SN593 – Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu

SN593

18 Mac 2022 M / 15 Sya’ban 1443 H

 

PRN Johor telah pun berakhir yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang selesa dengan menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Manakala Pakatan Harapan (PH) menang 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) 3, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masing-masing satu kerusi. Walaupun UMNO-BN bersorak gembira dengan kejayaan ini, namun para pengkritik menyatakan bahawa UMNO-BN sebenarnya tidak boleh berbangga dengan kemenangan ini kerana jumlah yang keluar mengundi hanyalah 55 peratus sahaja. Tambahan lagi berdasarkan jumlah undi keseluruhan, majoriti rakyat Johor sebenarnya “menolak” UMNO-BN. Namun demikian, UMNO-BN bukannya peduli semua itu kerana berdasarkan hukum demokrasi, mereka telah menang secara sah. Kuasa kini telah berada di tangan mereka dan tiada siapa boleh mempertikaikannya lagi. Apa yang penting bagi UMNO-BN ialah semua pihak mesti tunduk kepada hukum demokrasi.

Apa pun, tahniah wajar diucapkan kepada mereka yang tidak keluar mengundi atas dasar kesedaran bahawa siapa pun yang mereka undi, atau siapa pun yang menang, tidak ada gunanya. Pendapat “tidak guna keluar mengundi” memang telah berlegar di alam maya seawal pembubaran DUN Johor, dan perbualan mengenainya semakin hangat ketika tempoh berkempen. Realitinya, rata-rata rakyat masih lagi mual dengan suasana politik dan meluat dengan para politikus yang tidak habis-habis berebut kuasa. Rakyat juga sudah mula nampak bahawa PRN yang diadakan bukanlah atas kehendak mereka, dan tidak menguntungkan mereka sedikit pun, tetapi hanya menguntungkan parti politik dan ahli-ahli politik yang berkuasa sahaja. Atas dasar inilah, maka pujian memang wajar diberikan kepada mereka yang sedar dan tidak keluar mengundi. Lebih wajar lagi pujian diberikan kepada mana-mana pihak yang tidak keluar mengundi atas kesedaran bahawa setiap undi mereka akan dihisab oleh Allah (swt). Semoga kesedaran ini akan terus meningkat di masa mendatang, dan ditambah dengan kesedaran mengenai cara melakukan perubahan yang benar menurut Islam, tanpa pilihan raya.

Menang Jadi Arang

Baru sahaja menang, konflik pertama yang dihadapi oleh UMNO-BN ialah isu pelantikan Menteri Besar (MB). Sebelum PRN, UMNO telah pun mencanangkan Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai calon MB, dan beliau adalah satu-satunya calon popular untuk jawatan tersebut. Dengan kata lain, inilah calon MB yang dipertaruhkan UMNO kepada rakyat. Namun begitu, berlaku kejutan apabila Istana Johor telah melantik Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai MB. Pimpinan dan ahli UMNO sendiri kehairanan apakah yang telah dibincangkan oleh Presiden UMNO dengan pihak Istana sebelumnya.

Gegak gempita bukan sahaja berlaku dalam UMNO, tetapi juga di negeri Johor khususnya dan di Malaysia amnya. Komen-komen yang pedas telah bermunculan daripada pimpinan dan ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan pelantikan ini. Persoalan juga telah merebak ke isu perundangan dan perlembagaan serta isu “demokratik” atau tidak pelantikan ini. Rakyat telah memilih UMNO antaranya adalah kerana janji bahawa Hasni akan menjadi MB, namun yang berlaku adalah sebaliknya. Persoalan yang wajar difikirkan oleh rakyat ialah, siapakah yang ke sekian kalinya kena game dalam isu ini, dan siapakah yang untung dengannya?

Rakyat Johor telah membuat satu kejutan yang amat dahsyat dan luar biasa semasa PRU-14, yang memang tidak pernah terbayang akan berlaku di Malaysia. Johor yang terkenal sebagai kubu kuat UMNO dan sering dijoloki dengan negeri UMNO totok, ternyata berjaya ditumbangkan oleh rakyat. PH berjaya menawan Johor hasil sokongan rakyat Johor sendiri, yang hakikatnya menginginkan perubahan. Namun, akibat pengkhianatan daripada “wakil” mereka yang telah melompat parti dan menukar sokongan, maka kerajaan PH tumbang, dan UMNO kembali berkuasa dengan majoriti yang sangat tipis. Rakyat, khususnya para pengundi ternyata kena game dan yang untung ialah ahli serta parti politik yang berkuasa.

Tidak ada siapa pun yang dapat menafikan bahawa sejak merdeka hingga kini, parti mana pun yang menang pilihan raya tidak pernah menerapkan Islam. Sedangkan kewajipan mereka yang berkuasa ialah untuk menerapkan Islam. Mereka telah mengkhianati amanah kekuasaan iaitu kewajipan menerapkan hukum Allah secara kaffah. Mereka yang menang dan memerintah tidak pernah menjadikan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya sebagai perlembagaan dan undang-undang negara, sebaliknya hanya terus mengekalkan hukum penjajah!

Sesungguhnya tidak ada guna sedikit pun kemenangan apabila hukum Allah diletakkan di belakang, apatah lagi apabila mengambil hak-Nya dalam membuat hukum. Semua ini hanya akan mengakibatkan dosa yang besar di dunia dan azab yang pedih di akhirat. Jika menerapkan sebahagian sahaja daripada hukum Allah, sudah dijanjikan-Nya kehinaan di dunia dan azab di akhirat, maka bayangkan jika hukum Allah itu tidak diterapkan secara kaffah. Firman-Nya,

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian (isi) al-Kitab dan mengkufuri sebahagian yang lain? Maka, tidak ada balasan bagi orang yang melakukan hal itu, selain kehinaan dalam kehidupan di dunia, dan pada hari Kiamat nanti akan dikembalikan kepada azab yang sangat pedih” [TMQ al-Baqarah (2): 85].

Selain pemerintah yang menanggung dosa kerana tidak menerapkan hukum Allah, para pengundi dan pengikut mereka juga seharusnya memerhatikan hal ini dengan serius, kerana setiap undi dan sokongan yang diberikan kepada mereka yang sudah diketahui tidak akan menerapkan hukum-Nya, maka ia juga tidak akan lepas daripada perhitungan (hisab) Allah. Firman-Nya,

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” [TMQ Hud (11): 113].

Inilah ancaman Allah ke atas mereka yang tidak menerapkan hukum-Nya. Justeru, apakah gunanya kemenangan jika akhirnya menjadi arang?

Kalah Jadi Abu

Seperti yang telah diketahui umum, terdapat beberapa parti baru yang menyertai PRN Johor baru-baru ini seperti MUDA, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Warisan (Warisan), walaupun sebahagiannya hanyalah muka lama dalam politik Malaysia. Selain MUDA yang hanya menang satu kerusi, parti-parti lain bukan sekadar kalah, malah kehilangan deposit. Secara keseluruhannya, seramai 85 calon yang bukan sahaja kalah, malah pulang dengan “tangan kosong” setelah gagal memperolehi satu per lapan atau 12.5 peratus undi. Sudahlah kalah, hilang wang pertaruhan lagi!

Apa yang jelas lagi pasti ialah kesemua parti yang kalah tersebut langsung tidak membawa aspirasi Islam dalam kempen-kempen mereka, walaupun calon-calon mereka beragama Islam! Hakikat ini masih boleh “diterima” memandangkan parti-parti tersebut tidak berdiri atas asas Islam. Apa yang lebih buruk ialah adanya parti yang berdiri atas asas Islam yang terlibat dalam PRN Johor kali ini, juga tidak membawa aspirasi Islam dalam kempen mereka. Seandainya mereka memasuki pilihan raya atas tujuan memartabatkan Islam jika menang, setidaknya apabila mereka kalah, manusia dan malaikat akan menjadi saksi bahawa mereka telah melakukan usaha untuk menegakkan agama Allah.

Sungguh malang apabila parti Islam sebenarnya telah sengaja memasukkan tangan mereka ke dalam lubang yang sama untuk dipatuk berpuluh-puluh kali. Malah mereka merasa redha, puas dan menerima dengan lapang dada setiap kali dipatuk. La haula wa la quwwata illa billah. Mereka tidak pernah peduli akan amaran dan larangan daripada Rasulullah (saw) bahawa seorang Mukmin itu tidak sepatutnya dipatuk dari lubang yang sama sebanyak dua kali!

Realiti berbicara bahawa parti yang menang sudah lama terbukti berdasarkan track record bahawa mereka tidak pernah mempunyai hasrat atau menunjukkan apa-apa usaha untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah. Hal yang sama terbukti terhadap kesemua parti yang kalah, yang juga tidak membawa aspirasi Islam atau mengedepankan penerapan hukum Allah dalam kempen-kempen mereka.

Justeru, dipandang daripada kaca mata syariat, tidak ada perbezaan sedikit pun antara parti yang menang dengan parti yang kalah. Malah, dapat diyakini dengan seyakin-yakinnya bahawa parti-parti yang kalah ini, jika mereka menang sekalipun, mereka tidak akan menerapkan Islam, dan hanya akan mengekalkan hukum penjajah sebagaimana parti yang menang sekarang.

Parti-parti yang kalah ini bukan sahaja telah kehilangan semua wang yang mereka hamburkan, malah masa dan tenaga turut terbuang dan hajat untuk berkuasa tidak kesampaian. Mungkin mereka beralasan bahawa kalah-menang adalah lumrah pertandingan. Minda mereka yang masih terjajah gagal melihat bahawa sebagai Muslim, apa yang wajib mereka perjuangkan ialah Islam dan setiap tindakan mereka wajib dinilai daripada perspektif Islam semata-mata.

Berbaloikah segala wang, masa dan tenaga yang telah hangus apabila perjuangannya bukan untuk Islam? Inilah persoalan yang mereka wajib lihat. Segala usaha yang dilakukan serta wang dan harta yang dibelanjakan, jika bertentangan dengan hukum Islam, maka ia bukan sahaja hangus menjadi abu, tetapi akan dipersoalkan pula di hadapan Allah di akhirat kelak.

Kemenangan Penjajah

Kafir penjajah telah menetapkan sebuah sistem yang diberi nama demokrasi untuk diamalkan di tanah jajahannya, dan mereka mengajar umat Islam bagaimana sistem ini berfungsi dan menanamkan dalam benak umat Islam bahawa sistem ini selaras dengan Islam, malah merupakan sistem terbaik untuk seluruh manusia. Dalam sistem ini, pilihan raya diadakan untuk memilih wakil bagi menghantar manusia ke tempat pembuatan undang-undang, kerana penjajah telah menetapkan bahawa manusialah, bukannya Allah, yang berhak menetapkan undang-undang sendiri untuk mengatur hidup mereka. Agama hanya dibenarkan di masjid-masjid untuk menyembah Tuhan, tetapi “haram” sama sekali dibawa ke tempat pembuatan undang-undang.

Sebelum meninggalkan Tanah Melayu, kafir penjajah juga telah menetapkan apakah perlembagaan dan undang-undang yang mesti dipakai oleh rakyat di negara ini, termasuklah segala peruntukan mengenai pilihan raya. Kafir penjajah telah menetapkan segala peraturan dan fungsi pilihan raya di tanah kaum Muslimin ini, sama sebagaimana yang mereka amalkan di negara mereka. Kafir penjajah telah menetapkan bahawa perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi di negara ini yang mengatasi Al-Quran dan As-Sunnah. Semuanya dilakukan oleh penjajah bagi memastikan umat Islam tidak kembali kepada ajaran Islam.

Atas dasar itu, sejak dulu hingga kini, walaupun penjajah ini telah keluar dari Tanah Melayu, namun mereka tidak pernah lalai daripada memerhatikan setiap perkembangan yang berlaku, apatah lagi dari sudut politik dan pilihan raya. Mereka sentiasa memerhatikan pilihan raya di Malaysia dari dekat, malah sering menghantar pemerhati mereka secara rasmi, bagi memastikan umat Islam tetap tunduk dan patuh serta tidak keluar daripada apa yang telah mereka tetapkan lebih 60 tahun dahulu. Apabila semuanya berjalan sesuai dengan kehendak mereka, maka mereka akan tersenyum kepuasan dan melontarkan pujian dengan senang hati. Jika tidak, maka mereka akan pasti bertindak.

Maka, dalam sesebuah pilihan raya yang berjalan mengikut apa yang ditetapkan oleh penjajah, baik dari segi atur main mahupun tujuannya, satu-satunya pihak yang menang ialah penjajah, kerana segalanya berjalan mengikut kehendak mereka. Sama ada sedar atau tidak, diakui atau tidak, inilah hakikat pilihan raya di Malaysia. Umat Islam hanya dijadikan oleh penjajah tidak lebih daripada bidak-bidak permainan mereka, yang bermain dalam sebuah gelanggang dan peraturan yang mereka tetapkan.

Khatimah

Setiap Muslim seharusnya sedar bahawa kita sekarang bukan sahaja memiliki sistem yang buruk, yang diwarisi daripada kafir penjajah, namun kita juga memiliki para pemimpin yang buruk. Pilihan raya ternyata telah gagal merubah atau menukar kedua-dua keburukan ini. Setiap Muslim seharusnya memiliki keinginan dan melakukan usaha yang sungguh-sungguh untuk menerapkan Islam, kerana mendirikan agama Allah itu merupakan sebuah kewajipan yang qathie. Hal ini (penerapan Islam) juga telah terbukti gagal dicapai melalui pilihan raya, kerana pilihan raya bukanlah direka oleh kafir penjajah untuk mencapai tujuan tersebut. Ingatlah bahawa selama mana kaum Muslimin masih bermain dalam gelanggang penjajah, maka selama itulah yang menang akan menjadi arang dan yang kalah akan menjadi abu.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF