SN630 – Dalang Disebalik Kemusnahan dan Perpecahan Sudan
Bil: SN630 (PDF) – 19 Shawwal 1444 / 9 Mei 2023
Sejak kemerdekaannya pada tahun 1956, Sudan sentiasa disulami dengan konflik dalaman – bermula dengan Perang Saudara Sudan Pertama (1955) sehinggalah kepada pemisahan Sudan Selatan pada tahun 2011. Terbaru, lebih 100,000 orang telah melarikan diri dari Sudan sejak pertempuran sengit meletus pada 15 April 2023 antara dua puak yang bertelagah. Seramai 550 orang telah terkorban manakala hampir 5000 tercedera dan 334,000 orang telah kehilangan tempat tinggal [Reuters, 3/5/2023]. Pemerhati politik antarabangsa memberi amaran tentang “malapetaka besar” yang bakal melanda Sudan jika pertempuran tidak dihentikan.
Pada ketika ini, pertempuran di antara puak yang bertelagah, iaitu Pasukan daripada Angkatan Tentera Sudan dengan pasukan paramiliter dari Pasukan Sokongan Pantas (Rapid Support Force) atau RSF masih berterusan di ibu negara Sudan, Khartoum, sedangkan pelbagai usaha gencatan senjata telah diusahakan. Walaupun ramai orang yang telah terkorban dan tercedera, kedua-dua pihak seakan-akan tidak peduli dengan apa yang sedang dilalui oleh rakyat Sudan. Kerasukan untuk merebut kekuasaan telah menguasai pemikiran para pemimpin puak yang bertelagah. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kekuasaan walaupun ia akan mengorbankan banyak nyawa rakyat.
Ketegangan di antara puak bertelagah ini telah pun wujud sejak rampasan kuasa pada tahun 2019 yang diketuai bersama oleh junta tentera (para pemimpin tentera) yang terdiri daripada Angkatan Tentera Sudan dan RSF serta disokong oleh pemimpin politik awam daripada blok pembangkang. Setelah Presiden Omar Al-Bashir digulingkan semasa rampasan kuasa tersebut, semua pihak yang terlibat di dalam rampasan kuasa itu telah bersepakat untuk menubuhkan Majlis Peralihan Kedaulatan (Transitional Sovereignty Council) atau lebih dikenali sebagai TSC. Mereka pada dasarnya bersetuju untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan di bawah Majlis tersebut yang juga akan melakukan proses peralihan kuasa dari kekuasaan tentera kepada pemerintahan awam di mana tentera akan memerintah selama 21 bulan yang pertama dan kemudian diserahkan kepada parti politik awam selama 18 bulan. Sementara menunggu peralihan itu berlaku, ketua Angkatan Tentera Sudan, iaitu Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan (Al-Burhan) telah dilantik untuk menjadi Presiden Sudan manakala ketua RSF, Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo (Hamedti) pula sebagai Timbalan Presiden Sudan.
Ketegangan bermula apabila sebaik sahaja dilantik sebagai Presiden Sudan, Al-Burhan terus ke Amerika Syarikat (AS) untuk mengunjungi Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo pada Disember 2019. Sebagai catatan, setelah kejatuhan Presiden Omar Al Bashir, diketahui bahawa AS telah pun merancang untuk mengeluarkan Sudan dari senarai negara pengganas sejak puluhan tahun sebelumnya [Reuters, 3/2/2020] dan ini membuktikan bahawa wujud hubungan baik antara Al-Burhan dan AS. Tanpa menghiraukan perasaan umat Islam, Al-Burhan turut melawat pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu pada tahun 2020 dengan alasan untuk menjaga kepentingan rakyat Sudan [Times of Israel, 4/2/2020].
