SN636 – Ekonomi Madani Berpaksi Kapitalisme

Bil: SN636 (PDF) – 10 Safar 1445/ 26 Ogos 2023

Beberapa hari sebelum Pilihanraya Negeri (PRN) yang lepas, Perdana Menteri ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Model Ekonomi Madani. Walaupun ramai yang menganggap ia adalah bahan kempen parti kerajaan memerintah sempena PRN, ada juga yang melihatnya sebagai usaha kerajaan untuk memperbaiki kehidupan rakyat. Ianya juga seolah-olah dilancarkan tepat pada masanya tatkala rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi meliputi harga dan sewa rumah, kemudahan utiliti yang membebankan dan harga makanan yang masih menekan. Di samping bantuan tunai yang telah diagihkan kepada rakyat yang memerlukan, ramai yang masih menunggu impak daripada model ekonomi tersebut yang dikatakan menjadi wadah untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini. Mungkin ada yang sudah beranggapan bahawa model ini tidak lagi releven tetapi bagi para penyokong parti kerajaan memerintah, mereka masih menyimpan harapan agar model ini benar-benar dapat memberi perubahan yang baik kepada kehidupan rakyat.

        Di antara matlamat utama pelaksanaan Model Ekonomi Madani adalah untuk menstruktur semula ekonomi Malaysia agar dapat menjadi peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara dan seterusnya akan memberi impak yang baik kepada kehidupan rakyat. Model ini diharapkan akan dapat meningkatkan pengeluaran dan penghasilan barangan yang berasaskan sains dan teknologi tinggi. Strategi yang ditekankan adalah meningkatkan prestasi ekonomi domestik supaya Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang utama di kalangan para pelabur dari luar negara. Bagi mensejahterakan rakyat, model ini menjanjikan penambah baik skim pinjaman dengan menyediakan jaminan pembiayaan rumah dan insentif perniagaan di kalangan rakyat. Tidak ketinggalan juga, model ini menggalakkan peningkatan buruh wanita kepada 60% serta memperhalusi model gaji progresif untuk pekerja.

        Model Ekonomi Madani ini diharap akan dapat menjadikan Malaysia Peneraju Ekonomi Asia dan menjadi antara 12 ekonomi terbaik dunia dan kita sedia maklum bahawa antara indiktor utama yang digunakan bagi menilai pencapaian ekonomi Malaysia dalam konteks ini adalah  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Gross Domestic Product (GDP). KDNK adalah penanda aras kepada prestasi ekonomi sesebuah negara dan ia diukur berdasarkan jumlah barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sektor-sektor utama di dalam negara. Ianya termasuklah aktiviti pertanian, perlombongan, pembinaan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan. KDNK juga dinilai mengikut  jumlah perbelanjaan isi rumah, kerajaan, pelaburan dan eksport bersih. Pendek kata, lebih banyak pengeluaran dan perbelanjaan di dalam negara, maka KDNK akan dilihat tinggi dan baik. Di dalam sistem ekonomi kapitalis hari ini, KDNK dilihat berkesan untuk mengukur prestasi ekonomi sesebuah negara. Namun hakikatnya, prestasi KDNK sesebuah negara itu tidak menggambarkan secara sepenuhnya tahap kesejahteraan setiap rakyat di dalam negara. Walaupun sesebuah negara itu berada di kalangan 12 ekonomi terbaik dunia berdasarkan KDNK masing-masing, setiap negara tersebut masih bergelut untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan kemiskinan, pengangguran dan jurang golongan kaya-miskin yang sangat serius.

        Disebalik semua itu, KDNK tetap menjadi pilihan utama untuk menjadi tanda aras yang digunakan bagi para pelabur untuk datang ke Malaysia. Apa yang penting bagi pelaburan mereka adalah keuntungan yang maksimum, tanpa benar-benar mengambilkira kebajikan dan kesejahteraan rakyat negara tersebut. Laporan daripada kajian tinjauan gaji dan upah 2021 mendedahkan bahawa kadar semasa gaji lebih separuh dari keseluruhan pekerja di Malaysia yang kebanyakkannya merupakan golongan belia, adalah kurang daripada RM2,250.00 sebulan (Teks ucapan Ekonomi Madani 2023, PMX). Adakah dengan penambahan pelaburan asing ke Malaysia, yang rata-rata bermotifkan keuntungan semata-mata kadar ini akan bertambah? Dengan peningkatan peluang pekerjaan, model ini juga dikatakan akan menggalakkan peningkatan lebih ramai penyertaan buruh wanita sehingga 60%. Peratusan penglibatan yang tinggi ini sudah tentu melibatkan ibu-ibu yang terpaksa bekerja untuk menampung keperluan perbelanjaan isi rumah. Ini sudah tentu akan menjadikan institusi keluarga terancam apabila wanita terpaksa menumpukan usaha untuk mencari pendapatan sampingan daripada memberi tumpuan kepada keluarga. Adakah dengan kadar gaji yang ditawarkan dan penyertaan lebih ramai buruh wanita dan para ibu dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat dan meningkatkan martabat hidup mereka? Adakah penambahbaikan skim pinjaman perumahan akan benar-benar membolehkan rakyat menikmati keperluan asas ini tanpa belenggu hutang yang berat melihat kepada harga rumah semasa yang melampau dan gaji majoriti rakyat yang masih rendah? Ini hanyalah sedikit dari persoalan yang akan timbul rentetan dari penerapan Model Ekonomi Madani. Persoalannya, apakah model ini, yang masih diasaskan kepada bingkai kerja sistem ekonomi kapitalis, akan dapat menyelesaikan permasalahan yang secara tabii merupakan konsekuensi dari penerapan sistem itu sendiri? Apakah kesejahteraan yang didambakan rakyat Malaysia hari ini benar-benar akan dapat direalisasikan dengan model ini?

Masih berpaksikan Kapitalisme

        Dari segi asasnya, Model Ekonomi Madani adalah sama dengan model-model ekonomi yang pernah dibentangkan oleh kerajaan lalu. Sungguhpun istilah dan tatakelolanya boleh jadi berbeza namun hakikatnya semua teori dan mekanismenya tetap sama. Setiap kali model baru ekonomi diperkenalkan, ia tidak lepas daripada membincangkan KDNK, menambah baik peluang pekerjaan, pengeluaran, pendapatan negara, gaji dan harga. KDNK yang selalu digunapakai itu hanyalah kaedah untuk mengukur prestasi ekonomi negara secara keseluruhan – kehidupan yang baik bagi rakyat dinilai dari tahap pengeluaran barang dan perkhidmatan berbanding gaji yang ditawarkan di pasaran. Dengan kata lain, ‘kesejahteraan’ rakyat dilihat melalui kacamata harga barangan semata-mata – apabila lebih banyak barang dan perkhidmatan disediakan, maka harga akan turun dan rakyat mampu membelinya. KDNK tidak dapat digunakan untuk mengukur sejauhmana mekanisme pengeluaran dan perbelanjaan ini benar-benar dapat mensejahterakan rakyat. Simon Kuznets, pengasas kepada konsep KDNK atau GDP ini, mengakui bahawa KDNK bukanlah ukuran kepada ‘kebajikan’ bagi setiap individu rakyat. [https://www.promarket.org/2021/10/31/gdp-invention-economic-growth-kuznets-history]. Inilah realiti konsep KDNK, walaupun sesebuah negara berjaya mencapai prestasi ekonomi yang cemerlang, namun hakikatnya masih ramai rakyat yang terbeban dengan pelbagai permasalahan ekonomi seperti kos sara hidup yang tinggi.

        Maka, sungguhpun jika Malaysia berjaya menjadi negara peneraju ekonomi Asia Tenggara dan mampu meningkatkan kemasukan pelabur luar, ia sebenarnya hanya akan menambah kekayaan golongan kapitalis. Golongan kaya akan terus bertambah kaya, yang miskin bertambah miskin. Pelaburan dari luar hanya melibatkan kerjasama di antara pemodal luar dengan para kapitalis yang sedia ada di dalam negara untuk terus menguasai kekayaan negara manakala rakyat bawahan hanya mampu melihat dan terus sengsara kerana terpaksa menerima apa sahaja peluang pekerjaan yang ditawarkan demi untuk mendapatkan sesuap nasi dan tempat berteduh serta menyelesaikan bebanan hutang yang sangat besar. Inisiatif pembiayaan Ekonomi Madani menerusi kemudahan pinjaman sebenarnya akan menghadirkan senyuman di wajah para pemilik bank yang tidak putus-putus mengaut keuntungan dari keringat rakyat melalui pinjaman yang berasaskan riba. Pendek kata, negara menjadi peneraju hebat di Asia Tenggara tetapi rakyat bawahan terus sengsara.

Model Ekonomi Islam

        Model Ekonomi Islam amat berbeza dari Model Ekonomi Madani. Model Ekonomi Madani hanya meletakkan Islam sebagai slogan tetapi asas dan kaedah perlaksanaan masih berpaksikan kapitalisme. Model Ekonomi Islam pula berpijak kepada syariat Allah SWT dan benar-benar menfokuskan implementasinya atas jalan syarak – penekanan ke atas pengagihan kekayaan secara adil dan saksama, menjaga hak dan pemenuhan keperluan asas setiap invididu secara holistik, menentukan tata cara memiliki harta dan perkembangannya, cara mem­belanjakan harta, pengelolaannya serta hak pemilikan harta dan keseimbangan ekonomi dalam masyarakat. Islam juga melarang harta kekayaan di­monopoli oleh pihak tertentu sepertimana yang terjadi dalam ekonomi kapitalisme. Ini adalah antara garis asas Model Ekonomi Islam. Model ini  tidak hanya terfokus kepada aspek makro ekonomi semata-mata, bahkan ia menumpukan implementasinya dalam memastikan setiap individu di dalam negara akan benar-benar menikmati kemakmuran hidup dan mampu meningkatkan taraf kehidupannya [an-Nabhani, Sistem Ekonomi Islam].

        Keperluan asas setiap individu akan hanya dapat dipenuhi secara holistik dengan penglibatan negara secara langsung dalam penghasilan rantaian bekalan makanan, pakaian dan membina lebih banyak rumah dengan harga mampu milik. Melalui Model Ekonomi Islam, negara akan memastikan penyediaan peluang pekerjaan yang terbuka luas dengan sistem penggajian yang adil dan sesuai bagi setiap individu rakyat. Di samping menguruskan zakat, Baitul Mal sebagai entiti perbendaharaan negara, akan juga menguruskan pembiayaan dan kemudahan kepemilikan rumah kepada kepada rakyat yang memerlukan. Begitu juga dengan pengeluaran bekalan makanan yang lestari – selain dari memastikan penggunaan teknologi tinggi, penyelidikan berterusan dalam bidang pertanian serta menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi memajukan sektor makanan, negara akan membuka lebih banyak tanah pertanian, ladang penternakan dan kolam akuakultur bagi memastikan negara terus mandiri dalam pengeluaran makanan dan tidak bergantung kepada import.

        Di sisi lain, hanya dengan mengambil alih secara sepenuhnya semua kepemilikan hasil bumi seperti petroleum, gas, emas, bauksit, bijih besi dan timah, balak, simen, pasir, unsur nadir bumi (Rare Earth Element (REE)) dan apa juga hasil galian lain, negara akan dapat memastikan kos pembangunan hartanah dan pengeluaran industri tidak melambung disebabkan kenaikan harga bahan-bahan asas tersebut. Dalam mengurus hasil-hasil bumi tersebut, negara hanya perlu membayar kos operasi dan bukannya melakukan perjanjian konsesi yang menyerahkan sebahagian besar hasil kekayaan kepada syarikat perlombongan dan pembalakan. Kesemua keuntungan dari hasil bumi ini kemudiannya disalurkan ke Baitul Mal untuk memberi manfaat kepada rakyat melalui pemberian tunai, meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan jaminan kemudahan hidup kepada mana-mana individu (termasuk warga emas tunggal dan orang kelainan upaya) yang memerlukan. Implementasi semua prinsip ini disandarkan kepada nas-nas yang sahih. Antaranya adalah nas yang menunjukkan bahawa sumber air, tenaga dan tanah ragut merupakan hak umum dan tidak boleh dimiliki oleh individu atau syarikat atau konsortium tertentu. “Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara (iaitu) air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah].

Kesimpulan

        Pelaksanaan Model Ekonomi Islam secara menyeluruh akan menghasilkan ketenangan dan kesejahteraan kepada rakyat apabila keperluan asas mereka seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal dijamin dan mampu dipenuhi dengan hasil usaha mereka sendiri. Inilah kaedah yang terbaik untuk mensejahterakan rakyat iaitu dengan melaksanakan Model Ekonomi Islam yang mampu menjamin kehidupan rakyat tanpa perlu bercita-cita menjadi peneraju ekonomi dunia dan terbaik di Asia Tenggara. Model Ekonomi Islam adalah model ekonomi yang unik dan wajib dilaksanakan oleh pemerintah. Implementasi model ini disandarkan kepada kewajiban dalam menerapkan hukum Allah SWT di mana negara dilihat sebagai pelayan kepada rakyat dan bukan dilandaskan kepada keuntungan, kemewahan dan kemegahan semata-mata. Namun, pelaksanaannya tidak akan sempurna tanpa wujudnya sebuah negara yang menerapkan syariah Islam secara menyeluruh. Institusi tersebut tidak lain adalah Khilafah yang berdiri atas manhaj kenabian.