SN637 – Pencerahan Sebuah Kemerdekaan

Bil: SN637 (PDF) – 28 Safar 1445/ 13 September 2023

Sambutan kemerdekaan pada tahun ini dilihat lebih meriah berbanding beberapa tahun yang lepas. Seperti mana pada tahun-tahun yang lepas, sambutan kemerdekaan pada tahun ini juga tidak ketinggalan memaparkan kisah perjuangan para pahlawan di Alam Melayu ketika mereka menentang penjajahan British. Di sebalik kisah perjuangan para pahlawan melayu ini, terdapat kisah yang disembunyikan sehingga kemerdekaan yang sedang dikecapi hari ini harus dilihat dalam konteks yang lebih luas – melihat kemerdekaan bukan sekadar merdeka secara fizikal, tetapi juga merdeka jiwa dan minda.

        Sebelum kedatangan penjajah ke Alam Melayu,  hubungan Khilafah dan Alam Melayu telah pun wujud sejak ratusan tahun yang lalu. Begitu banyak sumber sejarah telah membuktikan hubungan Khilafah dengan Kerajaan Sriwijaya, Kerajaan Kedah Tua dan Kesultanan Melayu termasuk Kesultanan Melayu Melaka, Aceh dan Johor. Institusi Khilafah merupakan kepimpinan tertinggi bagi umat Islam termasuk kaum Muslimin di Alam Melayu. Akbar Al-Imam, Jilid 1, Mac 1907 menyatakan dengan tegas bahawa Khalifah yang berada di Turki (Khilafah Uthmaniyyah) merupakan Khalifah bagi seluruh umat Islam dan masyarakat Melayu wajib mentaati beliau. Manakala Majalah Pengasuh bertarikh 03 Jun 1924 mengatakan bahawa Khilafah merupakan satu kewajipan bagi umat Islam untuk mendirikannya dan ia juga merupakan asas penyatuan seluruh umat Islam. Inilah pemahaman nenek moyang orang Melayu tentang Khilafah lebih 100 tahun yang lalu.

Bagaimana pemahaman Khilafah hilang daripada pemikiran orang-orang Melayu?

        Kehilangan pemahaman ini sebenarnya bukanlah berlaku secara tiba-tiba. Ia merupakan suatu yang telah dirancang rapi oleh penjajah. Sejak campur tangan British di Tanah Melayu melalui Perjanjian Pangkor 1874, British telah pun memperkenalkan sistem pemerintahan demokrasi di negeri-negeri Melayu Bersekutu melalui sistem Residen. Para pembesar tidak lagi berkuasa tetapi dikumpulkan di dalam Majlis Mesyuarat Negeri (seperti DUN pada hari ini). Sultan tidak lagi berkuasa penuh dalam urusan pemerintahan sebaliknya Residenlah yang menjadi pemerintah secara de facto.

        Di tambah lagi, negeri-negeri Melayu ini disatukan di bawah Durbar pada tahun 1909 di mana hubungan luar negeri-negeri Melayu berada di bawah kawalan British. Pada Perang Dunia Pertama, British telah membuat beberapa undang-undang di mana Sultan dan masyarakat Melayu perlu memutuskan hubungan dengan Khilafah Uthmaniyyah. Mereka tidak lagi dibenarkan untuk memberikan sokongan, memberi dana dan mendoakan Khilafah seperti mana yang biasa lakukan sebelum itu. Sejak itu hubungan Khilafah dan Tanah Melayu telah diputuskan oleh British.

        Bagi memastikan penjajahan ke atas orang-orang Melayu dapat bertahan untuk jangka masa yang lama, British telah mempersiapkan generasi muda Melayu ketika itu dengan pemikiran penjajah. British mendirikan sekolah-sekolah Inggeris untuk anak-anak raja dan golongan bangsawan. Selepas dari itu, British mendirikan sekolah-sekolah Melayu untuk anak-anak Melayu bawahan dari kalangan golongan petani dan nelayan. Sekolah-sekolah ini didirikan dengan banyak (sekitar 757 buah sekolah) dan mempunyai begitu ramai murid sehingga melangkaui 46,000 orang (rekod pada 1920). Motif pendirian sekolah-sekolah ini bukanlah untuk menjadikan anak-anak orang Melayu sebagai golongan terpelajar namun hanya bertujuan memberikan mereka sedikit kemahiran membaca, menulis dan mengira demi memudahkan pemerintahan British di Tanah Melayu ketika itu. Aspek yang paling utama yang dapat diperhatikan di sekolah-sekolah itu ialah program sekularisasi di mana Al-Quran diajar untuk dibaca semata-mata tanpa disusuli dengan pemahaman tentang isi kandungannya.  Tidak ada sebarang pemahaman mendalam tentang Islam diajarkan di sekolah-sekolah Melayu tersebut.

        Akibat daripada pemerintahan demokrasi dan sekularisasi pendidikan serta terputusnya hubungan masyarakat Melayu dengan Khilafah, maka wujudlah generasi muda selepas Perang Dunia Kedua yang tidak lagi memahami Islam, Syari’ah dan Khilafah. Mereka lebih faham tentang Demokrasi, Sekularisme dan Nasionalisme. Ketika British mendapati orang-orang Melayu sudahpun berpegang pada prinsip sepertimana yang mereka kehendaki, ketika itulah British menganugerahkan kemerdekaan ke atas Tanah Melayu. Ini jelas menunjukkan penjajah British tidak akan redha dengan umat Islam sehinggalah umat Islam mengikut ‘millah’ atau cara hidup mereka. Firman Allah SWT:

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepadamu (Muhammad) sehinggalah engkau mengikuti agama mereka.”

[Al-Baqarah: ayat 120]

Demokrasi

        Setelah berpuluh-puluh tahun sistem pemerintahan demokrasi dilaksanakan ke atas orang-orang Melayu, anak-anak muda Melayu yang berfikir mengikut acuan pendidikan penjajah telah dilahirkan. Merekalah yang meneruskan legasi penjajah sehingga jiwa dan minda mereka juga selari dengan agenda penjajah. Sistem demokrasi yang dikeramatkan dengan slogan “pemerintahan yang berasal dari rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat” itu sehingga kini diyakini sebagai sistem terbaik untuk manusia. Ia bermaksud rakyatlah yang berhak menentukan apakah bentuk undang-undang yang harus dilaksanakan ke atas mereka dengan melantik pemimpin melalui pilihanraya. Maka tanpa disedari, sistem ini telah memisahkan masyarakat menjadi dua golongan utama, iaitu para politikus dan rakyat. Golongan politikus diharapkan oleh rakyat untuk menjadi wakil mereka dalam membuat dan meluluskan undang-undang yang rakyat mahukan, bukan yang mereka, para politikus mahukan. Namun, realitinya bukanlah seperti yang diharapkan. Para politikus ini dengan sewenang-wenangnya mencipta, melulus dan melaksanakan undang-undang dan peraturan yang lebih memihak kepada golongan kapitalis yang selama ini memberi dana dan sokongan untuk mereka berkuasa.

        Ini dijelaskan sendiri oleh pakar perundangan Barat, Morton J. Horwitz dalam tulisannya pada tahun 1986 yang menyatakan “dengan mempromosi rule of law, ini membolehkan mereka yang bijak-pandai dan yang kaya memanipulasi bentuknya untuk kelebihan mereka sendiri.”  Walhasil, apa yang berlaku hari ini adalah rakyat terpaksa menuruti apa jua undang-undang, peraturan dan keputusan yang ‘dipaksakan’ ke atas mereka samada di dalam bidang ekonomi, undang-undang, pendidikan dan sosial. Barangsiapa yang engkar akan dikenakan tindakan undang-undang atau tersisih dari main stream masyarakat.

Nasionalisme

        Untuk memudahkan para politikus ini meneruskan legasi penjajahan, para penjajah telah menyuntik racun yang paling berbisa ke tubuh umat Islam di seluruh dunia khususnya di dunia Islam, termasuk di Malaysia. Racun yang dimaksudkan adalah fahaman nasionalisme. Racun inilah yang telah menyebabkan umat Islam berpecah-belah sehingga hari ini. Wilayah umat Islam yang dahulunya di bawah satu sempadan, kini telah dipisahkan melalui garis sempadan mengikut bangsa masing-masing.

        Maka terciptalah negara-negara bangsa untuk umat Islam termasuklah Malaysia. Setiap negara bangsa tersebut memiliki bendera, lagu dan identiti mereka sendiri. Setiap negara bangsa itu kemudiannya berbangga dan megah dengan identiti masing-masing. Akhirnya mereka tidak mampu menyelesaikan masalah sesama umat Islam.

        Umat Islam yang terpecah-pecah kepada pelbagai negara bangsa ini hanya mampu melihat dan menghulurkan bantuan simpati kepada kaum Muslimin di Palestin yang dibunuh, diseksa dan dikuasai oleh negara haram Israel. Negara haram ini hanyalah sebuah negara kecil namun disebabkan oleh perpecahan umat Islam maka ia boleh berbuat sesuka hati ke atas kaum Muslimin di Palestin. Bantuan dari Amerika bukanlah punca sebenar kepada ‘kekuatan Israel’.

        Punca sebenar kekuatan sebenar negara haram ini datang dari perpecahan umat Islam kepada pelbagai negara bangsa. Disebabkan mereka berpecah kepada pelbagai negara bangsa yang dipisahkan oleh garis sempadan yang dicipta oleh penjajah, maka umat Islam secara keseluruhan tidak dapat menggerakkan para tentera dan kekuatan sebenar untuk membantu membebaskan bumi Palestin dari cengkaman negara haram Israel. Tangan-tangan mereka terbelenggu dek kepentingan negara masing-masing dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu  umat Islam di Palestin dan pelbagai belahan dunia lainnya. Ironinya, mereka mendakwa telah merdeka, namun terpaksa akur dengan undang-undang dan peraturan antarabangsa yang ditetapkan oleh dan menyebelahi kepentingan para penjajah. Inilah akibat dari bisa racun nasionalisme yang telah disuntik oleh para penjajah ke tubuh umat Islam.

Sekularisme

        Dalam bahasa mudah, sekularisme adalah fahaman yang menjurus kepada pemisahan urusan dunia dari agama. Walaupun ada yang mendakwa bahawa sekularisme wujud dalam pelbagai jenis dan kategori, makna umumnya tetap sama dan inilah yang menjadi pegangan kebanyakan manusia di dunia termasuklah sebahagian besar umat Islam.

        Fahaman ini menjadikan ada manusia yang menganggap dirinya yang paling hebat dan paling mengerti apakah peraturan yang terbaik untuk mereka laksanakan ke atas diri mereka. Mereka mengatakan bahawa di era moden ini, umat Islam harus mengambil demokrasi dan nasionalisme sebagai jalan menuju modernisasi. Demokrasi dikatakan sebagai satu-satunya sistem yang terbaik buat masa ini untuk menjadikan umat Islam maju dan dinamis. Mereka mempertahankannya dengan bersungguh-sungguh dan penuh keyakinan.

        Padahal, fahaman inilah yang menghasilkan idea-idea kebebasan yang telah menjadi penyebabkan kepada pelbagai permasalahan masyarakat. Kebebasan individu menyebabkan pelbagai penyakit sosial, kebebasan kepemilikan menyebabkan kekayaan dibolot oleh golongan yang berkuasa dan kebebasan beragama menjadi punca kepada pelbagai isu aqidah.

        Lebih menyedihkan para pemimpin umat Islam terus mempertahankan idea ini sehingga umat dibelenggu dengan pelbagai kemelut kehidupan yang melanda umat Islam dan umat manusia umumnya hari ini. Dan apabila ada yang menyeru untuk kaum Muslimin kembali berpegang kepada aqidah Islam secara menyeluruh dengan melaksanakan Islam di dalam kehidupan secara menyeluruh, mereka ini dituduh kolot, ketinggalan zaman dan akan menyebabkan umat Islam mengundur ke zaman purba. Inilah bentuk-bentuk belenggu yang menghalang umat Islam untuk kembali mengabdikan diri kepada Allah (swt) secara kaffah.

Kemerdekaan yang Hakiki

        Naratif yang kerap digembar gembur setiap kali perayaan kemerdekaan menjelma adalah bahawa kita telah merdeka secara fizikal, minda dan jiwa. Malaysia sudah bebas dari British secara fizikal dan sudah mampu menentukan halatujunya sendiri berteraskan sistem demokrasi dan prinsip pemerintahan yang ditinggalkan British.  Malaysia dikatakan, di bawah konteks ini, sebagai sebuah negara yang sudah merdeka, diri, jiwa dan minda.

        Sebagai umat Islam, kita wajar merenung kembali jawaban Rab’iy bin ‘Amir ketika ditanya oleh Jeneral Parsi, Rustum,

“Apa yang membawa kalian ke sini”? Beliau menjawab: “Allah telah mengutus kami. Demi Allah, Dia telah mengutus kami agar kami mengeluarkan manusia dari penghambaan kepada sesama manusia kepada penghambaan hanya kepada Allah, dari kesempitan dunia menuju kelapangannya dan dari kezaliman agama-agama (selain Islam) menuju keadilan Islam”.

        Ini adalah jawaban tuntas yang menggambarkan hakikat kemerdekaan bagi seorang Muslim. Bagaimana mungkin kita dapat mengatakan bahawa kita sudah merdeka diri, jiwa dan minda sedangkan kita masih terbelenggu dengan sistem politik, ekonomi, perundangan, pendidikan dan sosial yang berteraskan idea-idea yang ditinggalkan oleh penjajah British? Hanya dengan penerapan Islam secara total dalam kehidupan kita hari ini, kita boleh mengakui bahawa kita telah benar-benar MERDEKA!!!