SN635 – Perangkap Polemik Negara Islam

Bil: SN635 (PDF) – 2 Muharram 1445/ 20 Julai 2023

Tidak sampai sebulan lagi, enam buah negeri akan menghadapi pilihanraya untuk memilih Ahli Dewan Negeri masing-masing. Seperti biasa, kita menyaksikan perang mulut di antara para pemimpin parti yang bertanding menjadi semakin hangat. Pelbagai isu telah ditimbulkan dengan tujuan untuk menjatuhkan kredibiti pihak lawan. Di antara isu hangat yang sering dijadikan modal adalah isu berkaitan agama dan bangsa. Di antaranya adalah mengenai status negara Malaysia – adakah negara ini sekular atau tidak. Dalam menjawab tuduhan pihak pembangkang yang mengatakan bahawa rakan pakatan kepada Kerajaan Madani, iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) memperjuangkan sekularisme, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa Kerajaan Perpaduan menolak pemikiran ini. Menurut Anwar, fahaman sekular laicite iaitu pandangan menolak agama secara mutlak di dalam pentadbiran negara, tidak diterima oleh rakyat dan Kerajaan Perpaduan [Utusan Malaysia, 10/7/2023]. Anwar juga mendakwa bahawa kedudukan istimewa agama Islam sebagai Agama Persekutuan serta wujudnya Jabatan Agama Negeri dan ketua-ketua Agama Negeri membuktikan bahawa Malaysia tidak boleh dikatakan sebagai negara sekular [Bernama 10/7/2023].

        Menurut Anwar, selagi negara masih mempunyai elemen Islam, walaupun menerapkan sistem hidup yang tidak datang daripada Islam, Malaysia bukanlah negara sekular mutlak. Ya benar, sekularisme boleh ditafsirkan dengan makna yang luas bergantung kepada sudut pandang seseorang, tetapi makna dasarnya tetap sama, iaitu memisahkan agama daripada urusan  manusia dan negara. Tidak timbul isu istilah sekular mutlak ataupun tidak mutlak kerana hakikatnya, sekular tetap sekular.

Sekilas Mengenai Sekularisme dan Polemik yang Melingkarinya

        Falsafah di sebalik sekularisme adalah pemisahan agama daripada kehidupan (faslu din anil hayah). Fahaman sekularisme ini mula menjadi dominan di Eropah ekoran penentangan terhadap penindasan dan cengkaman gereja ke atas masyarakat di rantau tersebut sewaktu Zaman Gelap Eropah. Golongan pemikir Eropah yang mendukung sekularisme berpegang bahawa manusia mempunyai hak sepenuhnya membuat sebarang keputusan dalam kehidupannya tanpa kongkongan doktrin agama. Berdasarkan konsep ini, sekularisme  memuliakan kebebasan manusia dalam membuat keputusan. Rentetan daripada itu, sekularisme mempertahankan hak kebebasan berakidah/beragama (freedom of religion), kebebasan berpendapat (freedom of opinion), kebebasan hak milik (freedom of ownership) dan kebebasan bertingkahlaku (personal freedom) bagi manusia.

        Secara ideologi, sekularisme merupakan akidah (dasar pemikiran) yang menyeluruh mengenai alam semesta, manusia dan kehidupan. Sekularisme bertindak sebagai qiyadah fikriyah (kepemimpinan berfikir) di mana penganut akidah ini berpendapat bahawa manusia berhak membuat peraturan (undang-undang) hidupnya sendiri. Akidah sekularisme inilah yang melahirkan sistem Kapitalisme yang mendominasi dunia hari ini, termasuk dunia umat Islam setelah runtuhnya institusi Khilafah terakhir yang berpusat di Istanbul pada 1924. Inilah hakikat yang tidak disedari, atau cuba dimanipulasi dan disembunyikan daripada umat Islam agar mereka kekal dalam tatanan kehidupan yang dipaksakan ke atas mereka.

