SN469 – Hudud Untuk Semua

PDF

SN Keluaran 10 Jun 2016

Isu hudud kembali diperbincangkan dengan meluas apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, telah mengusulkan kepada Parlimen agar Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 dibentangkan. Usul yang disokong oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ini sepatutnya dibentangkan oleh Presiden Pas, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun beliau meminta agar usul tersebut ditangguhkan ke sidang parlimen yang akan datang iaitu pada bulan Oktober. Ini merupakan kali pertama Dewan Rakyat mendahulukan Usul Persendirian berbanding Usul Kerajaan.

Perkara ini telah menimbulkan bantahan terutamanya dikalangan pemimpin politik bukan Islam baik dari parti komponen kerajaan mahupun pembangkang. Antara yang membantah ialah Presiden MCA, Presiden MIC, Presiden Gerakan, Presiden DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang. Rata-rata alasan utama yang diberikan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan ia tidak praktikal bagi masyarakat majmuk di Malaysia.

Polemik Pelaksanaan Hudud di Malaysia

Perbincangan tentang hudud di Malaysia pernah tenggelam ketika PAS bersama Pakatan Rakyat. Ini kerana hudud tidak terkandung dalam Manifesto Bersama dan Buku Jingga Pakatan Rakyat. Isu hudud kembali menjadi perbincangan penting dalam wacana politik Malaysia apabila ada daripada kalangan pimpinan UMNO menyatakan kesediaan mereka untuk menyokong kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan hudud berdasarkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II. Ternyata ia bukan sahaja membangkitkan semula perbincangan secara meluas mengenai hudud tetapi juga turut menjadi antara punca yang membawa kepada berkuburnya Pakatan Rakyat.

Nampaknya polemik untuk melaksanakan hukum hudud, yang dipelopori oleh ahli politik, secara tidak langsung telah menjadi wacana utama yang membentuk pemahaman rakyat Malaysia sama ada orang Islam mahupun orang bukan Islam terhadap hukum hudud. Walaupun pihak yang lain daripada golongan akademik, pihak berautoriti dan pakar dalam perundangan turut memberikan pandangan mereka mengenai usaha untuk melaksanakan hudud di Malaysia, namun ia hanya menjadi sebahagian daripada pelengkap yang mengisi ruang perbincangan yang dicetuskan oleh ahli politik. Dengan kata lain, hudud akan mendapat tempat untuk diperbincangkan apabila ada ahli politik yang membangkitkannya. Sebaliknya, perbincangan mengenai isu hudud akan menjadi suram apabila ahli politik tidak lagi membincangkannya.

Namun begitu, bagi pakar dan pengamal undang-undang yang lebih memahami realiti perundangan serta Perlembagaan Malaysia berpandangan bahawa terdapat banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum menyimpulkan sama ada hudud dapat laksanakan di Malaysia atau tidak. Ini kerana, hudud hanya akan dapat dilaksanakan jika ia menepati kerangka perundangan dan Perlembagaan Malaysia. Selain itu, perlembagaan harus difahami secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor aspirasi penggubal perlembagaan, pentakrifan, pentafsiran dan banyak faktor perundangan yang lain.

Pertembungan antara agenda politik dengan realiti sebenar kerangka perundangan dan perlembagaan Malaysia akhirnya menimbulkan bermacam-macam kekeliruan terhadap hudud, sama ada daripada segi bagaimana pelaksanaannya, apakah kes jenayah yang terkandung dalam hudud boleh dilaksanakan kesemuanya oleh mahkamah syariah dan lain-lain lagi. Bagi merungkai bagaimana boleh terjadi perbezaan jurang antara aspirasi politik dan realiti perundangan untuk pelaksanaan hudud di Malaysia sehingga menimbulkan polemik, maka tidak boleh tidak sistem pemerintahan dan juga kerangka perundangan Malaysia harus diteliti secara keseluruhannya.

