SN549 – Hentikan Penghinaan Terhadap Islam!
Bil: SN549 – 24 Jamadilakhir 1440 / 1 Mac 2019
Isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW kembali mengotori senario tanah air ini dengan tindakan beberapa individu non-Muslim yang didakwa menyiarkan gambar dan memuat naik hantaran yang jelas menghina Nabi Muhammad SAW serta keluarga baginda di media sosial. Susulan itu, ratusan laporan polis telah dibuat sehingga membawa kepada perhimpunan bagi membantah dan mendesak agar tindakan yang tegas dikenakan terhadap pelaku perbuatan keji tersebut. Jika disabitkan kesalahan, sesungguhnya perbuatan biadap sebegini tidak lain merupakan manifestasi kebencian mereka sebagaimana firman Allah SWT; “…telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi..” [TMQ Ali Imran (3): 118].
Peristiwa penghinaan terhadap Rasulullah SAW ini bukanlah suatu perkara baru, bahkan sentiasa berulang di sepanjang zaman sejak hayat baginda junjungan Rasulullah SAW sehingga ke hari ini. Terdahulu, seorang suri rumah telah disabitkan kesalahan menghina Nabi SAW dan dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh [BH 15/12/2017].
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusuf yang dalam sebuah kenyataan mendesak agar suspek didakwa ‘mengikut akta tersedia ada agar perkara ini tidak berulang’. Mujahid turut menjelaskan bahawa kerajaan akan membentangkan akta khusus berhubung perkara yang melibatkan sensitiviti agama dalam sesi perbahasan Parlimen akan datang yang merupakan pindaan kepada Kanun Keseksaan bagi menangani masalah yang mencetuskan kebencian agama [Utusan 20/2/2019].
Sebagai seorang Muslim, sudah pasti kebiadapan sebegini akan mencetuskan kemarahan yang membuak-buak kerana Rasulullah SAW merupakan insan mulia yang disanjung dan dicintai jauh melebihi hatta diri kita sendiri. Dari Anas RA. katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya” [HR Bukhari dan Muslim].
Sentimen atau emosi adalah perkara yang penting dalam menggerakkan umat. Namun emosi atau sentimen ini akan terhenti apabila tidak ada faktor yang mencetuskannya. Emosi tanpa pemikiran dan peraturan yang jelas tidak akan mampu membawa perjuangan Islam yang benar. Hubungan antara pemikiran, perasaan dan peraturan perlu bergerak serentak dalam diri umat Islam jika ingin berjaya di dunia dan akhirat. Dalam isu penghinaan terhadap Nabi SAW, umat Islam disatukan dengan perasaan benci kepada pihak yang menghina Rasulullah, namun umat Islam belum disatukan dengan pemikiran dan peraturan yang benar apabila hanya menyeru pihak berkuasa melakukan siasatan, pesalah diadili dan dihukum dengan hukuman peruntukan hukuman yang sedia ada, persoalannya, dengan hukuman apa? Seharusnya umat Islam berfikir dengan cara yang Islami dengan kembali merujuk apakah pandangan Islam berkenaan perkara ini.
Sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia hakikatnya tidak patuh syariah dan merendahkan martabat al-Quran dan as-Sunah. Pastinya perlaksanaan hukuman Islam tidak dapat dijalankan, kerana yang diterapkan adalah hukuman sekular. Apakah ada dalam sistem sekular hari ini peruntukan bunuh untuk penghina Nabi Muhammad SAW? Sudah semestinya tidak. Umat Islam harus celik dan cakna dalam membuat penilaian bahawa yang menjadi masalah sebenar dalam sistem perundangan di Malaysia adalah bukan di pihak berkuasa atau hakim semata-mata, tetapi ianya merupakan kerosakan sistem dari akar umbi. Sesungguhya Allah SWT berfirman, “Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui” [TMQ. al-Jatsiyah: 18].
Hukuman Ke Atas Penghina Nabi SAW Menurut Syariat
Penelitian terhadap nas-nas syarak akan membawa kepada kesimpulan bahawa hukuman ke atas orang-orang yang mencela, merendahkan, memperolok-olok dan menghina Rasulullah SAW adalah hukuman mati. Ia diucapkan oleh Rasulullah SAW secara langsung dan bukannya pendapat (ijtihad) para fuqaha. Maka, hukumannya adalah pasti (qath’i) dan tidak berubah.
