SN135 – KHILAFAH AKAN KEMBALI DENGAN IZIN ALLAH

PDF

SN Keluaran 17 Ogos 2007

 

Logo SN

[SN135] Laungan ALLAHU AKBAR oleh 100,000 manusia menggamatkan Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada Ahad lepas (28 Rejab 1428H / 12 Ogos 2007M) di mana telah berlangsung International Khilafah Conference (Persidangan Khilafah Antarabangsa) 2007 dengan tema “Saatnya Khilafah Memimpin Dunia” yang diselenggarakan oleh Hizbut Tahrir Indonesia (HTI). Tidak ada daya dan kekuatan kecuali milik Allah jua. Tidak ada apa yang dapat menyekat kuasa Allah Subhanahu wa Ta’ala apabila Dia menghendaki sesuatu untuk berlaku. Rejim-rejim kufur di seluruh dunia yang cuba menghalang suara kebenaran dari dikumandangkan ternyata gagal di dalam usaha mereka. Kejayaan Hizbut Tahrir Indonesia di dalam menganjurkan Muktamar Khilafah Antarabangsa Ahad lalu memberi mesej yang jelas kepada seluruh dunia bahawa kebangkitan umat Islam sudah tidak dapat dibendung lagi dan Khilafah akan kembali semula dengan izin Allah di dalam waktu yang terdekat, InsyaAllah.

Segala puji bagi Allah yang telah menyempurnakan muktamar tersebut dari awal hingga akhir dan menjadikannya muktamar terbesar di dunia semenjak jatuhnya Khilafah pada 28 Rejab 1342H. Dalam perkembangan yang berkaitan, Muktamar Khilafah oleh Hizbut Tahrir Malaysia yang sepatutnya diadakan di Masjid Negeri, Shah Alam, Selangor telah di pindahkan pada waktu-waktu terakhir ke Pusat Perkembangan Dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Dengan izin Allah, muktamar telah berjalan dengan baik, meskipun berlaku sedikit masalah melibatkan pihak berkuasa. Suara kebenaran sesungguhnya akan pasti menyerlah walau apa jua halangan dan hambatan yang dilontarkan kepadanya.

Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Masjid Negeri Shah Alam dan juga pihak CITU khususnya yang telah memberi kerjasama penuh sehingga muktamar dapat berjalan dengan baik hingga ke penghujungnya. Kepada Allah kami memohon agar segala kerjasama dan kebaikan yang diberikan diganjari olehNya. Kami juga sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada lebih kurang 500 orang hadirin yang datang dari seluruh negara yang terpaksa membanjiri Dewan Muktamar yang hanya dapat menampung 200 orang peserta. Selain Indonesia dan Malaysia, pada hari yang sama, Muktamar Khilafah turut diadakan oleh Hizbut Tahrir Lebanon dan Hizbut Tahrir Belanda. Sehari sebelumnya, ia diadakan oleh Hizbut Tahrir Palestin (di Tebing Barat) yang dihadiri oleh lebih 10,000 orang. Terdahulu, Hizbut Tahrir Britain telahpun mengadakan Khilafah Conference yang sama pada 4 Ogos 2007 yang menyaksikan kehadiran peserta lebih kurang 3,000 orang dan pada awal tahun ini iaitu pada 28 Januari 2007, Hizbut Tahrir Australia telah berjaya menyelenggarakan Persidangan Khilafah yang julung-julung kali diadakan di Sydney, Australia. InsyaAllah di dalam masa lebih kurang seminggu lagi, Khilafah Conference akan diadakan oleh Hizbut Tahrir di Yemen, Pakistan dan juga Denmark. Semoga Allah bersama dengan mereka yang bersungguh-sungguh dan ikhlas menyampaikan kebenaran.

Di antara mereka yang berucap di International Khilafah Conference 2007 Jakarta ialah Ustaz Muhammad Ismail Yusanto (jurucakap rasmi HTI), Ustaz Hafidz Abdurrahman (Ketua, Dewan Pimpinan Pusat HTI), Dr. Salim Fredericks (HT Denmark) dan Syeikh Usman Ibrahim (HT Sudan). Selain dari anggota Hizbut Tahrir, mereka yang turut berucap adalah Ketua Umum Muhammadiyah, Din Syamsuddin, Ketua Umum Syarikat Islam, Amrullah Ahmad, Ketua Majlis Ulama Islam (MUI) Sumatera Selatan, Tholan Abdul Rauf, dan tokoh Nahdiyin (NU) dari Nusa Tenggara Barat, Tuan Guru Turmudzi Badhuli. Dua orang pembicara lainnya yang sepatutnya berucap iaitu Ustadz Abu Bakar Basyir dan Habieb Rizieq Shihab telah dihalang lebih awal oleh Pihak Berkuasa Indonesia dari menghadiri persidangan tersebut. Selain ulama dari Indonesia, Profesor Hassan Ko Nakata dari Jepun turut menjadi pembicara undangan.

Dr. Imran Waheed dari Hizbut Tahrir Britain, yang sepatutnya menjadi salah seorang pembicara, telah dihalang dari memasuki Indonesia sebaik sahaja memijakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta. Tiada sebarang sebab diberikan samada oleh Pihak Imigresen mahupun kerajaan Indonesia tentang halangan tersebut. Beliau seterusnya diiringi sehingga menaiki semula kapal terbang untuk membawa beliau keluar dari Indonesia.

Turut menerima nasib yang sama adalah Ismail Wah Wah dari Hizbut Tahrir Australia apabila beliau turut dihalang memasuki Indonesia di lapangan terbang yang sama. Lebih mendukacitakan, Syeikh Issam Amirah dari Hizbut Tahrir Palestin dihalang semasa beliau masih di Palestin dan tidak dibenar meninggalkan Palestin, tanpa apa-apa sebab diberikan. Persidangan Antarabangsa Khilafah di Jakarta ini telah mendapat liputan media di seluruh dunia. Di Malaysia, liputan turut dimuatkan oleh pihak TV3 dalam Bulletin Utama pada malam itu juga. Antara agensi berita asing yang membuat liputan segera adalah Reuters, Euronews, Al-Jazeera, BBC World, Independent, Fox News dan banyak lagi.

Para pembaca yang dihormati bolehlah menonton berita-berita yang disiarkan dengan melayari www.khilafah.com atau laman web Hizbut Tahrir Indonesia (atau HT Britain) bagi mendapat gambaran sebenar dan menyeluruh. Beberapa perkembangan juga telah dimuat naik (uploaded) di www.youtube.com. Sesungguhnya International Khilafah Conference 2007 di Jakarta telah berjaya menghimpunkan umat Islam di seluruh Indonesia khasnya dan seluruh dunia amnya di dalam membawa satu mesej dan aspirasi bahawa kaum Muslimin memerlukan Khilafah yang akan menyatukan mereka dan mengembalikan semula kemuliaan dan kegemilangan mereka dan seterusnya mengalahkan musuh-musuh mereka. Gelombang perubahan dan angin rahmat kini bertiup kencang untuk menghilangkan segala rintangan dan debu-debu kotor yang menyelimuti umat Islam. Ketakutan dan kegerunan Barat kepada kemunculan semula Khilafah semakin jelas kelihatan. Suara kebenaran dilaungkan oleh seluruh umat Islam dan bergema dari seluruh pelusuk dunia tanpa mengira sempadan, bangsa, bahasa dan keturunan.

Panji-panji dan bendera Rasulullah berkibar megah tanda bersatunya kaum Muslimin di bawah satu kalimah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah. Pertolongan Allah terasa semakin dekat dan kemenangan semakin hampir. Inilah janji Allah kepada mereka yang beriman dan beramal soleh bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi sebagaimana Allah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. Bersempena dengan Khilafah Conference yang diadakan hampir serentak di seluruh dunia, Amir Hizbut Tahrir sedunia (Hizbut Tahrir Pusat), Syeikh Atha’ Abu Rusytah telah membuat satu perutusan yang telah dibacakan di permulaan muktamar-muktamar tersebut (watikah asal adalah di dalam Bahasa Arab) dan kami paparkan di sini perutusan tersebut agar dapat dijadikan peringatan kepada semua kaum Muslimin dan kami memohon kepada Allah agar dibukakan pintu hati mereka yang masih tertutup, semoga cahaya kebenaran memasuki dan menyinari hati-hati mereka…

KALIMAH IFTITAH

Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin, wassalatu was salamu ‘ala Rasulillah, wa ‘ala alihi wa sahbihi wa min walah…

Saudara-saudaraku yang mulia! Assalamu‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah meletakkan keutamaan kepada bani Adam berbanding penciptaanNya yang lain.

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah benarkan mereka menggunakan berbagai kenderaan di darat dan di lautan dan Kami telah memberi rezeki kepada mereka dari yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan” [TMQ al-Isra’ (17):70]

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjadikan manusia lebih tinggi kerana akal dan pemikiran mereka, agar manusia dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa hebat yang berlaku di sepanjang zaman, tidak kira samada peristiwa tersebut adalah peristiwa yang baik mahupun yang buruk. Kesemua ini berlaku agar manusia dapat belajar dari perisiwa-peristiwa ini, agar manusia dapat belajar dari yang baik dan membuang yang buruk, tanpa membiarkan sahaja peristiwa-peristiwa tersebut berlalu seolah-olah ia tidak pernah berlaku. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memilih tempat dan masa bagi sesuatu peristiwa untuk berlaku dan Allah juga memilih beberapa peristiwa yang lebih utama untuk diperhatikan pada waktu dan tempat tertentu lebih dari yang lainnya. Sebagai contoh, kezaliman merupakan sesuatu yang haram dan ia merupakan suatu dosa tidak kira di mana juga ia berlaku. Walaubagaimanapun, sekiranya kezaliman berlaku di Baitul Haram, ia merupakan satu keharaman yang besar dan dosanya juga adalah lebih besar.

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalangi manusia dari jalan Allah dan Masjid al-Haram yang telah Kami jadikan untuk semua manusia, baik yang bermukim di situ mahupun di padang pasir, dan sesiapa yang bermaksud melakukan kejahatan secara zalim di dalamnya, nescaya Kami azab mereka itu dengan azab yang pedih” [TMQ al-Hajj (22):25].

Kezaliman juga adalah haram dan satu perbuatan yang berdosa tidak kira dilakukan pada bila-bila masa sekalipun. Walaubagaimanapun, kezaliman membawa keharaman dan dosa yang lebih besar sekiranya ia dilakukan pada bulan-bulan haram.

Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan yang empat itu...” [TMQ at-Taubah (9):36].

Apa saja peristiwa yang berlaku, baik atau buruk, di dalam bulan-bulan haram, adalah lebih wajar diperhatikan berbanding peristiwa yang sama berlaku di bulan-bulan lainnya. Hari ini, kita berkumpul di dalam bulan haram, iaitu bulan Rejab dan Allah menjadikan bulan ini bulan yang mulia dan penuh kerahmatan. Kerana itu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabat juga menjadikan bulan ini bulan yang mulia dan penuh keberkatan. Ingin kami mengambil kesempatan bersama kalian, pada hari yang mulia ini untuk memperingati tiga peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini agar kita sama-sama dapat mengambil iktibar darinya; mengkajinya dan mengambil teladan darinya; semoga kita dapat mengambil yang baik darinya dan menghalang keburukan yang kita perhatikan melalui peristiwa–peristiwa tersebut dari berulang. Ini bermakna bahawa kita harus benar-benar mengambil iktibar darinya, dan berusaha agar tidak mengulangi pembacaan mengenai peristiwa-peristiwa ini, ibarat kata kita membuang masa membaca sebuah kisah, tanpa mengambil sebarang pelajaran darinya.

Peristiwa pertama adalah peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Ia berlaku pada 27hb Rejab berdasarkan riwayat yang paling sahih. Peristiwa ini berlaku selepas Ummul Mukminin, Khadijah RadiAllahu’anha dan bapa saudara Rasulullah, Abu Thalib, meninggal dunia. Sejak pemergian mereka berdua, kaum Quraish memperhebatkan lagi gangguan dan penyiksaan ke atas Rasulullah dan para sahabat. Masyarakat Mekah mula tidak memperdulikan seruan Rasulullah. Namun Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengurniakan kepada baginda kemuliaan melalui peristiwa Isra’ di mana baginda dibawa dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa. Setelah itu, di dalam peristiwa Mi’raj, Allah telah mengangkat baginda ke langit yang tertinggi. Melalui peristiwa ini Allah telah menunjukkan kepada kekasihNya ini berbagai penciptaanNya yang agung. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini dengan jelas sekali meletakkan Islam dan RasulNya di tempat yang mulia serta memberikan ketenangan kepada baginda Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Ia merupakan petanda bahawa kekufuran akan lenyap dan kemenangan adalah semakin hampir. Wahai saudara-saudaraku! Di sini kita perlu berfikir sejenak untuk menghayati kepentingan peristiwa ini. Ramai antara kita yang tidak sedar akan hakikat peri pentingnya peristiwa Isra’ dan Mi’raj ketika kita membacanya atau mendengar ceramah mengenainya. Apa yang harus kita sedari adalah, bersamaan dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini, terdapat satu lagi perkara yang amat penting – iaitu peristiwa thalabun nusrah (mendapatkan sokongan bagi mencapai kemenangan untuk Islam). Allah Yang Maha Pemurah telah memuliakan Rasulullah dengan dua perkara ini (Isra’ Mi’raj dan thalabun nusrah) ketika gangguan dan penyiksaan kaum Quraish ke atas baginda semakin menjadi-jadi. Pemahaman akan hakikat ini memanifestasikan kepada kita hubungan antara peristiwa bai’ah Aqabah serta usaha-usaha ke arah kemenangan yang lainnya dengan peristiwa Isra’ Mi’raj dan thalabun nusrah. Dalam kita belajar, mengambil iktibar dan beramal bersandarkan peristiwa Isra’ Mi’raj ini serta bersyukur kepada Allah akan kebaikan yang diperoleh darinya, kita juga haruslah berusaha siang dan malam untuk melakukan thalabun nusrah dari mereka yang memiliki kekuasaan dengan kebenaran dan keikhlasan. Kita juga yakin bahawa kemenangan dari Allah ini akan tiba melalui mereka yang akan membantu (al-Ansar), sama seperti kaum al-Ansar (Auz dan Khazraj) dahulu yang beriman, ketika mana mereka membantu Rasulullah memperolehi kemenangan bagi Islam. Selepas bantuan (nusrah) ini, dengan izin Allah, Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah (Khilafah atas jalan kenabian) akan kembali dan pada hari tersebut, kaum Muslimin akan bergembira dengan kemenangan agung dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Peristiwa kedua yang perlu kita sama-sama ingati di dalam bulan haram ini adalah peristiwa pembebasan Baitul Maqdis yang berlaku pada 27hb Rejab 583H. Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, dalam peristiwa Isra’ Mi’raj, ramai antara kita yang tidak menyedari tentang thalabun nusrah ; begitulah juga, ramai tidak menyedari akan satu hal penting yang seharusnya kita ambil perhatian ketika kita membaca mengenai pembebasan Baitul Maqdis. Hal yang penting ini adalah bahawa pembebasan ini berlaku pada bulan Rejab 583H, selepas Mesir kembali disatukan ke dalam Daulah Khilafah pada 567H. Mesir pada suatu ketika telah terpisah dari Daulah Khilafah apabila golongan Fathimiyyin memisahkan diri dari Khilafah pada tahun 359H.

Apa yang dapat kita perhatikan adalah bahawa Salahuddin dan Nuruddin sebelumnya tidak dapat membebaskan Palestin sehinggalah mereka dapat menyatukan kembali Mesir ke dalam Daulah. Ketika Al-Nasir menjadi Khalifah Abbasiyyah dan Salahuddin merupakan wali di Mesir dan Sham, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan kemenangan kepada kaum Muslimin melalui pembebasan Masjid Al-Aqsa. Salahuddin telah mengirimkan berita gembira ini kepada Al-Nasir dan mendengarkan berita kemenangan yang agung ini, kaum Muslimin telah bertakbir dan bertahmid, bersyukur kepada Allah atas nikmat ini. Perkara ini, yakni mengenai pembebasan Baitul Maqdis ini, haruslah disedari dengan akal dan intelek yang telah Allah kurniakan kepada kita. Justeru, bagi mereka yang mencintai Al-Aqsa dan ingin melihat pembebasannya, maka seharusnyalah ia memulakan perjuangan dengan ikhlas untuk menegakkan sebuah Negara bagi seluruh kaum Muslimin (iaitu) Khilafah Rashidah ‘ala minhaj nubuwwah.

Negara ini kemudiannya akan menghancurkan Negara Yahudi dari akar umbinya dan mengembalikan Palestin kepada Daulah Islam, tanpa sebarang perundingan atau perdamaian dengan mereka. Sekiranya kaum Muslimin tidak dapat melakukannya hari ini, kita akan terus berada dalam suasana perang dengan entiti Yahudi ini sehinggalah seseorang yang mendapat bantuan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala tiba dan membebaskannya. Sesungguhnya amat agunglah kemenangan ini baginya.

