SN601 – Hakim Atau Sistem Yang Bermasalah?

SN601

13 Mei 2022 M / 13 Syawal 1443 H

 

Suasana politik di Malaysia semakin berlumuran lumpur apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mula menyiasat hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Nazlan, ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi, telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak kerana kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. Siasatan ke atas Nazlan dibuat selepas penulis blog, Raja Petra Kamarudin mendakwa Nazlan memiliki kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sumbernya. Nazlan menafikan dakwaan tersebut dan telah pun membuat laporan polis mengenainya. SPRM kemudian dikritik hebat kerana dikatakan telah melanggar doktrin pengasingan kuasa, namun badan itu menegaskan bahawa mereka mempunyai kuasa menyiasat semua penjawat awam, termasuk hakim.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan peguam Najib mendakwa Nazlan mempunyai konflik kepentingan dalam kes 1MDB, dan mereka akan memohon perbicaraan semula kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd itu. Ini susulan rancangan bekas perdana menteri itu untuk memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti baru dalam rayuan akhirnya atas alasan Mohd Nazlan Mohd Ghazali sepatutnya tidak mendengar kes SRC sebagai hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu. Nampaknya begitulah “risiko” seorang hakim yang membicarakan sebuah kes berprofil tinggi. Kita tentunya masih ingat krisis perlembagaan 1988 yang menggemparkan negara yang berakhir dengan pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas, setelah beliau mengendalikan sebuah kes yang melibatkan UMNO. Akibat kekotoran politik di negara ini, rakyat memang sering dihidangkan dengan kes-kes berprofil tinggi, dan rakyat telah pun mengetahui apabila isu undang-undang bertembung dengan politik (baca: kekuasaan), siapakah yang akan menang!

Mitos Pengasingan Kuasa

Penganut demokrasi sering membanggakan doktrin pengasingan kuasa yang menurut mereka merupakan sebuah konsep pemerintahan yang terbaik. Doktrin ini, yang dikenali dengan Trias Politica, lahir di Barat pada abad ke-17 bertujuan untuk mengelak kuasa mutlak dalam sesebuah negara dengan memisahkan pemerintahan kepada kuasa Eksekutif, Legislatif dan Judiciary (Kehakiman). Walaupun secara praktisnya penganut demokrasi sering ditipu oleh doktrin ini dari semasa ke semasa di hadapan mata mereka sendiri, ironinya, mereka tetap mempertahankan doktrin ini, dan sentiasa berharap yang doktrin ini dapat terlaksana mengikut lunas-lunasnya.

Trias Politica yang diamalkan di Malaysia lebih melucukan apabila ia sebenarnya bertentangan dengan falsafah dan hakikat doktrin itu sendiri. Ini kerana sebahagian besar mereka yang berada dalam badan Eksekutif adalah orang yang sama yang berada dalam badan Legislatif. Manakala lantikan terhadap mereka yang berada di badan Kehakiman dan di badan Legislatif (Dewan Negara) pula dilakukan oleh mereka yang memegang kuasa Eksekutif.

Berdasarkan hal ini sahaja, maka wajar-lah apabila Eksekutif sebenarnya merupakan pihak yang paling berkuasa di Malaysia. Walaupun ada pihak yang cuba berhujah bahawa lantikan-lantikan tersebut datangnya dari YDPA, namun perlu difahami bahawa YDPA hanya bertindak atas nasihat daripada Perdana Menteri yang secara nyata merupakan ketua Eksekutif. Hal ini sudah tidak perlu diperdebatkan lagi sebenarnya.

Selain itu, krisis “campur tangan” Eksekutif ke atas badan Kehakiman di Malaysia juga sebenarnya sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Rakyat Malaysia secara umumnya sudah mengetahui hal ini melalui banyak skandal yang telah pun terbongkar, dan bukan lagi merupakan satu rahsia. Sejak dulu hingga kini, kes-kes “campur tangan” ini sudah menjadi sajian rakyat Malaysia, yang menyebabkan kepercayaan rakyat pada kedua-dua badan (Kehakiman dan Eksekutif) telah lama terhakis.

Lihat sahaja kes-kes yang masih berjalan yang dikenali sebagai “kluster mahkamah”, di mana pendedahan demi pendedahan dilakukan oleh pihak Eksekutif yang sedang bercakaran sesama mereka, mengenai cubaan untuk masuk campur ke badan Kehakiman bagi menyelamatkan kluster tersebut. Ini juga menjadi punca meluatnya rakyat terhadap politik di negara ini. Pendek kata, rakyat sudah tidak memerlukan bukti untuk meyakini bahawa doktrin pengasingan kuasa di Malaysia ini hanyalah sebatas teori tanpa amali, yang hanya sedap didengar tetapi sakit dipandang, dan boleh didengar tetapi dipercaya jangan!