Ibnu Taimiyyah di dalam kitabnya ash-Sharim al-Maslul ‘ala Syatimi menukilkan pendapat Qadhi Iyadh tentang berbagai-bagai bentuk penghinaan terhadap Nabi SAW seperti berikut: Orang-orang yang menghina Rasulullah SAW adalah mereka yang mencela, mencari-cari kesalahan, menganggap pada diri Rasulullah SAW ada kekurangan, mencela nasab (keturunan) dan perlaksanaan agamanya, menjelek-jelekkan salah satu sifatnya yang mulia, menentang atau menyamakan beliau dengan orang lain dengan niat untuk mencela, menghina, mengecilkan, menjelek-jelek dan mencari-cari kesalahannya.
Manakala di dalam kitab Nailul Authar terdapat bab yang berjudul, “Membunuh orang yang menghina Nabi SAW dengan kata-kata yang nyata.” [Lihat asy-Syaukani, Nailul Authar jilid VII hlm 213-215]. Di dalamnya dinukilkan petikan dua hadis berikut:
“Ali bin Abi Thalib menuturkan bahawa ada seorang wanita Yahudi yang sering mencela dan menjelek-jelekkan Nabi SAW. Oleh kerana perbuatannya itu perempuan tersebut telah dicekik sampai mati oleh seorang lelaki. Ternyata Rasulullah SAW menghalalkan darahnya” [Hadis ini juga diriwayatkan oleh Abu Dawud].
“Abdullah bin Abbas berkata bahawa ada seorang lelaki buta yang isterinya selalu mencela dan menjelek-jelekkan Nabi SAW. Lelaki itu berusaha memperingatkan dan melarang isterinya agar tidak melakukan hal itu. Namun ia tetap melakukannya. Pada suatu malam isterinya mulai mencela dan menjelek-jelekkan Nabi SAW. Oleh kerana tidak tahan dengan isterinya, lelaki itu menikam isterinya sehingga mati. Keesokan harinya turunlah wahyu kepada Rasulullah SAW menjelaskan kejadian itu. Lalu Nabi SAW mengumpulkan kaum Muslimin seraya bersabda: “Dengan menyebut asma Allah, aku berharap orang yang melakukannya, yang tindakannya itu haq (benar), berdiri”. Kemudian (aku melihat) lelaki buta itu berdiri dan berjalan meraba-raba hingga tiba di hadapan Rasulullah SAW ia duduk dan berkata , “Wahai Rasulullah, akulah suami yang melakukannya. Aku lakukannya kerana dia selalu mencela dan menjelek-jelekkan dirimu. Aku telah berusaha melarang dan selalu mengingatkannya, namun ia tetap melakukannya. Dari wanita itu aku dikurniakan dua orang anak (yang cantik) bagai mutiara. Isteriku amat sayang kepadaku. Akan tetapi semalam dia kembali mencela dan menjelek-jelek dirimu. Sebab itu aku membunuhnya“. Mendengar penjelasan ini, Rasulullah SAW bersabda, “Saksikanlah bahawa darah wanita itu halal” [HR Abu Dawud dan an-Nasa’i]. Imam Asy-Syaukani mengatakan dalam Nailul Authar: Hadis Ibnu Abbas ini adalah dalil bahawa orang yang menghina Nabi SAW wajib dibunuh.
Sementara itu, Abu Bakar al-Farisi, salah seorang Imam dalam mazhab Syafie berkata dalam kitabnya Al-Ijma’ bahawa orang yang menghina Nabi SAW dengan penghinaan yang jelas adalah kafir berdasarkan Ijma’ para ulama. Jika ia bertaubat sekalipun, hukuman mati ke atasnya tetap tidak gugur, sebab hukuman atas penghinaannya itu adalah dibunuh, dan hukuman itu tidak gugur dengan taubatnya. Manakala jika orang yang menghina Nabi SAW itu adalah orang kafir mu’ahid (orang kafir yang terikat dengan perjanjian) dan kafir dzimmi (warga negara non-Muslim), maka Ibnu al-Qasim berkata daripada Malik: Orang kafir mu’ahid dan dzimmi yang menghina Nabi SAW, hukumannya ialah bunuh, kecuali jika dia masuk Islam. Ibn Mundzir berkata bahawa ini pendapat al-Laits, asy-Syafie, Ahmad, Ishaq dan lain-lain.
