Suara Gaza: Ketabahan Wartawan Muslimah dalam Mengungkap Kebenaran di Tengah Perang
Maram Humaid, seorang wartawan yang berjuang untuk melaporkan kebenaran di tengah-tengah peperangan yang berlarutan di Gaza, telah menjadi saksi kepada penderitaan dan ketabahan penduduk Gaza. Selama setahun, beliau telah melaporkan situasi di Deir el-Balah, sebuah kem pelarian di selatan Gaza, di mana hidup penduduknya penuh dengan kesulitan akibat serangan dan pemindahan secara paksa yang berulang kali. Bagi Maram, tugasnya bukan sekadar melaporkan fakta, tetapi juga merakamkan suara hati mereka yang tersembunyi di balik kehancuran.
Setiap kali Maram melawat kem tersebut, keadaan semakin buruk. Penduduk yang terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat lain mengungkapkan kesedihan mereka tentang kehilangan rumah, pekerjaan, dan kehidupan yang pernah mereka kenal. Sebagai seorang wartawan, Maram bukan sahaja mendengar keluhan mereka, tetapi turut merasai beratnya beban yang mereka tanggung. Keadaan yang begitu sukar yang dihadapi setiap penduduk Gaza menggambarkan betapa perang telah merubah setiap aspek kehidupan rakyat Gaza.
Namun, Maram tidak hanya melaporkan penderitaan mereka, dia juga memberi perhatian kepada usaha mereka untuk terus bertahan. Walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar, penduduk masih cuba menjalani kehidupan seharian mereka. Maram menyaksikan bagaimana seorang ibu cuba membuat hidup anak-anaknya lebih baik di tengah-tengah perang, dan bagaimana mereka terus menjaga nilai kemanusiaan meskipun terpaksa hidup di bawah naungan ketakutan.
Ada ungkapan yang semakin biasa kedengaran dikalangan mereka, malah Maram juga mengungkapkannya untuk mententeramkan penduduk yang diziarahi: “Pada pandangan Allah (In God‘s eyes).” Ungkapan ini mencerminkan harapan dan keyakinan mereka bahawa di sebalik segala kesulitan, semuanya disandarkan pada Yang Maha Esa. Apa yang lebih utama adalah dari pandangan Allah (kehendak Allah), bukan pada penilaian makhluk.
Kisah Maram juga tidak terlepas dari cabaran peribadi. Dalam tempoh peperangan ini, beliau turut berdepan dengan kesulitan yang sama seperti orang lain. Keluarganya turut terjejas oleh keadaan ini, dan anak perempuannya terpaksa belajar secara rahsia untuk mengelakkan daripada dikenakan ancaman akibat peperangan. Setiap hari, Maram akan mengisytiharkan “keadaan darurat” di rumah bagi membolehkan anaknya belajar dengan menggunakan telefon bimbit atau komputer riba. Beliau sentiasa berwaspada dan memberi arahan supaya anaknya tidak menyalakan mikrofon semasa terdapat tembakan atau serangan udara.
“Matikan mikrofon supaya tiada siapa mendengar bunyi bising di sekitar kamu,” ujar Maram kepada anaknya. “Jika ada tembakan meriam dan bunyi tembakan senjata, matikan mikrofon dan jangan jawab. Beri alasan tentang sambungan internet,” tambah beliau akan mengingatkannya.
Usaha Maram ini menunjukkan betapa pendidikan adalah perkara yang sangat penting, walaupun dalam keadaan yang begitu genting. Beliau tetap berusaha mengusahakan yang terbaik untuk pendidikan anaknya. Sanggup bersusah payah mencari peluang mendaftarkan kelas online yang berpusat di Mesir untuk anaknya, dan mengusahakan jaringan internet secara rahsia. Padal semua itu berisiko tinggi kepada mereka sekeluarga.
Lebih daripada sekadar seorang wartawan, Maram juga merupakan seorang ibu yang penuh kasih sayang yang bertekad untuk memberikan yang terbaik kepada keluarganya. Dalam dunia yang dilanda perang, dia berusaha menceriakan dan menanamkan harapan kepada anaknya walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar. Perang yang berlangsung di Gaza selama setahun ini bukan sahaja merosakkan infrastruktur fizikal, tetapi turut memberi kesan mendalam kepada kehidupan emosi dan psikologi mereka yang terlibat, termasuk wartawan seperti Maram.
Kisah Maram mengingatkan kita tentang ketabahan manusia dalam menghadapi cabaran yang tidak terduga. Walaupun hidup dalam keadaan yang penuh ketakutan dan kehilangan, Maram dan penduduk Gaza menunjukkan bahawa harapan dan semangat untuk terus hidup tidak pernah padam. Ia adalah satu pengajaran tentang kekuatan hati, ketabahan jiwa, dan keyakinan bahawa walaupun dunia kelihatan gelap, cahaya harapan tetap ada di hujung jalan.
Sebagai Muslimah, peranan kewartawanan yang dimainkan oleh Maram di Gaza dapat mengajar kita tentang keberanian melawan arus perdana. Maram melaporkan kesulitan rakyat Gaza, memperjuangkan suara mereka walaupun dalam ancaman bahaya. Dalam Islam, menegakkan kebenaran dan memberi suara kepada yang tertindas adalah suatu amal yang dihargai.
Lebih-lebih lagi, dalam dunia yang di dominasi oleh sistem kapitalisme hari ini, Barat telah menguasai media mainstream dan menyebarluaskan opini umum mereka yang menyudutkan Islam. Malah, tragedi 7 Oktober juga menyaksikan bagaimana media Barat berusaha menyebarkan naratif palsu penuh fitnah terhadap situasi di Palestin. Hal ini sebenarnya telah berlangsung sejak bertahun-tahun dulu. Oleh itu, peranan kewartawanan oleh kaum Muslim amat penting dalam situasi getir ini. Penglibatan dan keberanian penduduk Gaza menjadi wartawan di tengah krisis ini perlu dipuji dan disanjung tinggi kerana tanpa pemberitaan daripada mereka, dunia akan terus-menerus ditipu propaganda Barat. Dan umat Islam dan Islam terus menerus dicitra burukkan oleh media sekular yang merupakan alat utama propaganda rejim-rejim penjajah yang represif.
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka bersungguh-sungguhlah mencari kejelasan agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa pengetahuan yang menyebabkan kamu atas perbuatan kamu menjadi orang-orang yang menyesal” (TMQ al Hujurat: 6).
Berdasarkan ayat ini, peranan kewartawanan oleh kaum Muslim di tengah krisis sangat penting untuk menjernihkan dan menjelaskan kesalahan serta fitnah yang menimpa. Membuka ruang untuk masyarakat bertabayyun. Sekaligus membangkitkan kesedaran masyarakat global bahawa mereka sudah lama ditipu media Barat dan aliran sekular. Oleh itu, pengorbanan wartawan yang menjadi sasaran utama rejim Zionis ini adalah satu kerjaya mulia yang perlu kita hargai, bukan dengan sekadar mendengar liputan beritanya, tetapi mengambil tindakan daripada suara-suara penduduk Gaza yang disampaikan mereka dengan imbalan darah dan nyawa.
Perjuangan Maram dan wartawan Gaza lainnya inilah yang perlu diteladani oleh para muslimah hari ini. Menjadi amplifier menggaungkan suara kebenaran, termasuklah dalam menyuarakan solusi yang haq bagi pembebasan Palestin. Semoga kisah Maram dapat menyalakan semangat kita untuk bekerja lebih keras dalam dakwah, berani mengatakan kebenaran, bercita-cita tinggi demi masa depan ummah dan sentiasa sedia membantu masyarakat, apatah lagi berkorban demi agama.
Sumber berita: https://www.aljazeera.com/features/longform/2024/10/10/were-dead-alive-a-year-of-living-and-reporting-the-war-on-gaza