Peristiwa ketiga yang harus kita ingati di bulan haram ini adalah mengenai tragedi kehancuran Khilafah apabila golongan kolonial kuffar, diketuai oleh Britain dengan bantuan para pengkhianat Arab dan Turki, telah berjaya meruntuhkan tahkta kemuliaan Islam dan kaum Muslimin, dengan mendeklarasi keruntuhannya pada 28hb Rejab 1342H bersamaan 3hb Mac 1924M. Selepas peristiwa kehancuran ini, berbagai tragedi telah menimpa kaum Muslimin. Tanah mereka dikecai-kecai dan dibahagi-bahagikan kepada lebih 50 buah negara. Golongan kolonial kuffar meletakkan di setiap Negara tersebut pemerintah yang saling memusuhi antara satu sama lain. Mereka bertelagah atas perkara kebaikan dan sekiranya mereka bersetuju sekalipun, ia kerapkali diselubungi keburukan. Setiap kali mereka bertemu, ia hanya akan membawa kemudharatan kepada umat. Kali terakhir, lihatlah sahaja pertemuan di Riyadh di mana mereka bersepakat untuk menjual Palestin kepada Yahudi.

Mereka ini telah mencapai tahap kehinaan yang amat rendah, sehingga Amerika sendiri memanipulasi kehinaan ini dengan mempergunakan nyawa kaum Muslimin untuk menyelamatkan tenteranya di Iraq, sepertimana yang dilihat di Persidangan Baghdad dan Sharm al-Sheikh. Semakin tenggelamlah mereka, yakni para pemimpin ini di dalam kehinaan – begitu sombong sekali mereka menggunakan kekuasaan mereka! Semua kehinaan ini berlaku kerana mereka telah membelakangi kefardhuan yang telah Allah tetapkan ke atas mereka, yakni mengembalikan Daulah Khilafah; menyebabkan mereka ditimpa keaiban dan kehinaan dari semua pihak. Kita pada hari ini wahai saudara-saudaraku, diwajibkan untuk bekerja ke arah menegakkan semula kefardhuan ini dan kita yakin bahawa ia pasti akan berlaku, bertepatan dengan hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bermaksud,

“…kemudian akan kembali khilafah ‘ala minhaj nubuwwah[HR Ahmad].

Pada ketika itu, kita akan dimuliakan seperti mana mereka yang terdahulu dari kita telah dimuliakan dengan iman dan kita akan mencapai kemenangan yang agung seperti mana mereka yang terdahulu dari kita mencapainya. Dan yang lebih utama, kita akan bertemu dengan Allah pada hari Kiamat dalam keadaan Allah redha kepada kita. Kita sebagai kaum Muslimin seharusnya bertemu dengan Allah dalam keadaan kita meletakkan bai’ah kepada seorang Khalifah yang memerintah dengan Islam, sehingga kebaikan bai’ah yang ada pada pundak kita ini akan menjadi saksi bagi kita ketika bertemu denganNya. Janganlah kita menemui Allah dalam keadaan mati jahiliyyah sekiranya kita tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas kepada Allah dan RasulNya untuk mengembalikan kefardhuan ini.

Wahai saudaraku! Cukuplah kita meneliti tiga peristiwa tersebut di bulan haram, bulan Rajab yang mulia ini, yakni:-

(1) Isra’ dan Mi’raj dan hubungannya dengan peristiwa thalabun nusrah yang akhirnya membawa kemenangan kepada kaum Muslimin;

(2) Pembebasan Baitul Maqdis setelah penyatuan Mesir ke dalam Daulah Khilafah; dan

(3) Tragedi penghancuran Khilafah, di mana kita wajib bekerja untuk mengembalikannya semula dengan penuh keikhlasan.

Dengan menyingkapkan peristiwa-peristiwa tersebut yang penuh dengan pengajaran, ingin saya akhiri Kalimah Iftitah (kata-kata pembukaan) ini dengan memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar menjadikan mujtama’ (perhimpunan) ini penuh dengan kebaikan, dengan pandangan-pandangan yang bijaksana, amal yang benar, ilmu yang memberikan kesan dan dengannya Allah memberikan kebaikan, keberkatan dan kemenangan yang agung.

Insya Allah.

Wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.