SN552 – Statut Rom Menyerlahkan Hipokrasi Barat

Bil: SN552 – 13 Syaaban 1440 / 19 April 2019

SN552 - Statut Rom Menyerlahkan Hipokrasi Barat

Pelbagai polemik telah tercetus akibat tindakan kerajaan Malaysia menandatangani dan meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (SR) pada 4 Mac lalu. Tindakan tersebut menerima bantahan daripada segelintir pihak yang melihatnya sebagai suatu bentuk ancaman terhadap kedaulatan negara serta bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Akhirnya Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir memutuskan bahawa Malaysia menarik diri daripada menyertai SR “disebabkan kekeliruan yang dicetuskan oleh pihak tertentu” [Utusan, 5/4/2019]. Rata-rata respon pelbagai pihak terhadap isu ini berkisar mengenai kedudukan Raja-raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan. Namun bagaimana pula pandangan Islam dalam menanggapi persoalan kedudukan SR ini?

SR adalah sebuah triti antarabangsa yang membawa kepada penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Statut ini antara lain turut menjelaskan fungsi, bidang kuasa, dan struktur ICC. SR menggariskan empat teras jenayah antarabangsa iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang, dan jenayah pencerobohan. Statut ini membolehkan ICC membicarakan mana-mana individu yang melakukan jenayah-jenayah tersebut dengan syarat 1) jenayah tersebut terjadi di negara pihak (state party), 2) dilakukan oleh warga negara pihak, atau 3) jenayah tersebut dirujuk kepada Pendakwaraya oleh Majlis Keselamatan PBB.  Setakat Mac 2019, terdapat 124 buah negara telah meratifikasi SR dan menjadi negara anggota sebelum Malaysia menarik diri pada awal April lalu.

Semenjak berkuatkuasa pada 2002, sebanyak 44 individu telah didakwa di hadapan ICC, dan kesemua tertuduh berasal dari negara-negara benua Afrika. Statistik ini secara tidak langsung menunjukkan wujudnya kepincangan sistem keadilan yang cuba dibawa oleh ICC. ICC hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa individu-individu dari negara-negara anggota, manakala bagi individu yang berasal dari negara bukan anggota, ICC me­merlukan rujukan daripada Majlis Keselamatan PBB. Sudah semestinya ICC tidak akan mampu mengheret mana-mana individu yang dilindungi oleh kuasa-kuasa besar yang mempunyai kuasa veto  serta menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan PBB. Rusia dan China misalnya, pernah menggunakan kuasa veto untuk menyekat siasatan ter­hadap jenayah dalam konflik di Syria. Kedua-dua kuasa besar itu juga pernah menghalang draf resolusi PBB pada 2015 yang bertujuan untuk menubuhkan tribunal ad hoc bagi mengendalikan kes penembakan jatuh pesawat MH17.

Manakala Amerika Syarikat (AS) pula mempunyai akta khusus berhubung ICC yang memberi kuasa kepada Presiden AS untuk menggunakan apa sahaja pendekatan bagi membebaskan mana-mana anggota tenteranya atau sekutunya yang ditahan oleh atau atas permintaan ICC [America Service-Members’ Protection Act, ASPA]. Sehubungan itu, Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, John Bolton dalam sebuah kenyataan pada September 2018 telah menegaskan bahawa AS tidak akan sama sekali bekerjasama dengan ICC dalam menyiasat dakwaan jenayah perang yang dilakukan di Afghanistan. Dalam pada itu, Bolton juga menentang usaha yang cuba dilakukan oleh Palestin untuk membawa kes terhadap pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh negara haram Israel di Gaza dan Tebing Barat [BBC News, 11/9/2018]. Semua ini jelas menunjukkan hipokrasi masyarakat antarabangsa terutamanya Barat yang mendakwa menjunjung tinggi keadilan dan kemanusiaan. Sejauhmanakah jaminan keadilan yang dilaung-laungkan seandainya sikap double standard sebegini terpampang jelas di hadapan mata?

Maka ini menunjukkan bahawa ICC ini sekadar menjadi alat kepada kuasa-kuasa besar untuk menunjukkan sikap prihatin tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri harus dikecualikan daripada sebarang bentuk hukuman. Kita tidak sewajarnya terus terikut-ikut dengan rentak dan kehendak kuasa-kuasa besar yang hanya menggunakan badan antarabangsa sebagai alat demi memenuhi kepentingan mereka. Apabila ia merugikan mereka, maka mereka memilih untuk tidak menghiraukan undang-undang dan konvensyen antarabangsa tersebut. Jelaslah bahawa keberadaan badan dunia, institusi-institusi antarabangsa, serta undang-undang antarabangsa hanyalah bertujuan untuk mencorakkan tatacara dunia agar status quo dikekal­kan, sekali gus memastikan hegemoni mereka tidak ter­gugat. Dengan meratifikasikan mana-mana undang-undang, konvensyen, dan triti antarabangsa, secara tidak langsung ia telah membuka ruang kepada manipulasi oleh kuasa-kuasa besar terhadap kedaulatan negara-negara kecil. Lihatlah bagaimana kuasa besar seperti AS menolak untuk tunduk kepada ICC, sebaliknya menjunjung perlembagaan negaranya sebagai perkara yang tertinggi. Malangnya, terdapat pula segelintir umat Islam yang memilih untuk akur kepada undang-undang ciptaan manusia yang penuh dengan bias dan hipokrasi. Sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda, “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya” [HR Daruqutni].

Pandangan Islam mengenai Hubungan Antarabangsa

Islam merupakan aturan kehidupan yang sempurna bagi mengurus segenap aspek kehidupan manusia, termasuklah dalam hal-hal hubungan politik sejagat. Ketika membahas­kan hubungan antarabangsa, objektif utamanya adalah untuk meninggikan risalah Islam serta menyebarluaskannya ke segenap penjuru dunia. Dalam mencapai objektif murni tersebut, segenap keupayaan negara Islam dikerah untuk melaksanakan aktiviti yang merangkumi pergelutan pemikiran (ash-shira’ul fikriy) dan pergelutan politik (ash-shira’ as-siyasi). Pergelutan politik turut melibatkan per­janjian-perjanjian dengan negara luar dan langkah diplomasi.

Dalam pada itu, pergelutan secara fizikal dan peperangan (ash-shira’ul maadiy ad-dumuwwiy) turut terangkum dalam aktiviti tersebut bagi menghadapi negara-negara yang memerangi negara Islam. Sungguhpun demikian, pe­perangan bukanlah pilihan utama, sebaliknya ia merupakan langkah terakhir setelah pendekatan-pendekatan lain menemui jalan buntu. Di samping itu, peperangan juga ber­tujuan untuk mempertahankan kedaulatan negara Islam seandainya diancam oleh anasir luar yang cuba me­madamkan cahaya Islam. Bahkan Islam telah jauh ke hadapan dalam menetapkan etika peperangan yang antara lain melindungi pihak yang lemah seperti wanita, kanak-kanak, orang tua, melarang pemusnahan harta-benda dan rumah-rumah ibadat, serta layanan baik terhadap tawanan perang. Islam juga mempunyai mekanisme bagi memastikan pemerintah diadili dan dihukum seandainya mereka melakukan sebarang bentuk kesalahan, termasuklah jenayah perang. Kewujudan institusi Mahkamah Mazhalim yang mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan Khalifah dan jentera pemerintahan juga memastikan bahawa tiada siapapun yang mempunyai kekebalan dan dikecualikan daripada proses keadilan. Justeru, apa perlunya kepada SR sedangkan Islam telahpun mempunyai aturan dalam jaminan keadilan sejagat, termasuklah dalam etika pe­perangan?

Dalam pada itu, perlu dijelaskan bahawa sesungguhnya konteks hubungan antarabangsa yang dibahaskan di sini hanya menyentuh mengenai hubungan antara negara Islam dengan negara kufur, bukannya melibatkan sesama negara-negara umat Islam seperti yang wujud pada hari ini. Hal ini kerana Islam tidak mengiktiraf keberadaan negara-negara kecil yang memisahkan umat ini mengikut batas sempadan palsu. Sebaliknya, wajib bagi umat ini untuk bersatu di bawah sebuah kepimpinan dalam kerangka Khilafah Islam.

Keharaman Tunduk Kepada Kekuasaan Kufur

Sesungguhnya, haram sama sekali bagi umat Islam mengikat perjanjian dengan badan dunia mahupun kuasa-kuasa besar yang meletakkan kedudukan Islam dan kepentingan umat di bawah kawalan musuh-musuh Islam. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman, “…dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman” [TMQ al-Nisaa’ (4): 141]. Kalimah ‘lan’لَنْ  yang terdapat dalam ayat tersebut merupakan penafian yang bermaksud pada kala hadapan (li nafiy al-mustaqbal). Penggunaan kalimah tersebut juga menunjuk­kan larangan yang kekal (lil ta’bid). Dengan kata lain, haram bagi orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang mukmin [An-Nabhani, Syakhsiyyah Islamiyyah Jilid 3].

Tindakan menandatangani dan meratifikasi konvensyen antarabangsa seperti SR jelas membuka ruang kepada sebuah badan kufur untuk menundukkan umat Islam di bawah undang-undang ciptaan manusia. Umat Islam tidak selayaknya tunduk akur kepada tatacara yang sememangnya bertujuan untuk mengekalkan kekuasaan pihak kuffar dalam percaturan antarabangsa. Sebaliknya umat ini menggalas misi agung menyebarluaskan risalah Islam serta mentadbir dunia dengan syariatnya. Semestinya tugas ini tidak akan mampu dilaksanakan melainkan umat Islam kembali bersatu menggembleng segenap upaya ke arah mendirikan institusi Khilafah yang dengannya akan membawa rahmat ke sekalian alam. Semoga Allah SWT membimbing kita.


KOLUM TSAQAFAH

PERJANJIAN ANTARABANGSA  MENURUT ISLAM

Secara sedar atau tidak, banyak perjanjian antarabangsa yang dimeterai pada hari ini sebenarnya digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menghalang umat Islam daripada bersatu dan menjadikan Islam sebagai sumber hukum negara. Sedangkan syariat Islam telah memberikan panduan kepada kita bagaimana melaksanakan sesuatu perjanjian. Di antara syarat-syarat perjanjian antarabangsa yang ditetapkan oleh Islam adalah:

(1) Negara yang diajak untuk membuat perjanjian bukan negara muharibah fi’lan (negara yang sedang berperang dengan umat Islam) seperti Amerika, “Israel” dan sekutu-sekutu mereka. Namun terdapat pengecualian (dibenarkan) dalam menandatangani perjanjian gencatan senjata.

(2) Disyaratkan perjanjian yang ingin dibuat antara negara Islam dengan negara lain tidak bercanggah dengan perjanjian sebelumnya (jika ada) kerana adalah wajib bagi negara menepati perjanjian yang telah dimeterai terlebih dahulu.

(3) Perjanjian itu wajib menyebutkan setiap perkara yang dikhuatiri boleh menimbulkan perselisihan kerana per­janjian dibuat untuk mengatur hubungan tertentu. Setiap perjanjian mesti disusun dengan teliti, dielakkan ungkapan-ungkapan yang kabur dan peruntukan-peruntukan yang tidak jelas.

(4) Perjanjian hendaklah dibuat untuk kepentingan penyebaran Islam, mengembang dakwah Islam dan jihad. Misalnya perjanjian yang dibuat oleh panglima tentera Islam, Salahuddin al-Ayyubi dengan Raja-raja Kristian sehingga pembebasan Al-Quds.

(5) Disyaratkan agar perjanjian tidak mengandungi syarat yang rosak contohnya syarat yang diajukan oleh orang-orang kafir agar mereka boleh memasuki Tanah Haram Makkah; atau menampakkan syi’ar orang-orang kafir seperti perjanjian yang mengakibatkan tersebarnya pemikiran atau cara hidup yang bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam.

(6) Perjanjian wajib ditulis dengan bahasa Arab kerana bahasa Arab adalah satu-satunya bahasa Islam dan merupakan bahasa rasmi yang digunakan oleh Negara Islam. Rasulullah SAW telah mengirimkan surat kepada para raja dan pemimpin dengan bahasa Arab sedangkan baginda mampu mengirim surat kepada mereka dengan bahasa mereka.

(7) Perjanjian yang dibuat wajib bersifat sementara dengan batas waktu tertentu dan tidak boleh memutlakkannya atau mengabadikannya seperti per­janjian air 100 tahun yang jelas bertentangan dengan syarak. Malah para ulama’ mazhab Syafie berpendapat tidak boleh lebih dari 4 bulan apabila umat Islam berada di dalam keadaan kuat sebagaimana firman Allah di dalam surah at-Taubah ayat 1 dan 2.

Sumber [Perjanjian-perjanjian Antarabangsa Dalam Pandangan Islam, Iyad Hilal].

 

Download PDF