SN591 – “Ancaman” Terhadap Islam Dan Solusinya
SN591
04 Mac 2022 M / 01 Sya’ban 1443 H
Sejak lebih seminggu lepas terdapat beberapa perkembangan dalam negara yang dilihat tidak berpihak kepada Islam, yang kesemuanya melibatkan keputusan mahkamah. Pada 21 Februari, seorang ibu tunggal, Loh Siew Hong berjaya dalam permohonan habeas corpusnya untuk membatalkan “penahanan haram” oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis terhadap tiga anaknya yang telah di-Islam-kan oleh bapa mereka secara sepihak. Pada tarikh yang sama SIS Forum (Malaysia) menang dalam tindakan mereka memohon pembatalan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan mengenai kuasa mahkamah syariah melakukan semakan kehakiman. Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengisytiharkan bahawa adalah tidak berperlembagaan bagi Dewan Undangan Negeri Selangor untuk memberikan kuasa semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri itu. Pada 22 Februari pula Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan kehakiman terhadap perintah larangan kerajaan ke atas buku “Gay is OK! A Christian Perspective” yang membawa kesan buku tersebut kini boleh dijual dan diedarkan di pasaran.
Susulan ketiga-tiga kes tersebut, pelbagai komen dan cadangan daripada pelbagai pihak telah memenuhi media sosial, dan masih lagi berterusan hingga ke hari ini. Walau pun ramai yang tidak berpuas hati dan melahirkan kebimbangan dengan perkembangan yang berlaku, namun rata-ratanya terpaksa akur dengan keputusan mahkamah. Jika di masa pemerintahan Pakatan Harapan tidak lama dulu, dua parti terbesar Melayu yang menjadi pembangkang pada waktu itu begitu lantang memainkan sentimen bahawa ‘Islam sedang terancam’ setiap kali wujud isu yang tidak berpihak kepada Islam, namun kini kedua-dua parti yang telah menjadi pemerintah tersebut nampaknya telah hilang kelantangan mereka, mungkin disebabkan halangan oleh “kerusi empuk”. Bagi mana-mana Muslim yang melahirkan ketidaksenangan dengan keputusan mahkamah dalam ketiga-tiga kes tersebut, kita bersyukur dari satu sudut kerana ternyata roh Islam masih lagi hidup dalam jiwa mereka. Apa yang penting sekarang ialah untuk kita melihat dengan sudut pandang yang benar dalam isu-isu sebegini, agar emosi dan tindakan kita selari dengan apa yang digariskan oleh Islam, seterusnya kita dapat menyelesaikan isu ini secara once and for all.
Apa Yang Mengancam Islam?
Ada pihak yang mencadangkan agar perlembagaan negara dipinda bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang yang memberi lebih kuasa kepada mahkamah syariah. Begitu juga dengan isu pertukaran agama sepihak di mana ada cadangan agar semakan kehakiman dilakukan bagi membolehkan hal berkenaan, sekali gus merubah keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang memutuskan sebaliknya.
Sungguh sayang dengan cadangan seumpama ini kerana pencadangnya gagal melihat di manakah punca masalah sebenarnya. Mereka hanya mampu melihat simptomnya, dan cuba merawat simptom, sedangkan puncanya terus terbiar. Cadangan seumpama ini sebenarnya telah kita dengar secara berulang-ulang setiap kali munculnya isu-isu yang dilihat mengancam Islam atau tidak berpihak kepada Islam. Di sinilah pentingnya umat Islam memahami punca dan menyelesaikan masalah daripada puncanya, yang insya Allah simptomnya akan turut hilang.
Sesungguhnya ‘ancaman terhadap Islam’ itu bukannya datang daripada para hakim yang memutuskan mengikut peruntukan undang-undang yang ada, dan menafsirkannya mengikut tafsiran sivil yang telah mereka pelajari dan amalkan sejak mereka mula memasuki sekolah undang-undang lagi, tetapi ancaman terhadap Islam itu datangnya daripada sekurang-kurangnya empat faktor berikut:
Pertama: Adanya dualisme perundangan yang diamalkan di Malaysia, yang meletakkan undang-undang dan mahkamah sivil lebih tinggi daripada undang-undang Islam. Undang-undang Islam berada di bawah undang-undang sivil. Justeru mana mungkin undang-undang Islam boleh menang apabila berada dalam gelanggang sivil, yang semua peraturan dan pengadilnya adalah sivil? Ini dari satu sisi. Dari sisi yang lain, apabila berlaku persengketaan antara Muslim dan non-Muslim, mahkamah yang menjadi rujukan ialah mahkamah sivil, bukannya “mahkamah syariah.”
Berdasarkan dualisme perundangan yang diamalkan, orang-orang Islam di Malaysia terikat dengan undang-undang sivil (hukum kufur), termasuklah terikat dengan mahkamah sivil sepenuhnya. Manakala non-Muslim langsung tidak terikat dengan hukum Islam, dan tidak boleh dibawa ke mahkamah syariah. Ini semua menyalahi ajaran Islam kerana di dalam Islam, setiap Muslim diharamkan mengikuti hukum kufur, manakala non-Muslim pula wajib terikat dengan hukum Islam (kecuali dalam hal yang dikecualikan oleh nas). Islam tidak mengenal, malah mengharamkan konsep dualisme perundangan. Satu-satunya mahkamah yang wajib ada dalam negara ialah mahkamah yang memutuskan hukum berdasarkan Islam, bukan selainnya.
Kedua: Kewujudan perlembagaan yang diberikan oleh kafir penjajah. Segala sistem, undang-undang, peraturan, malah cara hidup di Malaysia adalah tertakluk kepada perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Kafir British telah menjadikan perlembagaan Malaysia sebagai sebuah “kitab suci” yang lebih tinggi daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Pelanggaran terhadap perlembagaan merupakan satu kesalahan yang sangat besar dan berat, melebihi pelanggaran terhadap Al-Quran. Malah dalam banyak kes, Al-Quran memang dilanggar begitu sahaja tanpa ada apa-apa hukuman, malah tanpa rasa bersalah pun oleh pelanggarnya.
Walaupun British telah keluar dari Tanah Melayu dan memberikan “kemerdekaan” kepada tanah bertuah ini, namun pemerintah tetap berpegang teguh dengan perlembagaan yang ditinggalkan British, melebihi pegangan mereka terhadap Al-Quran itu sendiri. Begitu juga dengan hakim di semua mahkamah, yang turut berpegang teguh dengan kitab yang diberi oleh penjajah ini. Justeru, hakim mana pun, walaupun ia tidak pernah meninggalkan solat, puasa, sedekah dan lain-lain, namun apabila ia berhukum dengan perlembagaan, maka hasilnya ialah apa yang dapat kita saksikan dalam ketiga-tiga kes di atas, yang mana keputusan mereka tentunya menyalahi Al-Quran dan As-Sunnah.
Ketiga: Sistem yang berasal dari Barat. Selain menghadiahkan sebuah kitab, kafir British turut menyedekahkan sebuah sistem yang bernama demokrasi kepada negara ini. Sebagaimana perlembagaan, sistem ini turut dipegang erat oleh pemerintah sejak merdeka lagi. Sistem ini meletakan kedaulatan di tangan manusia yakni memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada manusia untuk membuat hukum, dengan mengambil hak Allah (swt) sebagai Musyarri’ (Pembuat hukum).
Melalui sistem ini, Islam sentiasa berada di bawah dan sentiasa “dipermainkan” dengan sewenang-wenangnya oleh mereka yang berkuasa. Dengan kekuasaan yang ada di tangan mereka, bermakna hukum juga ada di tangan mereka, sesuai dengan ajaran demokrasi. Hukum Islam apa pun tidak akan dapat diterapkan kecuali telah mendapat kelulusan daripada mereka yang berkuasa, yang sekali gus merupakan Legislator (pembuat hukum) dalam sistem ini.
Legislator ini berhak menentukan sama ada penzina boleh direjam atau tidak, berapa banyak sebatan perlu dikenakan ke atas penzina, pencuri boleh dipotong tangan atau tidak, si murtad boleh dihukum bunuh atau tidak, si pengambil riba boleh dihukum atau tidak dan sebagainya. Pendek kata, merekalah, dan bukannya Allah (swt), yang menentukan halal-haram dan segala hukuman untuk manusia. Mereka boleh meluluskan atau tidak meluluskan, merubah, meminda dan menghapuskan hukum Allah (swt) sesuka hati mereka. Inilah sistem demokrasi, yang telah memberikan kepada mereka “hak keTuhanan”!
Keempat: Pemerintah yang tidak mahu menerapkan Islam. Sejak merdeka hingga kini, pemerintahan Malaysia berada di tangan majoriti Muslim. Namun sayangnya mereka tidak pernah menerapkan Islam dan sudah terang lagi bersuluh bahawa mereka tidak mahu menerapkan Islam! Mereka mencipta dan memberikan pelbagai alasan apabila ada gerakan Islam dan umat Islam yang mendesak dan memuhasabah mereka untuk menerapkan Islam. Mereka rata-ratanya redha dan berpuas hati dengan sistem dan undang-undang yang datangnya dari penjajah. Atas dasar itu, mereka terus mengekalkannya dan mempertahankannya.
