Nasib Muslim Uighur hanya akan terbela di bawah Khilafah

Penindasan dan kekejaman ke atas kaum Muslimin minoriti etnik Uighur di Xinjiang oleh rejim China bukanlah sesuatu yang rahsia di mata dunia. Penderitaan yang ditanggung sekian lama oleh mereka bertambah parah apabila tiada satu pun negeri kaum Muslimin yang berani berdiri di hadapan China untuk membela mereka.

Sekalipun terdapat usaha baru-baru ini oleh Turki, Britain, Norway dan Australia yang mencadangkan agar isu penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia ke atas Muslim Uighur dibahaskan oleh PBB, namun ia ditolak oleh badan dunia itu. 19 daripada 47 negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB menolak cadangan tersebut. Manakala 11 negara anggota lainnya, termasuk Malaysia mengambil sikap berkecuali.

Sakit mata memandang, sakit lagi hati melihat perangai kerajaan Malaysia dalam isu ini. Jika dalam isu Palestin Malaysia sering menonjolkan dirinya sebagai hero pembela nasib umat Islam Palestin, namun dalam isu Muslim Uighur, Malaysia ternyata “kecut perut” untuk menonjol.

Kenapa demikian? Jika dilihat dari segi hubungan diplomatik antara Malaysia-China, ia telah pun terjalin sejak 49 tahun lepas. Manakala dari segi hubungan ekonomi, nilai dagangan Malaysia dengan China kini telah melebihi RM421 bilion. Atas sebab ini, sikap berkecuali Malaysia dalam isu Uighur dapat difahami dengan cukup mudah.

Pemerintah Malaysia lupa bahawa nilai setitik darah kaum Muslimin itu jauh lebih berharga di sisi Allah, jika nak dibandingkan dengan nilai dagangan mahupun hubungan diplomatik dengan negara yang memusuhi Islam itu? Dari al-Barra’ bin Azib (ra), baginda (saw) bersabda:

“Hilangnya dunia ini lebih ringan di sisi Allah dibandingkan terbunuhnya seorang Mukmin tanpa hak” [HR. Nasai 3987, Tarmidzi 1455, dan disahihkan oleh al-Albani].

Berdasarkan banyak laporan yang boleh dipercayai, kerajaan China telah menahan lebih daripada 1 juta Muslim Uighur di kem-kem tahanan kerana kebencian mereka terhadap Islam dan kaum Muslimin. Ramai yang diseksa dan dipaksa meninggalkan Islam hingga ada yang dilaporkan terbunuh akibat kekejaman rejim komunis itu.

Pendirian Malaysia dalam isu ini sangat menyedihkan, dan tidak ada beza di antara kerajaan sekarang mahupun kerajaan di bawah Pakatan Harapan. Malaysia bukan sahaja sekadar menutup mata dalam isu kekejaman China ke atas Muslim Uighur, bahkan sampai ke tahap menafikan wujudnya penindasan. Manakala kerjasama dan sokongan Malaysia terhadap China, khususnya dalam aspek ekonomi usah cerita, yang melebihi nilai persaudaraan sesama Muslim!

Persoalannya, jika Malaysia tidak boleh diharap untuk membela nasib Muslim Uighur, siapakah yang dapat kita harapkan? PBB? OIC?

Kita semua maklum bahawa PBB hanya bersikap sambil lewa apabila melibatkan nasib umat Islam. Manakala OIC pula tidak lebih daripada sebuah badan pemerhati semata-mata.

Sesungguhnya masalah yang berlaku ini haruslah diselesaikan oleh umat Islam itu sendiri, dan bukannya dengan mengemis pertolongan musuh-musuh Allah seperti kuffar Barat mahupun PBB.

Masalah yang berlaku ini juga tidak akan dapat diselesaikan selagi kaum Muslimin kekal terpecah kepada negara-negara bangsa yang dipimpin oleh para pemimpin yang bacul dan khianat.

Satu-satunya harapan yang tinggal hanyalah dengan Khilafah, sebuah negara yang akan menyatu-padukan kekuatan kaum Muslimin di seluruh dunia, yang dipimpin oleh seorang Khalifah yang beriman dan bertakwa. Hanya dengan berdirinya Khilafah sahajalah nasib Muslim Uighur, dan nasib kaum Muslimin di seluruh dunia akan terbela.

Apa yang perlu dilakukan oleh setiap Muslim ialah menyatukan seluruh tenaga dan usaha dalam mendirikan kembali Khilafah. Khilafah adalah satu-satunya perisai bagi kaum Muslimin, dan Khilafah adalah satu-satunya negara yang akan mengembalikan kemuliaan kaum Muslimin.

Wallahu a’lam.