        Polemik Malaysia sebagai negara Islam ataupun sekular secara asasnya berlegar sekitar pembahasan mengenai Perkara 3 Perlembagaan yang memperuntukkan Islam sebagai Agama Persekutuan, serta berdasarkan kewujudan syiar-syiar Islam seperti masjid dan institusi Islam di negara ini. Tidak kurang juga yang melihat negara ini sebagai negara Islam berdasarkan fakta bahawa majoriti penduduk di negara ini merupakan Muslim dan ia diterajui oleh para pemimpin yang beragama Islam.

        Di samping itu, terdapat juga pihak yang menyatakan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara sekular yang masih menerapkan elemen-elemen Islam – selari dengan pandangan yang dikemukakan oleh Anwar. Dengan kata lain, sekularisme “dilunakkan” agar diterimapakai oleh umat Islam dan sistem yang mencengkam kehidupan mereka hari ini dapat dikekalkan dengan disaduri “penerapan” Islam dan syiar-syiarnya secara juz’i (sebahagian dan tidak menyeluruh).

        Jika ditelusuri sejarah pembentukan negara ini, kita akan mengetahui bahawa sekularisme merupakan asas pembentukannya sejak dari awal lagi. Berdasarkan laporan Suruhanjaya Reid yang menjadi asas pembentukan Perlembagaan Persekutuan, dinyatakan bahawa kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan tidak menjadikan negara ini bukan sebuah negara sekular. Dalam Kertas Putih yang dikeluarkan oleh kerajaan British pada Jun 1957 selepas Persidangan London yang berlangsung pada 13-21 Mei 1957, telah dinyatakan dengan jelas bahawa “pengisytiharan Islam sebagai Agama Persekutuan sama sekali tidak menjejaskan kedudukan Persekutuan sekarang sebagai sebuah negara sekular” [Cadangan Perlembagaan Untuk Kemerdekaan Malaya].

        Banyak lagi bukti-bukti yang dapat dilihat berdasarkan keputusan penghakiman (seperti kes Che Omar bin Che Soh v Public Prosecutor pada 1988), kenyataan para pemimpin Malaysia terdahulu serta praktik kenegaraan yang diamalkan sehingga ke hari ini – semuanya menjurus kepada kesimpulan bahawa Malaysia jelas sekali bukanlah sebuah negara Islam dalam ertikata yang sebenar.

Negara Islam dan Pelaksanaannya

        Islam merupakan sebuah mabda’ (ideologi atau cara hidup) yang sempurna dan merangkumi segenap aspek kehidupan, termasuklah aspek kenegaraan dan tadbir urus. Negara Islam atau Dar al-Islam mestilah mempunyai dua ciri sebagaimana yang dirumuskan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah: “Pertama, hukum-hakamnya adalah Islam, dan kedua, keamanannya (kekuasaan) berada di tangan orang-orang Islam” [Al-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, Jil.2].

        Tidak seperti konsep negara bangsa yang wujud hari ini, sempadan negara Islam sentiasa berubah dan berkembang sejajar dengan pelaksanaan polisi luarnya melalui dakwah dan jihad futuhat (pembebasan wilayah). Negara Islam atau juga dikenali sebagai Khilafah atau Imamah, juga tidak terbatas kepada sempadan geografi dan etnik, sebaliknya menyatukan seluruh umat Islam di bawah satu pemerintahan.

        Rasulullah (saw) diutus bukan sekadar sebagai pembawa risalah Islam, bahkan juga sebagai ketua negara yang mentadbir Madinah al-Munawwarah setelah berlakunya peristiwa hijrah. Setelah meraih kekuasaan melalui dokongan golongan Ansar, Rasulullah (saw) bingkas membina asas pembentukan sebuah negara, melaksanakan tatakelola yang baik dan menerapkan hukum-hakam berdasarkan bimbingan wahyu. Meskipun pada ketika itu Madinah didiami oleh masyarakat yang majmuk, baginda (saw) tidak berkompromi dalam melaksanakan syariah Islam di bumi Madinah – jauh sekali mengasingkan urusan kenegaraan daripada tuntutan agama dengan alasan kemajmukan masyarakatnya.

        Dalam pada itu, Rasulullah (saw) juga tidak mendiskriminasi ahlu dzimmah (orang kafir yang menetap dalam negara Islam). Mereka berhak untuk mengamalkan kepercayaan mereka serta mengikuti peraturan agama mereka dalam urusan makanan, pakaian, dan pernikahan. Ahlu dzimmah juga boleh dilantik sebagai penjawat awam dalam negara Islam dan mempunyai wakil dalam Majlis Umat bagi melaporkan sebarang bentuk kezaliman atau kelalaian pemerintah terhadap mereka.

        Namun, kehidupan bernegara dan masyarakat di bawah negara Islam secara keseluruhannya diatur dengan ketetapan syarak. Baik warga Muslim mahupun kafir yang menetap di dalam negara Islam, kesemuanya menjalani kehidupan umum sebagaimana ketetapan syarak.

        Berbeza dengan situasi hari ini yang menyaksikan “dualisme perundangan” diwujudkan dengan meletakkan Mahkamah Syariah lebih rendah dari Mahkamah Sivil dan pelaksanaan hukum syarak dibataskan ruang lingkupnya. Tanpa disedari, perjuangan untuk menegakkan syariah Islam dalam konteks perlembagaan hari ini hanya mengukuhkan lagi pemisahannya, sekali gus memperakukan ketundukannya kepada sistem buatan manusia.

Khatimah

        Polemik negara Islam dan sekular ini akan terus dikumandangkan para politikus demi meraih kepentingan politik, dan dijadikan modal bagi menyerang seteru politik mereka. Masing-masing cuba menjatuhkan kredibiliti seteru mereka di mata para pengundi Melayu-Muslim yang merupakan majoriti di negara ini.  Hakikatnya, mana-mana pihak yang menang dalam pilihanraya demokrasi ini akan tetap menjunjung perlembagaan warisan British yang direkayasa demi memastikan umat Islam di negara ini terus diatur dengan acuan penjajah.

        Sekularisme, dalam bentuk apa sekalipun, wajib ditolak dan digantikan dengan penerapan mabda’ Islam secara kaffah (sempurna). Tidak selayaknya bagi mana-mana Muslim, khasnya dari kalangan para pemimpin untuk berdolak-dalih dalam menjustifikasikan sekularisme yang membarah di negara ini. Ingatlah akan firman Allah (swt) yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, ia musuh yang nyata bagimu” [TMQ Al-Baqarah (2): 208].

Polemik ini tidak akan berkesudahan seandainya pihak yang membahaskannya masih meneruskan legasi British tanpa mengambil jalan keluar, yakni dengan mencampakkan sistem warisan penjajah ini ke dalam tong sampah peradaban sekali gus berusaha untuk menegakkan negara Islam yang hakiki.


INFOGRAFIK

Kejatuhan Ringgit

Baru-baru ini nilai ringgit Malaysia (RM) kembali jatuh setelah Rizab Persekutuan Amerika (US Federal Reserve) menaikkan kadar bunganya sehingga melebihi 5% bagi menghadapi tekanan ekonomi. Akibatnya kos sara hidup rakyat Malaysia menaik ke tahap yang lebih tinggi walaupun sejak tahun lepas kadar kos sara hidup telahpun meningkat pasca pandemik. Isu ini menjadi perbahasan di kalangan rakyat dan ahli politik menjelang PRN enam negeri.

Hakikatnya punca sebenar masalah ini adalah penggunaan sistem matawang fiat. Selagi tidak ada pihak yang mahu mengubah asas matawang fiat kepada sistem matawang emas dan perak, selagi itulah masalah ini akan terus berulang dan membebankan rakyat. Hanya dengan sistem Khilafah Islam masalah ini dapat diatasi secara tuntas dan isu ini telahpun dibincangkan di dalam SN 616 yang lepas. Infografik ringkas ini diharap dapat memudahkan para pembaca memahami isu ini.