SN627 – KWSP Adalah Jaminan, Bukan Cagaran

Bil: SN627 (PDF) – 29 Sha’aban 1444 / 21 Mac 2023

Isu pengeluaran wang dari KWSP masih terus hangat diperkatakan. Isu ini sangat releven kepada hampir semua rakyat Malaysia yang mencarum ke dalam skim ini. Ini adalah kerana sebahagian dari gaji bulanan mereka akan dimasukkan ke dalam skim ini. Tujuan pemotongan ini adalah untuk digunakan oleh para pencarum apabila mereka telah bersara nanti untuk menampung perbelanjaan kehidupan di hari tua.  Rakyat Malaysia tidak bebas memilih dan mesti mencarum dengan KWSP. Pemotongan KWSP adalah diwajibkan ke atas setiap pekerja di negara ini. Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyarankan agar KWSP dijadikan sebagai salah satu bentuk cagaran untuk pinjaman hutang bank bagi menyelesaikan kemelut kenaikan kos sara hidup.

        Cadangan ini telah menimbulkan reaksi dari masyarakat awam yang menemplak perkara ini dan tidak bersetuju dengan hal tersebut. Ketika pandemik Covid-19, kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan KWSP sebelum mencapai tempoh matang berikutan kesempitan hidup yang dialami oleh rakyat. Realitinya, terdapat sejumlah 320,000 pencarum yang memiliki simpanan sebanyak RM100,000 dan memerlukan wang tersebut untuk hidup. Walaubagaimanapun, pihak kerajaan nampaknya tidak membenarkan pengeluaran pra-matang tersebut kerana data terbaru menunjukkan terdapat peningkatan jumlah pencarum dan majikan baru yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi. Pengeluaran KWSP pra-matang dijangka akan mengekang peluang pelaburan baru yang dirancang dan akan memberi kesan secara langsung dari segi potensi pulangan jangka panjang. Tindakan membenarkan pengeluaran pra-matang juga akan menjejaskan peluang untuk menjana pendapatan bagi tujuan pembayaran dividen kepada ahli pada masa hadapan.

        Bagi memberi ‘kelegaan’ kepada rakyat, kerajaan mencadangkan agar pencarum membuat pinjaman bank dengan menggunakan simpanan KWSP sebagai cagaran. Dengan cara ini, tahap simpanan KWSP dapat dikekalkan dan aktiviti perekonomian bank juga dapat dirancakkan. Jelas sekali cadangan ini tidak popular dan tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat sebaliknya menambahkan beban baru kepada mereka. Kerajaan juga mengatakan bahawa hanya golongan sasar yang benar-benar terdesak dan memerlukan wang untuk menampung kehidupan dibenarkan berbuat demikian.

Masalah Utama

        Masalah utama yang dihadapi ketika ini adalah rakyat memerlukan ‘wang segera’ untuk meneruskan kehidupan. Wang segera yang dimaksudkan ini adalah simpanan para pencarum dalam KWSP. Pemberian wang melalui skim bantuan tunai yang lain adalah terlalu kecil dan tidak mampu menampung kehidupan sebahagian rakyat yang memerlukan. Tambahan pula, kerajaan sendiri tidak memiliki sumber yang cukup untuk tujuan tersebut. Malahan, KWSP itu sendiri merupakan salah satu sumber pihak kerajaan untuk menjana pendapatan melalui pelaburan. Namun, keuntungan dari pelaburan KWSP tidaklah begitu menggalakkan.

        Kerajaan juga memerlukan aliran tunai baru sekiranya rakyat dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan caruman mereka. Terdapat cadangan untuk menjual aset pelaburan luar negara dan mengurangkan pelaburan di peringkat domestik bagi menampung potensi pengeluaran yang banyak oleh pencarum. Cadangan ini juga belum tentu dapat menjamin kelangsungan KWSP jika ia dilaksanakan.

        Selain itu, terdapat beberapa lagi faktor lain yang mempengaruhi keuntungan pelaburan seperti kenaikan kadar rizab persekutuan AS yang berterusan dan ketidakstabilan geopolitik dunia yang memacu kegelisahan pasaran. Kerajaan nampaknya tersepit antara keperluan untuk mendapatkan pulangan besar pelaburan dan membantu para pencarum  KWSP yang hidup merana. Antara alasan lain yang diberikan bagi menjustifikasi cadangan agar para pencarum mengambil pinjaman bank dengan mencagar simpanan KWSP mereka adalah bahawa pengeluaran KWSP hari ini akan menyebabkan masalah kewangan pada hari tua nanti.