Kedudukan Hakim Dalam Islam

Kita tidak menafikan yang seseorang hakim itu mungkin baik dan mungkin buruk atas sifatnya secara peribadi. Dia mungkin seorang yang profesional, berintegriti, intelektual, berakhlak mulia dan sebagainya. Dia juga mungkin seorang pengamal dan penjaga undang-undang yang tegas, berani, tidak bias dan tepat dalam setiap keputusannya.

Namun demikian, semua sifat ini tidak sedikit pun menjamin “keadilan”nya dalam membicarakan dan memutuskan satu-satu kes. Sebabnya hanya satu iaitu kerana ia tidak berhukum dengan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya! Dia menjadi hakim dalam sistem sekular – sebuah sistem yang memisahkan agama daripada kehidupan atau dengan kata lain sebuah sistem yang tidak berhukum dengan Islam. Justeru, mustahil wujudnya keadilan dalam sebuah sistem atau undang-undang kufur, kerana keadilan dan kebaikan itu hanya wujud dalam sistem Islam apabila manusia berhukum dengan hukum Allah.

Di dalam Islam, para hakim (Qadhi) diangkat dan diberhentikan oleh Khalifah atau orang yang telah diberikan kuasa oleh Khalifah untuk mengatur al-Qadha’ (Badan Kehakiman) iaitu Qadhi Qudhat (Ketua Hakim). Syarat untuk menjadi hakim ialah Muslim, merdeka, baligh dan berakal. Terdapat syarat tambahan untuk Qadhi Qudhat dan Qadhi Mazhalim iaitu mereka hendaklah lelaki dan mujtahid, kerana kedua-dua jawatan ini ada hubungan dengan pemerintahan, yang tidak boleh dijawat oleh seorang wanita.

Selain syarat-syarat di atas, seseorang hakim itu hendaklah faqih (mahir dalam hukum fiqh) dan mampu menetapkan hukum terhadap realiti yang dihadapinya. Di samping itu, dia juga seharusnya memiliki ruhiyah dan integriti yang tinggi. Inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) dan Khulafa’ ar-Rasyidin setiap kali melantik para hakim, walaupun pada hakikatnya mereka sendiri (Rasulullah dan Khulafa’ ar-Rasyidin) adalah hakim di zaman mereka. Dengan memiliki semua syarat dan sifat ini, barulah seseorang hakim itu dapat memutuskan dengan haq dan adil sesuai dengan syarak.

Di samping semua itu, Islam turut menjaga keperluan dan pemenuhan aspek material hakim kerana hakikatnya hakim juga adalah manusia biasa yang perlu menjalani kehidupan sebagaimana manusia lainnya. Dalam Islam, hakim adalah seorang pekerja (ajir) negara yang berhak mendapatkan gaji dan elaun dengan jumlah yang sewajarnya.

Walaupun tidak ada jumlah pasti mengenai batasan gaji hakim, namun terdapat beberapa catatan oleh Ibnu Saad mengenainya yang boleh dijadikan panduan. Atab bin Usaid misalnya yang ditugaskan menjadi wali di Mekkah oleh Rasullah (saw), mendapat 40 uqiyyah per tahun (1 uqiyyah = 40 dirham) atau 133 dirham per bulan. Ibu Saad juga memberitakan bahawa Umar telah menggaji Iyyadh yang menjadi wali di Janad dengan satu dinar per hari (4.25 gram emas), seekor kambing dan satu mud gandum [Al-Kattany, at-Taratib al-Idariyyah]

Kakitangan awam juga berhak untuk mendapat beberapa elaun seperti rumah dan pembantu, sebagaimana Rasulullah (saw) pernah bersabda:

“Barangsiapa yang kami angkat sebagai pekerja, maka hendaklah ia mendapatkan isteri. Jika ia tidak memiliki pembantu, maka hendaklah ia mengusahakannya. Jika ia tidak memiliki rumah maka hendaklah ia membangunnya’. Abu Bakar berkata, ‘Saya mendapat berita bahawa Nabi (saw) bersabda, ‘Barangsiapa yang mengambil selain itu, maka ia adalah pencuri’” [HR Abu Daud]

Hadis di atas menegaskan bahawa seorang hakim tidak dibolehkan untuk mengambil apa pun dan dari mana pun selain dari apa yang telah diberikan oleh negara untuknya. Jika ia tetap mengambilnya, maka itu menjadi harta ghulul (curang) yang haram untuknya, sebagaimana sabda Rasulullah (saw):

“Barangsiapa yang kami pekerjakan atas suatu pekerjaan lalu kami memberikan rezeki (gaji / upah) kepadanya, maka apa yang ia ambil selain itu merupakan harta ghulul” [HR Ibnu Khuzaimah].

