SN457 – Ada Apa Dengan Kemasukan 1.5 Juta Warga Bangladesh?

PDF

SN Keluaran 26 Februari 2016

Ada Apa Dengan Kemasukan 1.5 Juta Warga Bangladesh?

[SN457] Berita mengenai perjanjian persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Bangladesh untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja negara itu ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun telah mengundang reaksi negatif banyak pihak, termasuklah dari parti pembangkang. Banyak perkara yang dibangkitkan seperti kesan kemasukan pekerja luar seramai itu ke pasaran kerja tempatan, apatah lagi ketika kadar pengangguran dalam negara sendiri sedang meningkat, sudah pasti memburukkan lagi keadaan. Masalah sosial dan jenayah yang melibatkan warga luar juga turut dibangkitkan. Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) lebih awal menolak dengan menyatakan bahawa usaha ini tidak selari dengan RMK-11 yang menyaksikan janji kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja luar berkemahiran rendah. Manakala pihak majikan yang diwakili oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MIEF) pula memiliki pandangan yang berbeza mengapa pekerja luar sering menjadi pilihan berbanding pekerja tempatan. Dari sudut politik, pembangkang pula melihat bahawa kemasukan seramai 1.5 juta pekerja Bangladesh itu merupakan strategi UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti dan tidak mustahil pekerja ini akan diberi kad pengenalan, yang menjadi faktor utama pembangkang menolak langkah kerajaan ini.

Bagaimanapun, sehari selepas MoU itu dimeterai, kerajaan seperti hilang punca dengan tiba-tiba membuat keputusan menangguhkan pengambilan semua pekerja luar termasuk dari Bangladesh. Banyak pihak yang melihat keputusan terbaru ini sebagai “wayang” untuk meredakan kemarahan rakyat, apatah lagi tatkala Pilihan Raya Negeri Sarawak bakal di adakan tidak lama lagi dan isu ini sedikit sebanyak boleh menggugat parti pemerintah. Kerajaan seperti kepeningan apabila tiba-tiba menggalakkan majikan mengambil pekerja tempatan berbanding pekerja luar bagi mengisi kekosongan jawatan di beberapa sektor yang dikenali sebagai 3D (Dirty, Difficult & Dangerous). Selain pertimbangan dan kebimbangan melulu banyak pihak terhadap kemasukan 1. 5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia ini, terdapat beberapa perkara utama yang gagal diberi perhatian berhubung isu ini. Kesalahan fatal berlaku apabila banyak pihak tidak melihat isu ini dari sudut pandang Islam, tetapi hanya melihat dari sudut pandang kebendaan, assabiyyah dan wathaniyyah semata-mata.

Perpecahan Umat di Sebalik Sempadan Negara Bangsa

Sejak runtuhnya Khilafah kira-kira 92 tahun yang lalu (3 Mac 1924), umat Islam telah dipecahkan oleh kuffar Barat kepada negara-negara bangsa dan diberi identiti menurut bangsa dan negara masing-masing. Sejak itu, umat Islam di Turki memandang saudara Muslimnya dari Arab sebagai ‘orang asing’. Begitu juga dengan umat Islam di Arab memandang saudara Muslimnya dari Afrika sebagai ‘orang asing’ dan umat Islam di Pakistan memandang saudara Muslimnya dari Bangladesh sebagai ‘orang asing’. Sama juga dengan umat Islam di Malaysia yang memandang saudara Muslimnya dari Indonesia atau dari Bangladesh sebagai ‘orang asing’ dan begitulah seterusnya keburukan ini berlaku hanya semata-mata kerana persoalan bangsa dan sempadan palsu ciptaan penjajah ke atas kita semua.

Oleh itu, kita menyaksikan pada hari ini kegelisahan, malah penentangan umat Islam di Malaysia terhadap kedatangan saudara seakidah mereka dari Bangladesh. Lebih buruk, mereka menganggap Muslim Bangladesh sebagai “pendatang asing” dan tidak layak untuk bekerja, apatah lagi untuk tinggal di Malaysia. Berapa ramai dari kalangan umat Islam di Malaysia yang memandang saudara seakidah dari Bangladesh, Indonesia dan Myanmar sebagai bangsa kelas ketiga dan tidak layak dilayan setara dengan bangsa Melayu yang merupakan kaum bumiputera di sini? Lebih menyedihkan apabila terdapat segelintir umat Islam yang meluahkan kekhuatiran mereka kerana mendakwa terpaksa bersaing dan berkongsi rezeki dengan “pendatang”, walaupun hakikatnya warga Bangladesh dan lain-lain, datang ke Malaysia demi mencari rezeki yang halal di bumi Allah ini dan hakikatnya Allah SWT telah pun menjamin rezeki pada setiap makhlukNya, yang wajib berusaha bagi mendapatkannya. Firman Allah SWT,

“Dan tidak suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya” [TMQ Hud (11):6].

Konsep negara-bangsa yang dipaksakan ke atas umat Islam sejak runtuhnya Daulah Khilafah sememangnya bertujuan untuk meletakkan umat yang dulunya bersatu ini, dalam keadaan lemah dan terpecah-belah. Dasar assabiyah dan wathaniyah yang dilestarikan dalam kehidupan bernegara pada hari ini menjadikan umat Islam begitu berbangga dengan sempadan palsu ciptaan penjajah, malah sanggup mati demi mempertahankannya.

Pandangan-pandangan negatif terhadap kemasukan pekerja Bangladesh ke sini adalah sebahagian daripada babak perpecahan umat yang amat menyedihkan. Sedangkan umat Islam adalah umat yang satu dan Rasul SAW telah menunjukkan kepada kita bagaimana baginda mempersatukan kaum Muhajirin (asal Mekah) dengan kaum Ansar (Madinah) tanpa adanya sempadan di antara mereka (sesama Muslim) sehingga tidak dibezakan sedikit pun dari segi hak, tanggungjawab, layanan dan sebagainya di antara Muhajirin (‘pendatang’) dengan Ansar (peribumi) yang tinggal dalam satu negara. Malah, mereka saling berkasih sayang, tolong-menolong, redha-meredhai dan bekerjasama dalam suatu bentuk yang luar biasa, hanya atas dasar kesamaan akidah Islam yang mereka miliki. Inilah teladan dan hukum syarak ke atas kita (umat Islam) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan wajib diikuti.

Jerat Kapitalisme

Umum mengetahui bahawa tidak ramai rakat Malaysia yang sanggup bekerja dalam Sektor 3D, apatah lagi dengan gaji yang rendah dan persekitaran yang tidak selesa. Umum juga mengetahui yang pekerja luar, sama ada dari Bangladesh, Indonesia atau Myanmar kebanyakannya ‘tidak kisah’ dengan kerja-kerja seumpama ini kerana kesempitan hidup yang mereka alami. Jadi, peluang kerja yang ada di Malaysia, walaupun tidak pernah menjanjikan kemewahan untuk mereka, namun tetap dirangkul demi mengalas perut. Malah sebahagian daripada mereka bukan sahaja melakukannya dalam rangka mengalas perut sendiri tetapi juga keluarga yang ditinggalkan di tempat asal.

Selain tekanan hidup, kadar pengangguran yang tinggi di negara asal mereka memang tidak dapat dipisahkan dari faktor keberadaan pekerja luar yang dikatakan berjumlah lebih kurang 6.7 juta di negara ini. Dengan kata lain, kebanyakan mereka yang datang bekerja ke Malaysia memang berbuat demikian hasil daripada kezaliman dan penerapan sistem yang buruk di negara masing-masing yang memaksa mereka berhijrah ke luar bagi mencari harapan dan memulakan hidup baru. Mereka sebenarnya sudah tidak punya banyak pilihan sehingga sanggup meninggalkan keluarga serta menghadapi apa jua risiko demi mencari rezeki di tempat yang asing bagi mereka.

Dalam masa yang sama, ramai majikan di Malaysia yang sudah terbius hidup dalam sistem Kapitalisme, yang mana orientasi hidup mereka hanyalah untuk mencari semaksimum mungkin keuntungan/manfaat, sememangnya ternanti-nanti peluang keemasan seperti ini bagi mendapatkan tenaga kerja yang murah. Jadi, kedatangan atau kemasukan beramai-ramai pekerja luar dengan kos yang rendah ini ibarat durian runtuh bagi mereka. Berapa banyak kes yang sering kita dengar bahawa majikan yang Kapitalis ini bukan sahaja membayar gaji yang rendah dan tidak mempedulikan kebajikan pekerja yang datang dari luar ini, malah para pekerja ini turut dieksploitasi dan dizalimi dengan pelbagai bentuk penipuan, termasuklah dengan pemberhentian kerja sesuka hati dan gaji yang tidak berbayar. Ringkasnya, pekerja ini yang rata-ratanya adalah Muslim, ramai yang menjadi mangsa diskriminasi sistem di tempat baru dan mereka hakikatnya hanya keluar dari jerat sistem Kapitalis (di tempat sendiri) yang kejam dan masuk ke jerat sistem Kapitalis (di tempat baru) yang tidak kurang kejamnya atau dengan kata lain keluar mulut harimau masuk mulut buaya!

Islam Sebagai Penyelesaian

Sejak runtuhnya Khilafah, dunia umat Islam telah didominasi oleh ideologi Kapitalis hasil penjajahan kuffar Barat. Ideologi buatan manusia yang bertentangan dengan ajaran Islam ini bukan sekadar gagal menciptakan kesejahteraan dalam kehidupan manusia, malah menjadi penyebab kepada kesengsaraan dan ketidakstabilan dunia. Ketika umat Islam bersatu di bawah satu payung pemerintah (Khilafah) dan hukum Allah diterapkan di muka bumi, dunia bukan sahaja sejahtera tetapi berada di kemuncak ketamadunan. Umat Islam menguasai hampir dua per tiga daratan dan lautan dunia. Tidak ada batas sempadan dan tidak pernah ada istilah ‘warga asing’ sesama Muslim. Kaum Muslimin berhijrah dan bertempat tinggal serta mencari nafkah dari satu negeri ke negeri lainnya, dari satu benua ke benua lainnya, tanpa visa dan pasport dan dilayan sama rata tanpa diskriminasi sedikit pun, biar pun datang dari luar, berlainan bangsa, keturunan dan warna kulit.

Aktiviti hijrah, penyebaran Islam, perdagangan, menuntut ilmu dan mencari rezeki berlaku dengan begitu subur sekali di dalam wilayah Islam yang terbentang luas. Khalifah selaku ketua negara sentiasa memastikan setiap warganya mendapat keperluan asas (makanan, pakaian dan tempat tinggal) dan juga hak asas seperti pekerjaan, keamanan dan kesihatan, tanpa mengira Muslim mahupun non-Muslim. Tidak ada syarikat kapitalis raksasa yang mengawal ekonomi, tidak ada kezaliman mahupun eksploitasi.

Malah, telah terbukti dalam sejarah emas Khilafah Uthmaniyyah bagaimana kaum Yahudi yang diusir dari Sepanyol oleh pemerintah Eropah, diberikan perlindungan dan turut disediakan peluang pekerjaan di pelbagai sektor oleh Khilafah. Karen Armstrong, bekas biarawati yang juga penulis terkenal dalam bidang perbandingan agama, menggambarkan betapa sejahteranya kehidupan kaum Yahudi dalam Daulah Khilafah sehingga mereka dikatakan menikmati  zaman keemasan (the golden age) dengan pelbagai perlindungan yang mereka nikmati atas sifat mereka sebagai ahlu al-zimmah di bawah naungan Khilafah ketika Sepanyol berada di bawah pemerintahan Islam. Khalifah benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW,

“Sesungguhnya Imam (pemimpin) itu adalah pemelihara dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari & Muslim].

Dalam Islam, pemerintah wajib menyediakan peluang pekerjaan kepada warganya, bahkan bagi penjawat awam, pemerintah akan memberi gaji yang setara dengan kemahiran individu serta kos hidup semasa. Negara menyediakan pekerjaan bukan untuk mengeksploitasi tenaga rakyatnya habis-habisan dengan memaksimumkan keuntungan (seperti negara Kapitalis pada hari ini), tetapi negara berfungsi untuk menjaga kebajikan rakyatnya dan menyantuni mereka agar dapat hidup dengan selesa. Dalam masa yang sama, negara tidak “mencipta” pemalas kerana setiap individu yang berkeupayaan wajib bekerja untuk mendapatkan nafkahnya sendiri dan menampung nafkah keluarganya dan dalam konteks ini, negara bukan sahaja akan memastikan setiap individu mendapat pekerjaan, tetapi akan mengenakan uqubat (hukuman) kepada mereka yang sengaja tidak mahu bekerja sedangkan dia dan keluarganya memerlukan nafkah.

Sekiranya jumlah pekerja mahupun kepakaran dalam bidang-bidang tertentu tidak mencukupi di sesuatu wilayah, maka negara boleh membawa masuk tenaga kerja daripada wilayah lain, tanpa sebarang masalah. Sebagai contoh, sekiranya wilayah Afrika kekurangan doktor, jadi Khalifah boleh sahaja membawa doktor dari wilayah lain seperti Malaysia atau India untuk berkhidmat di sana. Begitu juga sekiranya sektor pembangunan dan pertanian di Malaysia tidak cukup pekerja, maka Khalifah boleh membawa masuk pekerja dari Indonesia mahupun Bangladesh, dengan menyediakan segala kemudahan untuk mereka dalam proses tersebut. Begitulah cara Khalifah memenuhi keperluan membawa masuk pekerja ke mana-mana wilayah dalam Daulah Khilafah yang tidak ada masalah sempadan, tidak perlu ada MoU, tidak ada kepentingan untuk menipu dalam pilihan raya, tidak ada agenda untuk mengaut keuntungan maksimum mahupun untuk menindas mana-mana individu.

Inilah cara Islam menyelesaikan masalah secara umumnya. Jadi, jika Malaysia memerlukan tambahan pekerja dalam sektor apa pun, maka tidak ada masalah untuk membawa masuk pekerja dari mana sekalipun, baik dari sesama wilayah Islam mahupun bukan. Jika para pekerja yang ingin dibawa masuk itu adalah Muslim, maka bumi Malaysia ini juga adalah bumi mereka dan mereka hendaklah diberi kewarganegaraan dan mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama sebagaimana warganegara yang lain. Jika mereka adalah non-Muslim dan mereka ingin bekerja di sini dan menjadi ahlu zimmah, maka mereka juga hendaklah diberi kewarganegaraan yang dengannya mereka akan mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama sebagaimana warganegara lainnya dan wajib patuh kepada peraturan Islam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya tidak ada istilah “orang asing” (foreigner) untuk sesama Muslim, baik bagi Muslim luar yang datang ke Malaysia mahupun bagi Muslim Malaysia yang pergi ke wilayah Islam yang lain. Umat Islam ialah umat yang satu dan wilayah Islam adalah wilayah yang satu. Sistem demokrasi-kapitalisme yang di amalkan sekarang bukan sahaja bersifat menindas, tetapi telah lama menyebabkan umat Islam lemah dan terpecah-belah. Sistem demokrasi-kapitalisme bukan sahaja sistem kufur, tetapi rosak dari pelbagai sudut dan hanya memberi kesejahteraan kepada golongan kapitalis dan pemerintah yang tidak amanah dan gila kuasa sahaja. Sampai bilakah kita akan membiarkan sistem yang haram ini membelenggu umat dan dunia? Oleh itu, marilah bersama-sama bergabung tenaga dan mengatur langkah untuk mengembalikan kehidupan Islam di bawah satu bumbung pemerintahan berasaskan al-Quran dan al-Sunnah iaitu pemerintahan Khilafah ala minhaj Nubuwwah yang akan mengembalikan semula persaudaraan sesama Muslim, penyatuan umat serta zaman kegemilangan Islam yang pernah kita kecapi suatu ketika dahulu.

Wallahu a’lam.