Syarah Hadis Kewajipan Membaiah Khalifah
حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ فُرَاتٍ الْقَزَّازِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا حَازِمٍ قَالَ قَاعَدْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ خَمْسَ سِنِينَ فَسَمِعْتُهُ يُحَدِّثُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمْ الْأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا قَالَ فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ
“Telah bercerita kepadaku Muhammad bin Basyar, telah bercerita kepada kami Muhammad bin Ja’far, telah bercerita kepada kami Syu’bah daripada Furat al-Qazaz berkata, aku mendengar Abu Hazim berkata; “Aku hidup mendampingi Abu Hurairah ra selama lima tahun dan aku mendengar dia bercerita daripada Nabi SAW yang bersabda: “Bani Isra’el, kehidupan mereka selalu diurus oleh para Nabi. Apabila seorang Nabi wafat, akan digantikan dengan Nabi yang lain setelahnya. Sungguh tidak akan ada lagi Nabi setelahku dan akan ada para Khalifah yang ramai jumlahnya”. Para sahabat bertanya; “Apa yang engkau perintahkan kepada kami?”. Beliau SAW menjawab: “Penuhilah bai’at kepada Khalifah yang pertama (lebih dahulu diangkat), berikanlah hak mereka kerana Allah SWT akan bertanya kepada mereka tentang pemerintahan mereka.” [HR Bukhari No 3196]
Biografi Rijal Hadis
Abu Hurairah:
Beliau ialah sahabat Rasulullah SAW dan menurut pendapat yang rajih nama aslinya Abdur Rahman Bin Shakhr ad-Dawsi. Abu Hurairah pernah berkata: “Aku dijuluki Abu Hurairah kerana ketika aku menemukan seekor anak kucing, aku memasukkannya ke dalam sakuku.” Beliau masuk Islam pada tahun ke-7 H iaitu pada tahun perang Khaibar dan wafat pada 57 H. Beliau antara sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis. Terdapat lebih 800 periwayat hadis daripada kalangan sahabat dan tabiin yang meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah.
Abu Hazim:
Nama aslinya Salman al-Asyja’iyy al-Kufi dan nama laqabnya Shahib Abi Hurairah (Teman Abu Hurairah), namun beliau lebih terkenal dengan nama Salman Maula ’Izzah. Beliau termasuk dari kalangan tabi’in pertengahan dan meninggal pada tahun 101 H, di era kekhalifahan Umar bin Abdul ’Aziz.
Furrah Al Qazaz:
Nama lengkapnya Furrah ibn Abi Abdur Rahman al-Qazzaz atau dikenali dengan nama kunyahnya Abu Muhammad atau Abu Abdullah. Salah seorang guru beliau ialah Hassan Al Basri. Sedangkan murid-murid beliau di antaranya Syu’bah bin Hajjaj, Sufyan Ath Thauri, Sufyan Uyainah, Abu Malik dan ramai lagi. Beliau seorang yang tsiqah menurut Yahya Bin Main, An Nasai, Ibnu Hibban, Ibn Hajar Asqalani dan Az Zahabi.
Syu’bah Al Hajaj:
Nama lengkap beliau ialah Syu’bah bin Hajjaj bin al-Warad al-Ataky al-Wasithi. Lahir pada tahun 82 H dan wafat pada tahun 160 H di Basrah. Beliau seorang ulama dan syeikh yang berasal dari Basrah. Beliau dinilai memiliki tingkat kepercayaan yang paling tinggi iaitu Amir al-Mu’minin al-Hadith (pemimpin orang-orang beriman dalam bidang Hadis) khususnya di Bashrah. Imam Syafi’e berkomentar berkenaan dengan Syu’bah “Jika tiada Syu’bah, nescaya hadis-hadis Nabi SAW tidak akan dikenal di negeri Iraq.”
Muhammad bin Jaafar:
Beliau ialah Muhammad Bin Ja’far atau Abu Abdullah al-Ghandar. Lahir pada 113H dan wafat pada 193H. Beliau merupakan seorang Hafiz, baik bacaan Quran dan teguh dalam keimanan. Imam Az Zahabi menyatakan “Para penulis kitab sahih sepakat untuk berhujah dengan riwayat Ghandar.” Ibnu Hajar turut berkomentar bahawa beliau seorang yang tsiqah.
Muhammad bin Basyar:
Muhammad ibn Basyar ibn Utsman al-‘Abdi Abu Bakar al-Bishri lahir pada tahun 167 H dan wafat pada tahun 252 H. Beliau mengumpulkan Hadis di Bashrah. Tidak merantau demi baktinya kepada ibu. Antara murid-muridnya ialah Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah dan lain-lain. Ibnu Hajar al-Asqalani dan Ibnu Hibban menyatakan bahawa Muhammad Bin Basyar seorang yang tsiqah dan Az Zahabi pula menyatakan bahawa Ibn Basyar seorang hafiz.
Takhrij Hadis:
Hadis ini dikeluarkan oleh:
- Imam Bukhari, Sahih al Bukhari,
- Imam Muslim, Sahih Muslim
- Imam Ahmad, Musnad Ahmad Bin Hanbal
- Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah
- Ibnu Hibban, Sahih Ibnu Hibban
- Abu ‘Awanah Ya’qub ibn Isha Isfara’ini, Musnad abi ‘Awanah
- Imam Baihaqi, Sunan Kubra Lil Baihaqi
- Ishaq Ibn Rahawayh, Musnad Ishaq Ibn Rahawayh
- Abu Ya’la al Mushili, Musnad Abi Ya’la al-Mushili
- Ibnu Abi Syaibah, Mushannaf Ibn Abi Syaybah
- Ibnu ‘Arabi, Mu’jam Ibnu Al ‘Arabi
- Ibnu Abu ‘Ashim, Musnad Li Ibni Abi ‘Ashim
- Abu Bakar Al Khalal, Musnad Li Abi Bakar Khalal
Jenis Hadis
Berdasarkan jumlah rawi, ia termasuk dalam hadis ahad kerana tidak memenuhi ciri-ciri sebagai hadis mutawatir. Hadis ini dinilai sebagai hadis marfu’ (iaitu sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW baik merupakan perkataan, perbuatan, diamnya mahupun sifatnya). Ditinjau berdasarkan sanadnya pula, hadis ini termasuk hadis muttashil (hadis yang sanadnya bersambung, baik secara marfu’ mahupun mauquf).
Kualiti Hadis
Para muhadisin memasukkan hadis ini sebagai hadis maqbul dengan kategori hadis sahih. Hadis Sahih adalah hadis yang diriwayatkan oleh rawi yang adil dan dhabith (riwayatnya menyamai riwayat orang-orang tsiqah yang teliti pada lafaz dan makna meskipun secara umum, serta hafiz dan tidak lalai). Sanadnya muttashil (bersambung), tidak ada ‘illat (penambahan pengurangan dan penggantian), dan tidak ada kejanggalan (tidak bertentangan dengan al-Qur’an, hadis sahih yang lain, dan akal sihat).
Penjelasan Hadis:
1. Kata ‘’tasusuhum” – iaitu mengatur urusan mereka / selalu dipelihara urusannya – menunjukkan bahawa para Nabi sebelum Muhammad SAW juga menerapkan hukum kepada para pengikut mereka. Dengan kata lain, mengatur urusan mereka dengan peraturan yang diturunkan Allah SWT kepada mereka. Sepertimana yang disebut dalam kitab Mu’jamu Lughah al-Fuqaha’:
رعاية شئون الامة بالداخل والخارج وفق الشريعة الاسلامية
Mengurusi urusan umat di dalamnya dan di luar (negeri) menurut aturan Syariah Islam
2. Kata “Khulafa” merupakan bentuk jamak daripada kata “Khalifah”, dan kata kerja “yaktsurun” – akan ada banyak – menunjukkan bahawa akan ada banyak Khalifah setelah Rasulullah SAW. Dengan demikian, hadis ini memberikan bantahan atas pendapat yang menyatakan bahawa Khilafah hanya ada pada masa Khulafa ar-Rasyidin (yang empat) sahaja.
3. Memang ada sebuah riwayat (hadis) yang menjelaskan bahawa Khilafah berlangsung selama 30 tahun. Namun begitu, menurut Syeikh Ibnu Taimiyah, hadis tersebut hanya menunjukkan suatu masa (periode) Khilafah yang benar-benar mengikuti Sunnah dan berjalan sesuai metode Nabi (iaitu masa Khulafa ar-Rasyidin). Jadi, hadis tersebut tidak dimaksudkan untuk membatasi bahawa (periode) Khilafah hanya berusia 30 tahun. Dengan cara (menggabungkan pemahaman) tersebut, maka kedua hadis tersebut dapat dipahami secara utuh.
4. Sebagaimana penjelasan Imam Nawawi, frasa – ‘Penuhilah bai’at yang pertama dan yang pertama itu saja’ – menunjukkan bahawa kaum Muslim hanya dibolehkan untuk mengangkat seorang Khalifah sahaja. Bai’at yang diberikan kepada orang lain (yang mengaku sebagai Khalifah tandingan) tatkala telah ada seorang Khalifah, dianggap sebagai bai’at yang tidak sah.
وَمَعْنَى هَذَا الْحَدِيث : إِذَا بُويِعَ لِخَلِيفَةٍ بَعْد خَلِيفَة فَبَيْعَة الْأَوَّل صَحِيحَة يَجِب الْوَفَاء بِهَا ، وَبَيْعَة الثَّانِي بَاطِلَة يَحْرُم الْوَفَاء بِهَا ، وَيَحْرُم عَلَيْهِ طَلَبهَا ، وَسَوَاء عَقَدُوا لِلثَّانِي عَالِمِينَ بِعَقْدِ الْأَوَّل أَوْ جَاهِلِينَ ، وَسَوَاء كَانَا فِي بَلَدَيْنِ أَوْ بَلَد ، أَوْ أَحَدهمَا فِي بَلَد الْإِمَام الْمُنْفَصِل وَالْآخَر فِي غَيْره ، هَذَا هُوَ الصَّوَاب الَّذِي عَلَيْهِ أَصْحَابنَا وَجَمَاهِير الْعُلَمَاء …
“Makna hadis ini ialah apabila terjadi bai’ah untuk seorang Khalifah setelah (sebelumnya dibai’ah) Khalifah, maka bai’ah yang pertamalah yang benar, dan wajib mencukupkan diri dengan bai’ah yang pertama tersebut. Sedangkan bai’ah yang kedua batil dan haram mencukupkan diri dengan bai’ah tersebut. Haram ke atas orang kedua yang menuntut bai’ah, sama ada dia tahu ataupun tidak terhadap bai’ah yang pertama dan sama ada mereka berdua berada di dua negeri atau di satu negeri yang sama, atau salah satu daripada keduanya berada di negerinya yang (posisinya) terpisah sedangkan yang lain di luar negerinya. Inilah yang benar pada pandangan kami serta majoriti ulama tentang perkara ini…” [Syarah Sahih Muslim]
5. Wajib berusaha melanjutkan kehidupan Islam dengan menegakkan Khilafah. Usaha ke arahnya memang memerlukan proses yang panjang, sehingga perlu kesabaran dan senantiasa menjaga keikhlasan.
6. Khilafah identik dengan kebaikan, Rasulullah SAW bersabda:
يَكُوْنُ فِيْ آخِرِ أُمَّتِيْ خَلِيْفَةٌ يَحْثُوْ الْمَالَ حَثْيًا لاَ يَعُدُّهُ عَدَدًا
Akan ada pada akhir umatku seorang Khalifah yang memberikan harta secara berlimpah dan tidak terhitung banyaknya. [HR Muslim]
7. Kesimpulannya, berdasarkan hadis sahih di atas, kepemimpinan selepas zaman kenabian menurut Islam ialah Khilafah. Namun Khalifah tidak boleh lebih daripada seorang (dalam satu-satu masa). Sekiranya ada dua atau lebih maka ia tidak sah menurut syara’. Ketika ini sistem Khilafah tidak ada kerana ia telah diruntuhkan pada 3 Mac 1924. Oleh itu, kita wajib berjuang bersama untuk mengembalikannya.
Wallahu waliyut taufiq
Akhukum al Faqir,
Abu Khaled al-Fateh
Rujukan:
- Kitab 9 Imam, Lidwa Pusaka i-Software.
- Muhammad Hasan bin Aqil Musa Asy-Syarif, Nuzhatul Fudhala’ tahdzib siyar a’lam an-nubala.
- Al-Hafidz Jamaluddin Abi al-Hajjaj Yusuf al-Mizzi Tahzib Al Kamal Fi Asma Ar Rijal Lil Mizi.
- Imam Nawawi, Syarah Sahih Muslim Imam Nawawi.
- Dr Mahmud Thahan, Taisir Mushtalah al-Hadis
- Dr Abdurrahman Bin Ibrahim al Khumais, Kamus Ilmu Hadis (Arab-Melayu)
- Dr Muhammad Rawwas Qal’ahji, Mu’jamu Lughat Al Fuqaha’
- Abu Lukman Fathullah, 60 Hadis Sulthaniyah
- http://library.islamweb.net/hadith/hadithServices.php?type=1&cid=3237&sid=4396
- http://khadimussunnah.info/2017/03/03/kepemimpinan-pasca-kenabian/