Suara Rakyat Atau Suara Allah Yang Perlu Didengar?
Selagimana perjuangan Anwar hanya sekadar berkisar menuntut agar pilihanraya dalam sistem demokrasi itu berjalan dengan telus dan sempurna, maka sudah pasti perjuangan tersebut akan terus menemui kegagalan dan kekecewaaan. Apa yang pasti, demokrasi adalah ajaran yang menjadikan manusia sebagai tuhan. Suara rakyat dianggap sebagai penentu mutlak dalam menentukan segala-galanya termasuklah halal haram sesuatu perkara. Dalam demokrasi, suara Tuhan diketepikan dan dipinggirkan serta tidak boleh dicampurkadukkan dalam pemerintahan sama sekali. Inilah demokrasi yang merupakan sampah dan racun kepada masyarakat. Malang sekali masih ramai umat Islam termasuklah gerakan-gerakan Islam yang masih terus tertipu dengan sistem kufur ini. Bagaimanakah kita boleh mengharapkan demokrasi untuk memberikan kebaikan kepada manusia sedangkan demokrasi itu secara jelas lahir daripada akal manusia yang sifatnya terbatas, jahil dan zalim? Secara faktanya telah terbukti di depan mata kita bahawa demokrasi telah menghasilkan kegagalan demi kegagalan dalam mengatur dan menguruskan kehidupan manusia. Justeru, apakah kita masih bergantung harap kepada demokrasi? Sebagai seorang Muslim, adalah tidak sayugia untuk kita ditipu dan tertipu dengan slogan-slogan ‘keramat’ ini. Ketahuilah bahawa ketika mana seseorang melaungkan “Suara Rakyat Suara Keramat”, maka secara sedar ataupun tidak sedar hal ini boleh menjerumuskan seseorang kepada kesyirikan dengan menafikan “Suara Tuhan” (wahyu) sebagai satu-satunya kuasa tertinggi dalam kehidupan seorang manusia. Bukankah kewujudan utama kita di atas muka bumi ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, Rabb yang telah menciptakan manusia, alam semesta dan kehidupan ini? Pada hakikatnya, demokrasi sememangnya telah mati dan Khilafahlah selayaknya sebagai satu-satunya pengganti. Itulah pilihan yang paling tepat bagi umat Islam pada hari ini.
Sumber: Sinarharian, 08/05/13