SN612 – Negara Islam: Keperluan Dan Kewajipan

SN612

12 Ogos 2022 M / 14 Muharam 1444 H

 

Penderitaan manusia secara umumnya, dan kaum Muslimin secara khususnya akibat diperintah oleh sistem dan undang-undang yang tidak bersumber dari Al-Khaliq (Allah), dapat dilihat dan semakin terasa di mana-mana dan dalam pelbagai aspek kehidupan. Kaum Muslimin bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan masalah kezaliman pemerintah kuffar di negara-negara kafir yang mereka diami, malah lebih buruk, terpaksa berhadapan dengan masalah kezaliman dan penindasan oleh pemerintah Muslim di negeri-negeri mereka sendiri. Dari sudut sumber alam, meski pun ia melimpah ruah di negeri-negeri kaum Muslimin, namun semuanya seakan-akan tiada gunanya kerana tidak dapat dinikmati oleh mereka, kecuali sangat sedikit berupa sisa-sisa, setelah segala isinya dikaut oleh pemerintah.

Kesenjangan ekonomi terus terjadi, malah semakin parah dari sehari ke sehari. Ramai orang semakin sulit untuk mencari pekerjaan sehingga kadar pengangguran yang telah sedia tinggi, menjadi semakin parah. Kos sara hidup semakin meningkat dan tidak pernah ada tanda-tanda untuk turun. Harga barangan keperluan harian terus melangit, susul-menyusul dengan kenaikan petrol, tarif elektrik, harga dan sewa rumah, kos pembinaan, dan lain-lain. Pendek kata, sebut sahaja apa jua barangan dan perkhidmatan, semuanya semakin meningkat. Biaya pendidikan pun tidak terkecuali, seolah-olah hak untuk mendapat pendidikan hanyalah untuk orang-orang yang berduit sahaja. Ini belum lagi mengambil kira sistem dan kurikulumnya, yang sudah separuh mati para pendidik dan ibu bapa mengharungi segala masalah yang berhubung dengannya. Begitu juga dengan layanan kesihatan yang baik, yang hanya boleh dinikmati oleh mereka yang berduit sahaja.

Keadilan dan kesamarataan di hadapan undang-undang antara isu yang semakin parah. Perbezaan layanan dan hukum antara dua darjat sangat ketara dan menjadi santapan harian. Semua orang tahu bahawa pisau hukum sangat tajam ke bawah (rakyat) dan sangat tumpul ke atas (penguasa). Manakala jerung-jerung pula sentiasa terlepas dan anak-anak bilis sentiasa tersangkut.

Perebutan dan ketamakan kuasa bukan lagi suatu yang tersembunyi atau memalukan. Semuanya sudah berlaku secara nyata dan terbuka. Manakala rasuah dan penyelewengan sudah tidak terkata. Pemerintahan dan situasi politik negara menjadi medan oleh para politikus, bukan sahaja untuk meraih takhta, tetapi harta dan segala habuan dunia. Rakyat hanya menjadi mangsa kepada nafsu serakah dan “game” para politikus, selain menjadi mangsa penipuan besar-besaran. “The scheme of things” bukan lagi suatu rahsia!

Pihak musuh sememangnya tidak pernah lekang berusaha untuk memecah-belah dan mengadu-domba sesama umat Islam, dan amat menyedihkan apabila segelintir kaum Muslimin termakan dengan agenda musuh ini. Hasilnya muncul perbalahan dan pelbagai tuduhan sesama sendiri, termasuk dalam aspek akidah, yang terus melemahkan tubuh umat Islam. Lebih memburukkan keadaan, pihak yang diberi amanah untuk menjaga hal-ehwal Islam menjadi pihak yang memfitnah dan “memusuhi” gerakan-gerakan Islam yang tidak sealiran dengan mereka. Ramai ahli gerakan Islam yang telah ditangkap dan diheret ke mahkamah hasil fitnah ini.

Dalam masa yang sama, golongan liberal dan LGBT bebas melakukan aktiviti mereka dan sering memperlecehkan pihak berkuasa agama, serta sering terlepas daripada tindakan. Seorang pondan sahaja pun nampaknya gagal dikendalikan oleh seluruh pihak berkuasa agama di Malaysia, dan dengan begitu mudah ke mana-mana! Sedangkan jika ada seorang penceramah yang mengajar agama tanpa tauliah, terus diburu dan dipastikan tidak terlepas!

Penghinaan ke atas Islam, Al-Quran, Rasulullah (saw) dan maruah umat Islam khususnya Muslimah, terjadi dari semasa ke semasa, tanpa sedikit pun pembelaan daripada para penguasa kaum Muslimin yang jumlahnya melebihi 50 orang! Ini belum termasuk pembunuhan dan penindasan besar-besaran ke atas kaum Muslimin seperti yang berlaku di Myanmar, Xinjiang, Kashmir dan lain-lain, dan belum mengambil kira pengeboman dan pembunuhan yang berlaku ke atas kaum Muslimin di Syria dan Palestin yang sudah berlarutan selama puluhan tahun.

