SN634 – Alternatif Islam Kepada Subsidi

Bil: SN634 (PDF) – 17 Zulhijjah 1444/ 5 Julai 2023

Sehingga kini, keadaan ekonomi negara semakin parah. Nilai ringgit semakin menjunam, harga barang semakin meningkat dan nampaknya para pemimpin kerajaan perpaduan masih belum dapat menghasilkan pelan pemulihan ekonomi yang benar-benar meyakinkan. Apa yang sibuk diperkatakan adalah pemansuhan subsidi daripada kalangan golongan T20 sedangkan ramai daripada kalangan kategori tersebut yang gajinya hanya di garis sempadan kategori T20 merasa resah kerana kos harian mereka akan mula meningkat apabila pelbagai subsidi golongan tersebut ditarik. Paling awal terkesan adalah kos untuk mengerjakan haji bagi kelompok T20 yang berpendapatan lebih dari RM15,000 sebulan. Kos haji bagi kategori ini kini mencecah RM30,850.00 setiap seorang berbanding sebelum ini kosnya adalah RM10,980.00 [Awani 20/3/2023]. Ini menyebabkan ramai golongan T20 yang terpaksa menangguhkan pemergian ke Mekah disebabkan tidak menyangka dan tidak bersedia untuk membayar kos penuh untuk mengerjakan haji.

        Sejak sekian lama, kita menyaksikan bagaimana subsidi menggerakkan aktiviti ekonomi di mana para pengeluar/pengilang boleh mengekalkan harga mampu milik kepada rakyat. Subsidi juga merupakan satu bentuk ‘bantuan kepada pengeluar/pengilang’ agar dapat menyerap kenaikan kos, mengekalkan harga barangan di pasaran dan terus mengekalkan keuntungan mereka. Ini adalah kerana, jika tiada subsidi diberikan, pengeluar/pengilang terpaksa menaikkan harga barang sehingga tiada pembeli yang sanggup membeli barangan dan akhirnya kegiatan perdagangan dalam masyarakat akan merosot dan boleh mengakibatkan kesan buruk kepada rakyat. Justeru, di dalam sistem ekonomi kapitalis, kerajaan harus campurtangan dengan memberikan subsidi untuk menampung kos pengeluaran supaya harga dapat distabilkan dan kekayaan dapat diagihkan membolehkan rakyat dapat terus berbelanja serta menggerakkan ekonomi [https://www.britannica.com/money/topic/distribution-of-wealth-and-income].

        Namun, kerisauan mula muncul apabila laporan mencatatkan jumlah subsidi yang disalurkan kerajaan untuk menggerakkan ekonomi pernah mencecah RM77.3 bilion pada tahun 2022 yang meliputi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung, elektrik dan bantuan tunai kepada rakyat dengan tujuan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. [Siaran Media, Kementerian Kewangan Malaysia, 25 Jun 2022]. Daripada RM77.3 bilion itu, RM41.7 bilion adalah untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), subsidi minyak masak sebanyak RM3 bilion dan subsidi bil elektrik sebanyak RM5.8 bilion. Manakala yang lain adalah untuk perkara lain seperti bantuan tunai kepada rakyat yang memerlukan, bantuan tunai pendidikan, pengangkutan dan pertanian [Kosmo 29/10/2022]. Walaubagaimanapun, jumlah ini masih kecil berbanding kutipan cukai negara yang berjumlah RM139 bilion (2022) dan RM140 bilion (2021) [Harian Metro,20/1/2023].

        Dari fakta yang dibentangkan di atas, kita seharusnya dapat memahami hubungan di antara subsidi, cukai, harga dan kos operasi pengeluar/pengilang. Hubungkait ini pada asalnya seolah-olah nampak adil kepada para kapitalis (pengeluar/pengilang) dan pengguna. Namun apa yang menjadi masalah pada ketika ini adalah sistem pengagihan subsidi yang tidak menyeluruh. Subsidi petrol dan bahan api lainnya banyak dinikmati oleh pengguna di sektor permotoran manakala subsidi minyak masak dan elektrik dinikmati oleh para usahawan dan pengusaha manakala bantuan tunai rakyat pula terlalu bergantung kepada pangkalan data yang tidak tepat dan acapkali bantuan yang diperuntukkan terlepas kepada mereka-mereka yang tidak layak menerimanya. Namun begitu, cukai yang dikenakan kepada rakyat adalah bersifat menyeluruh! Inilah di antara kelemahan yang wujud di dalam pemberian subsidi. Benar, secara umumnya subsidi merupakan salah satu kaedah pengagihan kekayaan kepada rakyat, namun di dalam sistem kapitalis, sumber yang digunakan untuk pemberian subsidi dan bagaimana ia dapat diagihkan kepada golongan sasaran secara menyeluruh merupakan dua masalah utama yang sering menggagalkannya.

