SN653 – Mitos Olimpik Paris
Bil: SN653 (PDF/Print) – 10 Safar 1446 / 16 Ogos 2024
Sukan Olimpik Paris yang berlangsung dari 27hb Julai sehingga 12hb Ogos 2024 telah pun melabuhkan tirainya. Di dalam ucapan pembukaannya, Thomas Bach iaitu Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC – International Olympic Committee) meyakinkan kepada dunia bahawa disebalik perang dan konflik yang sedang melanda dunia, Sukan Olimpik kali ini membuktikan bahawa temasya sukan terbesar dunia itu masih dapat menyatukan para atlet dari pelbagai negara dan ia sebagai tanda solidariti kepada segala kesengsaraan yang sedang dialami oleh mangsa konflik dan peperangan. Beliau mengajak seluruh dunia untuk memasang impian, iaitu suatu kehidupan yang aman dan dikongsi bersama sebagai suatu kesatuan kemanusiaan sejagat di sebalik kepelbagaian agama dan budaya. Itulah ucapan pembukaan yang disambut meriah oleh seluruh atlet yang bertanding kerana Sukan Olimpik adalah satu festival sukan di kemuncak yang paling tinggi sehingga menjadi idaman setiap atlet di dunia untuk menyertainya.
Namun, belum pun acara bermula, persembahan yang disajikan pada awalnya sahaja sudah meranapkan segala harapan dan impian. Kelebihan sebagai tuan rumah telah digunakan sebaik-baiknya oleh Perancis untuk mempromosikan budaya songsang mereka kepada dunia. Pada acara pembukaan tersebut, pihak tuan rumah telah menghidangkan pelbagai persembahan yang memaparkan gaya hidup songsang dan tidak bermoral. Tema LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender) mewarnai hampir setiap persembahan yang disajikan sehinggalah kepada persembahan yang dianggap mempersendakan agama Kristian iaitu dengan cara memparodikan lukisan ‘The Last Supper’ dengan memaparkan watak utama yang berbogel di atas meja hidangan.
Jadi, bagaimanakah masyarakat dunia dapat memasang impian, jika persembahan sedemikian hendak diraikan? Di sebalik persembahan pembukaan yang memualkan pada Sukan Olimpik kali ini, IOC tetap cuba memaparkan bahawa mereka merupakan organisasi yang membawa suara keamanan dengan sub-tema : “We stand and call for peace” (Kami teguh menyeru kepada keamanan) dan juga berhasrat ingin menyatukan manusia di seluruh dunia melalui temasya sukan. Sejauh manakah usaha ini dapat direalisasikan atau ia hanya sekadar retorik semata-mata?
Impian Kebebasan
Apa yang dipersembahkan oleh Perancis semasa majlis perasmian Sukan Olimpik itu tidaklah begitu mengejutkan. Seluruh dunia telah maklum bahawa Perancis merupakan negara awal tempat tercetusnya fahaman sekularisme setelah mereka berjaya meruntuhkan institusi raja pada tahun 1792. Jadi, tidak hairanlah Perancis sangat bersungguh-sungguh ingin memperkenalkan konsep ‘Laicite’, iaitu merujuk kepada satu bentuk sekularime yang sangat melampau. Konsep ini benar-benar memisahkan agama daripada kehidupan sehingga ke peringkat di mana kehidupan mereka langsung tidak terikat dengan mana-mana norma atau ajaran agama di dalam kehidupan. [https://www.economist.com/the-economist-explains/2020/11/23/what-is-french-laicite].
Dengan konsep sekularisme ini, kebebasan bersuara dan individu di Perancis diamalkan dengan sangat melampau sehingga setiap individu diberikan kebebasan untuk melakukan apa sahaja termasuklah mempersenda kepercayaan dan agama orang lain sehingga ia menjadi satu kebiasaan di Perancis dan perbuatan tersebut dilindungi oleh undang-undang Perancis.
Memupuk Keamanan Sejagat
Sejak tahun 1896 lagi, Sukan Olimpik telah memasuki fasa baru dalam penganjurannya. Pada temasya tahun itulah elemen keamanan sejagat dan semangat kesukanan mula ditanamkan di dalam diri setiap atlet. Idea ini dicetuskan oleh seorang tokoh Perancis yang juga bekas Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa yang bernama Pierre de Coubertin sehingga dia dianggap sebagai Bapa Pemodenan kepada Sukan Olimpik. Daripada ideanya, Sukan Olimpik telah dijadikan sebagai wadah untuk mengelak sebarang konflik semasa bertanding di samping memupuk nilai keamanan sejagat di kalangan negara-negara yang bertanding.
Namun, sehingga hari ini, hasrat untuk melihat tercapainya keamanan sejagat tidak pernah dan tidak mungkin akan tercapai. Ini adalah kerana, sikap pilih kasih (double standard) yang terus dipaparkan di semua platform dunia, termasuk pada Sukan Olimpik kali ini. Pada edisi Olimpik kali ini, Rusia telah dilarang untuk menyertai sukan ini tetapi yang peliknya, Israel pula dibenarkan untuk bertanding. Nilai keamanan apakah yang hendak disampaikan pada edisi sukan kali ini? Padahal, apa yang dilakukan oleh Israel sangat jelas bertentangan dengan keamanan sejagat yang kononnya hendak dicapai melalui Sukan Olimpik. Bagaimana IOC masih membenarkan para atlet Israel untuk bertanding sedangkan tangan-tangan mereka itu masih berlumuran darah rakyat Palestin yang dibunuhnya? Bagaimanakah tangan yang masih berlumuran darah itu hendak bersalaman dengan atlet yang lain?