Penyelesaian

        Antara perkara yang paling penting untuk difahami terlebih dahulu ialah siapakah pemilik simpanan KWSP? Dalam hal ini terdapat dua pihak yang terkait iaitu rakyat sebagai pencarum dan kerajaan yang mengelola simpanan tersebut.  Simpanan KWSP  merupakan caruman dari sebahagian gaji atau upah yang diperolehi oleh pekerja hasil daripada pekerjaan yang mereka lakukan. Dalam Islam, hak milik simpanan dikembalikan kepada penyimpan (pencarum) dan hakikatnya mereka bebas mengelola simpanan mereka mengikut kehendak mereka. Kerajaan sebenarnya tidak berhak mengelolakan wang tersebut kecuali bagi perkara yang melibatkan hukum syarak seperti zakat dengan syarat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

        Adapun mengenai kelangsungan kehidupan hari tua bagi rakyat, Islam menjamin perkara ini. Malahan, jaminan Islam terhadap kelangsungan hidup bukan hanya dikhususkan untuk golongan tua, malah untuk semua individu rakyat. Jaminan Islam merangkumi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal serta keperluan masyarakat seperti perkhidmatan kesihatan dan lain-lain. Dalam hal ini, institusi kekeluargaan Islam telah menetapkan bahawa anak-anak wajib menjaga ibu bapa mereka ketika hari tua mereka berdasarkan firman Allah SWT:

 “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”. [TMQ Al-Araf (17) 23-24]

        Bagaimana pula dengan golongan tua yang tidak mempunyai anak atau waris untuk menjaga mereka? Islam telah menjelaskan tanggungjawab orang Islam yang beriman adalah menyayangi yang muda dan menyantuni yang tua seperti sabda Rasullullah SAW di dalam hadis At-Tarmizi:

“Bukanlah daripada kalangan kami orang yang tidak menyayangi orang yang lebih muda daripada kami dan menghormati orang yang lebih berusia daripada kami”.

        Dan juga hadis dari Abu Daud,

“Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah adalah menghormati Muslim yang sudah tua”.

        Realitinya, menjaga golongan tua memerlukan kos bagi menampung keperluan makanan, kesihatan, kebajikan dan sebagainya untuk mereka. Dalam Islam, sistem kesihatan yang percuma dan jaminan keperluan asas untuk setiap rakyat memastikan bahawa keperluan setiap individu rakyatnya, tidak kira yang tua mahupun yang muda akan dipelihara. Dengan penerapan hukum Islam secara benar, tidak akan wujud lagi permasalahan anak-anak tidak mampu untuk membeli barangan keperluan ibu bapa akibat kemiskinan. Negara bertanggungjawab menanggung semua kos kehidupan mereka dengan cara yang sesuai.

        Tidak wujud persepsi bahawa negara akan rugi sekiranya terpaksa menanggung keperluan rakyat. Tanggungjawab utama negara adalah menjaga urusan rakyatnya.  Islam mewajibkan negara untuk menjalankan tanggungjawab ini berdasarkan jalan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ini berbeza sama sekali dengan sistem demokrasi kapitalis yang mendominasi kita hari ini. Tugas negara bercampur aduk antara tanggungjawab dan keuntungan duniawi. Dalam Islam hanya keredhaan Allah SWT yang dicari dan ini dimanifestasikan dengan mengikut hukum syarak dalam segala aspek penjagaan urusan rakyat. Keindahan sistem Islam ini hanya dapat dicapai sekiranya Deen Allah SWT ini dilaksanakan sepenuhnya (kaffah), bukannya mengambil sebahagian hukumNya dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Kesimpulan

        Isu KWSP secara umum dan cadangan kerajaan untuk menjadikannya cagaran pinjaman bank menonjolkan kelemahan ketara dalam sistem demokrasi kapitalis. Simpanan pencarum yang merupakan hak penyimpan digunakan untuk pelaburan sehingga para pencarum tidak dibenarkan untuk mengeluarkannya kerana masalah aliran tunai. Tambahan pula, jaminan kehidupan individu rakyat tidak dilihat dengan cara yang benar. KWSP dilihat sebagai sumber nombor satu dalam memastikan hari tua yang ‘sejahtera’ sedangkan sebelum tiba hari tua pun, kesejahteraan hidup sudah mula terhakis. Ini berbeza dengan negara Khilafah yang menerapkan Islam secara kaffah. Khilafah wajib memastikan bahawa setiap individu rakyat dijaga dan dijamin kesejahteraannya tanpa mengira berapapun usianya dan apapun bangsanya. Pemerintah yang gagal melaksanakan tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT dan akan dihukum setimpal dengan kealpaannya di akhirat nanti. Wallahua’lam.


  KOLUM SIYASAH

Tauliah

        Isu para penceramah yang dilarang memberi ceramah di masjid dan surau terus menarik perhatian masyarakat. Ramai yang terkejut dan merasakan larangan tersebut tidak wajar dilakukan apatah lagi ketika masyarakat dihujani dengan pelbagai bentuk maksiat. Tidak kurang juga yang menyuarakan kebimbangan atas propaganda, undang-undang dan amalan sekularisme yang begitu berleluasa. Lima tahun dahulu kita dikejutkan dengan pendedahan JAKIM bahawa terdapat 310 ribu LGBT. Dan kini, Netflix yang mudah ditonton di rumah menyebarkan kerosakan hinggakan rancangan kartun juga ada yang diselit dengan unsur yang merosakkan seperti LGBTQ .

        Konsert Black Pink baru-baru ini yang menyaksikan 60 ribu penonton terkinja-kinja bagai terkena histeria tidak pula disekat walaupun umum mengetahui kesan buruk konsert seperti itu ke atas masyarakat. Filem ‘Mentega Terbang’ yang menonjolkan hak untuk murtad telah ditayangkan sejak tahun 2021 tetapi hingga hari ini tiada tindakan tegas yang diambil.

        Jika umat Islam mahu dibebaskan dari keharaman, sepatutnya riba disekat tetapi yang kita lihat riba malah menjadi tulang belakang ekonomi. Kilang arak dan penjualan minuman keras diberi lesen sedangkan ia jelas haram di sisi Islam. Jika umat Islam ingin diberkati Allah SWT, sepatutnya undang-undang Islam ditegakkan, sebaliknya, undang-undang yang diwarisi dari penjajah British masih dipertahankan.

        Jika kesucian Islam hendak dipertahankan, ia bukan sahaja dilakukan di masjid dan surau malah di luar masjid dan surau juga ia wajib dipertahankan. Kenapa ada peraturan yang berbeza di dalam dan di luar masjid? Jelas sekali ada yang tak kena. Hipokrasi secara terang-terangan. Kenapa konsert mudah mendapat lesen berbanding penceramah agama yang sudah diketahui umum banyak berjasa menaikkan kesedaran masyarakat?

        Sesetengah penceramah agama yang dilarang ini begitu popular sehingga ramai yang akan ke masjid dan surau untuk mengikuti majlis ilmu mereka. Bukankah ini baik untuk mengimarahkan masjid? Kehadiran para penceramah ini menyebabkan orang ramai termasuk anak-anak muda tertarik untuk datang ke masjid yang biasanya dikunjungi hanya oleh orang-orang tua. Tambahan pula dengan berbagai pengaruh buruk akibat dari serangan budaya dan pemikiran sekular yang terus berlaku, umat Islam perlu diselamatkan! Persoalannya, kenapa budaya dan pemikiran yang bertentangan dengan Islam tidak dihalang tetapi para penceramah yang berdedikasi dicegah?

        Menjalankan dakwah adalah perintah dari Allah SWT.  Allah Azza wa Jalla berfirman:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (TMQ Ali-‘Imran:104)

        Menghalang pendakwah adalah seperti menghalang perintah Allah SWT. Negara sepatutnya menghasilkan ramai pendakwah yang faqih di dalam Deen dan mempermudah usaha mereka untuk berdakwah. Memang benar, pemerintah mesti mengawal isi kandungan dakwah agar sesuai dengan al-Quran dan Sunnah tetapi janganlah sampai menghalang para pendakwah yang ikhlas dan benar. Hakikatnya negara harus mempermudah semua usaha dakwah, bukannya menghalangnya atas alasan yang berbau politik atau kerana masalah perbezaan pandangan. Hanya dengan cara ini kita akan dapat meraih keredaan Allah dan mempertahankan kesucian Islam.