SN599 – Hanya Khilafah Pemersatu Puasa Dan Raya Umat Islam
SN599
29 April 2022 M / 28 Ramadhan 1443 H
Walaupun hati terasa sayu melihat Ramadhan yang bakal berlalu, namun segala puji kita panjatkan kepada Allah yang telah memberi kesempatan kepada kita menjalani Ramadhan pada tahun ini. Hati juga turut sayu melihat perpecahan umat Islam yang masih belum berakhir, khususnya dalam memulakan puasa dan menyambut raya yang bakal tiba. Berita mengenai tarikh Idul Fitri tahun ini agak kecoh di alam maya apabila tularnya satu berita yang dikatakan bersumberkan dari Jabatan Mufti Melaka dan Balai Cerap Al-Khawarizmi di negeri berkenaan yang menyatakan kemungkinan besar tarikh 1 Syawal akan jatuh pada 2 Mei, bukannya pada 3 Mei sebagaimana yang tertera dalam kalendar. Mesej tersebut menyatakan kononnya perubahan itu disebabkan oleh perkiraan syarat kenampakan hilal mengikut kaedah imkanur rukyah tahun ini yang menggunakan format baru.
Benar atau palsunya berita seumpama ini, hakikatnya puasa dan raya umat Islam adalah berbeza di seluruh dunia, berdasarkan ketetapan pemerintah masing-masing. Ya benar, pemerintah berkuasa untuk menetapkan tarikh puasa dan raya, tetapi isunya ialah “penetapan” itu berdasarkan apa? Jika ia berdasarkan rukyah (semata-mata), maka ketetapan itu adalah benar. Sedangkan jika penetapan tersebut adalah selain daripada itu, seperti menggunakan kaedah hisab atau imkanur rukyah, maka kaedah-kaedah tersebut sama sekali tidak benar. Ini kerana dalil mengenai bermulanya puasa dan raya hanyalah melalui kaedah rukyah (semata-mata). Kaedah hisab atau imkanur rukyah tidak pernah ada dalilnya, dan tidak boleh digunakan untuk menetapkan puasa dan raya kaum Muslimin. Hisab boleh digunakan untuk membantu dalam mengetahui bila berlakunya ijtimak, ketinggian hilal, umur hilal dan sebagainya, tetapi sama sekali tidak boleh digunakan untuk menetapkan awal Ramadhan atau Syawal.
Nas Mula Puasa Dan Raya
Rasulullah (saw) telah mengajar, yang sekali gus memerintahkan kepada kita untuk memulakan puasa dan raya dengan melihat anak bulan (rukyah hilal) semata-mata, tidak dengan kaedah lain. Sabda baginda:
“Berpuasalah kalian kerana melihat hilal dan berbukalah (berhari raya) kerana melihatnya, dan jika mendung (awan) menutupi kalian, maka genapkanlah Sya’ban kepada 30 hari” [HR Bukhari].
Kefahaman dan perintah dalam hadis ini cukup jelas dan tidak ada kesamaran sedikit pun. Lalu bagaimana manusia boleh beralih daripada hal itu (rukyah) kepada hisab? Apatah lagi apabila Rasulullah (saw) telah menjadikan kegagalan melihat hilal akibat mendung, walaupun hakikatnya hilal itu ada (di sebalik awan) sebagai sebab kepada penggenapan bulan Sya’ban (atau Ramadhan) kepada 30 hari.
Jadi rukyah hilal itu hukumnya wajib dalam menentukan masuknya Ramadhan dan Syawal, dan wajib bagi kaum Muslimin memulai puasa atau hari raya apabila hilal telah kelihatan. Manakala jika hilal tidak kelihatan (setelah dirukyah), bulan Sya’ban atau Ramadhan digenapkan kepada 30 hari. Sungguh jelas hukum ini sejelas matahari di siang hari, dan sungguh jelas juga bahawa Rasulullah (saw) tidak pernah menggunakan dan tidak pernah memerintahkan umatnya untuk menggunakan kaedah hisab.
Hal ini lebih jelas lagi dengan terdapatnya satu hadis riwayat Ahmad di dalam Musnad-nya, yang menceritakan apa yang berlaku di zaman Rasulullah (saw):
“Hilal Syawal telah tertutup mendung bagi kami, maka kami meneruskan puasa (menggenapkan Ramadhan) pada pagi esoknya. Kemudian datang sekumpulan penunggang pada hujung siangnya, lalu mereka bersaksi di hadapan Rasulullah bahawa mereka telah melihat hilal (Syawal) semalam. Maka Rasulullah pun memerintahkan orang ramai agar berbuka pada hari itu dan keluar untuk (solat) raya pada keesokannya”.
Cukup jelas dalam hadis ini bahawa penduduk Madinah pada awalnya meneruskan puasa (menggenapkan Ramadhan) kerana hilal tidak kelihatan di tempat mereka, dan mereka tidak mengetahui bahawa hilal sebenarnya telah kelihatan di tempat lain. Justeru, sebaik sahaja mereka menerima informasi yang hilal telah kelihatan walaupun di tempat lain, maka Rasulullah (saw) terus memerintahkan mereka agar berbuka pada hari tersebut, kerana telah masuknya satu Syawal.
