SN699 – Ilusi Politik Penyatuan

Bil: SN699 (PDF/Print) – 13 Rabi’ulakhir 1448 / 25 Sep 2026

Isu perpecahan dalam kalangan orang Melayu terus berlarutan sehingga Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Muktamar Tahunan PAS 2026 sekali lagi menyaksikan perbahasan hangat mengenai gagasan “Penyatuan Ummah” dan “Tafahum Siyasi”. Para pemimpin kedua-dua parti mengemukakan pelbagai naratif tentang penjajaran politik. Di pentas ucapan dan dewan persidangan, wacana perpaduan Melayu-Islam dilaungkan seolah-olah menjadi jalan utama untuk mempertahankan kedudukan umat Islam di negara ini [Berita Harian, Utusan Malaysia, HarakahDaily dan Malaysiakini]. Perkembangan ini membangkitkan harapan baharu dalam kalangan sesetengah orang Melayu terhadap penyatuan semula masyarakat mereka. Namun, sebahagian yang lain mempersoalkan sejauh mana gagasan tersebut benar-benar mampu memberikan kebaikan dan manfaat kepada mereka.

        Namun, di sebalik segala retorika slogan penyatuan dan persaudaraan yang indah di hadapan khalayak umum, realiti di sebalik tabir mendedahkan hakikat yang sebaliknya. PAS dan UMNO masih berada dalam keadaan saling mencurigai, terutamanya berkaitan isu penyerahan dan agihan kerusi pilihan raya yang disandang oleh parti masing-masing. Mereka hanya mencari titik persamaan agar dapat bekerjasama untuk memenangi pilihan raya ke-16 nanti. Hal itu sahaja sudah membuktikan bahawa kedua-duanya mempunyai matlamat yang berbeza dalam pelbagai aspek [FMT 4/9/2026]. Itulah hakikat politik demokrasi pada ketika ini; slogan mereka tampak menjuarai jiwa rakyat, tetapi pada hakikatnya mereka hanya mencari peluang dan habuan dunia demi mengekalkan kuasa. Apa yang pasti, semuanya itu hanyalah satu lagi retorika politik sebagaimana yang pernah muncul pada masa-masa lalu.

        Kerjasama antara parti politik dalam sistem demokrasi sekular bukanlah satu bentuk Penyatuan Hakiki (al-Ittihad al-Haqiqi). Jalinan ini hanyalah sekadar perkongsian kuasa yang bersifat sementara, rapuh, dan sekadar menumpukan manfaat yang bersifat picisan. Asas yang mendasari pakatan sedemikian bukanlah ketundukan yang ikhlas kepada syariat Allah SWT, melainkan matlamat pragmatik untuk memaksimumkan undi majoriti dan menguasai kerusi parlimen.

        Sejarah hubungan politik antara PAS dengan UMNO membuktikan bahawa kerjasama dalam kerangka demokrasi sekular akhirnya menemui jalan buntu. Penglibatan PAS dalam Barisan Nasional dari tahun 1978 hingga 1979 berakhir dengan pertikaian sengit dan perpecahan akibat perebutan kuasa serta perselisihan mengenai pengagihan kerusi di peringkat negeri. Corak yang sama berulang dalam bentuk berbeza menerusi Muafakat Nasional (MN) antara tahun 2019 dengan 2022. Meskipun Piagam Muafakat Nasional dimeterai dengan penuh harapan, kerjasama tersebut tidak bertahan lama. Apabila kepentingan pilihan raya mula terancam dan percaturan dengan parti-parti lain semakin mengambil tempat, ikatan yang dilaungkan atas nama “Penyatuan Ummah” itu akhirnya terlerai lalu bertukar menjadi perseteruan terbuka.

        Inilah hakikat sebenar perkongsian politik sekular. Sifat pakatan sedemikian telah pun dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Kamu menyangka mereka itu bersatu, sedangkan hati mereka berpecah belah.” [Surah al-Hasyr (59): 14]

        Tujuan utama parti-parti politik demokrasi menjalinkan tahaluf hanyalah untuk meraih kedudukan dan memperoleh kekuasaan. Apabila maslahat politik tersebut hilang atau terancam, gugurlah segala retorik “Penyatuan Ummah” yang pernah dilaung-laungkan. Pragmatisme dan perpecahan ini bukan sahaja berlaku di peringkat domestik, malah tercermin dengan lebih ketara di pentas politik antarabangsa. Kerjasama antara negara majoriti Muslim menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), mahupun pakatan ketenteraan seperti Pakatan Ketenteraan Islam Menentang Keganasan bukanlah penyatuan yang hakiki. Struktur kerjasama ini kekal rapuh kerana dibina atas entiti negara bangsa (nation-states) yang terpisah dan terikat pada kepentingan nasional masing-masing. Malah, struktur tersebut menjadi mekanisme yang mengekalkan perpecahan politik, sekali gus membolehkan kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat, terus mengeksploitasinya bagi mengawal hala tuju politik dunia Islam.

        Sejak keruntuhan institusi Khilafah, umat Islam dipecahkan kepada lebih 50 buah negara yang dipisahkan oleh garis sempadan palsu hasil lukisan imperialis Barat bermula dengan Perjanjian Sykes-Picot 1916. Disebabkan tidak disatukan di bawah satu daulah dan satu kepimpinan, negara-negara kaum Muslimin ini berada dalam keadaan lemah dan terpaksa menggadaikan kedaulatan masing-masing dengan tunduk kepada kehendak negara kuasa besar dunia. Akibatnya, negara-negara ini dengan mudah dicatur oleh kuasa imperialis Barat mengikut agenda geopolitik mereka. Dari Palestin, Syria, Kashmir, Myanmar hingga ke Xinjiang, umat Islam terus menjadi mangsa pembantaian dan kezaliman tanpa ada satu pun tentera kaum Muslimin yang dikerahkan untuk membebaskan mereka. OIC dan Liga Arab terbukti sekadar menjadi penonton yang hanya mengeluarkan kenyataan kutukan tidak bergigi.

        Allah SWT melarang umat Islam menggantungkan harapan kepada kuasa-kuasa kufur dan sistem mereka:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat” [Surah an-Nisa (4): 144]

Penyatuan Hakiki di bawah Institusi Pemerintahan Islam : Sistem Khilafah

        Islam telah menetapkan model penyatuan yang jelas, tuntas, dan berakar pada dalil-dalil syarak. Penyatuan umat yang hakiki bukanlah gabungan rapuh antara parti politik atau pakatan antara negara-bangsa, melainkan suatu peleburan seluruh komponen dan aspek umat – baik dari segi akidah mahupun keseluruhan aturan kehidupan di bawah satu institusi politik, iaitu Daulah Islamiyyah.

        Sirah Rasulullah SAW di Madinah menunjukkan bahawa Baginda tidak melakukan “tahaluf siyasi” atau kerjasama pragmatik antara kaum dan kabilah berdasarkan pengagihan kuasa. Sebaliknya, Rasulullah SAW menyatukan suku Aus dan Khazraj yang telah berpuluh tahun dalam permusuhan berdarah, serta menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar di atas Aqidah Islam melalui perlaksanaan Sistem Pemerintahan Islam yang menerapkan hukum-hukum Allah secara menyeluruh (kaffah). Menerusi Piagam Madinah, setiap individu dari kalangan kaum Aus dan Khazraj telah disatukan dengan perlembagaan menyeluruh yang merangkumi segenap aspek hak serta hubungan sesama individu dalam masyarakat Madinah ketika itu. Inilah bentuk penyatuan hakiki yang melahirkan sebuah umat yang bersatu (Ummatan Wahidah) dan kukuh.

“Sesungguhnya (agama Tauhid) ini adalah agama kamu; agama yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu, maka sembahlah Aku.” [Surah al-Anbiya’ (21): 92]

        Kesatuan di atas asas akidah ini akhirnya telah mengubah bangsa Arab yang berpecah dan berpuak-puak menjadi umat yang gemilang. Dalam tempoh yang singkat, Daulah Islamiyyah berjaya membebaskan Jazirah Arab dan menyatukan semua bangsa di dalamnya. Seterusnya, pada zaman para Khulafa’ ar-Rasyidin, ia meruntuhkan dua empayar gergasi dunia, iaitu Empayar Rom dan Parsi. Institusi politik ini bukanlah suatu pilihan, sebaliknya wajib ditegakkan agar seluruh hukum Allah dapat dilaksanakan. Terdapat banyak dalil syarak yang mengesahkan kewajipan umat menegakkan Khilafah dan bersatu di bawah kesatuan seorang Khalifah sahaja.

        Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Dahulu Bani Israel dipimpin dan diuruskan oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi wafat, digantikan oleh Nabi yang lain. Dan sesungguhnya tiada Nabi selepasku, dan akan ada para Khulafa’ (khalifah-khalifah) yang ramai jumlahnya. Mereka [para sahabat] bertanya, “Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?” Baginda saw. menjawab, “Tunaikanlah baiat yang pertama, maka yang pertama [itu yang sah].” [HR Bukhari dan Muslim]

        Bahkan terdapat juga beberapa hadis yang lebih tegas melarang umat Islam berada di bawah lebih dari satu kepimpinan politik.

“Jika dibaiat dua khalifah maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya ” [HR Muslim].

        Begitu juga dengan hadis,

“Sesiapa yang membai‘ah seorang imam, lalu memberikan kepadanya jabat tangan dan ketulusan hatinya, hendaklah dia mentaatinya sedaya upaya. Jika datang orang lain yang hendak merebut kekuasaannya, maka bunuhlah orang yang terakhir itu.” [HR Muslim]

        Sejak keruntuhan Khilafah Islamiyyah di Istanbul pada 28 Rajab 1342H bersamaan 3 Mac 1924M, umat Islam terbelenggu dalam cengkaman sistem sekular-kapitalisme. Umat dipecah-belahkan kepada lebih 50 kepingan negara-bangsa, dijajah secara fizikal dan pemikiran, serta dipaksa menggunapakai undang-undang ciptaan manusia. Sejak itu, pelbagai slogan berbentuk penyatuan mula dilaungkan.

        Namun hakikatnya, penyatuan tanpa institusi Khilafah adalah ibarat membina bangunan di atas tapak pasir yang jerlus; ia pasti runtuh sebaik sahaja dilanda ribut kepentingan peribadi dan perebutan kuasa. Syariat Islam secara tegas menetapkan bahawa penyatuan umat hanya akan terwujud secara hakiki apabila kaum Muslimin dipayungi oleh kepimpinan yang sah serta bersatu padu di bawah naungan al-Quran dan al-Sunnah.

Kesimpulan

        Hakikat yang perlu difahami oleh seluruh umat Islam adalah umat Islam merupakan Ummatan Wahidah – umat yang memiliki Aqidah yang satu, Kitab yang satu, Nabi yang satu, Perlembagaan yang satu (Syariat Islam), dan wajib berada di bawah Negara yang satu (Sistem Khilafah).

        Gagasan kesatuan hakiki ini merupakan mimpi ngeri bagi musuh-musuh Islam dan sekutu-sekutu mereka. Mereka amat menyedari bahawa selama mana umat Islam disibukkan dengan permainan demokrasi, perebutan kerusi pilihan raya, dan kebanggaan kepada negara-bangsa, selama itulah umat ini akan kekal berpecah dan lemah.

        Penyatuan hakiki ini bukanlah satu angan-angan kosong, melainkan janji Allah SWT dan bisyarah (khabar gembira) Rasulullah SAW yang pasti akan terealisasi. Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman RA, Rasulullah SAW bersabda mengenai fasa-fasa sejarah umat ini yang diakhiri dengan kembalinya Khilafah:

“Kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian (Khilafah ‘ala Minhaj an-Nubuwwah).“[HR Ahmad]

Sudah tiba masanya untuk umat Islam meninggalkan illusi politik demokrasi sekular yang merosakkan dan beralih kepada perjuangan hakiki: menegakkan kembali Khilafah ‘Ala Minhaj Nubuwwah demi menyatukan seluruh umat Islam di bawah satu bendera, satu kepimpinan, dan satu syariat.