SN513 – Minyak Hak Siapa?

PDF

SN Keluaran 5 Rabi’ul Awal 1439H/24 November 2017

SN513 - Minyak Hak Siapa?

[SN513] Melalui mekanisme pengapungan terkawal yang dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, harga petrol dan diesel telah dinaikkan dengan kadar yang agak tinggi dalam beberapa minggu berturut-berturut sehingga diumumkan penurunan harga pada minggu ini. Sudah tentu setiap kali kenaikan harga minyak akan menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang daripada rakyat. Namun, Perdana Menteri Najib Razak menjustifikasikan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan turun naiknya harga minyak. Beliau mengatakan, bagaimana mungkin Malaysia boleh menetapkan harga minyak dengan hanya pengeluaran sebanyak 600,000 tong sehari sedangkan Arab Saudi yang mengeluarkan 10 juta tong sehari pun tidak boleh mengawal harga minyak!

Kata-kata Najib tersebut ada benarnya jika dilihat dari aspek penentuan harga minyak. Namun begitu, setiap kali isu kenaikan atau penurunan harga minyak ini dibincangkan, rakyat khususnya umat Islam, kerap terlepas pandang perkara asas yang sepatutnya dipersoalkan. Soalan asas yang seharusnya ditanya ialah “siapakah sebenarnya yang memiliki galian minyak yang melimpah dalam dunia hari ini, terutama dalam dunia umat Islam?”.

Terdapat dua jawapan kepada persoalan ini. Jawapan yang pertama datang daripada pemikiran kapitalisme yang mendominasi kehidupan kita hari ini. Bagi sistem kapitalisme yang menekankan kebebasan dalam memiliki sesuatu, minyak boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja dengan syarat memiliki dana dan kepakaran untuk menggalinya. Hal inilah yang sedang berlaku dalam dunia ketika ini apabila khazanah galian minyak dikaut sepenuhnya oleh para individu, konglomerat dan syarikat besar. Pendapatan 10 syarikat pengeluar minyak utama di dunia, antaranya Saudi Aramco, Petro China, Shell dan Exxon Mobil, melebihi USD 3000 billion pada tahun 2015.

Oleh sebab minyak merupakan bahan galian yang amat penting, maka Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) tidak akan sekali-kali membiarkan harga minyak dikawal dan ditentukan oleh negara-negara umat Islam sebagai pengeluar minyak utama dunia. Barat akan memastikan kawalan harga minyak tetap berada di tangan mereka. Penggunaan dolar AS dalam urusniaga minyak sebagai contoh, menjadikan harga minyak terikat dengan nilai dolar. Tidak cukup dengan itu, AS juga menggunakan kekuatan tentera dan pengaruh politik mereka untuk memastikan minyak sentiasa dalam genggaman mereka.

Sedangkan jawapan kedua pula datang daripada Islam, bahawa minyak merupakan milik umum yang seharusnya dikelolakan oleh negara lalu manfaatnya dikembalikan kepada rakyat. Inilah topik perbincangan yang harus kita fahami. Umat Islam seharusnya sedar bahawa minyak, bahkan segala galian yang dikeluarkan dari perut bumi dalam jumlah yang banyak merupakan milik umum. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Manusia berkongsi dalam tiga perkara, iaitu air, padang ragut dan (bahan) api.” [HR Imam Ahmad dan Abu Dawud]

Milik umum bermaksud segala manfaat yang diperoleh daripada galian ini adalah untuk kegunaan rakyat semata-mata. Walau bagaimanapun, apa yang kita perhatikan dalam dunia umat Islam hari ini merupakan sesuatu yang tidak masuk akal. Kemiskinan dan kehinaan yang menimpa kaum muslimin hari ini langsung tidak menggambarkan kekayaan negeri-negeri umat Islam hari ini. Sekiranya Islam benar-benar diterapkan di negeri kaum muslimin, sudah tentu perkara ini tidak akan berlaku. Namun, suatu perkara yang amat menyedihkan apabila kapitalisme diterapkan di kesemua negeri kaum muslimin, sedangkan Islam sebagai Deen yang dikurniakan oleh Sang Pencipta Alam diketepikan. Akibatnya, minyak tidak dilihat sebagai milik umat malah direbut dengan gelojohnya oleh konglomerat minyak dunia dan penetapan harga minyak akan terus berada dalam genggaman Barat, khususnya AS. Sedangkan Malaysia pula sebagai sebuah negara umat Islam yang menerapkan sistem kapitalisme akan terus tersepit dengan cengkaman Barat ke atas khazanah pemberian Allah SWT ini.

