SN688 -Siapa Pun Memerintah… Rasuah! Rasuah! Rasuah! Terus Berlaku

Bil: SN688 (PDF/Print) – 24 Rejab 1447 / 14 Januari 2026
Mukadimah
Rasuah di Malaysia bukan lagi isu bermusim atau terpencil, sebaliknya telah menjadi fenomena berterusan yang menular dari peringkat paling bawah hingga ke pusat kuasa negara. Pendedahan amalan “counter setting” di pintu masuk negara terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang membawa kepada penangkapan pegawai imigresen oleh SPRM dan Polis Diraja Malaysia, membuktikan bahawa rasuah telah dinormalisasikan dalam urusan harian pentadbiran negara (Bernama; Astro AWANI). Corak yang sama berulang dalam skala lebih besar melalui skandal kewangan dan projek bernilai berbilion ringgit, memperlihatkan penyalahgunaan kuasa, pengkhianatan amanah, dan kerugian besar harta awam yang akhirnya ditanggung oleh rakyat.
Skandal 1MDB kekal sebagai lambang paling jelas kegagalan tadbir urus negara. Keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.3 bilion terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak menandakan pengiktirafan kehakiman terhadap skala jenayah terhadap harta awam, sebagaimana dilaporkan secara meluas oleh media tempatan dan antarabangsa (Reuters; Bernama). Kes ini diperkuat lagi dengan sabitan terhadap isterinya, Rosmah Mansor, berkaitan permintaan komisen jutaan ringgit dalam projek solar di Sarawak (Bernama), sekali gus menafikan dakwaan bahawa rasuah hanyalah kes terpencil atau kesalahan individu bawahan.
Pada masa yang sama, kes rasuah melibatkan ahli perniagaan Albert Tei mendedahkan modus operandi rasuah korporat yang lebih kompleks, termasuk penggunaan entiti perniagaan, proksi dan aliran kewangan berlapis bagi mempengaruhi keputusan politik dan pentadbiran. Kes ini selari dengan pendedahan di Sabah yang melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), di mana siasatan dan rakaman yang didedahkan menunjukkan rundingan serta tawaran habuan berkaitan kelulusan projek dan konsesi negeri (Astro AWANI; Sinar Harian). Lebih membimbangkan, institusi strategik negara turut tercemar apabila Panglima Tentera Darat direhatkan serta-merta bagi membantu siasatan rasuah perolehan angkatan tentera, manakala seorang pegawai kanan Tentera Laut—yang disebut sebagai calon Panglima—disiasat SPRM atas dakwaan korupsi. Apabila benteng keselamatan negara sendiri terpalit, maka dakwaan bahawa sistem sedia ada mampu membanteras rasuah secara tuntas jelas tidak lagi boleh dipertahankan.
Rasuah Berlapis
Rasuah hari ini berlaku dalam spektrum yang luas dan tersusun, daripada rasuah kecil yang bersifat harian—habuan untuk meloloskan prosedur atau mempercepatkan urusan—hinggalah kepada rasuah besar yang melibatkan keputusan korporat, penubuhan entiti khas, penggunaan proksi, dan pengubahan wang haram merentas sempadan. Laporan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC, 2020) dengan jelas menunjukkan bagaimana struktur undang-undang dan kewangan moden membolehkan dana haram “diputihkan” lalu diserap ke dalam ekonomi sah melalui sistem perbankan, pasaran modal dan rangkaian korporat global.
Hakikat ini membuktikan bahawa rasuah bukan kecacatan kebetulan, tetapi hasil langsung reka bentuk sistem yang meletakkan undang-undang buatan manusia di atas hukum Allah. Sistem sedemikian membuka ruang teknikal untuk pelaku bersembunyi, berunding, dan melarikan diri daripada hukuman, menyebabkan pertukaran individu pemimpin—walau sebersih mana pun—tidak pernah mengubah natijah selagi sistem yang rosak dikekalkan. Rasulullah SAW telah memberi amaran keras terhadap pengkhianatan amanah kuasa:
“Barangsiapa di antara kalian yang kami tugaskan untuk suatu pekerjaan (urusan), lalu dia menyembunyikan dari kami sebatang jarum atau lebih dari itu, maka itu adalah ghulul (harta korupsi) yang akan dia bawa pada hari kiamat.” (Riwayat Muslim).
Namun realiti hari ini menunjukkan pengkhianatan seperti ini bukan sahaja dinormalisasikan, malah sering dilindungi oleh peraturan dan prosedur yang dicipta manusia—satu keadaan yang menuntut perubahan menyeluruh, bukan sekadar pembetulan kosmetik.
Kapitalisme sebagai Punca Sistemik
Kapitalisme meletakkan kebebasan pemilikan tanpa batas syarak sebagai prinsip teras. Selagi seseorang memiliki modal, dia bebas memutar dan melaburkan wang melalui pelbagai instrumen kewangan tanpa mempersoalkan asal-usul harta tersebut. Sistem ini mengutamakan pertumbuhan dan aliran pelaburan, bukan kebersihan sumber kekayaan. Akibatnya, dana haram boleh diserap ke dalam ekonomi sah melalui pembelian hartanah mewah, karya seni bernilai tinggi atau pelaburan saham. Amalan ini ditegur keras oleh al-Quran:
“Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu menyuap harta itu kepada hakim-hakim…” (al-Baqarah 2:188)
Ayat ini menegaskan bahawa kebebasan harta tanpa batas membawa kepada kezaliman dan kerosakan.
Lebih parah, sistem kewangan kapitalis beroperasi atas asas riba, hutang dan ekonomi kertas. Skandal 1MDB bermula dengan penerbitan bon berbilion ringgit yang dijamin kerajaan—satu amalan biasa dalam sistem hutang berasaskan riba. Wang yang tidak berpijak pada sektor nyata ini mudah dipindahkan secara digital ke akaun luar pesisir, menjadikannya sukar dikesan dan dipulihkan. Walaupun wujud undang-undang anti-pengubahan wang haram, pusat kewangan luar pesisir dibangunkan atas prinsip kerahsiaan pemodal besar, lalu berfungsi sebagai tempat persembunyian ideal hasil rompakan harta awam. Allah SWT menegaskan dengan jelas:
“Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (al-Baqarah 2:275).
Namun realitinya, riba inilah nadi sistem kewangan semasa dan sekaligus nadi kepada rasuah mega.
Akar terdalam kepada semua kerosakan ini ialah sekularisme, iaitu pemisahan agama daripada kehidupan dan pemerintahan. Apabila hukum Allah diketepikan, undang-undang digubal berdasarkan kepentingan manusia dan pemodal, bukan keadilan syarak. Maka, jika sesuatu transaksi memberi keuntungan besar kepada institusi kewangan, sistem cenderung menutup mata selagi prosedur teknikal dipatuhi, walaupun implikasinya merugikan negara dan rakyat. Laporan media antarabangsa menunjukkan bagaimana keuntungan institusi ini dalam urus niaga 1MDB tetap diraikan sebelum didedahkan sebagai bermasalah dari sudut tadbir urus dan etika (Reuters, 2023). Keadaan ini bercanggah dengan peringatan Rasulullah SAW bahawa kejujuran dan amanah merupakan asas kepimpinan, bukan keuntungan material.
Akhirnya, demokrasi kapitalis berfungsi sebagai pelindung kleptokrasi. Dalam sistem ini, wujud hubungan simbiotik antara ahli politik dan pemilik modal: politik memerlukan dana untuk mengekalkan kuasa, manakala modal memerlukan akses dan perlindungan dasar. Dana haram lalu digunakan untuk membiayai kempen, membeli kesetiaan dan mengukuhkan kedudukan politik. Pendedahan mahkamah pada hujung 2025 berkaitan 1MDB menunjukkan bahawa sebahagian dana awam disalahgunakan untuk tujuan politik dan peribadi, lalu mewujudkan kitaran kleptokrasi yang dilindungi oleh undang-undang ciptaan manusia. Namun dalam sistem hari ini, pengkhianatan seperti ini bukan sahaja berulang, malah sering dilindungi dan dinormalisasikan.
Islam Menuntut Menutup Pintu dari Akarnya
Islam menegaskan dengan jelas bahawa rasuah tidak boleh dirawat dengan slogan, kempen integriti, atau hukuman terpilih, tetapi hanya boleh dicegah melalui perubahan sistem secara kaffah. Selagi struktur ekonomi dan politik yang rosak dikekalkan, rasuah akan terus berulang walaupun individu silih berganti. Prinsip Islam bukan sekadar menghukum selepas jenayah berlaku, tetapi menutup pintu-pintu rasuah sejak dari awal.
Pertama, Islam mengharamkan kanz al-māl (penimbunan harta) dan penyalahgunaan harta awam. Penimbunan kekayaan tanpa hak serta pengumpulan dana haram merupakan punca langsung ketidakadilan sosial dan rasuah berleluasa. Allah SWT memberi ancaman keras:
“Dan orang-orang yang menimbun emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka azab yang pedih” (at-Taubah 9:34–35).
Islam menegaskan harta secara umum bukan milik mutlak individu, tetapi amanah yang tertakluk kepada hukum halal–haram. Bagi harta awam, penyalahgunaannya dikategorikan sebagai ghulul (pengkhianatan) yang dihukum tegas, tanpa mengira kedudukan pelaku.
Kedua, Islam menetapkan bahawa pembentukan syarikat adalah sebuah aqad yang jelas antara entiti bukan hanya persetujuan syarat oleh entiti berasingan di atas kertas, sebagaimana yang dipraktikkan dalam konsep korporat moden. Ini bermakna tanggungjawab undang-undang dan moral terletak terus pada individu yang berakad, bukan disembunyikan di sebalik liabiliti terhad atau struktur korporat yang kompleks. Aturan aqad ini menutup ruang manipulasi, pengelakan tanggungjawab dan penyembunyian pemilikan yang sering menjadi alat rasuah dan pengubahan wang haram dalam sistem kapitalis. Rasulullah SAW sendiri menegaskan prinsip amanah ini:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ketiga, Islam membenarkan pemilikan syarikat berasaskan syarak, iaitu pemilikan sebenar terhadap aktiviti dan aset yang halal, dan menolak saham sebagai komoditi spekulatif. Perdagangan spekulatif yang terpisah daripada sektor nyata membuka ruang manipulasi harga, maklumat dalaman, dan pencucian wang—semuanya berkait rapat dengan rasuah. Islam mengharamkan riba, gharar dan maysir bagi memastikan aktiviti ekonomi berasaskan nilai sebenar dan keadilan. Seterusnya aturan ini secara langsung mengecilkan peluang rasuah berkembang dalam pasaran kewangan.
Keempat dan paling mendasar, Islam menuntut penggantian sistem politik demokrasi dengan Sistem Khilafah. Demokrasi memberikan kekuasaan mutlak kepada manusia untuk menggubal undang-undang, termasuk mengambil dan mengagihkan hak rakyat atas nama mandat politik. Sebaliknya, dalam Khilafah, kedaulatan berada pada hukum Allah, sementara pemerintah hanyalah pelaksana yang terikat sepenuhnya kepada syariah dan tertakluk kepada mekanisme hisbah. Dengan sistem ekonomi Islam yang tegas, tiada siapa, sama ada ahli politik, pegawai tentera atau elit pentadbiran, boleh mengambil kesempatan daripada kelompongan sistem. Inilah penyelesaian hakiki menurut Islam: mengubah sistem yang melahirkan rasuah, bukan sekadar menukar individu yang beroperasi di dalamnya.
Khatimah
Pertama, gejala rasuah berlaku bukan kerana ketiadaan orang baik, tetapi kerana sistem yang rosak. Kedua, masyarakat mesti menyedari bahawa sistem ekonomi dan politik kapitalis menyediakan ruang luas kepada ahli politik dan elit untuk memanipulasi dana serta menyuburkan rasuah melalui kelompongan struktur dan undang-undang. Kezaliman hari ini bukan kerana ketiadaan orang baik, tetapi kerana umat terus hidup di bawah sistem yang rosak. Selagi hukum Allah tidak diterapkan secara menyeluruh,
selagi itulah kes 1MDB akan berulang dengan nama dan wajah berbeza.
Oleh itu, penyelesaian hakiki menuntut perubahan sistem, bukan sekadar pertukaran individu dalam pemerintahan. Islam menawarkan penyelesaian menyeluruh melalui penegakan Khilafah ‘ala Minhaj Nubuwwah dan penerapan Islam secara kaffah dalam ekonomi dan politik, yang berupaya memutuskan rantaian rasuah dari akarnya.