SN620 – Kerajaan Perpaduan: Jadikanlah Islam Jalan Penyelesaian

Bil: SN620 – 21 Jamadilawwal 1444 / 16 Disember 2022

Download PDF

Setelah menanti sekian lama, akhirnya barisan penuh kabinet berjaya dibentuk. Di sebalik isu nama dan istilah yang dimainkan oleh pembangkang, pemerintah kali ini mahu barisan kabinet yang dilantik dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan. Tidak kiralah apa juga istilah yang dipilih, bagi sebahagian pengundi yang telah bersusah payah untuk turun memilih pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas, mereka merasa seolah-olah tertipu dengan barisan kabinet yang telah dilantik. Ini adalah kerana, mereka menyangka akan mendapat sebuah kerajaan yang benar-benar suci dan bebas dari sebarang skandal atau korupsi yang melibatkan kes pendakwaan, namun akhirnya, setelah lengkap para menteri dilantik, kekecewaan nyata termanifestasi. Lain yang dipilih, lain pula yang mereka dapat.

             Menyedari akan kekecewaan yang dirasai oleh rakyat dalam pelantikan pemimpin yang terpalit dengan kes mahkamah, media perdana tanpa membuang masa, memainkan peranan untuk meredakan suasana panas yang berpunca dari pembentukan kerajaan perpaduan ini. Saban hari pelbagai rancangan ruang bicara ke udara untuk mengajak rakyat agar menerima kerajaan yang telah dibentuk. Pelbagai istilah lunak seperti kematangan politik, kestabilan politik dan perpaduan diutamakan berkumandang di udara bagi mencapai objektif ini.

             Di satu sisi, rakyat dijanjikan bahawa Islam akan dibela, hak istimewa orang melayu akan dijaga dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan dipertahankan. Padahal, slogan berkaitan Islam, Melayu dan Raja-raja (IMR) ini hanyalah modal lama yang diberi nafas baru sesuai dengan pakatan yang baru. Manakala di sisi yang lain, rakyat juga dijanjikan dengan usaha untuk menghapuskan rasuah, salah guna kuasa, jaminan kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan pemerkasaan hak individu.

             Inilah contoh campuran idealisme dan aspirasi kerajaan perpaduan kali ini. Apa yang pasti, setelah segala aspirasi dan idealisme dibentang dan dicanangkan, ikatan manfaat dan muafakat versi machiavelli juga yang akhirnya digunakan untuk menyatukan pelbagai parti di dalam kerajaan perpaduan kali ini. Walau apa jua janji yang ditaburkan, yang akan diperhatikan oleh rakyat selepas ini adalah bagaimana kerajaan baru ini akan menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat.

             Kenaikan kos sara hidup dan masalah bekalan makanan yang rata-rata berpunca dari sistem demokrasi – kapitalis benar-benar telah menyusahkan kehidupan rakyat. Pada ketika ini, antara langkah awal yang dilakukan oleh kerajaan adalah dengan pemotongan gaji menteri dan mengembalikan hak pesawah. Rundingan demi rundingan dengan pengeluar dan pembekal juga sedang giat dijalankan. Namun, rombakan dan perubahan ke atas rantaian ekonomi di dalam sistem demokrasi – kapitalis ini bukanlah mudah. Tidak dinafikan mungkin akan muncul beberapa natijah yang baik, namun penyelesaian secara tuntas dan menyeluruh tidak mungkin akan dapat dicapai.

             Kaitan antara sistem percukaian, harga, kestabilan nilai matawang di peringkat antarabangsa, persepsi penjual, pemodal dan pelbagai darjat kemampuan pembeli sangat memberi kesan antara satu sama lain. Ianya merupakan pakej yang mustahil dapat diselesaikan secara berasingan. Itu belum lagi mengambil kira agihan kekayaan yang tidak seimbang di dalam sistem demokrasi – kapitalis kerana tidak wujud undang-undang yang menyekat individu atau syarikat besar untuk memiliki sumber alam yang hakikatnya merupakan milik rakyat. Akibat dari ketidakseimbangan dalam agihan kekayaan ini, muncul perbezaan daya membeli di kalangan rakyat yang akhirnya mempengaruhi harga barangan keperluan di pasaran. Buktinya, kita dapat melihat ada golongan tertentu dari kalangan rakyat yang jelas menguasai ekonomi sehingga kenaikan harga barang hampir tidak menjejaskan mereka.