Minyak Hak Rakyat

Di sinilah pentingnya bagi rakyat terutama umat Islam menyedari bahawa hak yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka, iaitu hak untuk mendapat manfaat daripada bahan milik umum ini. Kita sendiri merasai dan dan mendengar pelbagai keluhan daripada rakyat jelata mengenai peningkatan kos sara hidup, termasuklah meningkatnya harga minyak. Kita juga ‘dihidangkan’ dengan bermacam-macam kisah keperitan hidup rakyat yang tidak mampu menampung keperluan asas untuk hidup atau tidak mampu membayar kos keperluan asasi masyarakat seperti pendidikan dan kesihatan, malah ada juga yang terpaksa menanggung hutang yang besar untuk terus hidup. Meskipun ada yang berhujah bahawa dengan pengurusan ekonomi yang baik dalam kerangka sistem kapitalisme ini nasib rakyat kononnya boleh diubah, realitinya apabila sistem ini dibongkar, hanya kezaliman demi kezaliman yang akan termanifestasi.

Pengurusan Minyak Memerlukan Perubahan Sistem

Hakikatnya, realiti ini akan terus berlaku tidak kira siapa juga yang memerintah negara baik parti pemerintah mahupun parti pembangkang selagi mana sistem kapitalisme terus diterapkan. Rakyat yang seharusnya dikurniakan segala manfaat daripada khazanah minyak nampaknya terus diketepikan. Dalam Islam, manfaat yang diperoleh daripada harta milik umum ini akan digunakan semata-mata untuk menampung keperluan rakyat.

Sebagai salah satu masukan perbelanjaan untuk rakyat, manfaat yang diperoleh daripada minyak milik umum ini akan digunakan untuk i) membantu rakyat miskin memenuhi keperluan asas mereka, ii) membayar gaji untuk kakitangan awam, iii) memastikan rakyat mendapat pelbagai keperluan masyarakat seperti jalanraya, air, bekalan elektrik, pendidikan, kesihatan serta pelbagai lagi keperluan lain yang berkualiti tinggi secara percuma atau dengan kos yang sangat minimum, iv) perbelanjaan kecemasan dan v) projek pembangunan. Selain itu, perbelanjaan untuk aspek ketenteraan negara juga akan di ambil daripada sumber ini. Semua perbelanjaan di atas merupakan jaminan daripada Islam atas keperluan asas rakyat.

Persoalan mungkin timbul apakah sumber daripada pemilikan umum ini mencukupi untuk menampung segala keperluan yang disebutkan tadi? Faktanya dari 30 negara utama pengeluar minyak, separuh darinya ialah negara umat Islam. Ruang yang tidak mencukupi dalam lembaran Sautun Nahdhah kali ini tidak memungkinkan perbincangan mendalam secara kuantitatif, namun cukup untuk memberikan gambaran bahawa penerapan sistem ekonomi Islam di bawah naungan Khilafah amat jauh berbeza daripada penerapan sistem ekonomi kapitalisme pada ketika ini.

Tatacara Sistem Ekonomi Islam Mengagihkan Kekayaan Alam

Dalam memastikan terwujudnya pengagihan kekayaan kepada manusia, Islam telah menggariskan empat kerangka asas iaitu :

1) Islam membenarkan pemilikan individu tetapi menentukan tatacara pemilikan yang betul. Sebagai pemilik, individu berhak mengelola hartanya tetapi terikat dengan tatacara pengelolaan.

2) Islam mengambil kira jurang kemampuan antara manusia baik dari segi fizikal dan mental. Oleh itu, Islam menetapkan agar mereka yang berkemampuan membantu golongan yang miskin dan memerlukan.

3) Islam menetapkan keperluan utiliti yang mendesak bagi manusia untuk memilikinya sebagai hak milik umum dan melarang mana-mana pihak untuk menguasainya.

4) Islam menetapkan tanggungjawab untuk mengagihkan kekayaan, baik komoditi dan perkhidmatan kepada negara.

[Syeikh Taqiyuddin An Nabhani, Kitab Sistem Ekonomi Islam, Bab Pengagihan Kekayaan di Kalangan Manusia]

Terkait langsung dengan perbincangan berkenaan minyak pada Sautun Nahdhah minggu ini adalah perkara 3 dan 4 di atas. Minyak merupakan keperluan utiliti yang mendesak diperlukan oleh manusia secara keseluruhan. Oleh itu, negara bertindak sebagai pengurus sumber alam ini untuk memastikan haknya dikembalikan kepada umat dengan cara yang sesuai. Malangnya para pemerintah dan pemikirnya tidak berfikir dengan kerangka ini kerana mereka telah dididik dengan sistem ekonomi kapitalisme yang mengajar idea kebebasan hak milik bagi golongan pemilik modal untuk menguasai petroleum dan sumber alam lainnya.

Oleh sebab itu, kami daripada Hizbut Tahrir berulang kali menyeru agar kita kembali kepada sistem Islam. Hanya dengan mengembalikan penerapan Islam secara kaffah (keseluruhan) di bawah payung Khilafah atas jalan kenabian sahaja hak ini akan dapat dikembalikan sepenuhnya. Ia bukanlah perkara yang utopia tetapi ia suatu yang praktikal dan merupakan penyelesai masalah. Semoga Allah SWT memberikan kemenangan kepada Islam dan umat Islam dalam mengembalikan DeenNya agar umat Islam benar-benar dapat merasai hidup di bawah rahmatNya!