Lebih malang apabila terdapat parti Islam yang berjaya naik ke pemerintahan kerana bergabung dengan parti pemerintah yang sekular, parti Islam tersebut berjaya “disekularkan” sehingga meninggalkan perjuangan dan laungan mereka selama ini untuk menerapkan Islam. Akhirnya parti Islam yang diharap-harapkan untuk menerapkan agama Allah itu terus hanyut dalam pemerintahan sekular yang akhirnya mereka menjadi penjaga kepada sistem dan undang-undang sekular.
Apabila ada gerakan Islam yang memuhasabah pemerintah yang majoritinya Muslim ini, untuk mereka menerapkan Islam secara kaffah, gerakan Islam itu pula yang dimusuhi, difitnah, dituduh ekstrem dan pelbagai bentuk tuduhan lagi, ahlinya ditangkap dan diheret ke mahkamah. Pemerintah ini bukan sahaja tidak mahu menerapkan Islam, malah memusuhi siapa sahaja yang memuhasabah mereka untuk menerapkan Islam.
Inilah empat faktor utama yang sebenarnya menjadi punca ancaman kepada Islam. Kita boleh memahami sekiranya Barat atau orang-orang kafir membenci Islam dan sering menyerang Islam daripada segenap sudut, daripada sudut akidah hinggalah ke tahap serangan secara ketenteraan. Namun, ancaman yang sebenar bukan datangnya daripada mereka, sebaliknya datang daripada dalam, khususnya daripada para penguasa yang berhukum dengan hukum penjajah, yang tunduk kepada penjajah, yang menjaga kepentingan penjajah dan yang memusuhi rakyatnya sendiri khususnya gerakan Islam yang menyeru mereka untuk menerapkan Islam.
Solusi Tuntas
Apa jua masalah, jika tidak diselesaikan daripada puncanya, maka sampai kiamat sekali pun masalah tersebut tidak akan selesai. Apatah lagi jika masalah tersebut terkait dengan Islam secara langsung. Umat Islam tidak akan pernah dapat keluar daripada masalah selagi tidak kembali kepada Islam. Ini kerana, punca kepada segala masalah yang melibatkan Islam dan umatnya ialah kerana hukum Islam tidak diterapkan. Itulah kuncinya yakni kerana hukum Islam tidak diterapkan, baik dalam kehidupan individu, bermasyarakat mahu pun bernegara.
Perlembagaan, sistem dan undang-undang kufur yang datangnya daripada penjajah telah lama mendominasi umat Islam. Hal ini diburukkan dengan kewujudan para penguasa yang redha dengan semua ini, lalu mempertahankannya, dan mengerahkan segala jentera dan kekuatan yang ada pada mereka untuk mempertahankannya. Dengan segala jentera negara yang mereka miliki, mereka berusaha pula untuk membendung segala usaha yang dilakukan oleh umat ini untuk kembali berhukum dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka cukup takut sekiranya hukum Allah (swt) diterapkan, maka segala kuasa, kemewahan, pangkat dan darjat yang mereka miliki akan hilang.
Oleh yang demikian, umat yang mulia ini harus sedar bahawa inilah punca kepada segala masalah, yang boleh dikembalikan hanya kepada satu hal – para penguasa yang menerapkan sistem dan undang-undang kufur ke atas mereka. Inilah puncanya. Maka, setelah mengetahui punca, barulah jelas apakah solusi yang harus diambil oleh umat ini. Solusinya tidak lain tidak bukan ialah dengan menolak para penguasa yang tidak mahu berhukum dengan hukum Allah, dan membuang sistem yang buruk ini, lalu menggantikannya dengan penguasa dan sistem yang baik, yakni penguasa yang bertakwa dan sistem yang datangnya daripada Pencipta manusia – itulah Khalifah (penguasanya) dan Khilafah (sistemnya).
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sedarlah bahawa ancaman kepada Islam itu telah lama wujud, dan ia bukan wujud secara kebetulan, tetapi terancang dan sistematik. Berdasarkan sejarah panjang permusuhan dan dendam Barat terhadap Islam, mereka tidak pernah berhenti melakukan makar untuk menjauhkan Islam dari umatnya. Hakikatnya, makar puak kuffar ini tidak akan pernah berjaya jika tiada pengkhianatan dalaman daripada umat Islam itu sendiri, khususnya daripada kalangan para penguasa mereka. Maka, satu-satunya jalan untuk membuang segala ancaman tersebut ialah dengan membuang segala faktor dan puncanya.
Wallahu a’lam.