Sumbangan Besar Suri Rumah dalam Rumah Tangga
Penulis : Syamsiah Jamil
Muqaddimah
Ketika dunia memandang wanita yang berjaya itu adalah wanita yang mempunyai kerjaya yang bagus, pangkat yang tinggi dan pendapatan yang lumayan, ada sesetengah wanita memilih untuk menjadi surirumah sepenuh masa. Pilihan tersebut bukanlah pilihan yang mudah kerana ia dipandang sebagai satu kerugian besar terutamanya bagi wanita yang mempunyai kelayakan akademik yang tinggi.
Tidak cukup dengan itu, berkurangnya bilangan wanita yang bekerja dikatakan telah menjejaskan sumbangan wanita kepada ekonomi negara. Lebih teruk lagi, mereka dikatakan menyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan isi rumah. Sungguh, ini adalah satu pandangan yang sempit dan melambangkan rendahnya mentaliti manusia.
Membetulkan Mentaliti
Dunia sudah memasuki tahun 2025, maka dunia sepatutnya berhenti memandang rendah pada status suri rumah. Mentaliti masyarakat sepatutnya dibetulkan dengan membuang jauh mentaliti yang memandang kejayaan dengan ukuran keduniaan dan kebendaan (material) semata-mata. Kemudian, masyarakat perlu mula membentuk mentaliti yang benar terhadap status, peranan dan sumbangan suri rumah.
Puan Rose Jazimah, Presiden Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) berkata dakwaan bahawa wanita yang memilih menjadi suri rumah menjadi penyumbang kepada kadar kemiskinan isi rumah, bukan sahaja tidak adil tetapi juga meremehkan sumbangan wanita dalam pengurusan ekonomi keluarga.
Puan Khairiyatun Najihah Norazmi, Aktivis SRR, mengatakan bahawa peranan suri rumah bukan sahaja menjaga rumah, malah lebih daripada itu. Suri rumah merupakan pengurus keluarga, menyusun perbelanjaan, dan memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik. “Artikel yang mendakwa wanita tidak bekerja menyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan mencerminkan pandangan sempit sesetengah ahli masyarakat,” katanya.
Sumbangan suri rumah kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan keluarga secara keseluruhan sangatlah besar. Ia termasuk aspek penjagaan anak, pendidikan anak, pengurusan sekolah anak, penyediaan makanan, pendidikan dan lain-lain. Semuanya dilakukan sepenuh masa, tanpa cuti rehat, tanpa cuti sakit.
Dari sudut penjagaan anak, suri rumah mampu menjaga anak kecil sejak lahir di rumah. Banyak kos penjagaan anak dapat dijimatkan daripada menghantar anak ke pusat penjagaan anak. Apalagi jika mempunyai anak yang ramai dan yuran taska yang semakin meningkat. Perbelanjaan keluarga juga dapat dijimatkan dengan berkurangnya kos perkhidmatan pengangkutan anak ke sekolah apabila ibu sendiri yang menghantar dan mengambil anak.
Tidak cukup dengan itu, suri rumah juga mampu memasak makanan di rumah untuk bekalan suami dan anak-anak serta makan di rumah. Ini sudah tentu lebih menjimatkan daripada membeli di luar. Di samping itu, suri rumah mampu memastikan penyediaan makanan yang lebih bersih, berkhasiat dan sesuai dengan keperluan kesihatan ahli keluarga.
Tambahan pula, suri rumah mempunyai banyak masa untuk memantau progres pembelajaran anak-anak termasuk kerja rumah yang diberikan oleh guru serta persiapan menghadapi peperiksaan. Mereka berusaha untuk mengajar dan membantu anak di rumah tanpa perlu menghantar anak ke kelas tuisyen berbayar. Inilah satu kepuasan bagi seorang ibu terutamanya ibu yang berpendidikan tinggi kerana dapat menyalurkan ilmu kepada anaknya sendiri.
Di sisi yang lain, keberadaan ibu sepanjang masa anak di rumah boleh mengelakkan banyak masalah sosial berbanding jika anak dibiarkan mengurus dirinya sendiri. Ibu boleh merancang dan memantau aktiviti anak di rumah supaya anak tidak terdedah kepada budaya dan pengaruh yang rosak di luar rumah malah di skrin telefon atau komputer. Ini menyumbang kepada pembentukan akhlak yang baik dalam kalangan generasi muda dan pembinaan masyarakat yang lebih selamat.
Selain itu, terdapat suri rumah yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan atau perniagaan atas talian sambil menjaga dan mengurus anak di rumah. Golongan ini bukan setakat mengurus keluarga dengan baik, malah menyumbang kepada pendapatan keluarga. Itulah sebahagian besar sumbangan suri rumah kepada rumah tangga secara langsung, serta kepada masyarakat dan negara secara tidak langsung.
Suri Rumah dalam Pandangan Islam
Tanpa pengiktirafan manusia, Islam sudah cukup memandang mulia status suri rumah sebagai ummun wa rabbatul bayt (ibu dan pengurus rumah tangga). Dalam Islam, Allah SWT memberi kemuliaan kepada wanita dengan memilih mereka untuk menjadi pemimpin di rumah suaminya dan sekaligus memimpin anak-anak mereka. Rasulullah SAW bersabda,
“Seorang wanita adalah pengurus rumah tangga suaminya dan anak-anaknya, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban atas kepengurusannya.” [HR Muslim]
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda, “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawapan atas apa yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawapan. Lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan dipertanggungjawabkan. Seorang wanita memimpin rumah suami dan anak-anaknya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya.” [HR Bukhari]
Amanah dan tanggungjawab yang besar ini sudah tentu dijanjikan dengan ganjaran yang besar juga. Malah ganjarannya setanding dengan ganjaran bagi mereka yang berjihad di medan perang. Diriwayatkan dari Anas bin Malik, dia mengatakan,
“Seorang perempuan datang menemui Rasulullah SAW, kemudian berkata, “Wahai Rasulullah, lelaki memiliki keutamaan dan mereka juga berjihad di jalan Allah. Apakah bagi kami kaum wanita boleh mendapatkan amalan orang yang jihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda, “Barang siapa di antara kalian yang tinggal di rumahnya maka dia mendapatkan pahala mujahid di jalan Allah.”
Menjadi suri rumah sepenuh masa dengan rutin yang sama hampir setiap hari, lambakan kerja rumah, pergolakan emosi diri dan anak-anak serta tahap kesihatan yang kadang-kadang merosot, sudah tentu membuatkan mereka merasa kepenatan yang amat sangat dan tekanan yang tidak kurang hebat. Tetapi semua itu tidak menjadi alasan untuk suri rumah berputus asa. Malah mereka dijanjikan oleh Allah SWT dan RasulNya dengan keselamatan daripada api neraka. Rasulullah SAW bersabda,
“Barang siapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian berbuat baik kepada mereka, maka anak-anaknya akan menjadi penghalang baginya dari azab neraka.” [HR Bukhari-Muslim dan Tirmidzi].
Jadi, golongan suri rumah sepatutnya dipandang tinggi dan dihargai oleh masyarakat kerana sumbangannya yang besar bukan hanya kepada rumah tangga, tetapi juga kepada masyarakat dan negara. Lebih penting lagi, suri rumah adalah status yang mulia di sisi Allah SWT dan RasulNya serta dijanjikan ganjaran yang tiada tolok bandingnya.
Khatimah
Sungguh, jika ditanyakan kepada suri rumah, mereka sendiri tidak ingin dipandang tinggi oleh manusia kerana pandangan manusia hanyalah pandangan dunia yang fana. Manusia juga adalah makhluk yang lemah yang tidak mampu membalas perbuatan manusia dengan sebaik-baiknya balasan. Yang diimpikan oleh suri rumah hanyalah supaya segala amalnya sebagai ibu dan pengurus rumah tangga diterima oleh Allah SWT sebagai amal soleh dan dibalas dengan syurga tertinggi di akhirat nanti. Semoga impian ini dimakbulkan oleh SWT. Aamiin.
Rujukan: