SOP Untuk Solat Jumaat: Apa Lagi Alasan? (Siri 1)
Apabila Hizbut Tahrir menjelaskan bahawa haram dan berdosa besar bagi pemerintah menutup masjid dan menghalang umat Islam daripada solat Jumaat dan solat berjemaah semasa Covid-19, agak banyak dan keras kritikan yang datangnya dari pelbagai pihak. Padahal Hizbut Tahrir menjelaskan bahawa masjid perlu dibuka dengan mengambil langkah yang berhati-hati dan segala langkah keselamatan bagi mencegah penularan. Apa yang lebih penting ialah Hizbut Tahrir menjelaskan bahawa solat Jumaat adalah fadhu ain, dan kewajipan ini tidak gugur kecuali dengan uzur syarie, dan uzur syarie hendaklah ada nas syarie (untuk menggugurkannya) bukannya berdasarkan akal, logik atau emosi. Apabila tidak ada uzur syarie dan nas syarie yang menggugurkannya, maka solat Jumaat wajib dilaksanakan, dan haram bagi pemerintah menutup masjid.
Pemerintah dan sistem pemerintahan di negeri kaum Muslimin memang sudah terkenal sekular, yakni memisahkan agama daripada kehidupan. Hal ini sudah dimaklumi, yang menyebabkan kita faham langkah-langkah dosa yang diambil oleh mereka. Apa yang menyedihkan ialah tindakan segelintir umat Islam yang mengeluarkan bermacam caci-maki, sindiran, penghinaan, dan kata-kata yang sesat, apabila mereka tidak bersetuju dengan pendapat agar masjid terus dibuka dengan prosedur-prosedur tertentu.
Jika seruan kita kepada pemerintah ialah untuk mengadakan Standard Operating Procedure (SOP) bagi pemerintah meneruskan operasi kilang arak, meneruskan operasi pusat-pusat pelacuran dan pusat-pusat judi di musim Covid-19, maka layaklah untuk umat Islam memaki hamun seruan tersebut. Namun, seruan Hizbut Tahrir ialah untuk pemerintah mengadakan SOP bagi membolehkan umat Islam menunaikan kewajipan (fardu ain) kepada Allah (swt) di rumah-rumah-Nya. Ia bukanlah seruan untuk memaksiati Allah (swt), tetapi untuk menyembah-Nya. Maka, apakah layak seruan untuk menyembah Allah (swt) di rumah-rumah-Nya ini dikecam, diperli dan dihina sedemikian rupa?
Apa pun, Hizbut Tahrir tetap istiqamah dengan seruan kebenaran tanpa takut kepada celaan orang-orang yang mencela, dan Hizbut Tahrir sentiasa mendoakan kebaikan untuk umat Islam. Dalam masa yang sama, kami terus menyampaikan nasihat kepada umat ini bahawa jika ada yang bertentangan pendapat, setiap Muslim itu seharusnya tetap menjaga ketakwaan dan akhlak dalam melontarkan hujah dan pandangan, bukannya membiarkan diri dirasuk oleh syaitan. Insya Allah sekiranya kita tetap menjaga akhlak, ketakwaan dan keikhlasan, maka hasilnya sangat indah walaupun kita berbeza pandangan.
Kini setelah sebulan setengah umat Islam tidak dibenarkan solat Jumaat, termasuklah solat tarawih di masjid pada bulan Ramadhan yang mulia ini, kita telah mula mendengar suara-suara mendesak kerajaan untuk membuka semula masjid dengan SOP-SOP tertentu, malah telah semakin kuat kedengaran setiap hari. Suara yang dulunya tidak bersetuju untuk dibuka masjid dengan SOP-SOP tertentu telah mula kendur dan hampir tenggelam. Sedangkan realitinya, kes Covid-19 masih belum berakhir, walaupun telah mula menurun. Dengan kata lain, bahaya penularan virus Covid-19 tersebut masih tetap wujud dan risikonya tetap ada. Secara logiknya masjid perlu terus ditutup bagi mengelakkan penularan! Namun kini umat Islam telah mula membincangkan tentang pembukaan semula masjid…Alhamdulillah.
Inilah ruh yang ada pada umat Islam, dan kita semua maklum bahawa ruh ini akan lebih terserlah apabila tibanya bulan Ramadhan. Ruh ini tidak akan mati insya Allah selama mana orang itu masih bergelar Muslim. Cumanya, ada segelintir umat Islam yang telah “kehilangan” sekejap ruh ini di saat-saat awal penularan Covid-19 kerana berjaya digelincirkan oleh syaitan, kerana digelincirkan oleh ulama su’, kerana taat ‘membabi-buta’ kepada pemerintah, kerana tersalah memahami nas dan kaedah syarak, kerana adanya perasaan cinta dunia dan takut mati, kerana terpengaruh dengan cara berfikir emosional dan bermacam-macam sebab lagi.
Ala kulli hal, apabila umat Islam telah mula sedar dan mendesak kerajaan untuk membuka semula masjid, sesungguhnya umat ini telah kembali “on the right track” dalam isu ini. Apa yang umat ini perlu sedar ialah keputusan pemerintah yang menutup masjid dan tidak membenarkan solat Jumaat adalah sebuah keharaman dan wajib dimuhasabah, kerana solat Jumaat adalah fardhu ain bagi setiap Muslim. Kewajipan fardhu ain ini tidak akan gugur dalam keadaan apa sekalipun, kecuali ada nas yang menggugurkannya atau memberinya rukhsah (keringanan) seperti seseorang yang sedang sakit, takut atau safar (perjalanan).
Apa yang pemerintah perlu lakukan sejak awal ialah menyediakan SOP untuk solat Jumaat tanpa memberi apa-apa alasan, walau sesukar mana sekalipun pelaksanaannya, bagi memastikan setiap Muslim dapat menunaikan fardhu ain ini. Kita tidak nafikan segala kesukaran dan kesusahan dalam melaksanakan SOP, termasuklah mungkin ada segelintir umat Islam yang tidak berdisiplin dalam mematuhinya, tetapi itu semua tidak boleh dijadikan asalan untuk “menghalalkan” penutupan masjid. Apatah lagi masih terdapat banyak kawasan yang tidak terkena jangkitan, yang malangnya turut tidak dibenarkan solat Jumaat oleh pemerintah atas alasan yang sama. Semua alasan ini tidak boleh diterima dari segi syarak, walaupun kelihatan logik di akal. Akal seharusnya diguna untuk melaksanakan kewajipan, bukannya untuk mengelak atau lari daripada menunaikan kewajipan.
…bersambung