SN561 – Memahami Hegemoni China

Bil: SN561 – 25 Rabi’ulawal 1441 / 22 November 2019

SN561 - Memahami Hegemoni China

Pengedaran buku komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) Meraih Manfaat Bersama’ di sekolah-sekolah di seluruh negara telah mengundang kemarahan banyak pihak yang melihatnya sebagai usaha untuk menyebarkan fahaman komunisme dan sosialisme. Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan pula menafikan bahawa pihaknya memberi kebenaran kepada penerbit, serta melarang pengedaran komik itu di sekolah. Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir ketika mengulas mengenai isu tersebut menyatakan bahawa Malaysia tidak berperanan mempromosikan ideologi China, sebaliknya, perlu meneliti apakah manfaatnya yang mampu diraih negara. Menurutnya lagi, Malaysia sentiasa menganggap China sebagai rakan, apatah lagi ketika ini mereka memiliki banyak dasar baharu yang membawa manfaat kepada negara itu [Astro Awani, 21/10/19].

Tidak dinafikan bahawa China semakin mengorak langkah menjadi sebuah negara yang mempunyai pengaruh besar, khasnya di rantau Asia. Kedudukan Malaysia yang berada di laluan strategik kepentingan ekonomi, dan tuntutan bertindih di Laut China Selatan (LCS) merupakan antara sebab mengapa negara ini berada dalam ‘radar geopolitik’ kuasa serantau tersebut. Namun persoalannya, bagaimanakah seharusnya sikap kita selaku umat Islam dalam menanggapi kemaraan China ini?

China Moden dan kepentingan Strategiknya

Republik Rakyat China merupakan penerus legasi tamadun Cina yang mempunyai sejarah panjang selama lebih empat ribu tahun. Semenjak 1949, tanah besar China telah dikuasai oleh Parti Komunis China pasca Perang Saudara yang menyaksikan seterunya, Parti Nasionalis Koumintang berundur dan membentuk kerajaan di Taiwan. Meskipun mendokong fahaman komunisme, namun China tidak seperti Kesatuan Soviet yang merupakan negara berideologi dan berusaha menyebarkan ideologinya ke seluruh dunia. Sebaliknya, China pada waktu itu merupakan sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk berada di bawah paras kemiskinan dan fokus utamanya adalah memelihara kelestarian rejimnya. Jika ada sekalipun, China lebih cenderung mendampingi negara-negara membangun dalam Dunia Ketiga. Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik pada 1974 setelah mengiktiraf kedudukan China di PBB pada 1971. Setelah Deng Xiaoping menerajui republik tersebut pada 1978, barulah China memasuki era baharu yang lebih terbuka yang menyaksikan berlakunya pelbagai reformasi. Dasar ekonomi pragmatik pada waktu itu terfokus kepada ekonomi berasaskan pembangunan infrastruktur, pemindahan teknologi melalui pelaburan langsung asing, dan tenaga buruh yang murah.

Kini, setelah empat dekad berlalu, China mempunyai ekonomi terbesar di samping mengorak langkah menjadi sebuah kuasa besar di rantau Asia. Pada 2013, rejim komunis China telah memperkenalkan inisiatif “one belt, one road” (OBOR) atau BRI bagi menjamin keberlangsungan pertumbuhan ekonomi negara tersebut. “Belt” yang merujuk kepada jalan darat merentasi ‘laluan sutera’ pada masa silam bertujuan mencari laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap laluan laut yang terdedah kepada sekatan. Dalam masa yang sama, China juga membangunkan aset komersial dan tentera lautnya di sepanjang laluan “road” yang merentasi pesisir China, Lautan Hindi, sehingga ke benua Afrika di pelabuhan Sudan. Di samping itu, China juga mengadakan perjanjian dengan negara-negara terlibat dalam BRI serta memberikan pinjaman khasnya kepada negara-negara membangun. Terdapat pengkritik ekonomi yang mendakwa China mengamalkan diplomasi “perangkap hutang” melalui tawaran pinjaman pada kadar yang tinggi sehingga membebankan negara peminjam. Sekiranya negara peminjam tidak mampu membayarnya maka China mengambil alih kepemilikan infrastruktur atau memaksa negara tersebut akur kepada polisi China.

