SN651 – Penjualan Saham MAHB Kepada Blackrock/GIP Hanya Akan Menguatkan Posisi Geopolitik AS

Bil: SN651 (PDF/Print) – 8 Muharram 1446 / 14 Julai 2024

Sejak bulan Jun yang lepas, telah berlaku perdebatan yang begitu hangat di negara ini mengenai entiti AS, Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat yang sedang di dalam proses pengambilalihan 100% oleh syarikat Blackrock yang berpusat di AS, berminat untuk membeli 30% saham MAHB. MAHB merupakan sebuah syarikat milik negara yang menguruskan 39 lapangan terbang di negara ini dan dirancang untuk diswastakan bertujuan bagi menambahbaik pengurusan dan keuntungan syarikat (www.sinarharian.com.my – 21 Mei 2024). Gerakan BDS Malaysia mendakwa bahawa CEO Blackrock, yang juga terkait dengan GIP, merupakan penyokong entiti haram Yahudi dan dana daripada syarikat tersebut digunakan untuk membangunkan senjata yang dihantar ke entiti haram Yahudi (www.sinarharian.com.my – 04 Jun 2024).

            PMX Anwar Ibrahim kemudian menjelaskan isu ini di Parlimen pada 25 Jun lepas dengan mendakwa MAHB tidaklah dijual kepada negara asing kerana syarikat milik negara, iaitu KWSP dan Khazanah masih memiliki 70% sahamnya. Manakala Menteri MITI, Tengku Zafrul berkata, pelaburan Blackrock di Malaysia yang merangkumi RM27 bilion dalam pelbagai syarikat utama Malaysia, jika ditarik, akan menjejaskan ekonomi Malaysia. Walaupun tidak dinafikan Blackrock ada kaitan dengan entiti Yahudi, kita juga perlu melihat isu ini dari segi geostrategi AS yang kurang diberi perhatian. Aspek geostrategi ini tidak kurang pentingnya kerana ia memberi kesan terhadap dasar negara pada masa hadapan.

Pelan Geostrategi AS

Sekiranya kita mengimbau kembali, sejak mula memegang jawatan Presiden AS, Joe Biden telah mengisytiharkan pada awal 2021 bahawa China merupakan ancaman utama Amerika. Kemudian, pada tahun 2022, AS dalam persidangan G7 telah mewujudkan Partnership in Global Infrastructure and Investment (PGII) untuk membentuk koridor ekonomi mereka sebagai pencabar kepada projek Belt dan Road initiave (BRI) China. Projek PGII dengan slogan “a free and open Indo Pacific” bertujuan agar AS dan sekutunya dapat mendominasi dan mengawal infrastruktur penting terutamanya di negara-negara Indo pasifik daripada pengaruh China. Bagi menjayakan PGII, AS dan negara G7 lainnya memerlukan dana sehingga USD600 bilion untuk mencapai objektif projek tersebut.

            Syarikat Blackrock dan Microsoft yang merupakan mata lembing dalam projek ini  berkerjasama dengan pentadbiran AS untuk merealisasikan agenda tersebut (https://hoodline.com -13 Jun 2024). Dalam persidangan G7 terbaru pada 13 Jun lepas di Fasano, Itali, selain dari para pemimpin G7, ia turut disertai oleh CEO Blackrock, Larry Fink dan CEO Microsoft, Satya Nadella. Antara keputusan dalam persidangan tersebut adalah, G7 sudah menyediakan dana sehingga USD30 bilion untuk dilaburkan dalam syarikat-syarikat infrastruktur di negara-negara membangun. Daripada dana tersebut, USD4 bilion akan digunakan oleh para pelabur swasta AS seperti GIP, Blackrock dan Brookfield dalam pelbagai projek infrastruktur (www.whitehouse.gov – kenyataan Presiden 13 Jun 2024).

            Oleh yang demikian, kita dapati bahawa tindakan pelaburan GIP/Blackrock bukanlah tindakan berdasarkan pertimbangan korporat dan keuntungan semata-mata, tetapi merupakan tindakan geostrategi yang digariskan oleh AS. Dan kini, telah tersebar desas desus pembelian saham MAHB oleh GIP sebanyak 30% sejak Februari 2024. GIP bukan sahaja ingin melabur dalam lapangan terbang di Malaysia tetapi juga merancang untuk membeli saham syarikat pelabuhan seperti MMC Port milik Syed Mokthtar Bukhari pada Januari tetapi ditangguhkan pada April lepas (www.nst.com.my – 16 April 2024). Microsoft pula telah menambah RM10.5 bilion pelaburannya di Malaysia baru-baru ini dalam teknologi awan dan kecerdasan buatan (www.bharian.com.my – 09 Mei 2024). Kesemua ini membuktikan projek PGII AS sedang dilaksanakan ke atas Malaysia.

            Oleh yang demikian, kita boleh simpulkan bahawa pembelian saham MAHB oleh GIP/Blackrock ini adalah merupakan tindakan geostrategi AS untuk membina koridor ekonomi melalui projek PGII. Penguasaan 30% saham MAHB akan menguatkan lagi kedudukan geostrategi dan geopolitik AS dalam menghadapi China. Kita harus sedar dan cakna bahawa MAHB dan 39 lapangan terbang di seluruh negara yang merupakan infrastruktur strategik negara secara tidak langsung akan dipengaruhi oleh dasar luar negeri AS melalui syarikat korporatnya, GIP dan Blackrock.

Mengapa Pelan AS Boleh Berjaya di Malaysia?

