SN609 – “Pakaian Islam” Yang Ditanggalkan

SN609

15 Julai 2022 M / 16 Zulhijjah 1443 H

 

Telah tular satu klip video pendek memaparkan seorang wanita Melayu yang bertudung dan berbaju kurung, mengaku Muslim dan mengaku menghafaz 15 juzuk Al-Quran, yang kemudiannya menanggalkan tudung dan baju kurungnya, lalu menampakkan pakaiannya yang menjolok mata. Insiden itu berlaku dalam satu sesi persembahan di atas pentas Crackhouse Comedy Club di TTDI, Kuala Lumpur. Setelah tular, pihak polis dan pihak berkuasa agama berkata yang mereka akan menyiasat video tersebut. Wanita tersebut kemudian ditangkap di rumahnya oleh pihak polis dan telah pun dibawa ke mahkamah dan didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian permusuhan, niat jahat, atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama. Jika didapati bersalah, dia boleh dihukum penjara sekurang-kurangnya dua tahun tetapi tidak lebih lima tahun. Di samping mengaku membesar dengan didikan agama, wanita Melayu tersebut turut mengaku bahawa dia sudah berkahwin dan mempunyai tujuh orang teman lelaki. Teman lelakinya yang dikatakan memuat naik video berkenaan juga telah ditahan dan direman. Setakat ini, belum kedengaran apa-apa tangkapan oleh Jabatan Agama terhadap wanita terbabit, walaupun ramai yang menyifatkan bahawa perbuatannya sudah sangat jelas menghina Islam, dan boleh didakwa di mahkamah syariah.

Di saat banyak negara kafir yang menghalang kaum Muslimah untuk memakai tudung dan jilbab di tempat awam, namun kaum Muslimah di negara-negara berkenaan tetap mempertahankan pakaian Islam mereka walaupun mereka diejek, dihina, dikasari, malah diambil tindakan undang-undang. Kita tentu masih ingat kisah Marwa al-Sherbini, seorang Muslimah asal Mesir, yang ditikam sebanyak 18 kali oleh Alex W, di dalam sebuah mahkamah di Jerman, setelah lelaki non-Muslim tersebut kalah dalam perbicaraan ke atasnya, yang menuduh Marwa sebagai pengganas hanya semata-mata kerana Marwa bertudung dan berjilbab. Marwa yang ketika itu sedang hamil ditikam tanpa belas kasihan, dan lebih tragis lagi apabila suaminya yang cuba membantu turut ditikam oleh Alex, lalu kemudian suaminya ditembak pula oleh polis penjaga mahkamah. Marwa kemudian dikenali sebagai “syuhada’ hijab” kerana kematiannya demi membela pakaian Islam yang dipakainya. Malangnya di negara ini berlaku insiden yang sungguh menjijikkan apabila seorang wanita yang mengaku sebagai Muslim, telah dengan sengaja menanggalkan “pakaian Islam”nya, lalu dengan bangga mempertontonkan auratnya kepada khalayak ramai tanpa rasa malu!!!

Cara Berfikir Bebas Di Bawah Demokrasi

Siapa pun tidak dapat menafikan bahawa sekarang ini ramai orang yang sudah semakin kemaruk untuk membuat atau menonton video yang bersifat “gila-gila”. Aplikasi Tik Tok, Instagram, Facebook dan lain-lain, walaupun boleh dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan dan pahala, namun ternyata ramai yang memanfaatkannya untuk tujuan keburukan dan dosa. Ramai yang telah menjadikan aplikasi-aplikasi tersebut sebagai medan untuk mencari pelbagai publisiti murahan tanpa mempedulikan persoalan akhlak, maruah, aib, sensitiviti, bahkan halal-haram, dengan membuat “video-video sampah” untuk tontonan orang ramai.

Kesukaan ramai orang menonton video-video sampah ini pula, secara tidak langsung telah menggalakkan lagi perkembangan video-video seumpama ini. Ada orang yang sanggup dikecam, dihina, malah sanggup merisikokan diri untuk ditangkap atau didakwa, melalui video-video sampah yang sengaja dibuat, yang diyakini akan tular. Ini semua bagi mengejar publisiti dan populariti, di samping mendapat manfaat kewangan yang terhasil daripada video-video tersebut apabila tular dan melebihi view tertentu. Sungguh menyedihkan apabila trend membuat dan menonton video-video sampah ini nampaknya sudah menjadi satu “kegilaan baru” dalam masyarakat, dan kelihatannya sangat sukar untuk dibendung.

Wanita Muslim mana pun yang tidak bertudung atau berjilbab, apatah lagi yang sengaja menanggalkan tudung dan bajunya di khalayak ramai, atau membikin video mengenainya, semua itu tidak boleh lepas daripada cara berfikir yang ada dalam dirinya. Wanita Muslim yang mentaati Allah (swt), sudah pasti tidak akan melakukannya, kerana dia tahu bahawa dia terikat dengan hukum Allah (swt), dan akan mendapat dosa serta azab di akhirat jika melanggar perintah-Nya. Dia akan sentiasa menjaga auratnya di mana pun dia berada. Ini adalah cerminan daripada cara berfikirnya yang Islami.