        Cara Islam menangani pengagihan kekayaan adalah jauh berbeza dari sistem Kapitalis. Kapitalisme menganggap subsidi merupakan suatu kebajikan dan ihsan dari negara, sedangkan Islam meletakkan pengagihan kekayaan sebagai satu kewajiban. Sehingga kini, belum ada fakta yang boleh benar-benar membuktikan bahawa Kapitalisme mampu memberikan keadilan dalam mengagihkan kekayaan melalui sistem subsidi. Lihat sahaja bagaimana sejumlah besar subsidi disalurkan kepada para kapitalis untuk menampung kos pengeluaran mereka untuk memastikan mereka terus kaya. Di seluruh dunia, kita dapat menyaksikan bahawa yang kaya menjadi semakin kaya, dan yang miskin semakin miskin. Sistem subsidi dalam Kapitalisme juga tidak akan pernah dapat menyelesaikan masalah pengagihan selagi prinsip kebebasan kepemilikan terus digunapakai yang menyaksikan hasil petroleum, gas, elektrik, air dan sumber alam diniagakan kepada rakyat.

Sistem Jaminan di dalam Islam

        Jika di dalam sistem Kapitalis, sumber kepada subsidi untuk rakyat diambil daripada cukai menyeluruh yang dikenakan ke atas rakyat, di dalam Islam, terdapat kaedah yang lebih praktikal untuk mendapatkan sumber selain cukai bagi menampung keperluan hidup rakyat golongan bawahan. Hasil syar’i daripada harta ghanimah, anfal, fai’, khumus, kharaj, rikaz dan usyur sememangnya akan dikutip oleh Daulah Khilafah apabila ia tertegak nanti. Pada masa yang sama, pelbagai sumber alam semula jadi akan diurus oleh Daulah dan hasilnya akan dikembalikan kepada rakyat samada secara tunai atau dalam pelbagai bentuk perkhidmatan.  Selain itu, Daulah wajib memastikan kutipan dan agihan hasil zakat seperti zakat fitrah, zakat simpanan emas dan perak, zakat daripada barang dagangan, tanam-tanaman, buah-buahan dan ternakan ditambahbaik agar hak golongan yang boleh menerima zakat (asnaf) dapat dijaga dengan sebaiknya. Sekiranya setiap individu yang berharta membayar zakat, tidak timbul isu golongan berharta disisihkan atau subsidi mereka ditarik. Individu yang berharta dan kaya sememangnya wajib mengeluarkan zakat agar hasilnya dapat diagih kepada kalangan asnaf. Jika ini dilakukan dengan cara yang efektif dan efisien, nescaya masalah kemiskinan dapat ditangani dengan menyeluruh.

            Selain dari meningkatkan kecekapan mengutip dan mengagihkan zakat, Daulah juga harus berperanan untuk melaksanakan sistem ekonomi Islam secara menyeluruh dan bersepadu dengan hukum syara’ yang lain. Semua ini seiring dengan firman Allah SWT:

“Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kalian”.

[Al-Hasyr(59) : 7]

        Di dalam sistem ekonomi Islam yang akan diterapkan oleh Daulah, salah satu perkara asas yang harus dijalankan adalah memastikan jaminan bagi setiap individu rakyat dalam 3 perkara iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Ketiga-tiga perkara ini seharusnya menjadikan rakyat hidup selesa kerana jaminan keperluan asas ini sudah cukup untuk mereka mencapai kesejahteraan hidup. Selain daripada ketiga-tiga keperluan asas ini, Daulah juga harus menjamin keperluan kehidupan yang lain seperti pendidikan, pengangkutan dan kesihatan tanpa mengira kategori pendapatan individu. Semua ini merupakan kewajiban dan tanggungjawab Daulah dalam melayani rakyat tanpa mengira kategori pendapatan. Daulah juga akan memastikan bahawa setiap individu menjalankan tanggungjawab dan amanah masing-masing terhadap waris dan masyarakat. Ini akan melahirkan masyarakat yang bertaqwa, bertanggungjawab,  rendah diri dan saling menyantuni antara yang kaya dan miskin.

Kesimpulan

        Inilah kaedah Islam dalam menerapkan sistem ekonominya – menjamin kehidupan rakyat yang sejahtera tanpa perlu menjalankan sistem subsidi seperti yang terdapat di dalam Kapitalisme. Ini adalah selaras dengan peranan Daulah sebagai pelayan kepada rakyat dan menjadikan seluruh aktiviti ekonomi bukan dilandaskan kepada keuntungan, kemewahan dan kemegahan semata-semata, namun yang paling penting adalah untuk mencapai keredhaan Allah SWT. InsyaAllah, sistem ekonomi Islam akan dapat diterapkan secara menyeluruh dan dapat menjamin kesejahteraan rakyat apabila Daulah Khilafah Islamiyyah ditegakkan tidak lama lagi.


KOLUM IBADAH

Ibadah Haji dan Kesempurnaan Islam

        Musim Haji 1444H baru sahaja melabuhkan tirainya. Pada musim ini, dianggarkan lebih 2.5 juta umat Islam dari segenap pelusuk dunia berhimpun untuk melaksanakan rukun Islam kelima ini. Usai menunaikan ibadah haji, para dhuyuf ar-Rahman (tetamu ar-Rahman) berangkat pulang ke kampung halaman masing-masing dengan penuh keinsafan dan ketaqwaan hasil daripada amalan yang dilaksanakan sepanjang keberadaan mereka di tanah suci Makkah.

        Walau bagaimanapun, dengan sempurnanya rukun Islam kelima ini bukanlah bermakna telah sempurna kehidupan beragama kita, kerana Islam bukanlah sekadar agama peribadatan semata-mata. Sebaliknya, Islam merupakan sebuah mabda’ yang menuntut umatnya untuk mengamalkan ajarannya dalam segenap aspek kehidupan.

        Islam merupakan agama yang diturunkan Allah kepada junjungan kita Nabi Muhammad (saw) untuk mengatur hubungan manusia dengan Khaliq-nya, dengan dirinya dan dengan manusia sesamanya. Hubungan manusia dengan Khaliq-nya mencakup setiap peraturan yang berkaitan dengan akidah dan ibadah. Hubungan manusia dengan dirinya mencakup peraturan yang berkaitan dengan akhlak, makanan, dan pakaian manakala hubungan manusia dengan sesama manusia mencakupi peraturan yang berkaitan dengan mu’amalah dan uqubat [Syeikh Taqiuddin An-Nabhani, Sistem Islam].

        Namun begitu, ada segelintir insan yang berpandangan bahawa menunaikan haji dan umrah merupakan tiket penyucian atas dosa dan kemaksiatan yang dilakukan di sepanjang tahun sedangkan Allah (swt) telah menyatakan bahawa salah satu sifat orang yang bertaqwa ialah mereka tidak mengulangi dosa-dosa mereka. Firman-Nya,

وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا۟ فَـٰحِشَةً أَوْ ظَلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا۟ ٱللَّهَ فَٱسْتَغْفَرُوا۟ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلُوا۟ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.

[Ali Imran (3): 135]

        Pelaksanaan ibadah haji pastinya menggamit ketaatan kita selaku hamba Allah (swt) dalam melaksanakan segala perintah serta meninggalkan larangan-Nya. Justeru, tidak sewajarnya taqwa yang terbina hasil daripada pelaksanaan haji menjadi pudar sekembalinya kita ke kampung halaman. Sewajarnya bekal taqwa yang diraih bukan sekadar mendorong kita menjadi individu mukmin yang lebih baik, bahkan memotivasi diri kita menjadi anggota masyarakat yang berkesedaran untuk mewujudkan masyarakat yang hidup dalam aturan Islam – apatah lagi dalam keadaan tidak terterapnya syariah secara sepenuhnya dan berleluasanya kemungkaran di sekeliling kita sebagaimana yang berlaku pada hari ini!