Dari sudut politik dan ketenteraan pula, kita seringkali diuar-uarkan bahawa China tidak seperti negara-negara imperialis kerana di sepanjang sejarahnya ia tidak pernah menjajah mana-mana negara. Namun dunia seakan-akan melupakan tindakan China menduduki Turkistan Timur (yang kemudiannya dinamakan sebagai Xinjiang) serta Tibet. Di samping itu, sejak awal penubuhannya lagi, rejim komunis China telah menganggap LCS sebagai tuntutan pemilikan warisan negara tersebut. Bahkan China telah bertindak membangunkan pulau-pulau buatan di kawasan pertindihan tuntutan bagi mengukuhkan tuntutannya. Kesemua tindakan China ini adalah selari dengan polisi kepentingan-kepentingan strategik (strategic imperatives) berikut:

  1. Mengekalkan kesatuan dalaman wilayah Cina Han – wilayah tersebut dianggap sebagai “nusa teras” (heartland) bagi negara China.
  2. Mengekalkan pengaruh di wilayah penampan, yang meliputi Mancuria, Pedalaman Mongolia, Xinjiang, dan Tibet. Wilayah-wilayah tersebut memberikan “kedalaman strategik” kepada China dan berperanan melindungi “nusa teras” daripada ancaman kuasa luar. Xinjiang juga berada di kedudukan strategik di ‘belt’ dalam BRI, di samping kaya dengan sumber gas mentah yang besar.
  3. Melindungi pesisir China daripada pencerobohan kuasa luar – sewaktu ‘kurun kehinaan’ di bawah Dinasti Qing, banyak pulau dan pelabuhan di pesisiran China dijajah oleh kuasa imperialis asing. Kini China berusaha membangunkan aset pertahanan lautnya bagi memantau perairan yang berhampiran dengan tanah besar China.
  4. Melindungi laluan perdagangan yang strategik, sumber-sumber, dan pasaran China daripada campur tangan asing – sejajar dengan polisi luar China khasnya dalam sektor ekonomi.  Oleh demikian, kita menyaksikan China semakin giat membangunkan kekuatan tentera laut bagi melindungi ‘road’, di samping menggunakan pentas diplomatik bagi melanjutkan agenda tersebut, seperti perkembangan tatakelakuan LCS yang dibentangkan oleh perdana menteri China dalam Sidang Kemuncak ASEAN-China di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Kepentingan-kepentingan strategik ini juga meletakkan negara tersebut dalam pertembungan dengan Amerika Syarikat (AS) selaku sebuah hegemon, terutamanya di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik. Bahkan AS semenjak pentadbiran Obama telah melaksanakan strategi ‘Pivot to Asia’ bagi mengekang kemaraan China, sebelum diteruskan oleh Trump melalui pendekatan ‘perang perdagangan’. AS turut menggunakan hak kebebasan mengemudi  dengan mengerahkan aset tentera lautnya berlayar di perairan antarabangsa seperti di LCS bagi menunjukkan kekuatannya serta memantau pergerakan aset China. Keadaan ini meletakkan negara-negara di Asia Tenggara khasnya terperangkap di tengah-tengah pertembungan dua kuasa tersebut. Dalam pada itu, terdapat juga perselisihan langsung antara negara-negara ASEAN yang menyaksikan beberapa insiden tercetus di kawasan pertindihan tuntutan di LCS. Kapal tentera laut China dilaporkan telah beberapa kali merempuh kapal nelayan Vietnam bagi mengusir mereka daripada kawasan yang dituntut oleh China. Pada 2016, kapal pengawal pantai China juga pernah dilaporkan berada di perairan kira-kira 84 batu nautika daripada Miri, Sarawak.

Berdasarkan kepentingan-kepentingan strategik China dan polisi yang dilaksanakan bagi mencapainya, dapatlah dirumuskan bahawa saat ini dasar luar China lebih menjurus kepada memelihara kepentingan ekonominya. Sementara itu, dasar dalam negerinya pula bertujuan untuk mengekalkan cengkaman Parti Komunis China, baik di “nusa teras” mahupun di wilayah penampan. Dasar ini turut memberi kesan buruk terhadap Muslim Uighur yang ditindas rejim komunis melalui usaha penghapusan identiti dan budaya mereka, penahanan besar-besaran di ‘kem-kem pendidikan semula’, serta migrasi dalaman etnik Han ke Xinjiang bagi mengubah demografi wilayah tersebut. Meskipun rejim komunis China menafikan dakwaan tersebut, terdapat banyak bukti yang menyokong fakta kezaliman yang terjadi.

