SN687 – Rejab – Bulan Luka, Amaran dan Janji Sebuah Kebangkitan

Bil: SN687 (PDF/Print) – 11 Rejab 1447 / 1 Januari 2026
Bulan Rejab adalah bulan yang banyak merekodkan pelbagai peristiwa besar yang berlaku kepada umat Islam. Antaranya adalah peristiwa Isra’ dan Mikraj, penghijrahan ke Habsyah, peperangan Tabuk dan pelbagai lagi. Dalam kalendar Islam, bulan Rejab adalah bulan yang ke tujuh dari segi giliran dan turut diisytiharkan sebagai salah satu dari empat bulan haram di dalam Islam.
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah dua belas bulan… daripadanya empat bulan haram.”
(TMQ at-Taubah (9): 36)
Namun begitu, peristiwa paling hitam dan malapetaka yang paling dahsyat yang berlaku pada bulan ini adalah pembubaran Khilafah Islamiyyah secara rasmi oleh musuh-musuhnya setelah berlangsung lebih seribu tahun. Tanggal 28 Rejab 1342 H adalah tarikh yang harus dipaku dalam pemikiran setiap Muslim sebagai tarikh jatuhnya pemerintahan Islam secara rasmi. Akibat kejatuhan ini, umat Islam dipijak-pijak dan dihina dengan sebegitu teruk sekali tanpa ada pembelaan apa pun sehingga kini. Umat Islam seolah-olah dipancung tanpa meninggalkan darah. Khilafah Islamiyyah yang bermula sejak zaman Abu Bakar as-Siddiq untuk menegakkan syariat Islam telah lebur pada tarikh tersebut. Perisai tempat umat berlindung telah rebah dan ini bermakna lenyaplah penerapan hukum Allah SWT secara menyeluruh di dunia ini. Umat Islam tidak lagi memimpin dunia, tetapi dipimpin oleh umat lain.
Kini, lebih seratus tahun telah berlalu tanpa Khilafah – lebih seratus tahun umat Islam hidup tanpa perlindungan yang nyata. Kisah-kisah sedih yang menimpa umat Islam terus berlaku tanpa sebarang pembelaan. Penjajahan dan pembantaian umat Islam di Palestin, Syria, Myanmar, Kashmir, Xinjiang, Iraq, Balkan dan banyak lagi terus menghantui kaum Muslimin. Malahan sehingga ke hari ini, umat Islam masih lagi diperlakukan sebegitu tanpa ada sebarang pembelaan. Akibat kejatuhan Khilafah Islamiyyah, umat Islam terpecah-belah, dibahagi-bahagikan dengan sempadan palsu ciptaan penjajah agar umat menjadi lemah, leka dengan nasionalisme dan mudah di kuasai dan dikawal. Hari ini, umat Islam lebih menyanjungi sempadan-sempadan palsu ini berbanding persaudaraan Islam. Bukan itu sahaja, penciptaan sempadan ini membolehkan musuh-musuh Islam menjarah hasil bumi di negeri kaum Muslimin dengan mudah. Umat Islam dizalimi bukan kerana jumlahnya yang sedikit, akan tetapi kerana tiada satu kepimpinan khusus yang menyatukan mereka di bawah syariat Allah SWT.
Selepas kejatuhan Khilafah Islam, musuh-musuh Islam yang diterajui oleh Amerika Syarikat dan Eropah telah muncul menjadi ‘pemimpin’ dan mengatur geo-politik dunia mengikut kehendak mereka. Dunia ini adalah papan catur permainan mereka dan umat Islam adalah bidak yang mudah dan murah untuk dikorbankan demi mencapai cita-cita mereka. Dengan hanya dakwaan palsu bahawa umat Islam adalah umat pengganas, maka lesen untuk membunuh mereka menjadi sahih di mata masyarakat dunia. Lihatlah bagaimana bumi Afghanistan diceroboh menggunakan dakwaan palsu ini. Umat Islam Afghanistan dinista dengan pengeboman, pembunuhan, pencabulan dan pelbagai lagi kezaliman demi cita-cita jahat musuh. Meskipun begitu, umat Islam di sana terus berjuang dan sehingga hari ini, Amerika dan sekutunya tidak pernah mencapai kemenangan mutlak ke atas kaum Muslimin di Afghanistan!
Afghanistan merupakan salah satu contoh paling jelas kegagalan Amerika Syarikat mencapai objektif strategik jangka panjangnya melalui intervensi ketenteraan. Walaupun Amerika berjaya menggulingkan kerajaan Taliban pada peringkat awal, penentangan berterusan sepanjang hampir dua dekad telah menghakis keupayaan politik, ketenteraan dan moral mereka, sehingga akhirnya memaksa pengunduran tanpa kejayaan yang sepadan dengan kos yang ditanggung. Dari sudut ekonomi, peperangan di Afghanistan menyumbang kepada beban fiskal yang besar, termasuk peningkatan perbelanjaan ketenteraan dan hutang negara, yang seterusnya menekan kestabilan ekonomi domestik Amerika Syarikat. Pada masa yang sama, konflik berpanjangan ini mempercepatkan keletihan strategik (strategic fatigue) dalam kalangan rakyat dan institusi politik Amerika, sekali gus menajamkan polarisasi sosial dan perpecahan dalaman sedia ada. Akibatnya, kredibiliti global Amerika Syarikat semakin dipertikaikan dan dominasi Washington dalam menentukan hala tuju politik dunia juga semakin terhakis. Malah dengan berbagai perkembangan terbaru terutamanya peranan Amerika dalam krisis di Palestin, dunia sudah mula tidak percaya dengan sistem politik, sosial dan ekonomi berasaskan ideologi kapitalisme yang dipeloporinya! Meskipun Afghanistan bukanlah satu-satunya punca melemahnya pengaruh Amerika Syarikat, namun ia merupakan pemangkin yang mempercepatkan pendedahan kelemahan-kelamahan asasnya.
Namun, keperitan yang dialami umat Islam kini tidak akan selamanya berpanjangan. Allah SWT telah memberikan khabar gembira untuk mereka berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad iaitu
“…Kemudian akan kembali Khilafah atas manhaj kenabian.”
(HR Ahmad – Hadis sahih)
Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa kemunculan semula Khilafah Islamiyyah untuk kali kedua merupakan suatu peristiwa yang dijanjikan dan bersifat pasti, bukan sekadar wacana retorik atau spekulasi teoritis. Jaminan ini turut diperkukuhkan oleh nas al-Quran, khususnya firman Allah SWT dalam Surah an-Nur.
“Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh bahawa Dia pasti menjadikan mereka berkuasa di bumi…”
(TMQ an-Nur (24): 55)
Islam tidak membiarkan umatnya terumbang-ambing dalam kegelapan tanpa pedoman dan janji. Allah SWT telah menjanjikan kepada orang-orang beriman kekuasaan, keamanan, serta kemampuan untuk menegakkan dan mengamalkan DeenNya di muka bumi ini. Justeru, umat Islam dituntut untuk berpegang teguh kepada akidah serta meyakini bahawa pertolongan Allah SWT sentiasa menyertai mereka. Kemenangan yang dijanjikan ini bukanlah sesuatu yang diperoleh secara mudah, sebaliknya menuntut usaha berterusan dalam memperbaiki dan meningkatkan ketaqwaan serta keimanan umat tanpa rasa jemu atau keletihan. Dalam kerangka ini, keyakinan terhadap kembalinya Khilafah tidak boleh disalahertikan sebagai suatu bentuk ekstremisme sebagaimana sering digambarkan oleh Barat, tetapi harus difahami sebagai natijah keimanan terhadap khabar dan janji yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Kebangkitan Khilafah Islamiyyah bukanlah suatu gagasan yang bersifat khayalan sebagaimana yang sering digambarkan oleh sesetengah pihak. Sebaliknya, dalam konteks realiti dunia semasa yang sarat dengan konflik, ketidakstabilan politik dan ketidakadilan global, adalah wajar dan rasional bagi umat Islam untuk menilai serta mencari suatu kerangka penyelesaian yang lebih menyeluruh dan meyakinkan. Keadaan ini turut diperkukuhkan dengan khabar wahyu yang disampaikan melalui hadis, yang melengkapkan kefahaman tentang kemunculan semula Khilafah sebagai suatu kemungkinan yang berasas, bukan spekulasi kosong.
