SN650 – Solidariti Bersama Umat Islam Di Gaza
Bil: SN650 (PDF/Print) – 15 Zulhijjah 1445 / 21 Jun 2024
Suasana di Gaza semakin parah. Entiti haram Yahudi laknatullah terus melakukan serangan dan kini korban nyawa telah meningkat kepada 37,000 orang dan mencederakan lebih 82,000 orang. Umum mengetahui bahawa tiada lagi tempat yang benar-benar selamat bagi penduduk Gaza untuk berlindung dari serangan tentera entiti haram Yahudi. Hampir semua umat Islam di Gaza kini terpaksa keluar dari kampung halaman dan melarikan diri sehingga ke penempatan terakhir di Rafah, berhampiran dengan sempadan Mesir. Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengeluarkan resolusi agar genjatan senjata diadakan, namun entiti Yahudi terus-menerus menyerang penduduk Gaza. Bahkan, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) juga telah mengeluarkan arahan agar entiti haram Yahudi menghentikan operasi ketenteraannya. Manakala entiti haram Yahudi pula mendakwa pasukan pertahanannya sudah menawan keseluruhan Gaza termasuk zon penampan di sepanjang sempadan dengan Mesir. Operasi ketenteraan ini dikatakan memberikannya kuasa penuh atas keseluruhan sempadan darat Gaza (Bharian.com.my).
Pada ketika ini, seramai 1.7 juta orang penduduk Gaza sedang bersesak di dalam hanya 1/5 keluasan kawasan selatan Semenanjung Gaza. Kawasan ini sebenarnya telah pun dikhususkan sebagai kawasan kemanusiaan, namun begitu, ia masih kekurangan keperluan asas dan beratus nyawa umat Islam Gaza tetap dibunuh tanpa belas kasihan oleh entiti haram Yahudi. Mesir pada awalnya telah memberi amaran kepada entiti haram Yahudi bahawa terdapat garisan merah yang tidak boleh dilangkaui, namun ia tidak dipedulikan dan Mesir tidak pula berbuat apa-apa. Inilah sikap sebenar yang dapat dilihat pada diri pemimpin Mesir dan negara kaum Muslimin yang lain.
Bagi Amerika, Darah Umat Islam Gaza Tiada Nilainya
Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa besar terus memusatkan tumpuannya ke negara-negara di sekitar entiti haram Yahudi agar tentera negara-negara tersebut tidak masuk campur di dalam konflik Gaza. AS sedar bahawa kawasan ini amat rapuh dan bila-bila masa sahaja boleh berlaku perubahan yang tidak dirancang. Genosid ni telah berlangsung selama 8 bulan namun entiti haram Yahudi, dengan bantuan penuh AS masih belum mencapai sebarang sasaran bahkan ia terpaksa berhadapan dengan penentangan kaum Muslimin di Gaza yang serba kekurangan. Cuba bayangkan, apakah yang akan berlaku sekiranya tentera umat Islam di negara-negara yang berjiran dengan Palestin masuk campur membela umat Islam di Gaza? Pastinya, ini akan menyebabkan kegagalan segala perancangan AS. Sedarlah, bahawa AS amat memahami apa yang mampu dilakukan oleh pasukan tentera umat Islam. Disebabkan itulah AS sentiasa memerhati dan mengawal tentera kaum Muslimin agar terus tunduk dan mengikut telunjuk mereka. Akibatnya para pemimpin umat Islam tidak berbuat apa-apa. Memerhatikan sikap para pemimpin kaum Muslimin, besar kemungkinan tanpa tekanan pun, mereka tidak akan bergerak!
Di sebalik semua yang berlaku, AS berusaha untuk merangka pelan penyelesaian bagi konflik ini. Penyelesaian yang diusahakan merupakan cadangan tiga fasa yang diumumkan oleh Joe Biden. Pertama ; gencatan senjata sepenuhnya, kedua; pembebasan tawanan antara kedua-dua pihak dan ketiga ; usaha ke arah menamatkan permusuhan secara kekal dan rancangan pembangunan semula yang komprehensif untuk Palestin. Setiausaha Negara AS Antony Blinken kemudiannya memanggil rakan-rakan sejawatnya dari Jordan, Arab Saudi dan Turki, mendesak mereka untuk menerima susulan cadangan terbaru itu (hmetro.com.my). Bila diperhatikan perancangan AS ini, hakikatnya mereka langsung tidak peduli mengenai nyawa umat Islam. Apa yang mereka mahu pastikan adalah kawalan ke atas pemimpin dan tentera negara-negara kaum Muslimin berdekatan agar penguasaan politik dan perancangan mereka tidak terganggu. Bagi Joe Biden, adalah amat penting baginya untuk menggunakan situasi di Gaza bagi mengekalkan jawatan dalam persaingannya dengan Donald Trump pada penggal akan datang.
Namun, berbeza dengan para pemimpin mereka, segolongan besar masyarakat Barat menolak sokongan yang diberikan oleh para pemimpin mereka terhadap entiti haram Yahudi. Mereka menyedari bahawa pemimpin merekalah yang membekalkan senjata dan membenarkan genosid umat Islam di Gaza berlanjutan. Mereka bangkit melakukan demonstrasi dengan memberikan tekanan dan desakan kepada pemimpin mereka untuk memutuskan hubungan dan menamatkan genosid ini serta merta. Sokongan mereka terhadap Gaza terus meningkat. Mereka sanggup berkorban membela Gaza dan mereka begitu konsisten dalam tindakan mereka. Akibatnya mereka dilayan dengan buruk dan zalim oleh pemimpin mereka sendiri semata-mata kerana menunjukkan sokongan dan simpati kepada umat Islam di Gaza.
