SN598 – “Muhammad Bin Qasim” Akan Muncul Kembali Dengan Izin Allah

SN598

22 April 2022 M / 21 Ramadhan 1443 H

 

Sungguh menyedihkan apabila kita terpaksa menyaksikan kezaliman yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah (swt) ke atas saudara-saudara kita di tengah-tengah bulan Ramadhan yang mulia ini. Bertambah sakit apabila menyaksikan para penguasa umat Islam hanya berpeluk tubuh melihat segala kezaliman ini, sedangkan mereka berkuasa untuk merubahnya dengan kekuasaan yang mereka miliki. Inilah suasana yang kita saksikan di India sekarang ini.  Semasa meraikan perayaan Ram Navmi yang merupakan hari lahir Dewa Rama mengikut kepercayaan Hindu, sekumpulan perusuh daripada kalangan penganut Hindu telah keluar ke jalan raya dan menyerang serta membuat ucapan kebencian terhadap orang Islam. Berdasarkan laporan, insiden keganasan berlaku di beberapa kawasan seperti Madhya Pradesh, Gujarat, Jharkhand dan Bengal Selatan.

Berpuluh-puluh video telah tular dalam media sosial sejak dua minggu lepas yang menunjukkan kumpulan perusuh tersebut memakai kain kuning dan sebahagian lain membawa kayu dan pedang. Mereka berhenti di kawasan kejiranan penduduk Muslim sambil memainkan lagu-lagu provokatif dengan mesej pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam. Dilaporkan bahawa para anggota polis yang berada di tempat kejadian turut terlibat dalam mencetuskan provokasi terhadap penduduk Muslim. Sebuah masjid di kawasan Sarafa Bazar dibakar oleh kumpulan perusuh dan apabila laporan polis dibuat, kebanyakan yang ditahan adalah orang Islam. Begitulah sebahagian ketegangan yang dilaporkan sedang terjadi di India, yang jelas mensasarkan penduduk Muslim. Itu semua hanyalah sebahagian daripada penindasan yang dialami oleh umat Islam di India akibat kezaliman pemerintah Hindu yang sering menzahirkan sifat anti-Islamnya secara terang-terangan.

Masuknya Islam ke Benua Kecil India

Pada tahun 711 M, sejumlah pedagang Muslim belayar merentasi Lautan Hindi dari Ceylon berhampiran pantai Sindh, kemudian kapal mereka telah dirompak dan mereka ditawan. Berita itu sampai ke ibu kota Khilafah, di mana Khalifah ketika itu ialah Al-Walid bin Abd al-Malik. Beliau lalu menghantar surat kepada Hajjaj bin Yusuf ats-Tsaqafi (Gabenor Iraq ketika itu), mengarahkannya untuk meminta pemerintah Sindh memohon maaf atas tindakan biadab tersebut, dan mengarahkan Hajjaj agar menggerakkan tentera untuk membebaskan Muslim yang ditangkap itu. Hajjaj kemudian menghantar sepasukan tentera di bawah pimpinan seorang pemuda yang berani, kuat lagi bijaksana. Namanya terpahat di hati umat Islam hingga kini, terutamanya di rantau Benua Kecil India. Beliau mengambil tanggungjawab memimpin tentera Khilafah ke sebuah negeri asing. Beliau ialah Muhammad bin Qasim ats-Tsaqafi, yang tak lain tak bukan ialah sepupu kepada Hajjaj sendiri.

Begitulah “jawapan” seorang pemimpin (Khalifah) dan bagaimana beliau menimbangkan perkara tersebut sebagai seorang penguasa kaum Muslimin. Begitulah sifat dan sikap penguasa yang sebenar menurut Islam, yang berpegang kepada akidah Islam –  tidak akan menerima sebarang rundingan atau apa jua kompromi apabila melibatkan hak, maruah, harta dan nyawa umat Islam. Tidak ada siapa pun, apatah lagi orang kafir, yang boleh mempermainkan maruah, harta, darah dan nyawa umat Islam di mata sang Khalifah. Al-Walid bin Abd al-Malik tidak hanya sekadar “mengutuk” serangan dan tangkapan ke atas kaum Muslimin, atau terhegeh-terhegeh mencari bantuan daripada kuasa kuffar, untuk membebaskan kaum Muslimin, tetapi beliau terus mengisytiharkan jihad dan meminta penguasa kafir yang melakukan kezaliman itu supaya meminta maaf.

Apabila Muhammad Bin Qasim dan tenteranya tiba di Debal (berhampiran Karachi), beliau menyampaikan tuntutannya kepada pemerintah Debal, Raja Dahir, agar membebaskan kaum Muslimin yang ditawan. Malangnya ditolak oleh Raja Dahir. Lalu kemudian Muhammad bin Qasim terus memeranginya dan berjaya mengalahkannya. Maka berlakulah pembukaan (futuhat) Debal dan dari sinilah bermula masuknya agama Allah (swt) ke Benua Kecil India. Kejayaan pertama ini kemudian diikuti dengan kejayaan-kejayaan lain selepasnya.