Apa yang dipaparkan di atas hanyalah sebahagian daripada penderitaan umat Islam, yang sudah tidak tergambar parahnya sejak sekian lama. Apa yang penting untuk difahami ialah bahawa semua kejadian dan keadaan di atas terjadi bukan kerana kebetulan! Semua itu terjadi hasil sebuah design dan perancangan. Design dan perancangan siapa? Siapa lagi jika bukan Barat yang merupakan musuh-musuh Islam! Barat bukan sahaja melaksanakan agendanya secara langsung ke atas negeri-negeri kaum Muslimin berupa penjajahan dan pembunuhan, tetapi secara tak langsung melalui para penguasa, golongan agamawan, golongan liberal dan lain-lain pihak yang berkiblatkan mereka.

Persoalannya, apakah punca dan penyebab kepada semua malapetaka yang menimpa umat Islam? Jawapannya ialah kerana tidak diterapkannya hukum Allah (swt) ke atas mereka! Penerapan hukum Allah ke atas umat Islam sudah berakhir seiring dengan runtuhnya Negara Islam (Khilafah) di Turki pada 28 Rajab 1342 H, kira-kira 101 tahun yang lalu. Setelah runtuhnya Khilafah, hukum Islam yang tersisa hanyalah dari sudut ibadat, perkahwinan, perceraian, pusaka dan lain-lain yang bersifat individu dan kekeluargaan. Sebahagian besar hukum Islam seperti di bidang pemerintahan, politik, ekonomi, pergaulan, pendidikan, uqubat, luar negara dan lain-lain, telah lenyap dan diganti dengan hukum penjajah. Penerapan hukum kufur inilah yang telah mengakibatkan penderitaan yang luar biasa ke atas umat Islam.

Keperluan Kepada Khilafah

Penyelesaian kepada masalah umat Islam hanyalah dengan kembali kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya dalam seluruh aspek, bukan hanya sebahagian-sebahagian. Inilah satu-satunya penyelesaian hakiki dan tidak ada penyelesaian lain lagi. Bagaimanapun, penyelesaian ini tidak akan dapat direalisasikan jika tidak ada sebuah negara yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya secara kaffah. Inilah faktor utama kenapa umat Islam perlukan Khilafah. Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya tidak akan dapat diterapkan tanpa adanya negara, dan tanpa penerapan keduanya, masalah umat Islam tidak akan selesai.

Di samping itu, penyatuan umat Islam di seluruh dunia juga pasti tidak akan berlaku tanpa adanya sebuah negara yang mempersatukannya. Siapa pun yang menginginkan penyatuan umat Islam sudah pasti tidak akan dapat merealisasikan hal itu kecuali sebagaimana ia telah terealisasi dahulu di bawah Khilafah, di mana umat Islam benar-benar hidup dalam kesatuan – bersatu dalam sebuah negara, satu pimpinan, satu pemerintahan, satu bendera, satu jihad malah perasaan mereka juga berjaya disatukan.

Kita juga memerlukan Khilafah untuk membebaskan Palestin, Syria, Kashmir dan lain-lain, serta menyelamatkan umat Islam di Myanmar, Xinjiang, Yemen dan lain-lain. Kita yakin bahawa para penguasa yang ada sekarang tidak akan melakukan semua itu kerana pengkhianatan dan kebaculan mereka. Justeru, kita memerlukan Khilafah yang akan melancarkan jihad fi sabilillah bagi membebaskan wilayah kaum Muslimin yang terjajah dan juga membebaskan saudara-saudara Muslim kita yang sedang tertindas. Selain itu, Khilafah juga akan menjadi kuasa yang akan membuka Rom dan membawa Islam masuk ke rumah-rumah manusia di seluruh ceruk dunia sama ada di kota mahu pun desa dengan izin Allah (swt).

Tidak diragukan lagi bahawa umat Islam juga memerlukan Khilafah bagi merealisasikan Islam sebagai rahmatan lil alamin. Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam hanya akan terwujud apabila syariat Islam diterapkan. Islam sebagai rahmatan lil alamin tidak wujud ketika ini kerana para penguasa telah mencampakkan syariat Islam dan menggantikannya dengan undang-undang kufur, dan kita sudah tidak nampak jalan yang mereka akan kembali kepada syariat. Justeru, hanya dengan Khilafah sahajalah syariat Allah (swt) akan diterapkan, malah akan disebarkan melalui jalan dakwah dan jihad ke seluruh alam, yang akan menjadikan alam ini dipenuhi rahmat dan berkat daripada-Nya.

Kewajipan Mendirikan Khilafah

Selain keperluan, Khilafah adalah sebuah kewajipan, dan ia bukan sebarang kewajipan tetapi termasuk dalam ahammul wajibat (kewajipan yang paling utama). Ramai ulama yang berpendapat demikian, dan semuanya telah tertuang di dalam kitab-kitab mereka. Seluruh ulama Ahlu Sunnah, khususnya Imam empat mazhab telah sepakat tentang kewajipan umat Islam untuk memiliki Khilafah. Dalil-dalil daripada Al-Quran, As-Sunnah dan Ijma’ as-Sahabat sangat jelas menunjukkan akan kewajipan mengangkat seorang Khalifah.

Di dalam Surah al-Ma’idah (5): 48 & 49, Allah (swt) memerintahkan Rasulullah (saw) agar memutuskan perkara di antara manusia menurut apa yang telah Dia turunkan dan jangan mengikuti hawa nafsu mereka. Perintah ini sekali gus merupakan seruan bagi umat Rasulullah (saw), yang mana mafhumnya adalah, hendaknya kaum Muslimin mewujudkan seorang hakim (penguasa) untuk memutuskan perkara di tengah-tengah manusia sesuai dengan wahyu yang telah Allah turunkan.

Penguasa yang memutuskan perkara di tengah-tengah manusia setelah wafatnya Rasulullah (saw) adalah Khalifah, sedangkan sistem pemerintahannya adalah Khilafah. Kewajipan untuk memutuskan hukum wahyu ini tidak akan terlaksana tanpa adanya penguasa, sedangkan (berdasarkan kaedah usul) kewajipan yang tidak sempurna kecuali dengan adanya sesuatu, maka keberadaan sesuatu itu hukumnya menjadi wajib. Ini bererti, mewujudkan penguasa yang memutuskan berdasarkan wahyu itu hukumnya adalah wajib.

Adapun dalil dari As-Sunnah, di antaranya adalah apa yang pernah diriwayatkan dari Nafi’. Ia berkata, Abdullah bin Umar telah berkata kepadaku, aku mendengar Rasulullah (saw) bersabda:

“Siapa sahaja yang melepaskan tangan dari ketaatan, ia akan bertemu Allah pada hari kiamat kelak tanpa memiliki hujah, dan siapa sahaja yang mati, sedangkan di pundaknya tidak terdapat baiat (kepada Khalifah), maka ia mati seperti kematian Jahiliah” [HR Muslim].

Nabi (saw) telah mewajibkan kepada setiap Muslim agar di pundaknya terdapat baiat. Baginda juga menyifatkan orang yang mati, yang di pundaknya tidak terdapat baiat, sebagai mati Jahiliah (dosa). Baiat tidak pernah terjadi setelah Rasulullah (saw) kecuali kepada Khalifah. Justeru, hadis tersebut mewajibkan adanya baiat di atas pundak setiap Muslim, yakni adanya Khalifah yang dengan keberadaannya itu akan terealisasilah baiat di atas pundak setiap Muslim. Ini sekali gus menjadi dalil bahawa mengangkat seorang Khalifah (agar terwujudnya baiat) adalah wajib. Selain hadis ini, sungguh terdapat banyak lagi hadis lainnya yang menunjukkan kewajipan mengangkat seorang Khalifah

Adapun dalil daripada Ijma’ as-Sahabat mengenai kewajipan ini ialah, para Sahabat dengan jelas telah bersepakat melantik Abu Bakar sebagai Khalifah (pengganti) setelah kewafatan Rasulullah (saw), dan mereka juga sepakat melantik Umar bin al-Khattab, Utsman bin Affan, dan Ali bin Abi Thalib sebagai Khalifah. Kesepakatan (ijma’) mereka atas kewajipan mengangkat Khalifah sangat tegas dan jelas terlihat daripada sikap mereka yang menunda pengebumian jenazah Rasulullah (saw). Mereka ternyata lebih menyibukkan diri dengan urusan mengangkat Khalifah berbanding menguburkan jenazah Rasulullah (saw) sehingga jenazah baginda tertangguh selama dua malam. Para Sahabat tidak akan bertindak sedemikian kecuali kewajipan mengangkat Khalifah lebih utama berbanding memakamkan jenazah. Itulah kesepakatan (ijma’) mereka.

Khatimah

Melihat dari sudut mana sekali pun tentang masalah yang menimpa kaum Muslimin saat ini, sesungguhnya kehadiran kembali Khilafah bukan sekadar sangat perlu, bahkan sangat mendesak. Kewajipan menegakkannya memang sudah tidak dapat dinafikan berdasarkan nas-nas yang jelas. Apa yang perlu dilakukan oleh setiap orang yang beriman saat ini ialah bersungguh-sungguh berjuang untuk mengembalikannya. Sesungguhnya Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah untuk kali yang kedua akan tegak dengan izin Allah. Maka rugilah siapa sahaja yang tidak memperjuangkannya, dan celakalah siapa sahaja yang menghalang pengembaliannya.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF