Surat Daripada Hizbut Tahrir Uzbekistan
Saudara,
Assalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuhu
Saya dengan ini menulis kepada anda mengenai sebahagian dari layanan buruk yang dikenakan ke atas anggota-anggota kami oleh penguasa Uzbekistan berupa pendakwaan, pemenjaraan dan penyeksaan yang telah menyebabkan kematian ramai anggota kami. Layanan seperti ini bukanlah sahaja terhad kepada syabab (pemuda-pemuda) Hizbut Tahrir bahkan berlaku juga ke atas semua yang menyahut seruan Islam. Jumlah tahanan dari Hizbut Tahrir sahaja di dalam penjara Uzbekistan adalah sekitar 8000 orang meskipun Hizbut Tahrir tidak pernah mengambil jalan kekerasan dalam dakwahnya.
Penindasan oleh kerajaan ini bertambah buruk pada musim panas tahun ini. Pada awal musim panas ini semua pemimpin yang baru sahaja dilantik telah ditangkap, setelah penangkapan pemimpin terdahulu. Telah berlaku juga penangkapan ke atas sejumlah besar dari syabab kami yang aktif. Hal ini terjadi di ibukota Tashkent, Lembah Ferghana, Andijan dan di beberapa negeri lain di Uzbekistan.
Ramai syabab kami telah mula keluar negara untuk bekerja bagi menghindari penangkapan. Namun demikian, mata-mata pihak berkuasa sentiasa mengawasi dan memata-matai, walaupun ke atas mereka yang telah berhijrah ke luar negeri. Di bulan Ramadan, mata-mata penguasa datang untuk bertanya tentang siapa yang telah melakukan perjalanan, dan sekiranya mata-mata ini tidak menemukan mereka, keluarga para syabab ini ditahan dan disoal siasat untuk mengetahui ke manakah para syabab ini telah pergi. Mata-mata kerajaan ini juga mengancam untuk menahan keluarga para syabab sehinggalah anak-anak mereka ini kembali. Mereka diperlakukan dengan kejam dan ganas. Beberapa orang dari mereka bahkan pengsan dan yang lebih tua rebah ke lantai akibat keletihan.
Pihak penguasa juga mula menugaskan kakitangannya dari Jabatan Air dan Gas dan para anggota majlis mesyuarat tempatan, baik lelaki mahupun perempuan untuk memata-matai maklumat mengenai keluarga tahanan, kedudukan mereka, perbelanjaan mereka, tempat makan mereka, pakaian mereka dan bagaimana mereka hidup.
Bagi para tahanan yang telah selesai menjalani hukuman pula, pihak penguasa memeras ugut mereka untuk meninggalkan dakwah Hizbut Tahrir dan bekerja untuk pihak berkuasa dan memata-matai (pula) gerakan Islam tersebut. Sesiapa yang menolak, mereka akan katakan kepadanya, “Anda masih belum menyelesaikan hukuman anda” dan mereka meningkatkan hukuman ke atas mereka dengan menambahkan tempoh penjara sebanyak tiga tahun lagi. Ramai dari tahanan kami yang menghabiskan masa bertahun-tahun dari tambahan tempoh ini dan mereka tetap tidak dibebaskan, bahkan tempoh penahanan terus berlanjutan.
Inilah pihak berkuasa di Uzbekistan. Kami tidak akan tunduk pada tekanannya dan akan terus berusaha dengan cara yang benar untuk mengubah keadaan ini. Kami akan bersabar dengan pertolongan Allah dan pertolongan dari saudara-saudara kami di negara ini dan dari negara kaum Muslimin lainnya. Kami juga akan bersabar sehingga Allah menetapkan keputusanNya dan sesungguhnya Allah Maha Bijaksana.
Saudaramu,
Pemimpin Hizbut Tahrir Uzbekistan
24 Ramadan 1431H bersamaan 04/09/2010M