SN588 – Undi18 Dan Peranan Pemuda Muslim

SN588

11 Februari 2022 M / 10 Rejab 1443 H

 

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac nanti akan mencipta sejarah apabila kali pertama melibatkan pengundian oleh anak muda berusia 18 tahun. Ini hasil pindaan perlembagaan yang diluluskan oleh Dewan Rakyat tiga tahun lalu yang telah menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, yang disokong oleh keseluruhan 211 ahli parlimen yang hadir pada persidangan tersebut. Rata-rata rakyat Malaysia, khususnya anak muda, menyambut baik pindaan ini dan menyifatkannya sebagai pemerkasaan kepada demokrasi di Malaysia. Ramai yang memuji perkembangan demokrasi ini dan membandingkan kedudukannya dengan negara-negara Eropah dan beberapa negara Asia yang lain, yang telah lama menetapkan had umur minimum pengundi di negara masing-masing kepada 18 tahun. Berdasarkan rekod, 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN kali ini, dan jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 28 peratus, iaitu penambahan sebanyak 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas. Menjelang PRU15, dianggarkan sebanyak 7.8 juta pengundi baru bakal bertambah yang mana 3.8 juta mewakili golongan berusia 18 tahun.

Umur Baligh Menurut Islam

Batas 18 tahun sebagai umur dewasa merupakan had yang dipromosikan oleh Barat untuk dijadikan batas kematangan atau kedewasaan seseorang individu. Sandarannya tidak lain kecuali akal. Orang-orang kafir Barat tidak mempunyai hukum agama untuk mengatur kehidupan, maka semuanya ditetapkan berdasarkan akal atau kehendak pembuat undang-undang. Hal inilah yang diikuti oleh pembuat undang-undang di Malaysia, sesuai dengan ajaran demokrasi yang ditinggalkan oleh Barat di bumi ini, yakni menjadikan akal, bukannya nas, sebagai penentu sesuatu, termasuk batas umur dewasa.

Berdasarkan nas yang sangat jelas di dalam Islam, umur dewasa atau umur baligh bagi lelaki ialah 15 tahun atau setelah mengalami ihtilam (mimpi basah) – yang mana terjadi dahulu. Manakala umur baligh untuk perempuan ialah apabila telah mengalami haidh. Inilah batas umur yang ditetapkan oleh Islam yang menentukan kedewasaan seseorang atau dengan kata lain menjadikannya sebagai seorang Mukallaf. Ibnu Umar (ra) berkata;

“Rasulullah (saw) menunjukku untuk ikut serta dalam perang Uhud, pada ketika itu usiaku 14 tahun, lalu baginda tidak mengizinkanku. Kemudian baginda menunjukku kembali saat perang Khandaq, pada ketika itu usiaku telah mencapai 15 tahun. Baginda lalu mengizinkanku.” Nafi’ berkata: “Aku datang kepada Umar bin Abdul Aziz yang ketika itu menjawat sebagai Khalifah, lalu aku memberitahunya tentang hadis tersebut. Kemudian beliau berkata: “Sungguh ini adalah batasan antara kanak-kanak dan orang dewasa’” [HR Muslim].

Justeru, anak-anak muda seharusnya sedar dan tidak terpengaruh dengan ketetapan manusia, tetapi wajib terikat dengan nas apabila berbincang mengenai umur dewasa. Islam telah meletakkan batas kematangan seawal umur 15, dan bukannya 18. Dengan kata lain, taklif atau kewajipan, termasuk kewajipan berpolitik, mula terkena ke atas anak-anak muda sebaik sahaja memasuki usia baligh. Dalam masa yang sama, anak-anak muda yang telah baligh ini harus sedar bahawa kewajipan berpolitik yang dimaksudkan ialah politik menurut ajaran Islam, bukannya politik menurut ajaran demokrasi.

Politik dalam sistem demokrasi pada hari ini adalah politik yang penuh dengan kekotoran, penipuan, rasuah, perpecahan, adu-domba, dan pelbagai kerosakan lainnya, kerana ia merupakan politik yang berasal dari kuffar Barat yang dibina atas asas maslahat duniawi. Manakala politik Islam (as-siyasah asy-syar’iyyah) dibina atas asas keimanan kepada Allah (swt) dan keterikatan kepada segala hukum-hakam-Nya. Politik dalam Islam bermaksud ri’ayah asy-syu’un al-ummah, dakhiliyyan wa kharijiyyan (mengatur urusan umat, dalam dan luar negeri) berdasarkan syariat Allah (swt).

Pemuda Generasi Awal Islam

Dalam sejarah Islam yang begitu panjang, golongan muda memang memainkan peranan yang cukup penting. Mereka telah mempamerkan semangat, kecekalan dan keberanian yang luar biasa dalam perjuangan, di samping keilmuan dan keluhuran budi pekerti yang sangat menakjubkan. Tegaknya agama Allah, dan tegaknya Daulah Islam, tidak boleh dipisahkan daripada peranan para pemuda.  Malah golongan muda ini merupakan golongan yang awal menyahut seruan Rasul (saw) dalam menerima dan mendakwahkan Islam.