Sistem dunia kontemporari hari ini sudah dilihat oleh masyarakat antarabangsa sebagai gagal merealisasikan prinsip keadilan yang dicanangkan. Demokrasi yang dijulang oleh Barat, misalnya, sering menzahirkan amalan hipokrasi dan ketidakseimbangan kuasa. Hal ini dapat diperhatikan dengan jelas melalui proses undian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan isu pembelaan terhadap rakyat Palestin, di mana resolusi yang mendapat sokongan majoriti negara anggota sering kali digagalkan oleh penggunaan kuasa veto oleh Amerika Syarikat. Amalan veto ini secara konsisten menghalang sebarang tindakan substantif bagi melindungi umat Islam di Palestin, sekali gus menzahirkan ketidakseimbangan struktur kuasa dalam sistem tadbir urus antarabangsa. Dominasi kuasa negara-negara kaya, khususnya yang dipelopori oleh Barat, bukan sahaja mengekalkan ketidakadilan struktur global, malah memperluas kezaliman ke atas kelompok yang lemah.
Dalam kerangka ini, kapitalisme global terbukti gagal mewujudkan keadilan sosial yang seimbang dan lestari. Kesedaran ini semakin meluas dalam kalangan umat Islam di pelbagai negara, yang mula memahami bahawa krisis yang berpanjangan bukan berpunca daripada kelemahan individu semata-mata, sebaliknya berpunca daripada kegagalan sistem yang mengatur kehidupan mereka. Kesimpulan yang semakin diyakini adalah Islam merupakan satu-satunya sistem yang memiliki keupayaan menyeluruh untuk mengatur aspek ekonomi, politik, kehakiman, dan kehidupan sosial secara adil dan bersepadu. Sistem ini berasaskan wahyu daripada Yang Maha Pencipta, bukan hasil keterbatasan akal dan kecenderungan nafsu manusia, sebagaimana yang ditegaskan dalam firman Allah SWT dalam Al-Quran, khususnya Surah al-Ma’idah.
“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki? Dan siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah bagi kaum yang yakin? ”
(TMQ al-Ma’idah (5): 50)
Bulan Rejab menjadi saksi bermulanya satu lembaran duka dalam sejarah umat Islam, suatu peristiwa yang wajar ditangisi dan direnungi dengan penuh keinsafan. Namun, kesedihan itu tidak seharusnya berakhir sebagai ratapan semata-mata. Bulan ini juga menuntut kesedaran dan keberanian untuk bangkit, berdiri semula, dan memulakan perubahan yang hakiki. Perubahan itu bermula dengan pembetulan cara berfikir — dengan keyakinan bahawa umat Islam mesti bersatu melangkaui sempadan negara dan kepentingan sempit, serta menjadikan Islam sebagai panduan hidup utama dan rujukan pertama, manakala pertimbangan lain diletakkan pada kedudukan seterusnya.
Perubahan sejati tidak bermula dengan senjata atau kekerasan, tetapi lahir daripada kesedaran, pemikiran yang jernih, dan tekad kesetiaan yang tulus kepada Islam. Dengan langkah-langkah inilah, kebangkitan umat dapat dibina sehingga detik kemunculan Khilafah Islamiyyah menjadi suatu realiti yang diusahakan, bukan sekadar diharapkan. Khilafah Islam tidak akan kembali dengan doa yang kosong, tetapi hadir bersama umat yang benar-benar yakin, teguh pendirian, dan istiqamah dalam memperjuangkannya.
Maka persoalan yang wajar kita ajukan kepada diri sendiri dengan penuh kejujuran ialah; di manakah posisi kita hari ini? Adakah kita sekadar menunggu, atau tergolong dalam kalangan mereka yang bergerak dan berusaha menjayakannya? Atau lebih malang lagi, adakah kita berada di pihak yang menentang kebangkitan ini? Na‘ūẓu billāhi min dhālik!