Menanggapi Kemaraan China dan Hala Tuju Umat Islam

Hal ini meletakkan China sebagai dar al-kufur al-muharibah hukman (darul kufur yang tidak memusuhi dan menyerang kaum Muslim secara nyata dan terbuka). Meskipun Islam membenarkan hubungan diplomatik dan perjanjian dengan negara dalam kategori tersebut, namun hubungan tersebut tidak boleh bersifat kekal. Dalam pada itu, wajib bagi kita untuk membela nasib Muslim Uighur yang ditindas, serta membebaskan mereka daripada cengkaman rejim komunis China. Sabda Rasulullah SAW, “Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, dia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkan saudaranya itu (kepada musuh)[HR Bukhari].

Di samping itu, penyebaran propaganda yang cenderung kepada ideologi sosialisme dan komunisme dalam apa jua bentuk wajib dikekang.

Pada asasnya, ideologi Sosialisme-Komunisme didasarkan pada akidah materialisme. Ia menyatakan bahawa manusia, alam semesta dan kehidupan ini semuanya berasal daripada materi (benda). Materi adalah sesuatu yang azali. Ia tidak diciptakan oleh Tuhan, tetapi ada dengan sendirinya. Materialisme menjadikan materi sebagai tolok ukur segala sesuatu. Dengan pemahaman seperti inilah ideologi Sosialisme-Komunisme melahirkan pelbagai konsep dan aturan kehidupan—sosial, politik, ekonomi, hukuman, dll— yang bercorak materialistik, yang terbukti banyak melahirkan bencana bagi umat manusia.

Berbeza dengan Sosialisme-Komunisme, ideologi Kapitalisme-Demokrasi pula didasarkan pada akidah sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan). Akidah sekularisme ini mengakui bahawa manusia, alam semesta dan kehidupan ini berasal atau diciptakan oleh Tuhan. Namun demikian, keberadaan Tuhan hanya diakui sebagai Pencipta, bukan sekaligus sebagai Pengatur., kehidupan manusia tidak perlu diatur oleh Tuhan, tetapi selayaknya diatur oleh manusia sendiri. Lalu lahirlah pelbagai konsep dan aturan kehidupan yang semata-mata bersumberkan akal dan hawa nafsu manusia.

Justeru, samada ideologi Sosialisme-komunisme, mahupun Kapitalisme-Demokrasi adalah berbahaya kerana kedua-duanya menolak peranan Tuhan dalam mengatur kehidupan manusia.China sebagai negara berideologi  komunis juga mengambil langkah pragmatik dengan memanfaatkan sistem ekonomi kapitalisme demi mengaut keuntungan dalam perekonomian. Malangnya, pada hari ini umat Islam telah berpecah-belah menjadi “negara-negara bangsa” yang kecil dan lemah. Semenjak keruntuhan Khilafah Islam pada 1924, umat Islam sentiasa diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar dalam percaturan geopolitik dunia. Lebih menyedihkan apabila terdapat umat Islam yang menerima dengan terbuka perpecahan dan keberadaan “negara bangsa” dalam tatacara dunia yang diterajui oleh kuasa kuffar pada hari ini. Hubungan luar negara umat Islam ini lebih menjurus kepada soal perdagangan malah mengambil bersikap berkecuali terhadap apa yang terjadi kepada saudara Islam di negara lain.

Sedangkan hakikatnya umat Islam mempunyai potensi kekuatan yang mampu untuk mendepani ancaman kuasa-kuasa besar dunia seandainya digarap dan disatukan di bawah sebuah kepimpinan. Umat ini kini berjumlah lebih 1.8 bilion dan rata-ratanya berada pada usia produktif, serta dikurniakan dengan kekayaan sumber alam serta berada di kedudukan di laluan-laluan strategik. Namun, kekuatan terbesar yang ada pada umat Islam adalah akidah Islam itu sendiri yang berperanan sebagai mabda’ yang melahirkan aturan kehidupan buat umat ini. Sayang sekali, terdapat pihak yang gagal melihat Islam sebagai sebuah mabda’ yang menjadi penyelesaian dalam segala aspek kehidupan kerana menganggap Islam hanya berperanan dalam soal kerohanian, akhlak, dan ritual peribadatan semata-mata. Tanpa keazaman politik serta kesedaran terhadap kewajipan untuk bersatu maka, kesemua potensi yang ada pada umat ini telah disia-siakan. Bahkan keadaan ini juga meletakkan umat ini dalam lembah kehinaan dan tertindas seperti yang disaksikan hari ini. Sampai bila kita ingin terus berada dalam keadaan yang menghinakan ini?

Download PDF