             Di dalam sistem ekonomi demokrasi – kapitalis, penguasaan dan monopoli kekayaan oleh pemodal dan golongan atasan yang rapat dengan pemerintah adalah sesuatu yang amat ketara. Melalui hubungan rapat tersebut, para pemodal dan golongan atasan ini mampu menguasai kepemilikan syarikat utama negara yang terlibat dengan perlombongan sehinggakan kekayaan sebenar tidak mengalir kepada umat. Hubungan rapat itu juga memastikan kekayaan sebenar terus berlegar kalangan golongan berada melalui agihan saham utama di kalangan mereka. Walaupun telah dijanjikan tidak akan ada salahguna kuasa dalam jentera pentadbiran kerajaan,  tidak boleh dinafikan bahawa hampir semua wakil rakyat mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kepemilikan aset hartanah strategik, lombong dan projek-projek utama di kawasan masing-masing.

             Ini sudah tentu akan memberi kelebihan kepada ahli parti masing-masing yang selama ini telah berkorban dalam usaha untuk mendapatkan kuasa pemerintahan. Akhirnya, pemberian subsidi, bantuan sara hidup dan bantuan lain kepada rakyat biasa hanya akan memberikan nikmat seketika, walhal, umat berhak mendapatkan jaminan kesejahteraan sepanjang hidup mereka melalui agihan adil kekayaan sumber alam tersebut.

             Ini berbeza dengan sistem ekonomi Islam yang merupakan sistem ekonomi yang unik kerana asas utama di dalam sistem ekonomi ini adalah memastikan pengagihan kekayaan yang adil serta memastikan jaminan keperluan asas rakyat dipenuhi. Sistem Islam juga menyekat kepemilikan individu ke atas kekayaan sumber alam dan memastikan asas matawang yang stabil dengan melaksanakan sistem matawang berasaskan emas dan perak. Semuanya diatur berasaskan kepada dalil dan nas. Setiap pemimpin wajib mengikut dan menerapkan hukum-hakam yang telah pun digariskan di dalam Al Quran dan As Sunnah.  Sebagai contoh, dalil dengan jelas telah pun menetapkan bagaimana keadilan akan dicapai dalam pengagihan melalui peraturan pemilikan kekayaan sumber alam yang diurus oleh negara bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat secara berpanjangan.

             Antara dalil yang menentukan perkongsian (dan kepemilikan) beberapa perkara termasuk bahan api adalah:

“Orang-orang Islam itu berkongsi di dalam tiga perkara; padang rumput, air dan api (kuasa).” [HR Abu Dawud]

              Manakala prinsip agihan kekayaan pula telah pun dijelaskan melalui Firman Allah SWT:

“…supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu..” [TMQ Al Hasyr (59): 7]

             Kesemua nas dan dalil ini membicarakan tentang peranan negara dalam mengurus pengagihan kekayaan dan sumber alam. Mekanisme penerapan hukum-hakam ini boleh disesuaikan dengan realiti hari ini dari aspek penemuan sumber baru serta perkembangan teknologi semasa. Selagi mana kekayaan yang diperoleh adalah dari sumber alam, ia mestilah diagihkan kepada rakyat di dalam bentuk yang boleh memberikan jaminan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal serta dapat dikembangkan kepada tingkat kesejahteraan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Inilah penyelesaian tuntas bagi masalah jaminan hidup rakyat, bukan sekadar untuk nikmat sementara, namun sehinggalah mereka mampu berdaya saing di dalam menjalani kehidupan seharian.

             Inilah penyelesaian dari Islam, syariat yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas manusia untuk dilaksanakan. Hanya Allah SWT Maha Mengetahui apakah yang diperlukan oleh manusia. Justeru, barisan kabinet kerajaan perpaduan yang baru dibentuk mestilah menjadikan Islam sebagai penyelesaian dalam mengurus segala permasalahan rakyat, bukan hanya dalam hal ehwal ekonomi, tetapi juga dalam pemerintahan, penghukuman, pergaulan dan aspek lainnya. Semua penyelesaian telah tersedia secara sempurna dalam Islam.


Keterjaminan Bekalan Makanan:

Cabaran & Tanggungjawab Pemerintah dalam Menanganinya

             Isu peningkatan harga dan gangguan bekalan telur di pasaran menimbulkan keresahan di kalangan rakyat negara ini serta mengundang kritikan ke atas kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pelbagai usul dan pandangan daripada banyak pihak termasuk para pakar ekonomi telah dikemukakan. Di samping langkah yang diambil oleh kerajaan, libat urus yang lebih bertanggungjawab bersama pihak pemain industri juga wajar diberikan perhatian demi memastikan keterjaminan bekalan telur dan makanan asasi lain dapat dikekalkan.

             Terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi keterjaminan bekalan telur khasnya dan makanan secara amnya. Antaranya;

1) Kestabilan bekalan makanan: boleh dicapai dengan memastikan struktur pengeluaran makanan yang stabil dan meningkatkan stok makanan dalam pasaran domestik.

2) Ketersediaan makanan: dapat dijamin melalui peningkatan pengeluaran makanan, rantaian pembekalan, dan pemasaran makanan yang efisien.

3) Akses bagi semua warga untuk mendapatkan bekalan: keterjaminan makanan juga dipengaruhi oleh kuasa membeli warga yang dipengaruhi oleh kemampuan untuk menampung kos sara hidup. Justeru, perlu ada mekanisme bagi meningkatkan pendapatan dan membuka lebih peluang pekerjaan.

4) Penggunaan atau pemanfaatan makanan yang efektif: polisi yang memastikan penggunaan (consumption) makanan secara berhemah dan mengurangkan malnutrisi (sama ada pengambilan berlebihan mahupun masalah kekurangan pengambilan zat makanan).

             Dalam pada itu, terdapat beberapa faktor lain yang mengancam kestabilan bekalan sekaligus menggugat keterjaminan bekalan. Antaranya termasuklah peningkatan kos pengeluaran makanan, kewujudan kartel yang memanipulasi pengeluaran, serta fokus kepada produk makanan yang bernilai tinggi untuk dieksport keluar bagi meraih untung yang lebih besar. Selain itu, terdapat juga faktor-faktor luar kawalan, misalnya perubahan iklim, musim tengkujuh dan konflik luar yang mempengaruhi bekalan makanan dan baja.

             Kemandirian negara dalam memastikan bekalan makanan mencukupi juga dipengaruhi oleh polisi negara yang kini lebih menjurus kepada perindustrian dan sektor perkhidmatan. Manakala dari segi tanaman pula, terdapat fokus lebih terarah kepada tanaman komersil berbanding tanaman makanan. Bahkan Malaysia juga mempunyai tahap kebergantungan terhadap import makanan yang agak tinggi di saat negara ini mempunyai banyak tanah yang subur dan sumber manusia yang mencukupi untuk mengusahakannya.

             Penyelesaian yang bersifat populis dan ‘superficial’ semata-mata tidak akan mampu menangani isu ini. Sebaliknya, isu ini memerlukan penyelesaian yang mampu menangani akar permasalahan yang bersifat sistemik dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan golongan pemodal serta elit politik.

             Islam meletakkan makanan sebagai salah satu keperluan asas yang wajib dijamin oleh negara. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab para pemimpin untuk memastikan setiap warganya mendapat akses kepada makanan, baik secara pengagihan langsung ataupun melalui penstabilan bekalan domestik. Di samping itu, konsep ihya al-mawat (menghidupkan tanah mati) menurut ketetapan Islam pula mampu menjamin penggunaan tanah pertanian secara efisien. Daulah Khilafah yang bertanggungjawab menerapkan Islam dalam segenap aspek kehidupan berperanan membangunkan infrastruktur yang kondusif bagi pengeluaran makanan, di samping memberi bantuan kepada pengeluar bagi menampung peningkatan kos pengeluaran. Tambahan pula, syariat Islam melarang  menyembunyikan barang dan monopoli (ihtikar).

              Pastinya mekanisme pelaksanaan sistem ekonomi Islam secara sepenuhnya tidak dapat dihuraikan di sini kerana keterbatasan ruang. Namun, cukuplah disimpulkan bahawa penerapan syariat Islam secara kaffah di bawah Daulah Khilafah mampu memastikan keterjaminan makanan sekali gus menjamin kemandirian umat.