Umar al-Khattab merupakan seorang Khalifah yang terkenal melakukan auditing terhadap setiap orang yang dilantiknya untuk sesuatu jawatan / urusan. Beliau akan mengira berapakah harta yang dimiliki oleh orang tersebut di saat melantiknya, dan di saat selesai tugas yang dilakukannya, malah Umar melakukannya secara berkala. Jika ternyata terdapat kelebihan, maka Umar akan terus menegur petugasnya itu dan merampas jumlah yang lebih tersebut. Hal ini dilakukan oleh Umar dengan sangat tegas dan sudah mahsyur dalam banyak kitab yang membicarakan mengenai kehebatan Umar. Inilah apa yang seharusnya dilakukan oleh seorang ketua negara dalam memastikan setiap kakitangan negara, tidak kira pangkat apa pun ia, tidak melakukan sebarang bentuk kecurangan sepanjang memegang jawatan yang diamanahkan.

Islam telah meletakkan hakim di kedudukan yang sangat penting, mulia dan terpuji. Ini kerana para hakim adalah mereka yang memutuskan hukum Allah (swt) di muka bumi tatkala terdapat sebarang pelanggaran terhadap hukum-Nya, kezaliman, persengketaan, atau apa sahaja perbuatan yang mengganggu hak jemaah. Tegaknya keadilan, ketertiban, keamanan, malah terpancar atau tidaknya keindahan hukum Islam itu banyak bergantung kepada para hakim.

Sekiranya hakim berjalan di atas petunjuk Allah dan tidak takut kepada sesiapa pun kecuali Dia, maka sinar kebenaran, keadilan, keamanan dan kegembiraan akan meliputi masyarakat dan negara. Mereka akan mendapatkan limpahan pahala daripada Allah (swt), pujian dan doa daripada penduduk bumi mahu pun langit. Sebaliknya, sekiranya hakim lari daripada petunjuk Allah, takutkan manusia, memutuskan hukum berdasarkan undang-undang ciptaan manusia, maka merajelela-lah kezaliman, kegelapan akan menyelimuti masyarakat dan negara. Mereka akan mendapat limpahan dosa daripada Allah (swt), kejian dan laknat daripada penduduk bumi mahu pun langit. Manakala azab di akhirat lebih pedih lagi untuk mereka tanggung!

Sesungguhnya jawatan hakim itu “pertaruhan”nya sangat mahal. Ia merupakan profesion yang disebut secara langsung oleh Rasulullah dengan balasan syurga atau neraka! Jika ia memutuskan dengan haq, maka syurgalah untuknya, dan jika ia memutuskan dengan batil, maka nerakalah untuknya. Sabda Rasulullah (saw):

Hakim itu ada tiga kategori. Satu ke syurga manakala dua ke neraka. Hakim yang ke syurga ialah yang mengetahui akan haq, lalu memutuskan dengannya. Manakala hakim yang mengetahui akan haq tetapi memutuskan dengan batil, demikian juga dengan hakim yang tidak mengetahui akan haq, lalu memutuskan dengan batil, maka kedua-duanya akan ke neraka” [HR Abu Daud].

Apa yang pasti, haq dan batil itu adalah diukur berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, dan dengan ukuran ini sahajalah kita akan mengenali hakim manakah yang akan memilih syurga dan hakim manakah yang akan memilih neraka dalam profesion mereka.

Khatimah

Sungguh buruk dan keji krisis demi krisis yang melanda Malaysia kebelakangan ini. Ketiga-tiga badan (Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman) yang dibangga-banggakan oleh penganut demokrasi sebagai model pemerintahan terbaik, hakikatnya semuanya tidak berhukum dengan hukum Allah. Apa yang terang lagi bersuluh ialah model ini datangnya dari Barat yang bersumber daripada akal manusia, bukannya bersumberkan wahyu. Malah ia amat jelas bertentangan dengan wahyu dilihat dari sudut mana sekali pun. Satu-satunya model pemerintahan Islam ialah Khilafah, sebuah sistem yang diwarisi daripada Rasulullah (saw), yang menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya secara kaffah, yang di dalam sistem ini sahaja, barulah akan terwujud hakim kategori yang pertama insya Allah, dan tidak akan ada lagi politik kotor seperti sekarang.

 Wallahu a’lam.

 

Download PDF