SN657 – Pembongkaran GISBH: Menyingkap Isu yang Lebih Mendalam

Bil: SN657 (PDF/Print) – 30 Rabi’ al-awwal 1446 / 3 Oktober 2024

Operasi besar-besaran yang dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap syarikat milik penuh orang Islam, Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), baru-baru ini telah menarik perhatian umat Islam, terutamanya pengamal media dan pempengaruh di media sosial. Pada 11 September 2024, polis menyerbu 20 rumah amal milik GISBH, yang kemudiannya membawa kepada penahanan reman beberapa pemimpin tertinggi syarikat itu bermula 19 September 2024. Operasi tersebut dilaksanakan dengan cekap dan pantas. Namun, ada persoalan yang timbul;  mengapa tindakan tegas ini hanya diambil sekarang, sedangkan siasatan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah bermula sejak tahun 2019? Menurut Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, JAKIM lambat bertindak terhadap isu penyelewengan akidah yang melibatkan GISBH ini [https://www.malaysiakini.com/news/719162].

            Di sebalik tindakan dan operasi yang dijalankan, kita tidak boleh menafikan pencapaian yang telah diraih oleh GISBH. Syarikat ini dianggap sebagai salah sebuah konglomerat Islam yang berjaya, dengan pelbagai jenis perniagaan di 20 negara dan aset bernilai RM325 juta. Falsafah dan mekanisme operasi GISBH sebenarnya berasaskan pengalaman bekas para pengikut pertubuhan Al-Arqam. Pertubuhan tersebut, yang ditubuhkan pada tahun 1968, berjaya membina empayar ekonomi yang kukuh tetapi diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1994 atas dakwaan sesat dan mengancam keselamatan negara. Selepas itu, ia dijenamakan semula sebagai Rufaqa’ Corporation dan akhirnya menjadi GISBH pada tahun 2008.

            Menurut sebuah kumpulan kajian ajaran sesat yang dikenali sebagai PUKAS MALAYSIA, bekas pengikut Al-Arqam dalam GISBH masih mengamalkan ajaran lama dan meneruskan doktrinisasi terhadap ahli-ahli mereka. Dalam hal ini, ramai juga yang mempersoalkan mengapa PUKAS tiba-tiba muncul dan mendedahkan penyelewengan akidah yang dilakukan oleh sebahagian ahli GISBH? Siapakah sebenarnya PUKAS? Latar belakang PUKAS nampaknya masih belum jelas meskipun baru-baru ini sudah terdapat pendedahan mengenai siapa di sebalik kumpulan ini di media sosial.

            Sejak pendedahan oleh PUKAS, pelbagai pembongkaran turut dilakukan oleh netizen – dari salah laku di rumah-rumah amal GISBH, pengurusan kewangan pemimpin yang meragukan, hinggalah kepada penyimpangan akidah dan doktrinisasi oleh sebahagian ahli GISBH. GISBH pula menafikan keterlibatan mereka dengan amalan-amalan tersebut, menyatakan ia adalah tindakan individu dan tidak berkaitan dengan syarikat.

Menyelami Isu Lebih Besar

            Tidak dinafikan, pihak berkuasa dan orang ramai, khususnya netizen amat cekap dalam melakukan pembongkaran dan pendedahan isu yang melibatkan GISBH ini. Alangkah baiknya jika kecekapan dan kesungguhan ini turut digunakan untuk menyingkap punca kepada pelbagai permasalahan yang melanda masyarakat kini.

            Di sebalik isu penyimpangan dalam GISBH, terdapat banyak isu lebih besar yang dihadapi oleh umat Islam secara amnya dan kaum Muslimin di Malaysia khususnya. Isu-isu seperti kenaikan harga barang, pesta maksiat yang berleluasa, keruntuhan akhlak di kalangan kaum Muslimin, kadar pengangguran yang tinggi serta kesukaran mendapatkan pekerjaan yang sesuai adalah antara cabaran yang perlu ditangani. Yang pasti, situasi ini bukanlah semata-mata lumrah kehidupan, namun ia merupakan simptom dari sistem kehidupan yang mendominasi kita hari ini.

            Jika kita renungi, di satu sisi, umat Islam memiliki kekuatan akidah yang luar biasa dan mampu bangkit mempertahankan maruah agama apabila Rasulullah dihina atau al-Quran dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab. Namun, di sisi lain, ramai di antara kita yang tidak merasa apa-apa apabila al-Quran dan as-Sunnah diketepikan dan tidak dijadikan sumber utama dalam menyelesaikan permasalahan kehidupan hari ini. Allah SWT berfirman:

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”  [Al-Maidah: 45]

 “Penetapan hukum itu hanyalah milik Allah”  [Yusuf: 40]

            Walaupun dalil-dalil yang jelas telah disampaikan mengenai kewajipan melaksanakan hukum Allah, masih ramai umat Islam yang kurang menyedari tanggungjawab ini. Bagi kebanyakan kita, fokus utama adalah menjaga ibadah khusus seperti solat, puasa dan haji, tanpa menyedari kewajipan lain dalam syariat Islam seperti sistem pemerintahan, ekonomi, perundangan, pendidikan, dan pergaulan menurut Islam. Keadaan ini berlaku akibat daripada proses doktrinisasi halus yang dilakukan oleh penjajah terhadap umat Islam.

            Sistem pendidikan yang diwarisi telah melahirkan generasi yang lebih mengutamakan dunia daripada akhirat. Fahaman sekularisme, yang memisahkan agama daripada kehidupan, telah menyerap masuk dan menjadi racun paling berbisa dalam masyarakat kita. Inilah punca utama mengapa ramai umat Islam tidak kisah atau tidak merasa apa-apa apabila berlaku penyimpangan syariat. Akibatnya, kita terus dijajah secara pemikiran dan terpaksa bergantung kepada pihak lain dalam pelbagai aspek kehidupan yang akhirnya membawa kepada berbagai jenis permasalahan dan kerosakan di kalangan umat Islam.

            Sesungguhnya, syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT bukan sahaja wajib dilaksanakan, malah merupakan peraturan kehidupan terbaik untuk seluruh manusia dan asas kepada pembinaan sebuah tamadun yang hebat. Allah SWT, sebagai Pencipta, tentunya Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Apabila dilaksanakan dengan sempurna, ia akan membawa kesejahteraan dan kemakmuran sebagaimana yang pernah dinikmati oleh umat Islam terdahulu.

Kesimpulan

            Kita sememangnya wajar merasa kecewa dan marah apabila didedahkan bahawa berlaku penyelewengan di sebalik pencapaian GISBH. Ada di antara kita yang mungkin merasa tertipu dengan imej perniagaan yang dipaparkan. Namun, kita juga perlu merenung dan bertanya, adakah kita turut merasa kecewa dan marah terhadap penyimpangan syariat yang berlaku di negara ini, dengan penerapan sistem kapitalis yang kufur, yang mendominasi kehidupan kita hari ini? Penyimpangan inilah yang menjadi punca utama kepada kerosakan, kesempitan, dan kesengsaraan yang dialami umat hari ini.

            Sebagai umat Islam, adalah tanggungjawab kita untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan menggembeling usaha untuk menegakkan kembali Khilafah atas jalan kenabian yang akan memastikan bahawa syariat Allah akan dilaksanakan dalam setiap aspek kehidupan. Tanpa Khilafah dan penerapan syariat Islam yang syumul, berbagai penyimpangan, bukan hanya seperti isu GISBH, malah lebih parah dari itu, akan melanda negara dan umat Islam secara amnya. Nauzubillahi min dzalik!


KOLUM SIYASAH

Serangan Alat Komunikasi di Lubnan, Mesej Penting untuk Dunia Islam Membangunkan Industri Sains & Teknologi Tinggi

            Lubnan kini menjadi mangsa terbaru serangan keganasan Israel, menyusul selepas serangan di Gaza. Tindakan Israel untuk meletupkan peralatan telekomunikasi di seluruh wilayah Lubnan telah mengakibatkan lebih daripada 10 kematian dan hampir 3,000 cedera parah, termasuk kanak-kanak. Menurut laporan, Israel dipercayai telah merancang serangan ini dengan teliti, memintas bekalan peralatan komunikasi yang diimport dari negara lain dan memasukkan bahan letupan ke dalamnya sebelum dihantar ke Lubnan.

            Bentuk keganasan yang baru ini telah menimbulkan kebimbangan dan kegelisahan global mengenai keselamatan peralatan telekomunikasi yang kini menjadi tulang belakang masyarakat moden. Insiden ini menunjukkan betapa mudahnya teknologi boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan dan musuh. Serangan di Lubnan bukan sahaja membuktikan betapa rapuhnya rantaian bekalan produk teknologi yang dihasilkan oleh syarikat kapitalis, tetapi juga menonjolkan betapa rentannya keselamatan dunia Islam, yang masih bergantung kepada teknologi luar negara yang terdedah kepada eksploitasi dan manipulasi ekonomi kapitalis.

            Dalam menghadapi situasi ini, adalah jelas bahawa dunia Islam tidak boleh terus bergantung kepada teknologi asing. Sudah tiba masanya bagi negara-negara Islam untuk membangunkan sektor sains dan teknologi mereka sendiri yang bebas dan mandiri daripada pengaruh luar. Dunia Islam perlu bangkit membina kepakaran dan industri teknologi tinggi yang mampu menjamin kedaulatan dan keselamatan negara, serta memenuhi keperluan domestik. Walaupun usaha ini mungkin dilihat mustahil jika dilihat dari perspektif negara-negara Islam yang kecil dan lemah, namun dengan penyatuan umat Islam di bawah institusi Khilafah, ia boleh menjadi kenyataan.

            Institusi Khilafah akan memiliki iltizam politik dan kemampuan untuk membangunkan industri sains dan teknologi yang canggih, dengan menghimpunkan kepakaran umat Islam dari seluruh dunia dan memanfaatkan dana yang besar. Dengan cara ini, dunia Islam akan mampu menjamin kedaulatan serta keselamatan negara dan seterusnya muncul sebagai kuasa besar dunia yang membawa keamanan, sekaligus menentang kezaliman Barat yang sering menjadi ancaman kepada kestabilan dan kedaulatan negara-negara lain.