SN664 – Harapan Besar dan Hala Tuju Umat Islam di Tahun Baru 2025
Bil: SN664 (PDF/Print) – 30 Jumada al-thani 1446 / 1 Januari 2025
Tahun 2024 telah menyaksikan pelbagai peristiwa yang menyedihkan dan menyayat hati bagi umat Islam, terutamanya dalam isu Gaza dan konflik di Syria. Serangan berterusan entiti haram Yahudi terhadap Palestin telah mengakibatkan kemusnahan besar – seluruh Gaza telah menjadi padang jarak padang tekukur dan penderitaan yang tidak terhingga bagi rakyat Palestin. Operasi Taufan Al-Aqsa yang dilancarkan oleh mujahidin Palestin pada 7 Oktober 2023, walaupun memberikan harapan, tidak dapat menghentikan serangan balas yang brutal dari entiti haram Yahudi, yang mengorbankan lebih 42,000 nyawa, termasuk ribuan kanak-kanak. Atas dasar ini, harapan besar umat Islam pada tahun 2025 adalah untuk bersatu dan bangkit menentang penindasan yang berterusan.
Kekuatan Umat Islam dan Kewajiban Membela Palestin
Salah satu pelajaran penting yang dapat diambil dari peristiwa-peristiwa ini adalah perlunya penyatuan di kalangan umat Islam. Perpecahan yang berlaku di kalangan negara-negara umat Islam, yang sering kali terperangkap dalam kepentingan politik masing-masing, telah menghalang tindakan kolektif untuk membela Palestin. Para pemimpin umat Islam wajib menyedari bahawa Palestin adalah tanah yang diberkati dan menjadi tanggungjawab bersama untuk mempertahankannya. Al-Quran menegaskan bahawa umat Islam adalah bersaudara, dan sewajibnya mereka saling membantu dalam menghadapi musuh.
Dalam konteks ini, seruan untuk menggerakkan tentera umat Islam dan melancarkan jihad bagi membela Palestin menjadi semakin mendesak. Ini bukan sahaja demi mempertahankan tanah yang diberkati, tetapi juga untuk menegakkan keadilan dan menghentikan keganasan yang dilakukan oleh entiti haram Yahudi. Seperti yang dinyatakan dalam SN640 dan SN650, para pemimpin umat Islam harus melepaskan diri dari belenggu perjanjian antarabangsa yang sering menghalang mereka dari bertindak. Alasan yang diberikan oleh pemimpin seperti Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bahawa menghantar tentera bukanlah perkara mudah, menggambarkan kerumitan situasi ini. Namun, alasan ini tidak sewajarnya menjadi justifikasi untuk umat Islam terus berdiam diri dan hanya mengharapkan bantuan dari pihak luar yang sering kali mempunyai agenda tersendiri.
Sandiwara Politik dan Peranan Kuasa Besar
Peristiwa di Gaza dan Syria juga menunjukkan bagaimana kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Rusia memainkan peranan dalam mencorak geopolitik dunia. Tindakan Iran dalam serangan terhadap entiti haram Yahudi, yang dilihat sebagai sebuah sandiwara, menunjukkan bahawa hatta negara-negara kaum Muslimin sendiri sering kali bertindak mengikut kepentingan politik masing-masing, bukan demi kepentingan umat Islam secara keseluruhan. Iran, walaupun mengaku sebagai pembela Palestin, tidak mengambil tindakan yang cukup tegas untuk membantu rakyat Palestin. Ini menimbulkan persoalan tentang komitmen sebenar mereka dan negara-negara kaum Muslimin lain dalam mempertahankan hak-hak umat Islam (SN648 dan SN658).
Oleh itu, kita perlu menyedari bahawa tindakan negara-negara seperti Iran dan Turki dipengaruhi oleh kepentingan politik mereka sendiri. Iran, misalnya, walaupun melancarkan serangan balas, tidak menunjukkan komitmen yang sebenar untuk membantu Palestin. Sebaliknya, tindakan mereka lebih kepada menjaga imej di mata dunia sebagai negara yang menentang entiti haram Yahudi. Seharusnya umat Islam wajib berhati-hati dan tidak terpedaya dengan naratif yang dibawa oleh para pemimpin seperti ini.
