4-5].

29 Safar 1437 H
11 Disember 2015 M
Hizbut Tahrir

PERPADUAN UMMAH VS PERPADUAN PARTI POLITIK

Untuk seketika, perhatian seluruh rakyat dialihkan kepada isu perpaduan antara dua parti terbesar di Malaysia iaitu UMNO dan PAS. Inisiatif untuk perpaduan kedua-dua parti ini telah lama pun dibincangkan, tetapi kali ini berjaya mengorak satu langkah baru apabila Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 berjaya menggandingkan presiden UMNO dan PAS di atas satu pentas, dengan disaksikan oleh wakil kedua-dua parti dan ramai agamawan lulusan al-Azhar.

Langkah untuk perpaduan ini memang wajar dipuji sekiranya tidak ada apa-apa agenda politik tertentu yang terselindung di sebaliknya. Namun, sukar untuk dikatakan begitu kerana ternyata fokus Multaqa yang bersidang selama 3 hari itu hanyalah perpaduan antara UMNO dan PAS dengan mengenepikan banyak lagi gerakan Islam lainnya, seolah-oleh gerakan Islam lain yang ‘minoriti’ tidak perlu dipanggil atau didengar pendapat mereka, atau tidak perlu diperpadukan!

Tema “Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi” menjadi hilang maknanya apabila ternyata hanya dua parti politik sahaja yang dijemput dan dijadikan fokus perbincangan di sepanjang Multaqa sedangkan Multaqa berlangsung selama 3 hari yang boleh membincangkan banyak perkara sekiranya lebih ramai wakil gerakan Islam yang diundang. Para alumni dari al-Azhar ini seharusnya lebih berjiwa besar dan terbuka dalam hal ini jika benar-benar ingin bercakap tentang perpaduan.

Itu dari satu aspek. Dari aspek lainnya, terdapat beberapa persoalan yang perlu dituntaskan berhubung perpaduan ummah itu sendiri. Antaranya, apakah yang dimaksudkan dengan “perpaduan ummah”, siapakah yang selama ini menjadi pemecah kepada perpaduan ummah dan bagaimanakah kita ingin membentuk kembali perpaduan itu?

Sungguh malang jika pengertian dan usaha ke arah perpaduan ummah hanya disempitkan perbincangannya kepada perpaduan antara dua parti politik terbesar di Malaysia. Kita wajib memahami bahawa perpaduan ummah bermaksud perpaduan umat Islam dan umat Islam bermaksud siapa sahaja yang mengucap syahadah, tidak kira apa bangsanya dan di mana sahaja ia tinggal, baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Inilah maksud ummah. Jangan hanya melihat ummah yang ingin dipadukan itu hanya dari kalangan ahli-ahli UMNO dan PAS sahaja.

Jika benar Perdana Menteri inginkan perpaduan ummah sebagaimana ucapannya dalam Multaqa, maka kenapakah umat Islam dari Indonesia, dari Myanmar, dari Bangladesh dan lain-lain dinafikan haknya untuk tinggal di negara ini dan daripada menjadi warganegara? Kenapakah mereka dihalau, walhal mereka adalah umat Islam yang ingin mencari pekerjaan, perlindungan dan tempat tinggal di sini, yang juga merupakan bumi umat Islam? Di manakah nas al-Quran dan al-Hadis yang membenarkan kita menghalau mereka keluar dari bumi Malaysia ini, yang juga merupakan tanah mereka selaku umat Islam, umat yang satu?

Persoalan berikutnya, siapakah yang selama ini memecahbelahkan perpaduan ummah, sehingga kita wajib menyatupadukan ummah ini kembali pada hari ini? Jika kita lihat sejarah, umat ini ternyata telah bersatu padu di bawah satu payung pemerintahan, sejak dari tegaknya Daulah Islam yang pertama di Madinah, sehinggalah ke Daulah Islam yang terakhir di Turki. Hanya setelah umat ini meninggalkan banyak ajaran al-Quran serta diresapi dengan semangat assabiyyah dan wathaniyyah hasil usaha licik kuffar Barat, maka berlakunya penentangan terhadap Khilafah dan usaha untuk memisahkan diri dari Negara Khilafah dan membentuk negara berasaskan bangsa (nation states).

Dalam masa yang sama, negara Khilafah semakin lemah dan Barat semakin kuat, yang memudahkan Barat menghancurkan kesatuan umat dengan melarikan umat Islam dari ajaran al-Quran dan meruntuhkan Khilafah sebagai tembok kekuatan umat. Ringkasnya, Barat akhirnya berjaya menjajah umat Islam, baik secara pemikiran mahupun fizikal sehingga menyebabkan umat Islam terpecah belah kepada lebih 50 buah negara sejak dari runtuhnya Khilafah pada 1924.

Malangnya, setelah Barat keluar dari negara umat Islam yang dijajahnya, mereka telah melantik pemimpin yang merupakan boneka mereka dan para pemimpin inilah yang telah mengekalkan sempadan negara palsu yang dicipta oleh penjajah sehingga menyebabkan umat ini terus terpecah-belah. Hukum-hukum al-Quran ditinggalkan dan diganti dengan hukum demokrasi ciptaan Barat. Inilah penyebab kepada perpecahan umat yang sebenar. Sempadan negara bangsa inilah yang menjadikan Malaysia tidak bersatu dengan Indonesia, dengan Bangladesh, dengan Brunei dan lain-lain, sehingga masing-masing menganggap tanah yang mereka diami adalah hak mereka dan bukan hak orang Islam yang berlainan bangsa dan tempat lahir dengan mereka!

Jadi, untuk menyatupadukan semula umat ini, bukanlah dengan menyatupadukan di antara dua parti politik yang berbeza pandangan, tetapi tidak lain tidak bukan adalah dengan semua pihak, khususnya UMNO selaku parti pemerintah, kembali berpegang teguh dengan seluruh ajaran al-Quran dan al-Sunnah, bukannya terus berpegang dengan ajaran Lord Reid dan ajaran demokrasi lainnya.

Menyatupadukan umat ini wajib dilakukan dengan jalan menegakkan kembali Daulah Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah dan mempersatukan semula umat ini di bawah satu payung pemerintahan sebagaimana dahulunya, melantik seorang Khalifah untuk seluruh kaum Muslimin di dunia yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Inilah satu-satunya metodologi untuk menyatupadukan semula umat ini dan bukannya disempitkan dengan usaha perpaduan di antara dua parti politik.

Wallahu a’lam.