Manakala jika ada wanita Muslim yang tidak menutup aurat, dan merasa bahawa dia bebas melakukan apa yang dia mahu, sama ada mahu bertudung atau tidak, mahu berjilbab atau tidak, mahu mempunyai boy friend atau tidak, mahu ke kelab hiburan atau tidak, semua ini juga adalah cerminan daripada cara berfikir yang ada dalam dirinya. Wanita seperti ini merasakan dia bebas dan tidak terikat dengan hukum Allah (swt) dalam setiap perbuatannya, dan sudah pasti merupakan wanita yang tidak takutkan Allah (swt) dan azab-Nya.

Cara berfikir seperti ini tidak boleh lepas daripada idea kebebasan yang ada di kepalanya, yang termanifestasi daripada satu sistem hidup yang telah berjaya “mengawal” atau mempengaruhi pemikirannya. Sistem apa lagi jika bukan sistem demokrasi yang telah mendominasi hidup umat Islam sejak sekian lama?! Cara berfikir bebas seperti ini hakikatnya datang dari dunia Barat, yang telah menolak peranan agama dalam kehidupan (sekularisme). Cara berfikir seperti ini tidak pernah ada dalam kamus Islam, dan tidak pernah ada dalam sejarah Islam, sehinggalah ke era penjajahan Barat, yang telah memasukkan idea dan sistem ini ke tanah jajahannya (tanah kaum Muslimin), sekali gus memasukkannya ke dalam tubuh umat Islam.

Di bawah sistem demokrasi yang penuh kebebasan ini, hanya ketakwaan individu sahajalah yang boleh menjadi benteng kepada seseorang Muslim dalam mematuhi agamanya. Tidak ada apa-apa kesalahan dalam sistem demokrasi bagi wanita untuk tidak bertudung atau berjilbab, atau untuk wanita memakai skirt, atau untuk lelaki berseluar pendek dan sebgainya. Tidak ada! Hak untuk berpakaian termasuk dalam personal freedom yang dijamin oleh demokrasi, walaupun terdapat sedikit peruntukan untuk kesalahan melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam, sebagaimana terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah di Malaysia.

Cara berfikir bebas di bawah demokrasi bukan sahaja telah melahirkan ramai wanita yang tidak bertudung, malah lebih jauh daripada itu, telah melahirkan generasi yang bergaul bebas tanpa batas sehingga berlambaknya kes-kes perzinaan dan anak tak sah taraf dalam masyarakat. Ini baru sedikit di bidang sosial, belum lagi kita menoleh ke bidang-bidang lain dalam segenap ceruk kehidupan umat Islam saat ini.

Negara Yang Tidak Berpakaian Islam

Ramai yang melihat bahawa tindakan wanita dalam video tersebut adalah salah, berdosa, menghina Islam, dan wajib dihukum. Hakikat ini memang benar. Namun masih ramai yang gagal melihat bahawa wanita mana pun yang tidak bertudung, juga sebenarnya telah melakukan satu kesalahan, dosa dan wajib dihukum! Malah siapa pun, baik lelaki mahu pun wanita yang tidak menutup aurat dengan benar, maka mereka telah melakukan kesalahan, dosa dan wajib dihukum.

Namun realitinya di Malaysia, tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana Muslimah (atau Muslim) untuk tidak menutup aurat mereka. Apalah sangat dengan masalah aurat jika golongan LGBT pun dibiarkan begitu sahaja di negara ini. Mana-mana pihak yang dengan jelas memperjuangkan LGBT sering terlepas daripada tindakan, sebaliknya mereka yang memperjuangkan Islam, yang berlawanan dengan aspirasi pemerintah, terus diambil tindakan tanpa lengah.

Begitu juga tidak menjadi kesalahan di negara ini untuk membuka pusat-pusat judi, kilang-kilang arak, kelab-kelab malam, menganjurkan pertandingan ratu cantik, pesta arak, dan segala jenis pesta maksiat, asalkan mendapat lesen. Sebagaimana tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana Muslim di negara ini untuk terlibat dalam transaksi ribawi. Semua ini dibenarkan, malah pemerintah terlibat secara langsung dengan “peperangan” melawan Allah dan Rasul ini.

Begitu juga dengan cukai. Tidak ada salahnya bagi pemerintah untuk mengenakan pelbagai bentuk cukai, caj ke atas air dan elektrik, bayaran pendidikan, kesihatan dan lain-lain, walaupun semua itu jelas merupakan sebuah keharaman dan penindasan ke atas rakyat. Sebagaimana tidak juga menjadi kesalahan atas pemerintah untuk mengaut segala keuntungan hasil minyak, gas asli, balak dan lain-lain sumber alam, walau pun menurut Islam, semua itu merupakan hak rakyat yang haram dikaut oleh pemerintah walau pun satu sen.

Di negara ini juga, para penzina ghairu muhsan (belum berkahwin) tidak akan disebat dengan seratus kali, penzina muhsan (yang telah berkahwin) tidak akan direjam, para peminum arak tidak akan disebat empat puluh kali, para pencuri tidak akan dipotong tangan, si peliwat dan yang diliwat tidak akan dihukum mati, orang-orang yang murtad tidak akan dihukum bunuh.

Di bidang pemerintahan, tidak menjadi kesalahan untuk mengangkat orang-orang kafir atau wanita menjadi pemimpin, sebagaimana tidak menjadi kesalahan untuk melantik orang yang jelas-jelas fasik sebagai pemerintah. Malah, jauh lebih besar daripada semua itu, dalam sistem demokrasi yang diwarisi daripada kafir penjajah ini, tidak menjadi kesalahan (sebaliknya menjadi sebuah kewajipan) untuk negara ini membuat hukum dan undang-undang sendiri dengan mengetepikan hukum Allah (swt). Perlembagaan tinggalan kafir penjajah diletakkan lebih tinggi berbanding Al-Quran dan As-Sunnah tinggalan Rasulullah. Siapa sahaja yang melanggar Al-Quran tidak menjadi masalah, tetapi melanggar Perlembagaan merupakan suatu jenayah!

Inilah realiti Malaysia, sebuah negara yang telah lama tidak berpakaian dengan pakaian Islam dalam segenap aspeknya. Maka tidak hairanlah jika ada rakyat yang secara selamba dan tanpa merasa bersalah menanggalkan pakaian Islam mereka. Negara ini sudah lama menutupi tubuhnya dengan pakaian sekular, sehingga ada dalam kalangan rakyat yang sudah tidak tahu bagaimanakah pakaian Islam. Negara ini sudah lama mendedahkan auratnya, sehingga ada dalam kalangan rakyat yang turut mendedahkan aurat mereka. Negara ini sudah lama tidak merasa malu kepada Allah dan Rasul-Nya, sehingga ada dalam kalangan rakyat yang juga sudah tidak tahu malu!

Dalam sebuah Negara Islam, pemerintah wajib menerapkan hukum Allah secara kaffah, dan bertanggungjawab memastikan rakyatnya, apatah lagi kaum wanita, hidup dalam keadaan terjaga maruah serta kehormatan mereka. Aurat wanita merupakan sebuah kemuliaan, yang Allah (swt) khususkan hanya kepada orang-orang tertentu sahaja untuk melihatnya. Islam sangat memuliakan wanita, setelah sebelumnya kaum Hawa itu dianggap tidak ada nilanya dalam masyarakat Jahiliah. Sebelum kedatangan Islam, kaum wanita dipandang rendah dan diperlakukan tidak ubah seperti binatang. Anak-anak perempuan dibunuh hidup-hidup kerana dianggap membawa sial dan pelbagai lagi tanggapan serta perlakuan buruk lainnya ke atas kaum wanita.

Bersesuaian dengan kemuliaan dan darjat wanita yang telah ditinggikan oleh Allah (swt), Rasulullah (saw) sangat menjaga aurat wanita dan sangat tersentuh jiwanya apabila aurat wanita diperlecehkan. Kita semua maklum bagaimana besarnya perhatian dan penjagaan Rasulullah (saw) terhadap aurat Muslimah, sehingga baginda mengisytiharkan perang ke atas Yahudi Bani Qainuqa’ yang telah mempermainkan tudung seorang Muslimah sehingga tersingkap auratnya di sebuah kedai milik kaum Yahudi. Setelah melakukan kepungan ketat dan Yahudi terpaksa menyerah, Rasulullah memutuskan untuk membunuh seluruh kaum terlaknat itu, tetapi dengan kebaikannya, baginda kemudian menukar keputusannya dengan mengusir kaum Yahudi keluar dari bumi Madinah.

Khatimah

Dengan kemuliaan yang Allah (swt) berikan kepada kaum wanita, maka tidak sewajarnya bagi seseorang wanita itu menghina diri mereka sendiri dengan mendedahkan aurat dalam kehidupan umum (di tempat awam), apatah lagi memperlecehkan Islam dengan mempermain-mainkan pakaian Islam yang mereka pakai. Sesungguhnya, apabila terlucutnya pakaian Islam daripada seseorang Muslimah, maka terlucutlah juga pakaian takwa mereka, yang merupakan sebaik-baik pakaian yang ada pada diri mereka. Tidak ada lagi jaminan keselamatan (daripada azab Allah) apabila pakaian takwa itu telah tertanggal daripada tubuh mereka, sebagaimana tidak ada jaminan keselamatan bagi mana-mana penguasa yang telah menanggalkan “pakaian takwa” daripada negara yang mereka perintah.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF