Sorotan 2020: Kebejatan institusi keluarga dan masyarakat natijah penerapan kapitalisme
Pelbagai peristiwa dalam tahun 2020 telah memaparkan betapa ideologi kapitalisme, sistem demokrasi dan idea-idea kebebasan yang menjadi tunjangnya, telah merosakkan masyarakat di negara ini.
Norma-norma dalam sistem busuk ini telah menghakis nilai-nilai yang dipupuk Islam dalam institusi kekeluargaan mahupun kehidupan bermasyarakat, sehingga melahirkan sikap individualistik yang membinasakan. Sistem kapitalisme ini juga telah melahirkan individu-individu yang meletakkan ukuran nilai perbuatannya dari sudut pandang materialistik semata-mata.
Di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kita menyaksikan sikap double standard pemerintah yang sangat ketara. Di saat masjid dan surau ditutup atas alasan COVID-19, masih banyak pusat-pusat maksiat dibenarkan beroperasi, asalkan mematuhi Standard Operating Procedure (SOP). Tatkala SOP yang begitu ketat dikenakan ke atas masjid dan surau, program-program hiburan masih dibenarkan berjalan dengan SOP yang jauh lebih longgar. Ini semua berlaku kerana prinsip kebebasan yang diajar oleh sistem demokrasi, yang diterapkan oleh negara, yang menyebabkan rakyat sudah terbius dengan gaya hidup hedonistik.
Walhal, pada waktu inilah pemerintah seharusnya sedar dan menginsafi bahawa bala yang diturunkan oleh Allah (swt) adalah akibat perbuatan (dosa) tangan-tangan manusia itu sendiri. Penularan wabak ini seharusnya menjadi momentum untuk pemerintah menutup terus segala pusat maksiat, dan segala pintu yang boleh menyebabkan berlakunya maksiat. Malangnya pemerintah langsung tidak mengambil pengajaran dalam hal ini.
Dek tebalnya asas manfaat yang dipegang oleh pemerintah di bawah sistem ekonomi kapitalisme, kilang-kilang arak masih dibiar beroperasi pada skala industri, walaupun di saat negara diserang dengan virus yang mematikan. Alasan menghormati hak orang bukan Islam dijadikan sebab kepada kilang arak terus dibiarkan beroperasi. Sedangkan Islam dengan jelas menyatakan bahawa arak adalah najis yang merupakan ibu kepada segala kejahatan.
Setiap kali terjadinya insiden kemalangan akibat pemandu mabuk yang menjadi fenomena pada tahun 2020, rakyat sangat marah dengan kerajaan kerana tiada solusi tuntas daripada kerajaan sejak puluhan tahun lamanya. Setelah mendapat kritikan hebat daripada rakyat, maka pemerintah cuba berlagak hero dengan usaha mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk. Malangnya kilang arak tetap dibiarkan, pada hal kilang najis inilah yang menjadi punca kepada wujudnya pemandu mabuk.
Pemerintah langsung tidak sensitif dengan nyawa rakyat yang melayang akibat pemandu mabuk. Sudah berapa banyak nyawa tak berdosa yang telah melayang akibat pemandu mabuk. Berapa ramai anak yang telah kehilangan bapa, isteri yang kehilangan suami, emak yang kehilangan anak, dan seterusnya, akibat “kejahatan” manusia yang meminum arak dan tetap memandu walaupun dalam keadaan mabuk. Namun kesemua nyawa yang melayang ini seolah-olah tidak dihargai oleh pemerintah, yang terus membiarkan kilang arak dan jual-beli arak berlaku dalam skala yang besar. Semua ini kerana manfaat ekonomi yang terhasil dari kilang arak lebih dipentingkan oleh pemerintah berbanding nyawa rakyatnya sendiri.
2020 juga menyaksikan beberapa insiden pencabulan, perzinaan, hubungan seks luar tabie, dan rogol yang turut melibatkan pendakwah selebriti dan juga tenaga pengajar di pusat tahfiz. Aktiviti golongan LGBT juga terus menghangatkan tahun 2020 yang nampaknya terus dibiarkan oleh pemerintah, tanpa diambil sebarang tindakan pun ke atas puak yang dilaknat Allah itu, walaupun mereka dengan sengaja menonjolkan perbuatan haram dan tak bermoral mereka, baik di lapangan mahupun di media sosial.
Tidak kurang juga kes-kes pembuangan bayi, yang merupakan antara natijah daripada perzinaan yang berleluasa. Dalam tahun 2020 sahaja, kita banyak kali ‘dihidangkan’ dengan berita penemuan bayi yang dibuang, bahkan ada yang dicampak dari bangunan tinggi sehingga maut, atau ditemukan dalam lubang kumbahan najis, di surau, di longkang dan sebagainya.
Walaupun kita akui bahawa segala keburukan yang berlaku itu adalah disebabkan oleh individu itu sendiri, namun keburukan yang berlaku itu sama sekali tidak dapat dipisahkan daripada sistem yang rosak yang mengatur masyarakat. Siapakah yang mencipta dan mengatur sistem tersebut jika bukan pemerintah?
Kita harus akui bahawa antara faktor kerosakan masyarakat adalah disebabkan oleh kurangnya didikan agama, berleluasanya ikhtilat (pergaulan bebas antara lelaki dan wanita), penularan pornografi yang tidak terkawal, ketiadaan hukuman atau ringannya hukuman, dan yang lebih penting hukuman (jika dikenakan) langsung tidak syarie, dan banyak lagi faktor lainnya. Pokoknya, idea kebebasan dan penerapan sistem demokrasi oleh pemerintah merupakan punca utama berleluasanya masalah sosial di negara ini..
Manakala dari sisi lain, kita dapat melihat bagaimana sikap individualisme yang ada, menyebabkan masyarakat mengambil sikap ‘jangan jaga tepi kain orang’. Sikap sebegini bercanggah dengan kewajipan amar makruf nahi mungkar, serta bertentangan dengan prinsip hidup bermasyarakat dalam Islam. Islam menyeru agar umatnya mengambil tahu urusan kekeluargaan, kebajikan jiran tetangga, serta menggalakkan amalan saling membantu antara satu sama lain. Hal ini tidak dapat direalisasikan dengan sempurna oleh individu yang bertakwa sekalipun apabila sistem yang mengatur masyarakat ialah sistem selain Islam.
Tidak dinafikan masih terdapat begitu ramai insan-insan prihatin yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Bahkan begitu banyak NGO atau pertubuhan-pertubuhan kebajikan ditubuhkan bagi melaksanakan tugas sebegini sehingga sanggup masuk ke kawasan yang tidak dicapai oleh kerajaan sendiri.
Namun kita perlu sedar bahawa situasi ini tidak akan menyelesaikan masalah masyarakat secara tuntas selain membuktikan betapa lalainya pemerintah dalam mengurus urusan rakyatnya. Hal ini turut membuktikan kelalaian pemerintah dalam menunaikan amanah, dan realiti yang ada di depan mata di sepanjang tahun 2020 jelas menunjukkan betapa pemerintah hanya sibuk berusaha untuk mengekalkan kekuasaan mereka semata-mata, dan tidak mempedulikan masalah rakyat.
Jelaslah betapa masyarakat hari ini sedang berhadapan dengan krisis nilai akibat penerapan sistem kapitalisme serta idea kebebasan yang dipaksakan ke atas mereka oleh pemerintah. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kepimpinan yang bukan sahaja tidak kompeten, bahkan ternyata tidak serius dalam melaksanakan amanah yang terpikul di bahu mereka, dan yang paling penting, pemerintah tidak pernah serius untuk menerapkan hukum Allah, tetapi hanya serius menjaga periuk nasi dan kerusi empuk masing-masing sahaja.
Satu-satunya sinar harapan bagi umat Islam ialah dengan adanya negara Khilafah yang akan menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah, yang mana manusia akan pasti hidup dalam kesejahteraan dan rahmat, insya Allah.
Wallahu a’lam.