SN677 – Menurunkan PMX Tanpa PRU Bukanlah Penyelesaian Sebenar; Hanya Islam Sahaja Penyelesaian Segala Masalah Negara

Bil: SN677 (PDF/Print) – 7 Safar 1447 / 1 Ogos 2025

Pada 26 Julai 2025 yang lalu, satu perhimpunan rakyat berskala besar telah diadakan bagi mendesak Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk meletakkan jawatan berikutan rasa tidak puas hati dalam kalangan sebahagian rakyat terhadap corak pentadbiran beliau yang didakwa menjadi punca pelbagai masalah yang menimpa rakyat.

Perhimpunan tersebut disertai oleh pelbagai golongan termasuk penyokong parti pembangkang, rakyat biasa, pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain. Terdapat pandangan umum dalam kalangan rakyat bahawa demonstrasi jalanan tidak mampu menjatuhkan seorang Perdana Menteri kerana proses menukar kepimpinan perlu dilakukan melalui pilihan raya mengikut sistem demokrasi.

Namun begitu, mantan Perdana Menteri Malaysia yang disegani, Tun Dr Mahathir Mohamad, menempelak pandangan tersebut dengan menyatakan bahawa menurunkan PMX tidak semestinya perlu menunggu pilihan raya umum akan datang. Kenyataan ini telah mencetuskan perang persepsi yang berterusan antara penyokong kerajaan dan pihak pembangkang.

Masalah-masalah berkaitan pentadbiran negara yang memberi kesan langsung kepada rakyat menjadi punca utama tercetusnya demonstrasi ini. Meskipun usaha untuk menurunkan PMX dilihat sebagai satu jalan keluar daripada kemelut yang dihadapi, hakikatnya kita perlu meneliti akar permasalahan dan mencari penyelesaian yang hakiki melalui Islam semata-mata. Sebagai umat Islam, Islam adalah panduan hidup kita di dunia dan di akhirat.

Perubahan yang Bagaimana?

Masalah yang melanda sesebuah negara sememangnya akan memberikan kesan langsung kepada rakyatnya, termasuk di Malaysia. Rakyat negara ini mengharapkan suatu bentuk perubahan yang mampu membawa kebaikan serta kesejahteraan dalam kehidupan mereka. Namun persoalan utama yang wajar diketengahkan adalah: Perubahan bagaimana yang ingin mereka laksanakan?

Sebuah negara ditadbir berdasarkan sistem yang akan menentukan corak pemerintahan. Dari sistem pemerintahan inilah lahir segala bentuk kesan—sama ada membawa manfaat atau menimbulkan masalah kepada rakyat. Sekiranya sistem yang digunakan untuk mentadbir itu sendiri bermasalah, maka siapa pun yang memimpin tidak akan mampu melakukan perubahan yang sebenar. Walaupun individu yang diangkat itu merupakan seorang yang jujur, amanah, dan bertaqwa, beliau tetap tidak akan berupaya memperbaikinya secara menyeluruh.

Perubahan dari segi individu pemimpin tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang sedia ada, tanpa perubahan sistem. Bahkan ia mungkin hanya menangguhkan kesan buruknya atau menutup punca sebenar masalah tersebut. Lebih membimbangkan, penyelesaian-penyelesaian baharu yang diketengahkan sering kali membawa kepada kemunculan masalah-masalah lain yang lebih kompleks dan berterusan.

Isu-isu utama yang membelenggu rakyat seperti ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan sebagainya terus timbul biarpun kerajaan silih berganti dan datang daripada pelbagai latar belakang parti politik. Impian parti-parti yang memegang tampuk pemerintahan untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik kelihatan sukar direalisasikan selagi sistem pentadbiran itu sendiri bermasalah. Tambahan pula, setiap parti atau gabungan parti mempunyai agenda tersendiri yang sering kali tidak membawa manfaat langsung kepada rakyat. Realiti ini dapat disaksikan melalui pengalaman lima belas kali pilihan raya yang telah berlangsung sepanjang sejarah penubuhan negara Malaysia.

Demonstrasi / Kuasa Rakyat (People’s Power)

Alternatif perubahan melalui pendekatan demonstrasi atau yang dicanangkan dengan slogan ‘People’s Power’ turut dilihat sebagai salah satu jalan untuk melakukan perubahan. Kaedah perjuangan sebegini telah menunjukkan kesan besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seperti yang berlaku di beberapa negara Arab (Arab Spring) dan Bangladesh, yang berjaya menumbangkan rejim-rejim yang tidak disenangi oleh rakyat.

Negara-negara ini majoritinya terdiri daripada penduduk Muslim, namun sistem pemerintahan mereka bukanlah berlandaskan Islam. Walaupun revolusi telah berjaya menukar pucuk pimpinan, hakikatnya syiar dan pelaksanaan Islam tidak menjadi teras utama dalam perubahan tersebut. ‘People’s Power’ atau demonstrasi rakyat yang digerakkan atas dasar kemarahan terhadap kegagalan kepimpinan lampau, tidak membawa makna yang signifikan sekiranya Islam tidak menjadi asas perjuangan. Kemarahan itu akan reda apabila pemimpin tersebut berjaya digulingkan, namun akar permasalahan tetap kekal tidak berubah.

Kehadiran pemimpin baharu juga belum tentu mampu memperbetulkan kerosakan sistem pemerintahan yang sedia ada. Natijahnya, kitaran yang sama akan berulang apabila kumpulan yang terkesan akibat kelemahan pentadbiran akan bangkit pula untuk menjatuhkan pemimpin baharu tersebut. Masalah pokok ini tidak pernah diselesaikan secara tuntas.

Lebih daripada itu, terdapat dua faktor utama yang menyebabkan pendekatan ini sering gagal. Pertama, pihak yang terlibat dalam demonstrasi terdiri daripada pelbagai kelompok dan latar belakang yang berbeza, sehingga menyukarkan pembentukan satu visi politik yang bersatu. Akibatnya, apabila rejim berjaya dijatuhkan, wujud perbalahan dalam kalangan mereka untuk mencapai kata sepakat berkenaan hala tuju seterusnya. Kedua, tiada pendapat umum yang jelas mengenai matlamat sebenar demonstrasi tersebut, selain hanya usaha untuk menggulingkan seseorang individu.

Pendapat umum dalam kalangan rakyat masih kabur dan tidak jelas berkenaan apa yang ingin dicapai selepas kejatuhan pemimpin tersebut. Lebih membimbangkan, arah tuju gerakan ini sering kali bergantung kepada siapakah ‘penaja’ utama di sebaliknya. Tidak mustahil terdapat campur tangan kuasa asing yang mengambil kesempatan atas ketidakstabilan negara untuk melaksanakan agenda tersembunyi mereka.

Perubahan Pemerintahan ke Arah Pemerintahan Islam

Umat Islam masih memiliki satu alternatif yang belum dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengubah sistem pemerintahan agar sejajar dengan sistem yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT melalui rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW, yang telah memulakan perubahan pentadbiran bermula dari peringkat paling bawah di Mekah dan Madinah. Sayangnya, alternatif perubahan berpandukan kaedah Baginda Rasulullah SAW ini jarang dibincangkan dalam kalangan umat Islam, akibat kealpaan umat itu sendiri serta kelalaian para pendakwah dalam mengangkat kaedah ini sebagai panduan utama.

Sirah telah membuktikan bahawa sebelum Rasulullah SAW mengambil alih pentadbiran Mekah, masyarakatnya telahpun memiliki satu sistem pemerintahan sendiri—iaitu sistem Jahiliyyah. Sistem ini sarat dengan kelemahan dan kezaliman yang nyata, hingga wujud banyak golongan yang tertindas dan terpinggir. Antaranya termasuklah sistem riba yang menekan golongan miskin, kegiatan perniagaan yang penuh penipuan, serta penyalahgunaan kuasa dalam menghukum golongan bawahan.

Namun, ketika wahyu pertama diturunkan, Rasulullah SAW tidak memulakan dakwah dengan penentangan bersenjata atau penggulingan kuasa, tetapi memulakan misi baginda dengan membina pemikiran masyarakat berlandaskan akidah Islam yang sahih. Pada peringkat awal, dakwah Baginda hanya disasarkan kepada golongan terdekat. Setelah keyakinan dan kefahaman akidah tertanam dalam diri mereka, golongan ini pula bangkit untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat umum.

Pada peringkat ini, masyarakat Mekah mula menyedari kewujudan dakwah Islam, namun penerimaan terhadapnya bercampur-campur; ada yang menerima, ada juga yang menolak. Reaksi penduduk adalah sederhana, dan tidak menampakkan keterujaan yang besar. Namun begitu, para pembesar Quraisy dan pemimpin masyarakat yang merasakan kedudukan mereka terancam mula menunjukkan penentangan yang hebat, menekan dakwah Rasulullah SAW dan para sahabat dengan pelbagai bentuk kekerasan dan sekatan.

Perlu difahami bahawa risiko dalam usaha mengubah sesebuah sistem pemerintahan akan sentiasa wujud, tidak kira pada zaman mana sekalipun. Dakwah tanpa dokongan kuasa pemerintahan akan sentiasa berhadapan dengan rintangan yang perit dan berpanjangan. Hanya dengan memiliki kekuasaan sahaja barulah sistem pemerintahan Islam dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa kompromi.

Dalam konteks ini, Allah SWT telah menganugerahkan rahmat-Nya dengan membuka hati penduduk Madinah untuk menerima dakwah Rasulullah SAW dan mengangkat Baginda sebagai pemimpin mereka. Dengan sokongan ini, Rasulullah SAW akhirnya dapat melaksanakan pentadbiran Islam secara menyeluruh, tanpa tunduk kepada mana-mana kuasa lain.

Namun, perubahan sistem pemerintahan kepada sistem Islam menuntut komitmen yang tinggi serta kebergantungan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT. Sebagai umat Islam, setiap langkah dan tindakan kita seharusnya berpandukan teladan Rasulullah SAW, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21:

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat serta dia banyak mengingati Allah.”
[TMQ Surah al-Ahzab: 21]

Sudah tentu, segala kemelut dan permasalahan yang melanda pada hari ini telah menggerakkan kesedaran di kalangan umat Islam di Malaysia untuk melakukan perubahan, agar kehidupan mereka dapat diatur dengan baik oleh kepimpinan yang mereka lantik. Namun begitu, perubahan yang hanya tertumpu kepada menurunkan seorang individu pemimpin tidak menjamin penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Langkah seperti demonstrasi atau pendekatan People’s Power juga bukanlah alternatif yang sesuai, kerana sistem pemerintahan yang diamalkan tetap kekal dalam bentuk yang tidak berpaksikan Islam seperti yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Hakikatnya, umat Islam wajib menegakkan sistem pemerintahan Islam sebagaimana yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW, yang berpandukan wahyu daripada Allah SWT.

Sistem pemerintahan Islam ini telah berlangsung selama hampir 1300 tahun dan diakui oleh banyak pihak sebagai satu sistem yang membawa kesejahteraan bukan sahaja kepada umat Islam, malah juga kepada golongan bukan Islam yang hidup di bawahnya. Perjuangan untuk mengembalikan sistem ini sememangnya sukar dan penuh dengan cabaran, namun melalui teladan yang ditunjukkan dalam sirah Nabi SAW, perjuangan ini pasti tidak akan disia-siakan oleh Allah SWT.

Selagi kita istiqamah dalam meneladani perjuangan Rasulullah SAW dan meyakini bahawa pertolongan Allah SWT sentiasa hadir, maka harapan untuk melihat kembalinya pemerintahan Islam tetap hidup. Mudah-mudahan perjuangan ini dipermudahkan oleh-Nya, dan segala usaha ke arah menegakkannya diberi ganjaran besar di akhirat kelak. Insya-Allah.