SN640 – Gaza Memerlukan Pembelaan Tentera Umat Islam

Bil: SN640 (PDF/Print) – 21 Rabi’ulakhir 1445/ 5 November 2023

Operasi Taufan Al Aqsa yang dilancarkan oleh para mujahidin di Palestin pada 7hb Oktober 2023 yang lalu telah berjaya mencalarkan keangkuhan pertahanan Israel yang selama ini  diyakini dapat melindungi mereka di sebalik tembok yang memisahkan daerah Gaza dan tanah yang dijajah oleh entiti haram Yahudi. Operasi Taufan Al Aqsa berhak mendapat sokongan dari seluruh umat Islam. Ini adalah kerana yang menjadi punca kepada segala permasalahan umat Islam di Palestin adalah tindakan entiti Yahudi yang menjajah bumi Palestin sejak tahun 1948 dan mendakwa tanah Palestin adalah hak mereka dan beranggapan bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja ke atas penduduk Palestin demi mendapatkan ‘hak’ tersebut. Sejak tahun 1948 sehingga kini, pertembungan di antara rakyat Palestin dan penjajah Yahudi ini terus berlangsung saban tahun dengan korban yang cukup tinggi. Begitu banyak siri rundingan, gencatan senjata dan perjanjian telah ditandatangani, namun begitu, setiap perjanjian akan berpihak kepada entiti haram Yahudi. Mereka terus meluaskan tanah jajahannya atau umat Islam Palestin terus dizalimi dan umat Islam seluruh dunia hanya mampu melihat, mengirim doa dan menghulurkan bantuan kemanusiaan tanpa pembelaan hakiki.

        Justeru, Operasi Taufan Al Aqsa tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang asing. Operasi tersebut adalah sebahagian daripada usaha umat Islam di Palestin untuk membebaskan diri mereka dari penjajahan dan satu bentuk pembelaan terhadap segala kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas mereka sejak sekian lama. Walaupun Israel telah bertindak-balas dengan melancarkan serangan bom secara bertali-arus ke arah penduduk Gaza sehingga  lebih 7000 orang rakyat Palestin telah terkorban dan lebih 18 000 orang telah tercedera, ia tidak mematahkan semangat juang rakyat Palestin menentang pencerobohan tersebut. Tatkala begitu banyak bantahan dan demonstrasi yang telah diadakan di seluruh dunia atas tindakan entiti Yahudi yang tidak berperikemanusiaan itu, ia sedikit pun tidak menerbitkan rasa simpati di kalangan para pemimpin Arab yang berhampiran untuk mengambil tindakan menghalang Israel daripada terus membunuh umat Islam di Palestin. Mereka hanya sekadar memerhati dan mengeluarkan pelbagai kenyataan mengecam tindakan kejam Israel yang langsung tidak dipedulikan oleh entiti haram Yahudi tersebut.

        Rentetan daripada sikap para pemimpin umat Islam itu, sejumlah seruan telah dilakukan kepada mereka di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, untuk segera mengirim pasukan tentera demi membela umat Islam di Palestin. Seruan-seruan ini ditujukan kepada seluruh pemimpin umat Islam kerana merekalah yang mempunyai kuasa untuk menggerakkan pasukan tentera ke Palestin.  Ia adalah tindakan paling wajar setelah kita menyaksikan pelbagai rundingan dan perjanjian yang gagal membela dan menyelamatkan umat Islam di Palestin. Sudah tidak ada acara lain untuk menghentikan perbuatan si pemangsa (entiti haram Yahudi) ini kecuali menghapuskannya dengan kekuatan tentera.

        Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menjawab seruan tersebut dengan menjelaskan bahawa bukan mudah untuk menghantar tentera Malaysia ke Palestin kerana Malaysia terlibat dengan perjanjian dan pakatan antarabangsa. Tambahan lagi, setiap perjalanan merentas sempadan dan ruang udara perlu mendapatkan kebenaran atau kerjasama daripada negara-negara terlibat. Manakala Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan pula menyatakan bahawa Malaysia sebagai ahli di dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tidak mahu mengambil tindakan secara bersendirian. [Sinar Harian Online 23/10/2023].

        Walaupun alasan tersebut ada rasionalnya, namun, sampai bilakah para pemimpin umat Islam secara umumnya akan terus memerhati dan sekadar memberikan kecaman tanpa menggerakkan tentera sedangkan kekuatan tentera umat Islam adalah sesuatu yang nyata. Malah terdapat berbagai kenyataan dari para pemimpin umat Islam yang mendakwa mereka mampu menghancurkan Israel di dalam masa yang singkat. Contohnya, salah seorang pegawai kerajaan Iran mendakwa mereka mampu memusnahkan Israel dalam masa 30 minit (Jerusalem Post, 29/10/2019).  Zubair Mahmood Hayat, seorang penasihat kanan tentera Pakistan pula mendakwa mereka boleh menghapuskan regim zionis dalam masa 12 minit. (https://muslimcouncil.org.hk/we-can-destroy-israel-in-less-than-12-minutes-says-pakistani-commander, 20/10/2016). Apapun dakwaan yang dibuat, hakikatnya, umat Islam memang  memiliki kekuatan ketenteraan yang luar biasa namun kesemuanya tidak dapat digerakkan kerana sikap para pemimpin kaum Muslimin yang terus memberikan berbagai helah dan alasan.

        Di sebalik semua helah dan alasan yang diberikan, kuasa besar lain seperti AS, China dan Rusia telah pun menghantar bala tentera masing-masing ke perairan berhampiran Palestin tanpa mengendahkan apa juga peraturan atau halangan daripada mana-mana badan dunia. Sedangkan para pemimpin kaum Muslimin terus memberikan alasan bahawa tentera mereka hanya wujud untuk mempertahankan kedaulatan negara bangsa masing-masing dan bukannya untuk membantu umat Islam yang memerlukan pertolongan. Mereka hanya akan menghantar tentera jika PBB memberikan mandat dan mandat tersebut telah pun dibatalkan dengan kuasa veto kuasa besar yang menguasai PBB.

        Alasan-alasan seperti ini memanglah suatu yang dijangka akibat dari perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam. Mereka dipecahkan kepada negara bangsa masing-masing melalui garis sempadan yang dicipta oleh penjajah dan kemudiannya setiap negara bangsa kaum Muslimin tersebut bangga dengan identiti masing-masing. Perpecahan ini telah sekian lama berlaku sehingga ramai di antara kita melihatnya sebagai suatu yang wajar dan praktikal di zaman ini.  Para pemimpin umat Islam pula secara kolektif sanggup menjadikan negara bangsa masing-masing diperangkap dan dibelenggu oleh PBB yang kemudiannya dijadikan alasan untuk tidak mengirim tentera ke Palestin. Bahkan masing-masing tidak merasa bersalah dengan perpecahan itu sehingga mereka lupa apakah yang diajarkan oleh Islam  mengenai penyatuan seluruh umat Islam di dunia ini. Perpecahan inilah yang menyekat kita dari membela umat Islam di Palestin dan para pemimpin umat Islam pula akan terus mengeluarkan pelbagai kenyataan dalam naratif dan nada perpecahan tersebut.  Mereka secara kolektif telah mengkhianati umat Islam di Palestin dengan hanya sekadar memerhati sambil mengecam tanpa memberikan pembelaan yang hakiki sedangkan Allah SWT berfirman:

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh Rahmat”[TMQ Al Hujurat (49) : 10].

        Palestin adalah tanah seluruh umat Islam, bukan hanya untuk kaum Muslimin di Palestin. Ia adalah bumi yang diberkati sebagaimana firman Allah SWT :

Maha Suci Allah yang telah mengisrakkan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [ TMQ Al Israa (17) : 1].

        Ini adalah dalil yang menjelaskan bahawa setiap Muslim harus mengakui bahawa Palestin dan sekitarnya adalah tanah umat Islam yang diberkati. Setiap Muslim harus menjaga, memelihara dan mengamankannya. Atas kesedaran kebersamaan itu, para pemimpin umat Islam seharusnya bersatu dan menggerakkan tentera kaum Muslimin untuk membela umat Islam di Palestin.

        Justeru, umat Islam hari ini perlu menyedari bahawa penyelesaian sebenar kepada isu Palestin adalah dengan melancarkan jihad ke atas entiti haram Yahudi untuk membela dan menyelamatkan umat Islam Palestin, seterusnya menghentikan keganasan mereka ke atas kaum Muslimin di Palestin.

Kesimpulan

        Hanya Khilafah atas jalan kenabian yang akan secara pasti mengambil tindakan pembelaan terhadap nasib umat Islam di Palestin dan keseluruhan wilayah umat Islam yang masih terjajah hingga sekarang. Umat Islam sewajarnya berhenti berharap pada para penguasa mereka yang terbukti khianat dan berhenti berharap pada PBB tunggangan Amerika dan kuasa-kuasa besar lain. Umat Islam wajib menggembleng segenap usaha ke arah mengembalikan semula Khilafah yang bukan sahaja akan menerapkan hukum Allah, tetapi juga akan mengerahkan segenap kekuatan kaum Muslimin untuk menghapuskan hegemoni musuh-musuh Islam, sekali gus membebaskan tanah-tanah umat yang telah sekian lama terjajah.  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

”Sesungguhnya al-imam (khalifah) itu perisai, dimana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan) nya.” (HR. Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud, dll)


KOLUM SIYASAH

Gaza Dan Para Ulama Hilang Keutamaan

        Hari itu adalah hari ke 29 Ramadhan, tahun 1099. Sedang umat Islam berkumpul untuk bersembahyang di dalam masjid utama di Baghdad, tiba-tiba pintu terbuka dan seorang lelaki yang kelihatan datang dari perjalanan yang jauh menerpa masuk. Dia berdiri di tengah-tengah dewan solat, lalu makan di hadapan khalayak ramai. Kesalahan telah dilakukan, namun hakikatnya lelaki itu adalah seorang ulama terkenal dan juga hakim, Qadi Sa’ad al-Harawi. Dia datang untuk menyampaikan mesej kepada Khalifah Abbasiyah al-Mustazhir.

        Khalifah pada masa itu masih muda dan kurang berpengalaman. Walaupun mengetuai negara yang amat besar, kuasa yang dimiliki menjadikannya merasa terlalu selesa. Apabila Qadi al-Harawi dibawa ke mahkamah al-Mustazhir, dia (Khalifah) masih sibuk menjaga bunga-bunganya tanpa mengambil kira keadaan umat pada masa itu. 1099 adalah tahun di mana Tentera Salib merampas Palestin setelah 40 hari mengepungnya, yang kemudiannya menyembelih ribuan (umat Islam Palestin) dan menukarkan masjid Al-Aqsa menjadi kandang kuda untuk kuda-kuda mereka. Qadi al-Harawi dengan tanpa berdolak-dalih mengatakan:

“Berani kamu berehat-rehat di bawah bayang keselamatan yang melekakan, meneruskan kehidupan dengan sambil lewa seperti bunga di taman, sementara saudara-saudaramu di Syria tidak ada tempat tinggal melainkan di atas pelana unta dan dalam perut burung hering? Darah telah ditumpahkan! Gadis-gadis muda yang cantik telah dimalukan, dan kini terpaksa menutup muka manis mereka dengan tangan-tangan mereka! Patutkah kaum Arab yang gagah membiarkan diri mereka dihina, dan kaum Parsi yang berani dimalukan?…Tidak pernah kaum Muslimin dihina sebegitu rupa,” al-Hawari mengulangi lagi, “tidak pernah tanah-tanah mereka dimusnahkan dengan rakus sebegitu rupa.”

        Ia adalah sebuah ucapan yang menitiskan air mata kebanyakan orang dan menggerakkan hati-hati manusia yang berada di situ, termasuklah Khalifah. Seluruh hadirin tenggelam dalam raungan dan ratapan, tetapi al-Harawi tidak memperlihatkan sebarang esakan.

“Senjata lelaki yang paling hina…” dia menjerit, “…adalah menumpahkan air mata ketika pedang-pedang sedang terhunus di medan perang.”

        Kata-kata dan perbuatan seorang ulama ini tidak ada tolok bandingnya. Namun, sungguh malang pada hari ini, ramai dari kalangan para ulama hanya menjaga kedudukan dan martabat mereka berbanding keutamaan (membela umat Islam). Mereka tenggelam dengan kedudukan dan populariti di mata manusia. Jika sekalipun mereka terdengar jeritan penduduk Gaza, mereka hanya menyampaikan doa dan berhati-hati memilih kata-kata (supaya tidak mengguris hati pemerintah). Adakah mereka takut kepada para pemimpin melebihi Allah, sedangkan mereka membaca al-Quran dengan penuh keyakinan? Ulama adalah sebahagian daripada umat. Kedudukan dan kemasyhuran mereka menempatkan mereka dengan tanggungjawab yang lebih tinggi untuk menegur para pemimpin dan para tentera kerana bersikap berdiam diri ketika darah kaum Muslimin ditumpahkan dengan harga yang amat murah.