Pelbagai isu telah ditimbulkan oleh Al-Burhan sepanjang tempoh 21 bulan itu sehingga berlaku ketegangan demi ketegangan antara pihak yang menganggotai TSC. Akhirnya, sebelum berakhirnya tempoh 21 bulan tersebut, pihak tentera telah melakukan satu lagi rampasan kuasa dengan menangkap para pemimpin parti politik di dalam Kerajaan Persekutuan di bawah TSC termasuk Perdana Menteri Abdallah Hamdok, para pemimpin kerajaan TSC, para pegawai kerajaan dan para pengamal media. Mereka samada dipenjarakan atau diletakkan di bawah tahanan rumah [Al-Jazeera, 25/10/2021]. Sejak itu, Kerajaan Persekutuan TSC diperintah sepenuhnya oleh junta tentera Sudan.
Sepanjang pemerintahan junta tentera, Al-Burhan telah melakukan pelbagai manuver politik untuk memastikan beliau terus berkuasa, sehinggalah kepada keputusan untuk menyerapkan RSF ke dalam Angkatan Tentera Sudan. Keputusan ini tidak dipersetujui oleh Hamedti kerana ia akan memberi ruang kepada pemerintahan diktator. Hamedti mula membalas dengan mencanangkan agar pemerintahan negara dipindahkan kepada pihak awam secepat mungkin untuk mengelakkan Sudan kembali kepada pemerintahan diktator. Belum pun sebarang tindakan diambil oleh Al-Burhan ke atas ketidakpatuhan Hamedti, pertempuran meletus pada 15hb April 2023.
Pasukan paramiliter RSF yang diketuai oleh Hamedti bukanlah calang-calang pasukan. Ia kebanyakannya terdiri daripada bekas pasukan bersenjata di wilayah Darfur yang telah diserapkan ke dalam turus pasukan Angkatan Tentera Sudan sebagai sayap paramiliter semasa pemerintahan Presiden Omar Al-Bashir di kala berlakunya konflik wilayah Darfur (2003-2010). Hamedti pula merupakan bekas pemimpin mereka yang mempunyai sumber kewangan yang kuat daripada hasil galian di wilayah Darfur terutamanya emas. Dianggarkan pasukan RSF ini mempunyai kekuatan seramai 100,000 anggota [Reuters 3/5/2023]. Jadi, pertembungan di antara Angkatan Tentera Sudan dan RSF ini umpama peribahasa; “Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati tersepit di tengah”. Serangan besar-besaran yang dilancarkan oleh Angkatan Tentera Sudan ke atas pasukan RSF di kawasan awam telah menyebabkan korban dan kemusnahan yang besar di kalangan rakyat.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS telah berkomunikasi dengan kedua-dua pihak dan menyeru kepada gencatan senjata namun ia tetap tidak dipatuhi oleh para anggota di lapangan. Ketua RSF, Hamedti, berkata dalam satu siri tweet, “Kami sedang menunggu perbincangan lanjut dengan Setiausaha Negara AS tentang cara untuk menangani pelanggaran ini” [Al Jazeera Net, 18/4/23]. Akhirnya, gencatan senjata dapat dicapai selepas Setiausaha Negara AS menghubungi Al-Burhan dan Hamedti untuk meminta mereka patuh kepada gencatan senjata untuk tujuan kemanusiaan [Al Jazeera Net 18/4/23]. Jurucakap Jabatan Negara AS telah menyatakan tekad AS untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi menyelia perancangan, pengurusan dan logistik jabatan tersebut yang terkait dengan semua kegiatan sepanjang berlakunya konflik di Sudan. Menurut kenyataannya, mereka telah mendesak Angkatan Tentera Sudan dan RSF untuk mengadakan gencatan senjata 24 jam, dan menyeru kedua-duanya untuk memastikan semua pasukan mematuhinya [Al-Sharq al-Awsat 9/4/2023].