Hadis ini juga menjelaskan kepada kita bahawa kesaksian Muslim mana pun, tanpa mengira tempat ia melihat hilal, maka kesaksiannya harus diterima dan menjadi sebab kepada bermulanya puasa/raya. Hadis ini senada dengan hadis lainnya dari Ibnu Abbas yang berkata:
“Telah datang seorang Arab Badwi kepada Nabi Muhammad (saw) kemudian berkata, ‘Sungguh aku telah melihat hilal’. Rasulullah bertanya, ‘Apakah engkau bersaksi bahawa tidak ada sembahan selain Allah dan bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad adalah Rasulullah?’ Orang tersebut menjawab, ‘Ya’. Lalu Rasulullah berkata, ‘Wahai Bilal, umumkan kepada manusia agar mereka berpuasa besok’” [HR Imam yang lima, disahihkan oleh Khuzaimah & Ibnu Hiban].
Jika dahulu berita mengenai hilal lewat sampai kerana keterbatasan sarana dan teknologi, tetapi kini hal tersebut sudah tidak wujud lagi kerana berita mengenai hilal mampu sampai ke setiap orang di belahan dunia mana pun hanya dalam beberapa saat sahaja. Maka, setelah mendengar berita nampaknya hilal di tempat mana pun di muka bumi ini, setiap Muslim wajib berpuasa atau berhari raya. Inilah hukum syarak bagi kita, dan juga bagi pemerintah, yang wajib mengisytiharkan masuknya Ramadhan atau Syawal kepada seluruh kaum Muslimin agar kaum Muslimin dapat menunaikan ibadah ini secara serentak. Sesungguhnya Allah (swt) telah mempermudahkan hal ini bagi manusia, dan tidak ada sebab untuk manusia mempersulitkan urusan ini.
Kita mesti ingat bahawa dalam penetapan puasa dan raya terdapat ketentuan (hukum) yang tidak boleh dipisahkan daripada nas. Perintah daripada Allah dan Rasul-Nya ialah untuk kita melihat hilal, dan perintah ini sekali gus telah “mencegah” kita daripada menggunakan metode yang lain seperti hisab atau imkanu rukyah. Puasa dan raya adalah terkait dengan persoalan ibadah yang penting, yang tidak boleh dilakukan tanpa nas. Kedua-dua syiar Islam ini wajib bersandar kepada nas untuk memulai dan mengakhirinya.
Perkembangan teknologi dan kebijaksanaan manusia dari segi ilmu hisab atau sains langsung tidak boleh merubah atau mengatasi nas. Bermulanya puasa dan raya umat Islam wajib berdasarkan nas semata-mata, bukannya berdasarkan ketetapan sains, aspek ilmiah atau bergantung kepada formula atau kebijaksanaan manusia dalam melakukan kira-kira.
Selama lebih 1300 tahun pemerintahan Islam, telah lahir ramai cendekiawan yang luar biasa, termasuk di bidang astronomi, namun mereka tidak pernah melakukan kira-kira dalam menentukan Ramadhan dan Syawal. Rasulullah (saw) dan para Khalifah mengumumkan puasa dan raya kaum Muslimin berdasarkan rukyah hilal semata-mata sehingga keseluruhan negara Khilafah memulai dan mengakhiri Ramadhan secara serentak apabila telah menerima informasi, yang sekali gus menggambarkan kesatuan kaum Muslimin dalam beribadat.
Matla’ Yang Satu Bagi Seluruh Kaum Muslimin
Selain menunjukkan dalil mengenai wajib puasa/raya berdasarkan rukyah hilal, hadis-hadis di atas juga menunjukkan kesatuan Matla’ bagi seluruh kaum Muslimin. Inilah realiti kaum Muslimin yang tidak ada beza sedikit pun antara Muslim di Hijaz atau di luar Hijaz, antara Muslim Tunisia dengan Mesir, antara Muslim Algeria dengan Mauritania, antara Muslim Turki dengan Pakistan, antara Muslim Malaysia dengan Indonesia dan seterusnya, semuanya umat yang satu.
Kesaksian mana-mana Muslim di mana-mana tempat/negara mesti diterima dan mengikat pemerintah untuk mengumumkan puasa/raya setelah ternyata hilal kelihatan secara benar. Jika semua Muslim yang bersyahadah sama sahaja di mata Rasulullah (saw) dari segi kesaksian hilalnya, maka apakah hak kita untuk membezakan kesaksian Muslim hanya kerana ia datang dari tempat lain atau tidak sebangsa dengan kita?
Masih tidak sedarkah kita bahawa kesemua sempadan negara kaum Muslimin yang ada sekarang ini hanyalah ciptaan kafir penjajah? Masih tidak sedarkah kita bahawa Rasulullah (saw) tidak pernah membezakan kaum Muslimin di negeri mana pun mereka lahir atau tinggal? Masih tidak sedarkah kita bahawa apabila Allah dan Rasul-Nya memerintahkan orang-orang beriman untuk melakukan sesuatu perkara, Allah dan Rasul-Nya tidak pernah meletakkan sempadan negara atau bangsa sebagai pembatas kepada perintah tersebut? Masih tidak sedarkah kita bahawa kita, dan bumi ini milik Allah semuanya?
Lalu atas dasar apa kita membezakan kesaksian seorang Muslim yang melihat hilal di Sudan, dengan seorang Muslim yang melihat hilal di Jordan? Atas dasar apa kita membezakan kesaksian seorang Muslim yang melihat hilal di Indonesia, dengan seorang Muslim yang melihat hilal di Malaysia? Atas dasar apa kita menolak kesaksian hilal kaum Muslimin di Palestin, Amerika atau Australia, apabila Allah dan Rasul-Nya sendiri tidak pernah membezakan kesaksian hilal berdasarkan tempat/negara?
Apakah kita mengira yang Allah dan Rasul-Nya membezakan kesaksian seorang Muslim Malaysia dengan kesaksian seorang Muslim Indonesia? Lalu atas dasar apa kita ingin membezakan kesaksian seorang Muslim dengan Muslim lainnya, apabila Allah dan Rasul-Nya sendiri tidak pernah membezakannya?
Sedarlah wahai kaum Muslimin bahawa apabila Allah dan Rasul-Nya memerintahkan suatu perkara, ia adalah murni perintah-Nya ke atas kita, tanpa tertakluk kepada tempat, garis masa, bangsa, warna kulit, keturunan dan sebagainya. Apabila Allah dan Rasul-Nya telah memerintahkan untuk kita solat, puasa atau melihat hilal, perintah-Nya itu sama sahaja sejak dulu hingga kini dan hingga kiamat, walau sejauh mana sekali pun perubahan dunia dan perkembangan teknologi. Sesungguhnya perintah Allah itu adalah bebas daripada garis waktu, sempadan asabiyyah atau wathaniyyah yang diciptakan oleh manusia, apatah lagi dicipta oleh orang-orang kafir.
Sesungguhnya tidak ada justifikasi sedikit pun untuk membezakan Ramadhan dan Syawal berdasarkan negara atau garis masa! Lihat sahaja Rusia yang merupakan negara kafir itu mempunyai tujuh garis masa, namun mereka boleh menyambut apa jua keraian mereka pada hari yang sama. Justeru, apa asasnya dan di mana rasionalnya bagi negara kaum Muslimin yang terletak antara tujuh garis masa, menyambut Ramadhan dan Syawal pada hari yang berbeza?
Lihat sahaja sambutan tahun baru yang disambut serentak di seluruh dunia pada tarikh dan hari yang sama. Lihat juga bagaimana negara-negara kafir (termasuk negara kaum Muslimin) bersatu menyambut perayaan Krismas serentak pada hari yang sama di seluruh dunia, tanpa ada isu perbezaan garis masa. Lalu atas dasar apa negeri-negeri kaum Muslimin menyambut hari raya, yang jelas lebih penting berbanding sambutan Krismas, pada tarikh dan hari yang berbeza?
Realitinya, sejak runtuhnya Khilafah hingga kini, sudah 101 tahun umat Islam menyambut Ramadhan dan Syawal tanpa kesatuan. Pengumuman puasa/raya telah dilakukan oleh pemerintah berdasarkan sempadan negara masing-masing, yang dicipta oleh kafir penjajah, sehingga negeri-negeri kaum Muslimin yang berjiran dan berada dalam garis masa yang sama pun, telah berpuasa dan beraya pada hari yang berbeza.
Perpecahan ini diparahkan lagi oleh para ulama salathin yang senantiasa mencari-cari “dalil” bagi membolehkan dan mengekalkan perpecahan ini, termasuk “dalil” yang membolehkan perbezaan puasa dan raya umat Islam. Para penguasa memanfaatkan sepenuhnya kedudukan para ulama ini dalam rangka mempertahankan kuasa, nafsu dan status quo mereka. Atas dasar inilah, puasa dan raya umat Islam tidak pernah sama, dan perpecahan terus berlangsung.
Khatimah
Islam tidak pernah mengajar umatnya mentaati pemerintah secara membabi buta. Sesungguhnya ketaatan kepada pemerintah itu tidak mutlak, tetapi bergantung kepada sejauh mana pemerintah itu mentaati Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (As-Sunnah). Apabila pemerintah itu menyalahi atau menyimpang daripada perintah Allah dan Rasul-Nya, maka tidak ada lagi ketaatan, malah sebaliknya ia wajib dimuhasabah agar kembali ke jalan yang lurus. Sesungguhnya tidak ada jalan keluar daripada segala perpecahan dan perbezaan puasa/raya yang melanda umat Islam, kecuali umat ini kembali memiliki seorang Ulil Amri (Khalifah) yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, yang mempersatukan semula umat ini di bawah satu negara iaitu negara Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj an-nubuwwah.
Wallahu a’lam.