Siapa tidak mengetahui tentang al-Arqam bin Abi al-Arqam yang masuk Islam pada usia 12 tahun dan telah menyediakan rumahnya sebagai tempat untuk Rasulullah dan para Sahabat berkumpul serta belajar? Malah ramai lagi yang telah menyahut seruan Rasul dan masuk Islam di usia yang sangat muda seperti Ali bin Abi Thalib (8 tahun), Zubair bin al-Awwam (8 tahun), Thalhah bin Ubaidillah (11 tahun), Abdullah bin Mas’ud (14 tahun), Saad bin Abi Waqash (17 tahun), Ja’far bin Abi Thalib (18 tahun), Said bin Zaid (bawah 20 tahun), Shuhaib ar-Rumi (bawah 20 tahun), Zaid bin Haritsah (sekitar 20 tahun), Utsman bin Affan (sekitar 20 tahun), Khabab bin al-Art (sekitar 20 tahun), Mus’ab bin Umair (24 tahun), Abdullah bin Jahsy (25 tahun), Umar bin al-Khattab (26 tahun), Abu Ubaidah bin Jarrah (27 tahun) dan ramai lagi.

Para pemuda generasi awal Islam ini terkenal dengan keberanian, keteguhan dan keistiqamahan mereka dalam dakwah di sebalik cabaran dan ujian berat yang mereka hadapi. Mereka diherdik, dicela dan dihina oleh keluarga dan kaum masing-masing. Sebahagian mereka diusir dari rumah, ada yang di penjara, diseksa dan dibunuh oleh kafir Quraisy. Namun, keimanan dan perjuangan mereka dalam menegakkan agama Allah (swt) sedikit pun tidak goyah.

Abdullah bin Mas’ud (14 tahun) sebagai contoh, seorang remaja yang miskin dan agak kecil tubuhnya, yang hanya bekerja sebagai penggembala kambing, namun beliau adalah orang yang pertama (selepas Rasulullah) membaca al-Quran secara terang-terangan di hadapan Kaabah sehingga berdarah mukanya dipukul oleh kaum kafir Quraisy. Beliau telah diberi kemuliaan oleh Allah (swt) dengan keberanian dan keilmuan yang luar biasa.

Mus’ab ibn Umair (24 tahun), seorang pemuda Quraisy yang dicemburui seluruh penduduk Mekah kerana kekayaan dan status sosialnya, sering mengenakan pakaian yang mahal dan terbaik, namun telah meninggalkan segala kemewahan dunia yang dimilikinya demi Allah dan Rasul-Nya. Allah (swt) telah memuliakannya sebagai duta pertama Rasulullah (saw) yang dihantar ke Madinah, untuk menyeru penduduk Madinah kepada Islam. Hasil usahanya, pembesar Madinah serta seluruh kaum mereka memeluk Islam, lalu Madinah menjadi tapak berdirinya Daulah Islam setelah kaum Aus dan Khazraj memberikan nusrah (pertolongan) kepada baginda (saw).

Selain pemuda, juga terdapat ramai srikandi generasi awal yang berperanan besar dalam dakwah Islam. Asma’ Binti Abi Bakar (ra) sebagai contoh, merupakan sosok yang membantu Rasulullah (saw) dan ayahnya ketika mereka berdua dalam perjalanan (hijrah) ke Madinah. Asma’ dengan penuh keberanian dan strategi, menjadi pembawa makanan dan juga pembekal maklumat, kepada Rasulullah (saw) tatkala baginda dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Tsur. Dzatun Nithaqain itu pernah ditempeleng oleh Abu Jahal kerana enggan mendedahkan lokasi persembunyian Rasulullah (saw) dan ayahnya itu.

Fatimah Binti al-Khattab (ra), dengan berani dan tegas mempertahankan keIslamannya di saat berhadapan dengan abangnya yang terkenal garang dan keras, Umar bin al-Khattab (ra), yang masih kafir ketika itu. Walaupun dipukul oleh Umar agar meninggalkan Islam, Fatimah tetap dengan keIslamannya dan akhirnya berjaya melembutkan hati abangnya itu, yang dari peristiwa inilah Umar kemudiannya memeluk Islam.

Sesungguhnya tidak terhitung bilangan pemuda dan pemudi generasi awal yang telah menjadi tiang yang teguh kepada Islam dan umatnya. Mereka berdiri teguh dalam kebenaran dan dalam berhadapan dengan musuh-musuh Allah (swt). Mereka adalah generasi terbaik, yang seharusnya dicontohi oleh para pemuda dan pemudi Islam di zaman mutakhir ini. Bukan sahaja sebelum tegaknya Negara Islam, malah selepas berdirinya Daulah Islam, para pemuda dan pemudi yang hebat sering bermunculan dan nama mereka terpahat harum di sisi penduduk dunia dan juga penduduk langit, dengan peranan dan sumbangan mereka yang luar biasa untuk Islam dalam perjuangan dan dalam pelbagai bidang kehidupan.