Adapun peristiwa tentang Nabi SAW yang tidak membunuh orang Yahudi ketika mereka mengatakan kepada Nabi SAW “As-saamu ‘alaika (kematian atasmu)”, kerana mereka melakukan hal tersebut tanpa ilmu dan tanpa sengaja. Dikatakan bahawa lidah mereka tidak dapat menyebut dengan betul, sehingga Nabi SAW tidak membunuh mereka. Walaupun kekufuran Yahudi itu lebih buruk, namun darah mereka terpelihara disebabkan perjanjian. Apabila dalam perjanjian tidak ada ketentuan bahawa mereka boleh menghina Nabi SAW, maka siapa sahaja daripada mereka atau selain mereka seperti kaum Nasrani yang menghina Nabi SAW, itu merupakan bentuk pelanggaran atas perjanjian, dan menjadikan perjanjiannya terbatal. Status mereka menjadi seperti orang kafir yang tidak ada perjanjian di mana wajib dijatuhkan hukuman bunuh.
Liberalisme Menyuburkan Penghinaan Atas Islam
Islam telah menggariskan tatacara bagi menangani kebiadapan para penghina Nabi SAW secara tegas, iaitu hukuman mati ke atas pelakunya. Manakala pihak yang sepatutnya melaksanakan, mengarahkan, atau mengizinkan hukuman bunuh ini adalah pemerintah, sekiranya hukum Islam benar-benar dijadikan rujukan dan bukan sekadar retorika atau slogan yang didendangkan saban waktu. Hukuman tersebut bersifat qatie, namun malangnya pada hari ini ia sudah tidak lagi dilaksanakan. Sebaliknya pihak yang memegang tampuk pemerintahan ini memilih untuk menjadikan hukum dan undang-undang yang bukan berasal daripada Islam (baca: kufur) sebagai sandaran dalam mengadili dan menghukum pelakunya.
Penghinaan boleh terjadi kerana dua faktor. Pertama: faktor kebodohan/ketidaktahuan akan perbuatan yang merupakan penghinaan; atau kerana faktor ingin meraih sesuatu manfaat hasil tindakannya. Kedua: faktor kedengkian yang mendominasi akal dan nurani sehingga melihat kemuliaan sebagai kehinaan dan kebenaran sebagai kejahatan.
Namun, dua faktor ini adalah manifestasi doktrin dan prinsip sekularisme yang memisahkan agama dengan urusan dunia, termasuk negara, yang telah menjadikan sendi-sendi kehidupan rakyat tidak diatur dengan Islam. Sekularisme menjadi asas bagi liberalisme yang wujud dalam kebebasan berperilaku (freedom of behavior) dan berpendapat (freedom of speech) sebagai alasan untuk melakukan penghinaan terhadap Islam. Akibatnya, makin suburlah pelbagai bentuk penghinaan terhadap Islam di negara ini. Penghinaan terhadap Islam sebenarnya hanyalah sebahagian daripada natijah penerapan sistem yang berlandaskan sekularisme. Bahkan sistem sekular merupakan ‘penghinaan’ yang lebih besar, yang melahirkan penghinaan-penghinaan lain.
Maka umat Islam sepatutnya bukan sekadar mendesak agar penghina Nabi SAW dihukum pada kadar segera semata-mata. Bahkan sepatutnya kita turut memberi peringatan tegas kepada pemerintah agar berhukum dengan hukum Allah SWT. Seandainya kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW, maka sepatutnya kita wajib memelihara kemuliaan baginda Rasulullah SAW dan menuntut agar hukuman yang ditetapkan syarak diterapkan terhadap para penghina Nabi SAW. Bahkan lebih daripada itu, umat ini hendaklah menterjemahkan kecintaan tersebut ke arah usaha untuk mengembalikan semula Islam kaffah dalam segenap aspek kehidupan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Salurkanlah semangat dan kecintaan yang mendalam terhadap Allah dan Rasul-Nya SAW ke jalan yang benar, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ke arah penerapan Islam secara kaffah dalam kehidupan. Penerapan hukum Islam secara menyeluruh dalam bingkai Khilafah Rasyidah.
Sesungguhnya, penghinaan terhadap Nabi SAW dan sebarang bentuk syiar Islam akan terus berulang selagi mana tiadanya institusi pemerintahan Islam iaitu Khilafah Islam yang akan melakukan pembelaan terhadap kemuliaan Rasulullah SAW dan Islam. Khilafah yang diterajui oleh kepimpinan seorang khalifah yang ikhlas, pasti tidak akan membiarkan kemuliaan Rasulullah SAW dicalarkan dengan penghinaan sedemikian rupa. Sejarah juga mencatatkan bagaimana Sultan Abdul Hamid ke-2 yang ketika itu menerajui Khilafah Uthmaniyyah telah mengancam akan melancarkan jihad ke atas Perancis dan British kerana ingin menganjurkan pementasan yang menghina Rasulullah SAW. Inilah antara ciri kepimpinan yang tegas dan benar-benar memanifestasikan kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya SAW. Semoga Allah membimbing kita semua.