Nampak jelas kepada kita bahawa daripada semua tindak tanduk AS ini, konflik di Sudan sebenarnya berada di bawah perencanaan AS. Merekalah yang mengawal gencatan senjata, menguruskan apa yang berlaku di lapangan sehinggalah kepada kegiatan pertempuran yang berlaku di antara agen-agennya. Urusan tersebut mudah bagi AS untuk melakukannya melalui agen-agennya yang berada di rantau tersebut. Agen-agen ini mempunyai kemudahan untuk berhubung dengan kedua-dua belah pihak yang bertelagah. Amerika pada awalnya ingin tahu samada Hamedti telah memihak kepada Britain dan Eropah. Kebimbangan AS ini merujuk kepada tindakan Hamedti yang berulang-ulang menyeru kepada pemerintahan awam dan menyerahkan kuasa pemerintahan kepada parti politik awam. Ia seolah-olah dilihat memberikan sokongan kepada pihak pemimpin awam yang cenderung kepada Britain dan Eropah. Perencanaan AS juga dapat dilihat dalam tindakan pemimpin Arab Saudi yang telah menghubungi kedua-dua pihak yang bertelagah di Sudan. Saluran Al Jazeera pula memetik Menteri Mesir sebagai berkata bahawa beliau juga telah berhubung dengan kedua-dua pihak (Al-Burhan dan Hamedti) untuk memastikan kedua-duanya tetap bersama menjaga kepentingan AS di Sudan.
Justeru, jika kedua-dua pihak yang bertelagah setia kepada AS, apakah perancangan AS di sebalik konflik yang berlaku pada ketika ini? Sekiranya diperhatikan dengan mendalam, kegoncangan yang sedang berlaku di Sudan hari ini akan terus dikawal-selia oleh AS sehingga suasana geopolitik Sudan berpindah ke arena yang baru iaitu munculnya gerakan pemisahan wilayah Darfur daripada Sudan. Ini adalah kerana sejak dari dahulu lagi AS gagal mengamankan wilayah Darfur yang diketahui mempunyai simpanan hasil bumi yang lumayan. Daripada 90 gerakan bersenjata di Sudan, 80 daripadanya berada di wilayah Darfur dengan pelbagai kekuatan senjata dan kemampanan diri. Fakta ini sahaja sudah cukup untuk memberi gambaran akan rapuhnya tahap keselamatan di Darfur. Oleh itu, jalan mudah bagi AS adalah dengan memisahkan Darfur dari Sudan untuk melemahkan kekuatannya agar ia mudah untuk dikuasai.
Perspektif Islam
Sebenarnya, tidak wujud pertikaian hakiki antara Al-Burhan dan Hamedti. Sebaliknya kedua-dua pihak ini adalah merupakan agen dalam perencanaan Amerika. Amerika membawa Al-Burhan ke kedudukannya sekarang dengan kerjasama Hamedti dan ini merujuk kepada hubungan yang telah terjalin antara Al-Burhan dan Hamedti ketika mereka bekerjasama menggulingkan Presiden Omar Al-Bashir dan menyingkirkan Menteri Pertahanan Abd Al-Rahman bin Auf. Mereka juga bersepakat menyingkirkan parti-parti politik di dalam TSC untuk memastikan konsolidasi kuasa tentera di dalamnya. Meskipun terdapat perbezaan pandangan antara Al-Burhan dan Hamedti dalam beberapa perkara, realitinya, pertikaian yang wujud bukanlah suatu yang nyata namun ia sebenarnya lebih kepada pembahagian peranan yang ditentukan oleh AS.
Apa yang jelas, perlakuan Al-Burhan dan Hamedti dalam ‘konflik’ ini adalah suatu yang bertentangan dengan Islam. Mereka berdua dengan sengaja melakukan pembunuhan, kezaliman dan penganiayaan ke atas rakyat Sudan. Mereka sedar bahawa para pemimpin awam dan rakyat tidak lagi bersama mereka. Apa yang tinggal pada mereka hanyalah kekuatan persenjataan dan mereka menggunakannya untuk terus kekal berkuasa.
Pertembungan ini akan akhirnya menjadikan Sudan terpecah lagi dan kekayaan negara dibahagikan antara para pemimpin tentera dan sekutu mereka. Hamedti akan terus berkuasa di Darfur dengan kekuatan tentera dan kekayaannya. Malah dilaporkan bahawa dia mengawal sebahagian besar kekayaan rantau tersebut, termasuk lombong emas dengan nilai eksport yang sangat lumayan (Laporan Afrika, 13/01/2021).
Rakyat Sudan akan terus dihimpit dengan kesusahan dan kepayahan hidup. Kemusnahan kehidupan rakyat dan ekonomi Sudan akibat perang antara agen-agen AS ni akan memerlukan masa yang panjang untuk dipulihkan. Ramai yang kehilangan tempat tinggal, harta benda dan orang tersayang dan pastinya merupakan suatu yang sukar untuk dihadapi. Banyak tempat awam menjadi medan pertempuran dan akan kekal memahat memori hitam kehidupan rakyat Sudan. Tiada pembelaan kepada rakyat Sudan, hanya kesedihan dan kepayahan yang menanti setelah pertempuran tamat nanti.
Disebalik semua yang berlaku, umat Islam harus memahami bahawa:
Pertama: Pertempuran antara Al-Burhan dan Hamedti ini adalah pertembungan yang haram. Kedua-dua pembunuh dan yang terbunuh berada dalam api neraka. Dari Abu Bakrah Nafiq bin Al-Harits, dia berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda,
“Bila dua pihak Muslim bertemu (saling berbunuhan) dengan pedang mereka, maka yang membunuh dan yang dibunuh masuk neraka. Aku bertanya, ”Ya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, wajar masuk neraka bagi yang membunuh, tetapi bagaimana dengan yang dibunuh?”. Baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, ”Yang dibunuh masuk neraka juga, kerana dia pun berkeinginan untuk membunuh lawannya“. [HR Bukhari dan Muslim]
Kedua: Fungsi tentera dalam Islam adalah untuk menjaga keselamatan umat Islam dan berjihad kerana Allah, bukannya menggunakan kekuatan dan kelengkapan yang ada untuk merebut kekuasaan untuk diri masing-masing.
Ketiga: Di dalam struktur negara Islam, hanya satu kekuatan tentera dibenarkan di bawah pimpinan Khalifah umat Islam.
Keempat: Islam telah memberikan kekuasaan kepada umat. Kaum Muslimin akan membai’at seseorang yang memenuhi syarat untuk menjadi Khalifah yang akan memimpin dengan Kitab Allah SWT dan Sunnah Rasul-Nya.
Kelima: Pemerintahan dan kekuasaan di dalam Islam bukanlah untuk meraih keuntungan material, sebaliknya ia adalah untuk melaksanakan hukum Allah SWT dan menjaga hal ehwal umat. Ia adalah sebuah tanggungjawab dan amanah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Kekuasaan adalah amanah dan pada hari kiamat ia adalah akan menjadi sebab kehinaan dan taubat kecuali bagi orang yang menunaikan kewajipannya (dengan sempurna).” [HR Muslim]
Keenam: Umat Islam adalah umat yang satu. Rakyat Sudan wajib diselamatkan oleh para pemimpin umat Islam yang lain. Mereka harus berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan rakyat Sudan tidak lagi menjadi korban dan menjaga kebajikan mereka. Keengganan untuk campur tangan dalam konflik di Sudan ini disebabkan ketundukan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan alasan yang tidak syar’i. Ia akan hanya terus menyebabkan pengasingan sesama kaum Muslimin.
Kesimpulan
Selagi agen-agen yang ada terus memberikan khidmat dan ketaatan kepada kuasa penjajah demi mengekalkan kekuasaan, maka selagi itulah kita akan melihat umat Islam di Sudan atau di mana-mana penjuru dunia hari ini menjadi mangsa kepada konflik yang tidak benar. Mereka langsung tidak mengambil berat tentang permasalahan umat apatah lagi untuk menyelesaikannya, memberi makan rakyatnya dan menjamin keperluan mereka.
Tiada jalan lain bagi umat ini kecuali menyingkirkan agen-agen seperti ini dan memutuskan ketaatan terhadap mereka. Kaum Muslimin harus mengikuti jalan orang-orang yang berjuang dan menyeru ke jalan Allah SWT dan bekerja untuk melaksanakan perintahNya dan untuk menyatukan umat Islam dan membebaskan mereka dari cengkaman penjajah.
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan amal yang soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang Islam””. [Al-Fussilat (41): 33]