Pembelaan Terhadap Umat Islam di Gaza
Apa yang amat menyedihkan adalah, berbanding dengan apa yang dilakukan oleh segolongan besar masyarakat di Barat, respon umat Islam terhadap genosid di Gaza adalah amat dingin sekali. Hakikatnya, kaum Muslimin seharusnya memanifestasikan tindakan pembelaan yang lebih besar terhadap umat Islam di Gaza. Ini kerana penduduk Gaza adalah saudara seakidah mereka dan Gaza merupakan sebahagian dari tanah umat Islam. Tindakan pembelaan yang paling penting yang seharusnya dilakukan oleh kaum Muslimin di seluruh dunia adalah mendesak para penguasa mereka terutamanya yang berhampiran dengan Gaza untuk segera mengirimkan pasukan tentera bagi membela dan melindungi umat Islam di sana, disamping terus mengirimkan doa. Sejarah membuktikan bagaimana para khalifah dan mujahid terdahulu membela umat Islam dengan kekuatan tentera sehingga masalah sebegini dapat diselesaikan secara tuntas. Hari ini, umat Islam memerlukan seorang ‘Al Mu’tasim’ yang akan memerintahkan tenteranya bergerak dan membela umat Islam di Gaza.
Oleh itu, kami menyarankan agar umat Islam di seluruh dunia dan di Malaysia khususnya untuk melakukan tindakan di bawah, sebagai usaha pembelaan yang penting di samping meneruskan usaha-usaha lain.
- Menyeru tentera umat Islam dan mengadakan desakan berterusan ke atas pemimpin kaum Muslimin terutamanya Mesir, Jordan, Arab Saudi dan Turki untuk menggerakkan tentera mereka. Para pemimpin ini harus berlepas diri dari kongkongan Amerika dan sekutunya dan berhenti menjadi boneka mereka dan mengkhianati umat Islam. Hakikatnya mereka menyaksikan dengan mata kepala mereka sendiri genosid ke atas rakyat Gaza dan mendengar jeritan mereka serta menyaksikan pengusiran mereka serta anak-anak dan perempuan mereka di dalam suasana yang cukup menyayat hati. Seru mereka agar menggerakkan tentera-tentera umat Islam di sana untuk membebaskan kaum Muslimin dari genosid oleh entiti haram Yahudi dan permainan politik Amerika dan sekutunya.
- Menyeru pemimpin Malaysia terutamanya Perdana Menteri Malaysia, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan untuk segera bertindak dengan bersungguh-sungguh untuk mendesak rakan sejawat mereka di negara-negara Arab dan Turki, meminta mereka menggerakkan tentera umat Islam di sana. Cukuplah mereka memeluk tubuh dan menjadi pak turut kepada AS yang mengakibatkan mereka menahan diri daripada menyelamatkan umat Islam di Palestin. Sudah tiba masanya para pemimpin umat Islam seluruh dunia termasuk Malaysia untuk tidak lagi mengabaikan Palestin yang telah dicabut maruah dan kehormatannya sejak tahun 1948 lagi.
- Menyeru para ulama untuk mengeluarkan fatwa-fatwa jihad demi membela Palestin. Seruan para ulama ini adalah untuk mengingatkan para pemimpin dan mendesak mereka untuk mengambil tindakan secara praktis dan memimpin umat Islam Malaysia agar bangkit dan mengambil tindakan paling berkesan untuk menghentikan penyeksaan dan pembunuhan umat Islam di Palestin. Ingatlah sabda Rasulullah yang mengatakan bahawa nyawa seorang Muslim itu lebih berharga daripada Kaabah.
“Setitik darah Muslim adalah lebih bernilai dari Kaabah dan sekelilingnya.” [HR Bukhari dan Muslim]
- Menyeru umat Islam di Malaysia melalui pergerakan parti politik, pertubuhan bukan kerajaan atau individu untuk mengambil tindakan yang lebih praktik bersama-sama dengan ulama yang ikhlas membela umat Islam di Gaza. Ini termasuklah melakukan demonstrasi di kedutaan negara-negara kaum Muslimin berdekatan Palestin untuk mendesak para pemimpinnya agar memutuskan hubungan dengan Amerika Syarikat serta sekutunya. Menyeru agar umat Islam di Malaysia bangun dan melakukan apa sahaja bentuk tekanan, di dalam batasan syarak, kepada para pemimpin negara Arab dan Turki samada di lapangan ataupun melalui media sosial sehingga mereka menggerakkan tentera mereka untuk membela umat Islam Palestin.
Khatimah
Kaum Muslimin wajib bergerak dengan memanifestasikan solusi hakiki bagi menyelesaikan konflik di Gaza. Antara yang harus dilakukan adalah melakukan desakan berterusan terhadap para pemimpin umat Islam khususnya di negara Arab sehinggalah mereka memobilasi tentera-tentera Islam, menghancurkan tentera entiti haram Yahudi dan membebaskan bumi Palestin dari penjajahan. Umat Islam dan segenap lapisan perlu berpaling daripada penyelesaian yang dicadangkan oleh AS, musuh nyata umat Islam. Ini dapat dilakukan dengan membebaskan diri mereka daripada cara berfikir Barat dan kembali menjadikan Islam sebagai satu-satunya rujukan dan acuan untuk menyelesaikan segala permasalahan yang mereka hadapi. Tidak cukup bagi kita kaum Muslimin untuk hanya merasa marah tanpa melakukan tindakan yang bermakna. Ingatlah firman Allah SWT dalam kitabnya:-
“Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman” [TMQ At-Taubah:14].
Wahai Tentera Kaum Muslimin, garaplah kemuliaan ini dan tenangkanlah jiwa-jiwa umat yang dirahmati ini!