Hudud Dalam Undang-Undang Dan Perlembagaan Persekutuan

Berdasarkan kerangka undang-undang dan Perlembagaan Malaysia, hukum hudud seperti potong tangan, rejam dan qisas tidak boleh dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah kerana ia berada diluar bidang kuasa Dewan Undangan Negeri. Oleh itu, jika usaha untuk memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 berjaya dilakukan, maka hanya kesalahan yang berkaitan dengan zina Ghairu Muhsan (pasangan belum berkahwin), menuduh zina, minum arak dan murtad yang terpakai ke atas orang Islam sahaja yang memiliki ruang untuk diperbincangkan dengan lebih lanjut mengenai proses pelaksanaannya. Begitu juga dengan qisas dan takzir, ia hanya boleh merangkumi kesalahan yang tidak termasuk dalam kategori kesalahan dibawah undang-undang jenayah menurut definisi Perlembagaan Persekutuan. Dengan kata lain kesalahan seperti membunuh, merogol, meliwat dan rasuah tidak boleh dimasukkan ke dalam hukum qisas atau takzir kerana kesalahan tersebut merupakan kesalahan dibawah undang-undang jenayah menurut definisi Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun tiada kandungan dalam Perlembagaan Malaysia yang menafikan secara jelas hak orang Islam untuk melaksanakan hudud, namun Perlembagaan Malaysia juga tidak memberikan ruang secara jelas bahawa hudud dapat dilaksanakan di Malaysia. Akhirnya seperti yang sedang berlaku ketika ini, isu pelaksanaan hudud masih lagi berkisar dalam falsafah undang-undang dan perlembagaan negara. Situasi ini sebenarnya bukan satu perkara yang menghairankan, memandangkan undang-undang dan Perlembagaan Malaysia dirangka oleh Suruhanjaya Reid, sebuah suruhanjaya yang dibentuk oleh penjajah British bagi merangka perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi yang mesti dilaksanakan selepas Tanah Melayu merdeka daripada penjajahan Brtitish.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa upaya untuk memperkasakan kuasa Mahkamah Syariah ini, tidak akan melibatkan golongan Non-Muslim kerana Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa untuk menyelesaikan persengketaan jenayah yang melibatkan mereka, namun mereka begitu gencar untuk menyerang usul persendirian ini. Namun adakah pandangan ini sesuai dengan tuntutan syariah berkenaan dengan pelaksanaan hudud ini? Kami ingin mengajak pembaca sekalian untuk merujuk kepada Islam tentang polemik ini, berkaitan dengan dua persoalan asas – siapakah yang akan dikenakan hukuman hudud dan siapakah yang mempunyai autoriti untuk menjalankan hukuman hudud?

Persoalan Pertama : Adakah Hudud Terkena ke atas Orang Bukan Islam?

Berasaskan kajian daripada ulama muktabar, adalah jelas bahawa jumhur ulama bersepakat bahawa hukum hudud ini terkena kepada kaum Muslimin, Ahli Zimmi (bukan Islam yang menetap dalam Negara Islam) dan Musta’man (warga negara luar yang mendapat jaminan keselamatan ketika berada di dalam Negara Islam). Ini kerana ketundukan mereka kepada Islam dan keredaan mereka untuk menerima hukum Islam. Ini adalah berdasarkan kaedah Al-Kuffar Mukhatabun bil Furu’ iaitu orang kafir itu terkena dengan hukum cabang dalam Islam iaitu hukum syarak.

Kaedah ini dipegang oleh jumhur ulama bahawa mereka terikat kepada hukum-hakam Islam, seperti solat, puasa, ibadat haji dan sebagainya. Ini merupakan pandangan ulama seperti Imam Ghazali [Al-Mustashfa I/91] dan gurunya Imam Al-Juwaini, Ibnu Taimiyyah, Imam Nawawi, Imam Syarkhasi dan lain-lain Imam Mazhab. Namun begitu, terdapat perbezaan pandangan di dalamnya sehingga penerapan kaedah ini membawa natijah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Syarkhasi bahawa “Orang kafir tidak dipaksakan dalam perkara ibadah, tetapi terkena dalam perkara muamalah dan hukuman dunia”.

Oleh sebab ada pihak yang menggunakan hujah bahawa hudud tidak terkena kepada orang kafir sesuai dengan Mazhab Maliki, maka di sini kami bentangkan beberapa pandangan sebenar daripada mazhab ini. Imam Malik bila ditanya apakah beliau akan memotong tangan seorang pencuri berstatus Zimmi, Imam Malik menjawab “…benar, tangannya akan dipotong” [Mudawwanatul Kubra 4/414]. Ini adalah kerana pemotongan tangan sebagai hukuman ke atas perbuatan mencuri adalah sebuah taklif, maka akan dipotong tangan orang merdeka, hamba, Zimmi dan Muahad [Al-Taj waal-Iklil, 6/312]. Al-Dusuki juga berkata bahawa “tangan si pencuri akan dipotong, yakni tangan seorang mukalaf yang mencuri tanpa mengira sama ada dia merupakan seorang Muslim atau kafir, bebas atau merdeka, lelaki atau perempuan” [HasyiyahAd- Dusuki, 4/332].

Sebenarnya banyak lagi pandangan ulama muktabar yang selari dengan pendapat bahawa orang kafir wajib dikenakan hukuman hudud namun tidak dapat kami muatkan dalam ruangan yang terbatas ini. Antaranya ialah Imam Bukhari telah membuka satu bab yang berjudul ; “Hukum-hakam Ahli Zimmi dan sifat muhsan mereka, apabila berzina dan kes ini di bawa kepada Imam” dalam menjelaskan kewajipan kafir Zimmi yang terikat dengan hukum syarak. Hizbut Tahrir memegang pandangan yang sama iaitu orang kafir terikat dengan hukum-hakam uqubat dan muamalat dalam Islam dan hal ini dinyatakan di dalam kitab Muqaddimah Dustur (I/28-29), Daulah Islamiyyah (hal.141) dan Mafahim li Hizbut Tahrir (hal.53), sebagaimana pandangan jumhur ulama, iaitu hudud terkena kepada Ahli Zimmi.

Persoalan Kedua : Siapakah yang akan melaksanakan Hudud?

Dalil berkenaan hudud juga ditunjukkan oleh nas secara mujmal (global). Antaranya adalah firman Allah SWT tentang hukum sebat bagi penzina [TMQ an-Nur (24):2], hukum potong tangan bagi pencuri [TMQ al-Maidah (5):38] dan hukum sebat bagi mereka yang menuduh wanita berzina tanpa empat orang saksi [TMQ an-Nur (24):4]. Hukuman hudud yang lain pula adalah berdasarkan hadis Nabi SAW :

Siapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia[HR al- Bukhari].

Ambillah daripada ku, ambillah daripada ku. Sungguh, Allah telah menjadikan untuk mereka jalan: gadis dengan jejaka seratus kali sebatan dan pengasingan satu tahun; janda dengan duda disebat seratus kali sebatan dan rejam[HR Muslim].

Siapa yang meminum khamar, sebatlah dia[HR at-Tirmidzi].

Dalil di atas adalah dalil mujmal (global) yang mewajibkan pelaksanaan ‘uqubat (hukuman) hudud. Meskipun dalil tersebut tidak menjelaskan siapa yang mempunyai autoriti untuk melaksanakan hukum hudud dan bagaimana cara melaksanakannya, terdapat berbagai-bagai dalil lain dan kaedah usul yang menjelaskannya.

Ijmak Sahabat RA pada zaman Khulafa’ ar-Rasyidin juga telah menunjukkan dengan jelas, bahawa ‘uqubat dilaksanakan oleh pemerintah dengan tatacara yang telah dijelaskan dalam pelbagai nas syarak. Di antara nas yang menjelaskan dalil mujmal di atas adalah firman Allah SWT:

Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang telah diturunkan Allah, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka, dan berhati-hatilah terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian wahyu yang telah diturunkan Allah kepadamu[TMQ al-Maidah (5):49].

Ayat ini menjelaskan bahawa Rasulullah SAW ialah pihak yang diberi taklif (kewajiban) untuk melaksanakan hukum yang diturunkan oleh Allah SWT. Seruan kepada Rasulullah SAW dalam memutuskan perkara (hukum) juga merupakan seruan kepada setiap pemerintah. Ini berdasarkan kaedah usul yang menyatakan bahawa seruan kepada Rasulullah juga merupakan seruan untuk umatnya. Dalam masalah pemerintahan, seruan itu berlaku untuk para khalifah setelah baginda selama tidak ada dalil yang mengkhususkannya.

Hadis Rasulullah SAW juga menjelaskan bahawa pelaku dosa yang wajib dikenakan hukuman telah dihadapkan kepada Rasulullah SAW untuk dihakimi. Imam Muslim telah mengeluarkan hadis dari Anas bin Malik:

Kepada Nabi SAW pernah didatangkan seorang laki-laki yang telah minum khamar lalu beliau menyebatnya dengan dua buah tongkat sekitar empat puluh kali. Anas bin Malik berkata, ‘Itu juga dilakukan oleh Abu Bakar.’ Ketika Umar meminta pendapat daripada masyarakat, Abdurrahman berkata: ‘hudud (peminum khamar) yang paling ringan adalah lapan puluh kali’. Lalu Umar memerintahkan hal itu[HR Muslim].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Hudud adalah sebahagian daripada hukum Allah SWT yang wajib dilaksanakan sebagai undang-undang negara yang terkena kepada semua manusia, orang Islam mahupun orang bukan Islam. Kepada kaum Muslimin berhentilah “mempolitikkan” dan mempermainkan hukum Allah ini. Marilah kita bergerak bersama-sama menolak diayah kaum kuffar yang menghina hudud, dan menerapkannya dalam masyarakat, serentak dengan penerapan undang-undang serta sistem Islam yang lain. Sayang, apabila hukum Allah SWT ini diperjuangkan mengikut lunas demokrasi dan perlu tunduk kepada kehendak Perlembagaan Persekutuan maka timbullah pelbagai polemik seperti yang berlaku hari ini. Kesannya, hukum Allah SWT perlu dibahaskan dan ‘restu’ perlu diperoleh daripada manusia jika ia ingin dilaksanakan! Sedarlah wahai umat Islam, insaf dan muhasabahlah diri kita bahawa hukum hudud dan hukum Islam yang lainnya tidak akan dapat dilaksanakan secara sempurna dalam sistem ciptaan manusia. Hukum Allah SWT hanya akan dapat dilaksanakan secara sempurna sekiranya ia dilaksanakan di bawah payung pemerintahan Islam iaitu Daulah Khilafah Islamiyah.