Peranan Pemuda Muslim

Apabila berbincang mengenai peranan atau tanggungjawab, persoalan penting untuk dijawab oleh para pemuda Muslim pada hari ini bukan hanya “apakah peranan anda”, akan tetapi “apakah peranan anda menurut Islam?” Tidak ada gunanya membincangkan apakah peranan para pemuda dalam negara, jika mengecualikan “Islam” dalam kesemua aspek perbincangannya. Lebih buruk lagi jika ada pemuda yang tidak mahu memainkan apa-apa peranan dan hanya sibuk dengan dunia masing-masing sahaja.

Dalam menjalankan peranannya, para pemuda ini perlu ditanya dengan beberapa persoalan berikutnya iaitu siapakah idola anda, apakah aspirasi anda, siapakah contoh dan teladan anda? Lebih jauh, perlu ditanya apakah matlamat hidup anda, dari manakah anda berasal dan ke manakah anda akan pergi selepas mati? Semua soalan ini perlu dijawab dengan serius dan benar, maka barulah para pemuda akan memainkan peranan yang benar dalam hidupnya, dan akan terus teguh serta tidak akan berpaling daripada peranannya insya Allah.

Setiap pemuda Muslim harus sedar bahawa seluruh aspek kehidupan kita pada saat ini tidak lagi dinaungi oleh Islam iaitu setelah runtuhnya Khilafah kira-kira 101 tahun yang lalu (tepatnya pada 28 Rajab 1342 H). Ideologi kapitalisme ciptaan Barat dengan sistem demokrasinya telah mendominasi dunia Islam dan inilah yang menjadi punca kepada segala malapetaka, termasuk yang menimpa para pemuda Muslim.

Setelah kejatuhan Khilafah, umat Islam, apatah lagi generasi muda sangat mudah dipesongkan oleh Barat daripada syariah Islam. Idea nasionalisme dan kebebasan di bawah demokrasi ditancap dengan cukup dalam oleh Barat ke dalam benak umat Islam. Generasi muda telah diracuni dan dibius dengan pelbagai jenis hiburan, fesyen dan gaya hidup sebagaimana yang diamalkan oleh orang-orang kafir Barat sehingga para pemuda Muslim sudah lupa akan tujuan hidup mereka di dunia.

Tujuan Barat ialah untuk memastikan generasi muda Muslim tidak lagi bangkit sebagaimana generasi awal Muslim. Barat sangat takut sekiranya para pemuda dan pemudi dalam umat ini sudah mula sedar akan tanggungjawab mereka untuk menegakkan agama Allah, untuk menerapkan syariat Allah, untuk mempersatukan kembali negeri-negeri kaum Muslimin di bawah Khilafah, membebaskan kembali wilayah Islam yang terjajah dan seterusnya mengisytiharkan jihad ke atas negara-negara kafir Barat yang memusuhi Islam serta melakukan futuhat (pembukaan) ke atas negara-negara baru.

Bertitik tolak daripada fakta-fakta ini, para pemuda Muslim harus sedar bahawa peranan dan tanggungjawab politik mereka sangat besar iaitu untuk mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah di bawah naungan Khilafah. Inilah pemerintahan yang wajib diperjuang dan dibangunkan oleh para pemuda Muslim, bukannya meneruskan pemerintahan kufur demokrasi yang berasal dari Barat.

Para pemuda tidak seharusnya terjebak dengan isu Undi18 dan berpuas hati dengan mendapat hak untuk membuang undi. Ini kerana, realitinya, siapa pun dan parti mana pun yang diundi dalam sistem demokrasi ini, selagi sistemnya tidak diubah dan diganti dengan Islam, maka selagi itulah malapetaka atas umat ini tidak akan terangkat, dan kedudukan para pemuda tidak akan sama sekali berubah.

Khatimah

Para pemuda Muslim seharusnya berjiwa besar, berfikiran jauh serta berpandangan luas. Para pemuda Muslim seharusnya berlumba-lumba memperlengkapkan diri masing-masing untuk menjadi pembuka kota Rom yang dijanjikan oleh Rasulullah (saw), sebagaimana Muhammad al-Fatih memperlengkapkan dirinya untuk menjadi pembuka kota Konstantinopel, lalu dimuliakan oleh Allah (swt) dengan pembukaan kota tersebut ketika baru berusia 21 tahun. Inilah peranan para pemuda Muslim, dan inilah apa yang menjadi ketakutan kuffar Barat yakni apabila munculnya para pemuda yang berjiwa pejuang, yang mewarisi perjuangan Rasulullah (saw) dan generasi terdahulu, yang hidupnya hanya untuk Allah dan matinya hanya untuk Allah. Inilah sebaik-baik pemuda.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF