Sorotan Mingguan (19 – 23 Ogos 2019)

  • Harga tinggi punca lambakan rumah, bukan syarat pinjaman ketat.
  • Dr Zakir Naik dilarang berceramah di seluruh negara.
  • Penerbitan Utusan Malaysia diteruskan, tidak henti operasi.

Butiran:

‘Harga tinggi punca lambakan rumah, bukan syarat pinjaman ketat’

Baru-baru ini Dewan Perdagangan Asean berpendapat peraturan pinjaman yang ketat dari insitusi kewangan tempatan menyebabkan industri hartanah di negara ini mengalami lambakan di beberapa segmen. Menurut data terkini Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, jumlah unit tidak terjual di negara ini meningkat kepada 58,078 bernilai RM37.23 bilion pada suku pertama 2019. Kenaikan itu adalah 5.5 peratus dari segi unit dan 4.1 peratus dari segi nilai berbanding tahun lepas. [Sumber: MalaysiaKini]

Pakar dan ahli akademik menuduh para kapitalis dan kartel hartanah punca masalah perumahan. Ini menunjukkan bukti teori kapitalisme Adam Smith tidak berasas. Apabila penawaran banyak melebihi permintaan, harga akan turun. Realitinya hari ini harga rumah meningkat dan tidak turun.


Dr Zakir Naik dilarang berceramah di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melarang pendakwah terkenal Dr Zakir Naik daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara. Perkara itu disahkan Ketua Komunikasi Korporatnya, Datuk Asmawati Ahmad yang menyatakan ia dilakukan demi keselamatan negara. “Arahan itu telah dikeluarkan kepada kesemua kontinjen polis di seluruh negara dan dilakukan demi keselamatan negara dan memelihara keharmonian kaum,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Terdahulu, tujuh negeri telah melarang ceramah oleh pendakwah tersebut, antaranya Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak. [Sumber: astroAWANI]

Tugas dakwah merupakan tugas yang cukup besar. Pelbagai halangan dan cabaran akan dihadapi. Apa yang berlaku terhadap Dr Zakir Naik ini sebahagian daripada asam garam perjuangan. Ia timbul akibat perasaan tidak puas hati penganut agama lain yang tidak mampu berhujah secara intelektual. Lalu mereka menyuarakan perasaan itu dengan memainkan isu perkauman dan sempadan kenegaraan. Apa yang sepatutnya dilakukan adalah dengan membanteras masalah perkauman yang dimainkan, bukannya menghalang dakwah Dr Zakir Naik yang menyampaikan kebenaran.


Penerbitan Utusan Malaysia diteruskan, tidak henti operasi

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Syarikat akhbar berbahasa Melayu berusia 80 tahun, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Kumpulan Utusan) akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar dibawahnya, Utusan Malaysia dan Kosmo! Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir berkata, langkah itu diteruskan sekalipun syarikat akhbar itu berada dalam situasi sukar terutama peralihan dunia pemberitaan dalam bentuk media sosial. Beliau mengakui Kumpulan Utusan sebelum ini banyak dibantu UMNO, namun selepas kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) syarikat penerbitan akhbar itu kembali kepada realiti model perniagaan media.

Semenjak pertukaran kerajaan, keadaan kewangan Utusan Malaysia menjadi semakin buruk berkemungkinan akibat daripada pembekuan dana UMNO. Sungguhpun demikian, nasib pekerja utusan yang tertangguh gajinya semenjak beberapa bulan lalu sewajarnya dibela. Sabda Rasulullah SAW, “Berikan kepada seorang pekerja upahnya sebelum keringatnya kering” [HR Ibnu Majah]