            Penguasaan AS ke atas infrastruktur strategik di negara ini dilihat begitu mudah dilakukan kerana sistem kapitalisme dengan dasar terbukanya membenarkan mana-mana pihak membeli saham syarikat selama mana mereka mempunyai modal dan boleh mendatangkan keuntungan. Dengan kekuatan modal yang besar dan menggiurkan sepertimana dimiliki oleh Blackrock/GIP, tentunya Malaysia dengan mudah bersetuju untuk menjual saham MAHB kepada mereka. Dengan pemilikan 30% saham MAHB, AS pastinya memiliki suara  dalam menentukan atau sekurang-kurangnya mempengaruhi hala tuju syarikat. Sistem saham syarikat seumpama ini adalah tidak sah di sisi syarak dan ia membuka pintu dominasi negara luar terhadap kepentingan kaum Muslimin umumnya.

            Dari sisi lain, para pemimpin umat Islam juga dilihat lemah dalam ‘political will’ mereka dan tidak memiliki halatuju ideologis yang jelas. Cita-cita politik mereka sebatas menjaga kepentingan negara-bangsa dengan fokus hanya untuk menaikkan KDNK negara dan mengejar status negara maju. Mereka nampaknya terlalu naif sehingga tidak sedar perancangan AS mengakibatkan mereka rela untuk tunduk kepada pelan tersebut!

            Dalam konteks Malaysia, negara ini kerap melihat dirinya sebagai sebuah negara neutral yang menerima projek dari mana-mana pihak, tidak kiralah samada ia merupakan projek BRI (China) mahupun PGII (AS) – dengan pandangan bahawa manfaat ke atas negara boleh diperolehi dari perseteruan kedua-dua pihak dan Malaysia boleh menikmati keuntungan daripadanya. Hakikatnya, polisi neutral ini menyerlahkan lagi peranan Malaysia sebagai bidak catur permainan hegemoni negara-negara superpower dan yang akan menjadi mangsa pergolakan geopolitik kaum kuffar adalah umat Islam itu sendiri. Pemikiran sempit para pemimpin kaum Muslimin dalam ‘menjaga urusan kaum Muslimin’ hakikatnya akan memburukkan lagi situasi geopolitik umat Islam.

Pandangan Islam Terhadap Aspek Geopolitik

            Islam adalah sebuah mabda (ideologi) yang diturunkan Allah SWT untuk manusia mengatur dunia menurut perintahNya. Rasulullah SAW dan para khulafa’ sesudah baginda memahami bahawa umat Islam perlu mengatur urusan dunia dengan menjadikan Daulah Khilafah Islamiyyah sebagai negara kuasa besar dunia. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah telah menarik hujung bumi bagiku, sehingga aku dapat melihat bahagian timur dan baratnya. Dan kelak kekuasaan umatku akan mencapai bahagian bumi yang telah didekatkan kepadaku.”

[HR Muslim dan Abu Daud]

            Inilah sikap Rasulullah SAW dan para khulafa’ terdahulu yang menyebarkan Islam melalui dakwah dan jihad sehingga Islam menjadi kuasa besar dunia berabad lamanya. Ketika itu umat Islam menguasai seluruh jalur perdagangan dan kedudukan strategik dari timur sampai ke barat.  Rahsia kejayaan gilang gemilang ini adalah kekuatan aqidah dan syariah Islam yang diterapkan secara total ke atas umat manusia. Dakwah dan jihad kekal menjadi dasar luar negeri Daulah Khilafah sehingga ke ‘akhir hayatnya’.

            Selama berabad lamanya kaum Muslimin menguasai percaturan geostrategi dan geopolitik dunia dan negara-negara di dunia pada waktu itu tunduk kepada aturan Islam ketika berurusan dengan Daulah Khilafah sehingga Islam berkembang menjadi tatanan global. Umat manusia ketika itu tidak melihat Islam sebagai satu agama yang terpisah dari urusan kenegaraan, namun ia melihat Islam sebagai kuasa geopolitik dunia yang mampu menyelesaikan seluruh aspek permasalahan manusia!

Kesimpulan

            Kita perlu sedar bahawa pelaburan dari GIP/Blackrock dan Microsoft terkait projek PGII adalah merupakan perangkap ‘soft power’ ke atas Malaysia. Tujuan utama mereka bukanlah untuk mendapat keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada menarik Malaysia untuk berpihak kepada mereka di kemudian hari. Inilah peranan ‘soft power’ – menggunakan jalan-jalan selain ketenteraan untuk mempengaruhi sesebuah negara agar mengikut telunjuk mereka. Negara ini tidak mungkin terlepas dari pengaruh kuasa besar dunia sekiranya ia masih lagi terikat dengan ideologi kapitalisme dan menjadikan manfaat sebagai kayu ukur di dalam konteks negara bangsa.

            Tidak ada jalan lain untuk keluar daripada pengaruh kuasa besar ini kecuali kaum Muslimin harus berusaha kuat untuk menegakkan kembali Daulah Khilafah dan menerapkan Islam secara kaffah. Daulah Khilafah akan menyatukan seluruh dunia Islam dan mengumpulkan segenap sumber daya alam dan manusianya serta memperkukuh kedudukan geopolitiknya di mata dunia. Melihat kepada kekuatan dunia Islam yang wujud hari ini, mencapai kedudukan ini bukanlah suatu yang mustahil. Daulah Khilafah tidak perlu bergantung kepada negara-negara asing dan tidak akan sama sekali membenarkan mana-mana kuasa dunia yang lainnya mendominasi dan menetapkan pelan geostrategik mereka ke atas umat Islam.