Mendidik Semangat Penyatuan
Setiap kali berlangsungnya Sukan Olimpik, IOC akan mencanangkan kepada dunia bahawa mereka membawa tema penyatuan berdasarkan penyertaan hampir semua negara di dunia. Namun, pada hakikatnya semua atlet yang bertanding akan bersaing dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangkan negara bangsa masing-masing. Bagi setiap negara yang mengambil bahagian, mereka mahukan setiap atlet mereka berjuang bermati-matian untuk memberi kemenangan kepada negara masing-masing setelah begitu banyak wang dibelanjakan untuk persiapan atlet dan kos membawa mereka ke temasya tersebut.
Disebabkan itulah setiap atlet terus berusaha dengan bangganya sehingga muncul semangat kebangsaan yang sangat luar biasa tatkala bertanding sambil membawa bendera negara bangsa masing-masing. Para penyokong yang berada di luar gelanggang pula bermati-matian bersorak memberikan sokongan kepada atlet kesayangan mereka yang sedang bertanding sambil mengejek pemain lawan daripada negara lain.
Tanpa mereka sedari, perasaan persaingan untuk menang itu telah memberi justifikasi dan mengukuhkan lagi perpecahan kalangan negara-negara yang bertanding, khususnya kalangan negara-negara umat Islam. Sukan Olimpik adalah sebuah temasya yang menjadi mekanisme paling berkesan untuk membangkitkan semangat assabiyyah (perkauman) dan wataniyyah (patriotism) yang jelas-jelas diharamkan di dalam Islam. Walaupun mereka berpelukan dan bersalaman secara mesra sesudah bertanding, hakikatnya itulah manifestasi sebenar perpecahan antara negara umat Islam.
Persepektif Islam
Tidak kiralah samada seseorang itu beragama Islam ataupun tidak, kebanyakannya akan berpandangan bahawa budaya songsang yang telah dipertontonkan kepada khalayak ramai di dalam persembahan pembukaan Sukan Olimpik Paris adalah menjijikkan dan dianggap sebagai persembahan murahan. Mungkin bagi segelintir penonton yang liberal dan sekular, ia adalah persembahan yang hebat. Hakikatnya, ini merupakan persepsi yang berdasarkan fahaman sekularisme ‘Laicite’ yang dijunjung tinggi di Perancis.
Elemen sekularisme yang cuba disampaikan semasa majlis pembukaan Sukan Olimpik Paris itu sebenarnya adalah fahaman yang sangat asing di dalam ajaran Islam. Walaupun fahaman sekularisme ini tidak menolak kewujudan ajaran agama, namun, peranan agama di dalam urusan pemerintahan, muamalat, penghukuman, pendidikan dan sosial diketepikan sepenuhnya. Ini bertentangan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Maka putuskanlah perkara atas mereka menurut apa yang Allah turunkan (Al Quran) dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran (hukum Allah) yang telah datang kepadamu”.
[Al Maidah: 48]
Mengenai hasrat untuk mencapai keamanan sejagat melalui acara sukan, ia tidak akan pernah dapat dicapai melalui Sukan Olimpik. Ini disebabkan budaya double standard yang diamalkan oleh Barat. Keamanan sejagat hanya akan dicapai dengan kekuasaan, peraturan dan hukum yang adil. Slogan penyatuan dan keamanan yang dilaungkan hanyalah sekadar retorik sebagaimana peribahasa melayu; “Bagai ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul”. Peraturan dan hukum yang benar-benar adil hanya boleh dicapai melalui penerapan hukum Allah secara total.
Firman Allah SWT:
“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman, mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”
[An An’am (6) : 82]
Dilihat daripada aspek penyatuan manusia, Islam telah pun membuktikan kepada dunia, bagaimana hanya dengan amalan ruhiyyah sahaja, ia mampu menyatukan umat Islam melalui ibadah haji. Umat Islam dari seluruh dunia berkumpul tanpa mengira warna kulit, pangkat dan darjat. Walaupun mereka datang daripada pelbagai negara yang mengamalkan cara hidup dan budaya yang berbeza, tetapi mereka tetap dapat disatukan secara ruhiyyah. Kekuatan umat Islam juga terlihat di dalam pelbagai kempen boikot barangan dan perkhidmatan yang terkait dengan kepentingan Israel, di mana banyak premis-premis barangan dan perkhidmatan yang terpaksa ditutup gara-gara umat Islam bersatu di dalam kempen tersebut.
Jika di dalam ruhiyyah dan kempen memboikot kepentingan Israel, umat Islam berjaya menyatukan usaha-usaha mereka, bayangkan jika seluruh umat Islam disatukan di bawah satu pemerintahan Islam di mana mereka mempunyai satu pemimpin, satu bendera dan satu negara, sudah tentulah ia akan merubah tantanan dunia.
Kesimpulan
Di sebalik berakhirnya salah satu temasya sukan terbesar di mukabumi ini, kita akan dapati kehidupan peribadi semua yang terlibat akan kembali kepada tantanan yang asal dan segala slogan solidariti dan keamanan akan beransur-ansur sirna dan lenyap berlalu dengan masa. Apa yang pasti, perpecahan antara negara umat Islam, konflik kemanusiaan dan krisis nilai-nilai kehidupan manusia masih terus berlaku.
Slogan-slogan yang dicanangkan sempena Sukan Olimpik Paris pada kali ini, malah di mana-mana arena sukan antarabangsa, hakikatnya, hanyalah slogan-slogan kosong dan tidak memiliki maksud yang jelas. Tambahan pula, wujud sikap pilih kasih (double standard) yang telah dan akan terus menjadi racun dalam penganjuran Sukan Olimpik. Penyatuan sebenar hanya dapat direalisasikan dengan menegakkan semula Khilafah Islam yang akan menyatukan seluruh umat Islam di bawah satu pemimpin dan satu bendera.