Peristiwa di Syria dan Kesan Terhadap Umat Islam
(https://mykhilafah.com/soal-jawab-kejadian-di-syria-dan-kejatuhan-rejim-asad/)
Peristiwa di Syria juga memberikan gambaran yang jelas tentang betapa pentingnya penyatuan umat Islam. Kejatuhan rejim Bashar al-Asad pada 8 Disember 2024 menunjukkan bahawa perubahan boleh berlaku, tetapi ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dari umat Islam. Serangan yang dilancarkan oleh Hay’at Tahrir ash-Sham (HTS) dan Tentera Kebangsaan Syria menunjukkan bahawa pembebasan tanah umat Islam dari rejim yang menindas bukanlah suatu yang mustahil. Namun, kita perlu berhati-hati agar perubahan ini tidak hanya membawa kepada sistem sekular yang baru, tetapi sebaliknya, kita perlu berusaha untuk menegakkan sistem pemerintahan Islam yang sebenar.
Umat perlu sedar usaha pihak-pihak yang akan ‘merampas’ perubahan yang diusahakan kaum Muslimin yang ikhlas. Lihat sahaja Amerika Syarikat dan Turki yang terus berusaha untuk mendukung pemerintahan baru di Syria setelah kejatuhan Bashar al-Asad. Mereka menekankan perlunya penyelesaian politik yang melibatkan pembentukan rejim baru yang berbilang puak. Mereka ‘menekankan’ pentingnya mengurangkan ketegangan dan memberi perlindungan terhadap orang awam, sambil mendesak proses politik yang serius untuk mengakhiri perang saudara. Proses politik apa lagi yang dimaksudkan kalau bukan yang mereka tawarkan?
Isu Bangladesh dan Perjuangan Umat Islam
Di Bangladesh, situasi politik juga menunjukkan betapa pentingnya perubahan. Perdana Menteri Bangladesh, yang telah meletak jawatan dan melarikan diri ke luar negara, menunjukkan betapa rapuhnya sistem yang ada. Umat Islam di Bangladesh memerlukan perubahan yang sebenar, tetapi perubahan ini sering kali ‘dirampas’ oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Britain. Mereka menggunakan pengaruh mereka untuk mengawal dan memanipulasi situasi di negara-negara Islam, termasuk Bangladesh, demi kepentingan mereka sendiri.
Umat Islam di Bangladesh harus bangkit dan berjuang untuk mendapatkan hak mereka. Mereka perlu menyedari bahawa sistem yang ada tidak akan membawa kepada kebaikan, dan mereka harus berusaha untuk menegakkan sistem yang berlandaskan kepada ajaran Islam. Hanya dengan cara ini, mereka dapat mencapai keadilan dan kesejahteraan yang diidamkan.
Harapan untuk Tahun 2025
Dengan melihat kepada semua peristiwa yang berlaku, harapan besar umat Islam di tahun 2025 adalah untuk melihat kebangkitan semula Khilafah yang akan melindungi hak-hak umat Islam dan menghentikan penindasan yang berterusan. Umat Islam perlu bangkit dengan kesedaran yang tinggi dan pemikiran yang benar dan berusaha untuk menyatukan kekuatan mereka. Hal ini bukan sahaja tentang mempertahankan Palestin, tetapi juga tentang membebaskan seluruh wilayah kaum Muslimin yang terjajah.
Umat Islam wajib melakukan pembongkaran perancangan musuh Islam serta berwaspada terhadap pengaruh Barat yang sering kali mencampuri urusan dalaman umat Islam. Kita wajib menyedari bahawa demokrasi yang diterapkan oleh negara-negara Barat sering kali membawa kepada perpecahan dan ketidakstabilan.