Dalam tempoh tiga tahun, iaitu bermula 714 M, seluruh Sindh dan Punjab Selatan telah berjaya dibuka oleh Muhammad bin Qasim. Pembukaan wilayah ini bukanlah kerana kebencian kaum Muslimin terhadap bangsa lain, atau kerana ingin menghapuskan bangsa lain (sebagaimana kebencian orang kafir terhadap kaum Muslimin), tetapi adalah untuk memasukkan cahaya Allah (swt) ke wilayah berkenaan. Dengan pembukaan bahagian Barat Laut Benua Kecil India, kaum Muslimin telah berjaya mengeluarkan kaum penyembah berhala daripada kegelapan kekufuran kepada cahaya Islam.

Di bawah kekuasaan Islam, Muhammad bin Qasim meminta semua kakitangan negara Khalifah agar menjaga hal ehwal rakyat (termasuk non-Muslim) dengan penuh kejujuran dan keadilan. Mereka menerapkan Islam dan mengambil jizyah tanpa membebankan dan menyediakan kehidupan yang baik untuk orang ramai. Muhammad bin Qasim sedar bahawa kewajipan beliau dan tentera Islam ialah menjadikan kalimah Allah (swt) sebagai yang tertinggi. Atas dasar kewajipan inilah, dan akidah Islam yang mereka miliki, tentera Islam meneruskan futuhat sehingga sampai ke Multan.

Demikianlah ringkasan kisah masuknya Islam ke Benua Kecil India yang tercetus akibat penghinaan oleh kaum penyembah berhala ke atas kaum Muslimin. Sang Khalifah pada waktu itu terus merespons dengan jihad, tanpa kompromi. Inilah perbezaan nyata antara Khalifah terdahulu dengan penguasa yang ada pada hari ini. Penguasa Muslim hari ini rata-ratanya berdiam diri dan paling tinggi pun hanya “berani” mengeluarkan kecaman lembut ke atas pemimpin kafir yang menzalimi umat Islam. Lebih buruk, mereka hanya berharap kepada Amerika dan PBB untuk memerhatikan nasib umat Islam, padahal Amerika dan PBB merupakan musuh umat Islam yang nyata. Para penguasa Muslim saat ini tidak lebih daripada para pengkhianat dan pelakon yang sudah tidak ada rasa malu untuk melakukan pengkhianatan dan mempamerkan lakonan mereka kepada seluruh dunia!

Terlepasnya Benua Kecil India Daripada Islam

Kejatuhan Benua Kecil India adalah akibat rancangan jahat yang berterusan oleh penjajah, dan juga kerana jauhnya benua tersebut dari ibu kota Khilafah iaitu Istanbul, yang menyukarkan pemantauan dilakukan oleh pusat keKhilafahan. Hal ini ditambah dengan kelemahan yang telah mula meresapi umat Islam secara umumnya ketika itu. Kaum kafir melihat kelemahan ini dan melihat peluang yang terbuka untuk mereka menguasai Benua Kecil India. Pencerobohan British ke atas Benua Kecil India berlaku pada tahun 1757, namun mereka ditentang hebat oleh kaum Muslimin. Walaupun British dibantu oleh beberapa pasukan Hindu, Sikh dan Budha, namun kaum Muslimin tetap memenangi pertempuran demi pertempuran yang berlaku. Britain gagal menguasai wilayah tersebut sehinggalah selepas beberapa dekad peperangan sengit dengan kaum Muslimin.

Sejak itu, penjajahan demi penjajahan terus berlangsung di rantau tersebut, sama ada melalui penjajahan tentera secara langsung pada suatu masa, atau melalui kerajaan dan pemimpin tentera yang menjadi agen kepada penjajah pada suatu masa lain. Pendek kata, penjajah telah berjaya menguasai benua tersebut sama ada secara langsung atau tidak. Akhirnya, suasana dan gaya hidup Jahiliyah telah kembali ke wilayah tersebut, akibat pemerintahan kufur yang telah menggantikan pemerintahan Islam.

Sejarah telah mencatat bahawa terdapat perbezaan ketara antara tingkah laku pemimpin pada waktu itu, dengan tingkah laku penguasa Muslim yang ada pada hari ini. Di sepanjang tempoh pencerobohan British, dan kelemahan pemerintahan Mughal ke atas beberapa kawasan di India, beberapa orang pemimpin Muslim pada waktu itu mula mencari dukungan dan legitimasi daripada Khalifah di Istanbul. Mereka tidak pernah meminta dukungan daripada kuasa kuffar, seperti yang dilakukan oleh pemerintah hari ini, yang berpaling kepada Amerika, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Kesatuan Eropah (EU), bagi mendapatkan sokongan dan bantuan.

Pemerintah Kannur (Cannanore) sebagai contoh, telah menghantar satu mesej diplomatik kepada Sultan Abdul Hamid I pada tahun 1779 menyatakan, “Saya memohon kepada Khalifah untuk dilindungi daripada pencerobohan Syarikat Hindia Timur Inggeris.” Kita juga melihat bagaimana Tippu Sultan (Gabenor Mysore), meminta Khalifah mengiktiraf pemerintahannya. Malangnya Khalifah tidak berada di pusat pemerintahan pada waktu itu, sehingga tidak dapat menghantar tentera ke Benua Kecil India. Bagaimanapun Khalifah menghantar mesej yang mengiktiraf Tippu sebagai Gabenor Mysore. Tippu tidak menghantar ‘surat minta sokongan’nya kepada kuasa kuffar sebagaimana pemerintah Muslim pada hari ini yang menghantar mesej kepada kuasa kuffar untuk menagih sokongan untuk berkuasa!

Khilafah Sebagai Solusi

Sesungguhnya kebaikan, keadilan dan cahaya Islam yang masuk ke India melalui tentera Islam yang dipimpin oleh Muhammad bin Qasim, dapat dikembalikan jika terdapat kehendak politik (political will) daripada kaum Muslimin saat ini. Caranya tidak lain ialah dengan kaum Muslimin berusaha untuk menegakkan kembali Khilafah, menggantikan para penguasa bacul dan khianat yang ada sekarang, dengan seorang Khalifah yang berani, adil dan bertanggungjawab dalam menunaikan amanahnya ke atas kaum Muslimin.

Pada hari ini kita menyaksikan kaum Muslimin dihina, diancam, diseksa, diperangi dan dibunuh dalam skala yang cukup besar oleh para penguasa kuffar yang bencikan Islam. Para penguasa ini menggunakan seluruh kekuatan negara yang mereka miliki untuk membantai umat Islam. Kita semua mengetahui hakikat ini, yang bukan sahaja terjadi di India, tetapi juga di China (Turkestan Timur / Xinjiang), di Myanmar, Palestin, Afrika Tengah dan lain-lain. Bahkan lebih buruk, pembunuhan, penindasan dan intimidasi ke atas kaum Muslimin berlaku di negara mereka sendiri, oleh para penguasa yang mengaku beragama Islam seperti di Syria, Mesir, Yemen, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan lain-lain.

Sesungguhnya tidak ada kekuatan yang mampu melawan semua kejahatan ini kecuali Khilafah. Telah terbukti di depan mata selama puluhan tahun bahawa para penguasa yang ada saat ini bukan sahaja tidak mempedulikan nasib umat Islam yang diperlakukan sewenang-wenangnya oleh puak kuffar, malah merekalah yang menjadi penindas kepada umat Islam di dalam negara mereka sendiri. Tanpa seorang penguasa yang menjaga, menyayangi dan mempedulikan nasib umat Islam, bagaimana mungkin umat Islam dapat keluar daripada semua malapetaka dahsyat yang menimpa mereka saat ini?

Melalui seorang Khalifah yang tidak akan berpeluk tubuh melihat umat Islam diapa-apakan oleh kaum kuffar, insya Allah sosok seperti Muhammad bin Qasim, Muhammad al-Fatih dan Sallehuddin al-Ayyubi akan kembali ke dalam tubuh umat Islam. Jika Allah (swt) berkuasa untuk melahirkan Musa di tengah-tengah kezaliman Firaun yang membunuh kesemua anak lelaki bagi mempertahankan kuasanya, sesungguhnya Allah (swt) juga berkuasa untuk melahirkan bukan seorang, malah ramai anak lelaki yang akan menghancurkan kekuasaan musuh-Nya di India, China, Myanmar, Palestin, Amerika, Rusia dan lain-lain. Sungguh perkara ini amat mudah bagi Allah (swt), dan hanya menunggu masa sahaja untuk kita menyaksikan semua itu.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Apa yang wajib kita lakukan sekarang ialah berusaha dan terus berusaha tanpa henti hinggalah tegaknya Khilafah. Jika kita melihat saudara-saudara kita pada hari ini terkena penyakit wahn sehingga mengabaikan kewajipan untuk menegakkan Khilafah, maka kita wajib menyedarkan mereka. Jika kita melihat para tentera kaum Muslimin pada hari ini tidak bergerak untuk menyelamatkan darah dan nyawa umat Islam, maka kita wajib memperingatkan mereka. Jika kita melihat para penguasa pada hari ini tidak mempedulikan nasib umat Islam, maka kita wajib berusaha untuk memuhasabah dan seterusnya menggantikan mereka. Pendek kata, kita tidak boleh berdiam diri, tetapi wajib berusaha dengan segala kemampuan yang kita miliki untuk menegakkan kembali Khilafah, yang dengannya sahajalah saudara-saudara seakidah kita yang menjadi mangsa kekejaman dapat diselamatkan.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF