SN481 – Hijrah : Keluar Dari Dar Al-Kufr Menuju Dar Al-Islam (Bahagian 1)

PDF

SN Keluaran 13 Oktober 2016

[SN481] Sedar atau tidak, kita sudah pun memasuki tahun baru 1438 Hijriyyah, yang sekaligus bermaksud sudah 1438 tahun peristiwa Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah dari Makkah menuju Madinah itu berlalu. Namun, peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukanlah sebuah peristiwa yang boleh ditinggalkan begitu sahaja. Ini kerana hijrah Rasulullah SAW bukan sahaja mengandungi seribu satu teladan yang wajib dihayati oleh umat Islam, malah ia mengandungi hukum-hakam yang wajib diikuti oleh umatnya.

Ada juga sebahagian daripada umat Islam yang tidak habis-habis mengambil makna hijrah hanya dalam konteks lughah (bahasa) semata-mata yakni “perpindahan” atau “perubahan”, bukan mengambil maknanya dalam konteks yang syarie. Sesungguhnya tidak ada makna syarie lain bagi hijrah kecuali bermaksud “keluar dari Dar al-Kufr (Negara Kufur) menuju Dar al-Islam (Negara Islam)”. Inilah makna hijrah yang sebenar yang wajib diambil dan direalisasikan oleh umat Islam, kerana hijrah bukan berkonotasi sejarah atau peristiwa semata-mata, tetapi ada hukum yang wajib diambil dan dilaksanakan di sebaliknya.

Definisi hijrah di atas (keluar dari Dar al-Kufr menuju Dar al-Islam) diambil daripada realiti yang berlaku ke atas Rasulullah SAW dalam peristiwa agung tersebut dan realiti Makkah dan Madinah pada waktu itu. Sebelum hijrah, Makkah dan seluruh dunia semuanya merupakan Dar al-Kufr. Setelah Rasulullah SAW dan para sahabatnya berhijrah ke Madinah dan menegakkan Daulah Islamiyyah di sana, maka barulah wujudnya Dar al-Islam yang pertama di dunia. Adapun Makkah dan negeri-negeri di sekitarnya tetap berstatus Dar al-Kufr.

Berdasarkan kedua realiti yang bertentangan inilah, beserta dengan nas-nas yang syarie, kita akan dapat memahami dan mengistinbat (menggali) syarat dan ciri-ciri Dar al-Islam dan Dar al-Kufr. Di Makkah saat itu, hukum-hakam Islam tidak diterapkan dalam konteks negara dan masyarakat, meskipun di sana telah tampak sebahagian syiar Islam seperti solat yang dikerjakan oleh kaum Muslimin yang masih tinggal di sana, itu pun dalam keadaan ditekan oleh orang-orang kafir dan penguasa Makkah.

Di sisi lain, kaum Muslimin yang ada di Makkah tidak mampu menjamin keamanannya secara mandiri; mereka hidup di bawah jaminan keamanan kaum kafir. Realiti ini menunjukkan kepada kita, bahawa tidak wujud penerapan hukum-hukum Islam di Makkah dan jaminan keamanan atas penduduknya berada di tangan orang kafir. Atas dasar itulah, Makkah disebut sebagai Dar al-Kufr. Realiti ini berbeza dengan Madinah (setelah hijrah). Di Madinah, hukum-hakam Islam diterapkan dan tampak dengan jelas penerapannya, dan jaminan keamanan dalam dan luar negeri berada di tangan kaum Muslimin.

Definisi Negara Islam dan Negara Kufur

Berdasarkan nas yang jelas, Hizbut Tahrir telah meletakkan definisi Negara Islam dan Negara Kufur di dalam kitab al-Syakhsiyyah al-Islamiyyah Jilid II dan juga Muqaddimah al-Dustur Au al-Asbab al-Mujibah Lahu seperti berikut: “Dar al-Islam (Negara Islam) adalah negara yang di dalamnya diterapkan hukum-hakam Islam dan keamanan negara tersebut berada di bawah keamanan Islam. Dar al-Kufr (Negara Kufur) adalah negara yang di dalamnya diterapkan hukum-hukum kufur dan keamanan negara tersebut berada di bawah keamanan selain Islam”. Berdasarkan definisi ini, sesebuah negara itu sah disebut sebagai Negara Islam apabila telah memenuhi dua syarat: (1) Hukum-hakam (undang-undang) yang diterapkan di negara tersebut adalah hukum Islam; (2) Keamanan/keselamatan di negara tersebut dikendalikan dan dipimpin sepenuhnya oleh kaum Muslimin. Untuk tujuan perbincangan kali ini, kita akan merujuk kepada perbincangan mengenai Dar al-Islam dan Dar al-Kufr yang terdapat dalam kitab Muqaddimah al-Dustur Au al-Asbab al-Mujibah Lahu di mana Hizbut Tahrir telah menjelaskan seperti berikut:

Dalam riwayat Ali RA daripada Ibn Asakir, dengan sanad hasan sahih, dan dalam riwayat Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda kepadaku,

“Semoga Allah merahmati Abu Bakar, beliau mengahwinkan anaknya kepadaku dan membawaku ke Dar al-Hijrah (Madinah).”

Dalam riwayat Ibn Abbas oleh Daruqutni, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda,

“Jika seseorang hamba meninggalkan Dar al-Syirk (Dar al-Kufr) sebelum tuannya, maka dia bebas (merdeka), tetapi jika ia meninggalkan Dar al-Syirk selepas tuannya, maka dia hendaklah dikembalikan kepada tuannya. Jika seorang wanita meninggalkan Dar al-Syirk sebelum suaminya, maka dia boleh mengahwini siapa sahaja yang dia mahu, (tetapi) jika dia meninggalkan Dar-al-Syirk selepas suaminya, maka dia hendaklah dikembalikan kepada suaminya.”

Berdasarkan hadis di atas dan banyak lagi hadis lainnya, syarak telah menyandarkan istilah “dar” kepada dua yakni kepada “Islam” dan kepada “Syirk (Kufur)”. Dalam riwayat Thabrani, daripada Salima bin Nufail dalam Musnad al-Syamiyin, disebutkan,

“Pusat Dar al-Islam ialah Syam.”

Lafaz “dar” di sini disandarkan kepada “Islam”. Al-Mawardi menyebut dalam al-Ahkam al-Sulthaniyyah dan dalam al-Hawi al-Kabir bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Semua hal yang ada di dalam Dar al-Islam adalah terhalang (terpelihara), sedangkan semua hal yang ada di dalam Dar al-Syirk adalah dihalalkan”

yakni hukum-hakam berkenaan kesucian darah dan harta di Dar al-Islam dan Dar al-Syirk, semuanya telah ditetapkan dan tidak boleh diberlakukan sesuka hati, kecuali dengan hak, sesuai dengan tuntutan syarak.

Pembahagian negara kepada dua kategori (Dar al-Islam dan Dar al-Kufr) ini merangkumi semua negara di dunia. Jadi, tidak ada satu negara pun di dunia ini yang terkeluar daripada dua kategori tersebut. Sesebuah dar (negara) akan menjadi Dar al-slam apabila memenuhi dua syarat:

Pertama: Keamanan/keselamatannya berada di tangan kaum Muslimin. Hal ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada para sahabat di Makkah,

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah menjadikan untuk kamu saudara-saudara dan dar (negara) yang kamu akan aman di dalamnya.”

Negara yang dimaksudkan itu ialah Dar al-Hijrah, yang disebut dalam riwayat Ali dari Ibn Asakir dan dalam riwayat Aishah dalam Sahih al-Bukhari, di mana Rasulullah SAW bersabda,

“Aku telah diperlihatkan Dar al-Hijrah (negara hijrah) kalian”.

Dalil ini (keamanan di tangan Muslim) juga adalah berdasarkan tindakan Rasulullah SAW dan para sahabat yang ternyata tidak berhijrah ke Madinah sehinggalah baginda yakin adanya perlindungan dan keselamatan tersebut. Al-Hafiz menyebut dalam kitabnya al-Fateh yang diriwayatkan melalui satu sanad yang panjang daripada al-Sha’bi dan al-Thabrani yang bersambung daripada riwayat Abu Musa al-Ansari yang berkata,

“Rasulullah SAW berangkat bersama bapa saudaranya, Abbas untuk menemui tujuh puluh orang Ansar di al-‘Aqabah, dan Abu Umamah (yakni Asad bin Zurarah) berkata kepada baginda, ‘Wahai Muhammad, mintalah untuk Allah dan untuk dirimu apa pun yang engkau mahukan’. Kemudian dia (Rasulullah SAW) memberitahukan apa ganjaran yang kita akan perolehi. Dia mengatakan, ‘Aku meminta (daripada) kalian untuk Tuhanku, untuk menyembahNya dan tidak menyekutukanNya dengan apa pun, dan aku meminta (daripada) kalian untuk diriku sendiri dan sahabat-sahabatku, agar kalian membantu kami, memberikan nusrah (pertolongan) dan melindungi kami sebagaimana kalian melindungi diri-diri kalian. Mereka berkata, ‘Apa bahagian kami (jika kami memenuhinya)?’ Rasulullah menjawab, ‘syurga’. Mereka lalu berkata, ‘Apa yang engkau minta adalah milikmu’”.

Dalil yang sama dapat dilihat berdasarkan hadis sahih riwayat Ahmad daripada Ka’ab bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Aku membai’at kalian agar kalian melindungiku seperti kalian melindungi isteri-isteri dan anak-anak kalian.’ Lalu al-Barra’ bin Ma’rur menghulurkan tangannya untuk membai’at baginda seraya berkata, ‘Demi Dzat yang mengutusmu dengan kebenaran, kami akan pasti melindungimu sebagaimana kami melindungi orang-orang kami, jadi berilah bai’atmu, wahai Rasulullah. Kami adalah ahli perang dan persenjataan. Kami mewarisinya dari satu generasi ke satu generasi.”

Manakala dalam hadis sahih riwayat Ahmad daripada Jabir, Rasulullah SAW bersabda semasa Baiah Aqabah, disebutkan,

“…dan kalian memberiku nusrah (pertolongan) serta melindungiku sebagaimana kalian melindungi diri-diri kalian, isteri-isteri dan anak-anak kalian, tatkala aku sampai (hijrah) di tempat kalian dan bagi kalian (jika berbuat demikian) adalah syurga…”.

Manakala dalam kitab Dala’il al-Nabuwa oleh al-Baihaqi, dengan sanad yang kuat dan baik daripada ‘Ubadah bin Samit, ia berkata,

“dan untuk memberi nusrah (pertolongan) kepada Rasulullah SAW, apabila baginda sampai kepada kami di Yatsrib (Madinah), sebagaimana kami melindungi isteri-isteri dan anak-anak kami dan bagi kami (jika berbuat demikian) adalah syurga…”

Rasulullah SAW menolak untuk berhijrah ke mana-mana tempat yang tidak ada jaminan keselamatan, kuasa dan perlindungan. Al-Baihaqi meriwayatkan melalui sanad yang hasan daripada Ali, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada bani Syaiban bin Tsa’labah,

“Kalian tidak menjawab dengan buruk kerana kalian berkata benar, tetapi Deen Allah tidak akan ditolong, kecuali oleh orang yang ingin menolongnya dari segenap arah”.

Hal ini diucapkan oleh Rasulullah SAW setelah bani tersebut sanggup menolong Rasulullah SAW daripada (ancaman) orang-orang Arab, tetapi tidak daripada orang-orang Parsi.

Kedua: Penerapan hukum-hukum Islam (secara kaffah). Dalil berkenaan perkara ini boleh dilihat dalam hadis riwayat al-Bukhari daripada Ubadah bin Samit, ia berkata,

“Nabi SAW memanggil kami lalu kami membai’at baginda untuk mendengarkan dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan yang kami senangi ataupun tidak, dalam keadaan sulit ataupun lapang, serta dalam hal tidak mendahulukan urusan kami, juga agar kami tidak merebut kekuasaan daripada seorang pemimpin, kecuali (sabda baginda), ‘Kalau kalian melihat kufran bawaahan (kekufuran yang nyata) yang dapat dibuktikan berdasarkan keterangan dari Allah”.

Mendengar dan mentaati Rasulullah SAW bermaksud dalam perkara-perkara yang diperintah dan dilarang baginda. Dengan kata lain dalam perkara-perkara hukum dan pelaksanaannya.

Dalil lain adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Ahmad, Ibnu Hibban dalam kitab Sahihnya dan Abu Ubaid dalam kitab al-Amwal, daripada Abdullah bin Amr, daripada Rasulullah SAW,

“Dan hijrah itu ada dua. Hijrahnya orang kota dan orang badwi. Adapun hijrahnya orang badwi adalah memenuhi seruan (perang dan jihad) jika dipanggil dan taat jika diperintahkan. Adapun hijrahnya orang kota adalah yang paling besar ujiannya dan paling besar pahalanya”.

Ucapan Rasulullah “memenuhi seruan (perang dan jihad) jika dipanggil dan taat jika diperintahkan” merupakan kesimpulan yang jelas (akan kewajipan mematuhi hukum Islam), kerana kawasan padang pasir (tempat tinggal badwi) juga adalah sebahagian daripada Negara Islam, biarpun ia tidak menjadi tempat hijrah. Begitu juga dengan dalil riwayat Watsilah bin al-Asqa’ dalam hadis al-Thabrani di mana al-Haitsami berkata, melalui sanad yang tsiqah semuanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya,

“Hijrah orang-orang badwi adalah dengan engkau kembali ke tempatmu, dan engkau mesti dengar dan taat di masa sulit atau lapang, suka atau tidak dan tidak mendahului urusanmu”.

Begitu juga dalil riwayat Ahmad dengan sanad yang sahih daripada Anas,

“Aku mengikuti beberapa orang pemuda yang berkata bahawa Muhammad telah tiba. Aku mengikuti mereka tetapi tidak nampak apa-apa. Kemudian mereka berkata…’Muhammad telah tiba’. Aku mengikuti lagi tetapi tidak nampak apa-apa. Aku tetap mengikuti sehinggalah mereka berkata, ‘Muhammad dan sahabatnya, Abu Bakar telah tiba’. Ketika itu kami berada di kawasan hirar (berpasir dan berbatu) Madinah. Kemudian seorang lelaki di Madinah diutus untuk memberitahu kaum Ansar (tentang ketibaan Muhammad dan Abu Bakar). Lalu bergeraklah lebih kurang lima ratus kaum Ansar kepada Rasulullah dan Abu Bakar sehingga mereka menghampiri keduanya. Mereka berkata, ‘Majulah kalian berdua dengan aman dan kami sedia mentaati’. Rasulullah SAW dan sahabatnya (Abu Bakar) menerimanya, lalu berjalan di tengah-tengah mereka. Maka keluarlah penduduk Madinah, termasuklah kaum wanita yang meninjau dari rumah-rumah mereka sambil tertanya-tanya, ‘siapakah itu, siapakah itu.’”

Riwayat ini menjadi dalil kepada kedua-dua syarat iaitu keamanan dan pelaksanaan hukum. Berhubung dengan keamanan/keselamatan, hal ini terbukti dengan kehadiran lima ratus orang Ansar yang berkata kepada Rasulullah, “majulah dengan aman” dan Rasulullah SAW menerimanya. Dalam masa yang sama, Rasulullah SAW menerima mereka apabila berkata bahawa “kami sedia mentaati”. Jadi, keamanan dan kepatuhan (kepada pelaksanaan hukum Islam) mestilah dipenuhi di Dar al-Hijrah, kerana sekiranya ia tidak dipenuhi, Rasulullah SAW tidak melakukan hijrah.

Pemenuhan dua syarat ini, keamanan dan kepatuhan kepada pelaksanaan hukum Islam, merupakan baiah yang diberikan oleh kaum Ansar di al-Aqabah. Al-Baihaqi meriwayatkan melalui sanad yang kuat daripada ‘Ubadah bin Samit yang berkata,

“…Kami telah berbaiah kepada Rasulullah SAW untuk mendengar dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan sulit mahupun lapang, dalam keadaan kami senangi mahupun tidak dan untuk menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, dan untuk berkata benar serta tidak takut -kerana Allah- akan celaan daripada orang-orang yang mencela, dan bahawa kami menolong dan melindungi Rasulullah SAW, apabila baginda sampai kepada kami di Yatsrib (Madinah), sebagaimana kami melindungi isteri-isteri dan anak-anak kami dan bagi kami (jika berbuat demikian) adalah syurga’. Inilah baiah yang kami berikan kepada Rasulullah SAW.”

Soal kepatuhan (kepada penerapan hukum Islam) adalah jelas dalam ungkapan

“Kami telah berbaiah kepada Rasulullah SAW untuk mendengar dan mentaati”, manakala soal keamanan mesti berada di tangan orang-orang Islam adalah jelas dalam ungkapan “dan bahawa kami menolong dan melindungi Rasulullah SAW, apabila baginda sampai kepada kami di Yatsrib (Madinah), sebagaimana kami melindungi isteri-isteri dan anak-anak kami.”

Bersambung…