Oleh itu, umat Islam perlu kembali kepada ajaran Islam yang tulen dan berpegang teguh pada dasar aqidah dan terus berjuang untuk menegakkan Khilafah sebagai penyelesaian total kepada masalah yang dihadapi. Jangan sia-siakan pengorbanan kalian dengan mengganti satu sistem buatan manusia dengan yang lain. Kebangkitan kaum Muslimin tidak boleh disandarkan kepada proses demokrasi yang rapuh, penuh kontradiksi dan bertentangan dengan ruh Islam.
Bagaimana Umat Islam Harus Bertindak Ke Arah Penegakan Khilafah?
Dalam konteks geopolitik dunia yang semakin kompleks dan dinamik, terdapat beberapa langkah strategik yang dapat diambil oleh umat Islam untuk mencapai matlamat ini:
- Penyatuan Umat Islam adalah kunci utama dalam memperjuangkan penegakan Khilafah. Umat Islam perlu mengatasi perpecahan yang telah lama wujud akibat sempadan negara bangsa yang dicipta oleh penjajah. Perpecahan telah menyekat usaha untuk membela umat Islam di Palestin dan di tempat lain. Oleh itu, umat Islam wajib membentuk penyatuan dengan memecahkan dan menghancurkan sempadan-sempadan palsu ini tidak kira di mana pun mereka berada.
- Kesedaran dan peningkatan pemikiran tentang pentingnya Khilafah ala Minhaj Nubuwwah dan ajaran Islam yang tulen adalah langkah yang amat penting. Umat Islam wajib dididik tentang sejarah Khilafah dan bagaimana sistem ini dapat memberikan keadilan dan keamanan. Peningkatan pemikiran yang terfokus kepada aqidah dan ideologi Islam yang murni akan membantu membangunkan generasi yang berkomitmen untuk memperjuangkan penegakan Khilafah.
- Umat Islam perlu menggerakkan tentera untuk membela Palestin dan wilayah-wilayah lain yang terjajah. Ini memerlukan pemimpin umat Islam yang memiliki kekuatan politik dan sanggup untuk melepaskan diri dari belenggu berbagai perjanjian antarabangsa yang sering menghalang tindakan ketenteraan. Umat Islam dan para pemimpinnya wajib menggerakkan kekuatan tentera demi membela kaum Muslimin dan menghentikan penindasan.
- Umat Islam wajib berwaspada terhadap agenda negara-negara Barat, terutamanya Amerika Syarikat dan sekutunya, yang tidak berhenti mencampuri urusan dalaman negara-negara umat Islam. Demokrasi yang diterapkan oleh negara-negara Barat dan tawaran demokrasi kepada umat Islam sering kali membawa kepada perpecahan dan ketidakstabilan. Oleh itu, umat Islam harus menolak sistem Barat ini yang tidak pernah membawa kebaikan dan kembali kepada ajaran Islam yang tulen.
Khatimah
Tahun 2025 harus menjadi titik tolak kebangkitan umat Islam. Kezaliman yang terus menimpa kaum Muslimin, termasuk di Palestin, adalah hasil percaturan kuasa-kuasa besar dunia yang mempunyai agenda tersendiri. Dalam menghadapi situasi ini, umat Islam perlu menghentikan pergantungan kepada pemimpin yang gagal memperjuangkan kepentingan umat dan sebaliknya bersatu atas dasar aqidah Islam untuk membela kaum Muslimin yang dizalimi seperti di Palestin. Penyelesaian yang hakiki terhadap isu Palestin ini adalah melalui jihad di sabilillah untuk menghentikan keganasan entiti Zionis.
Umat Islam wajib kembali kepada kefahaman Islam yang murni, mengamalkan ajarannya secara kaffah dan berusaha melaksanakan syariat Allah SWT dalam seluruh aspek kehidupan di bawah payung kekhilafahan. Kebergantungan kepada sistem yang tidak membawa kebaikan dan pemimpin khianat tanpa komitmen harus dihentikan. Hanya dengan kepimpinan yang ikhlas dan penyatuan umat atas dasar Islam, keadilan dan keamanan sejati dapat dicapai. Usaha ini bukan sahaja penting untuk Palestin, tetapi juga untuk kebangkitan umat Islam secara global membawa rahmat Islam ke seluruh dunia.
“Pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman”
[As-Saff (61): 13]