Takut Kepada Allah Melahirkan Jiwa Satria dan Perkasa – Bhg. 2

Dalam penulisan sebelum ini, kami telah menyatakan bahawa apabila hati telah buta, maka yang akan menjadi tolok ukur dan keutamaan adalah kemarahan penguasa zalim, dengan  diabaikan kemurkaan daripada Allah. Pahala dan azab di akhirat dilihat remeh bagi mereka. Mereka sanggup untuk  menukarnya dengan kesenangan dunia yang murah dan fana ini.
Tidak hairanlah jika wujudnya fatwa-fatwa pelik yang dikeluarkan oleh orang-orang seperti mereka ini, seperti fatwa yang membolehkan untuk  berdamai dengan negara Yahudi, membolehkan untuk meminta bantuan kepada kaum kafir untuk memerangi kaum Muslimin, membolehkan membunuh (bughât, kaum pemberontak) yang menentang para penguasa yang melakukan kekufuran secara nyata (kufran bawahan). Membolehkan untuk menumpahkan darah, merampas harta dan kehormatan orang-orang yang ikhlas di antara umat ini, iaitu orang-orang  yang melakukan amar makruf dan nahi munkar kerana mereka dianggap sebagai “teroris, ekstrimis dan pengkhianat kepada penguasa”, termasuk fatwa-fatwa lain yang dibuat oleh mereka-mereka yang telah menjual dirinya kepada para penguasa jahat. Apa sahaja pekerjaan dan ketetapan yang mereka lakukan, kesemuanya berhujung dengan kejahatan dan jenayah terhadap agama ini.

Rasa takut kepada Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa merupakan salah satu tanda ketakwaan dan kesolehan. Inilah yang akan menjadikan jiwa dan raganya ikhlas semata-mata kepada Allah, Tuhan semesta alam. Perkara ini jugalah yang akan menjaga serta menyelamatkan dirinya daripada terjatuh ke dalam perangkap para thaghut dan menyelamatkannya daripada condong kepada para kekasih syaitan.

Pemilik perasaan ini ini tidak akan pernah takut dengan pelbagai keganasan serta tidak akan berpaling daripada melaksanakan kewajiban-kewajiban yang telah dibebankan ke atas dirinya (seperti melakukan amal-amal soleh, berkorban di jalan Allah, membebaskan dan menyelamatkan umat daripada belenggu ideologi kufur, kolonialisme dan konco-konco di sekelilingnya), serta tidak pernah gerun dengan pelbagai alat penyeksaan dan cambuk para algojo. Mereka adalah orang-orang yang tidak takut kepada penjara serta tidak gentar menghadapi pelbagai tentangan dan terjangan peluru. Hal-hal seperti ini pada pandangan mereka  merupakan sesuatu yang remeh demi meraih keredhaan Allah SWT.

Al-Qur’an dan catatan sejarah telah memberikan kita teladan kehidupan orang-orang yang agung untuk dicontohi, iaitu mereka-mereka yang begitu gagah dan berani dalam menghadapi para thaghut. Allah SWT berfirman tentang keberanian para penyihir yang didatangkan Fira’un untuk melawan Musa as.:

“Fir’aun berkata: ‘Adakah kamu sekalian beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya dia benar-benar pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu maka kelak kamu  pasti benar-benar akan mengetahui (akibat perbuatanmu). Sesungguhnya aku akan memotong tanganmu dan kakimu dengan bersilangan dan aku akan menyalibmu semuanya’. Mereka berkata: ‘Tidak ada kemudharatan (bagi kami). Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami, sesungguhnya kami amat menginginkan agar Tuhan kami akan mengampuni kesalahan kami, kerana kami adalah orang-orang yang pertama-tama beriman’.” (TMQ Asy-Syu’ara [26] : 49-51).

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman: “Mereka berkata: ‘Kami sekali-kali tidak akan mengutamakan kamu daripada bukti-bukti yang nyata (mu`jizat), yang telah datang kepada kami dan daripada Tuhan yang telah menciptakan kami. Maka putuskanlah apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya akan dapat memutuskan terhadap kehidupan di dunia ini sahaja. Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, agar Dia mengampuni kesalahan-kesalahan kami dan daripada sihir yang telah kamu paksakan kepada kami untuk melakukannya. Dan Allah lebih baik (pahalaNya) dan lebih kekal (azabNya)’. Sesungguhnya barangsiapa datang kepada Tuhannya dalam keadaan berdosa, maka sesungguhnya baginya neraka Jahannam. Ia tidak mati di dalamnya dan tidak (pula) hidup.” (TMQ Taha [20] : 72-74).

Daripada sini adalah jelas sekali bahawa pujukan dan rayuan Fir’aun tidak dapat mempengaruhi keimanan mereka sama sekali. Pelbagai ancaman yang diugut tidak membuatkan mereka takut untuk menentangnya, bahkan mereka bertekad untuk mengikuti Musa apabila kebenaran telah jelas di hadapan mata mereka.
Fir’aun di zaman dahulu dan beragam Fir’aun yang berada di zaman kita sekarang, biar betapa besar pun kekuatan dan kecanggihan peralatan yang mereka miliki, mereka sekali-kali tidak akan pernah mampu memalingkan tekad manusia untuk tetap terus melangkah ke jalan kebenaran (Islam) yang telah mereka yakini.

Biar pun mereka (Firaun) berusaha meningkatkan tindakan kezaliman dan kekejaman, mereka tidak akan pernah mampu menampakkan diri mereka dengan gambaran hitam yang  menakutkan, sepertimana yang ditakuti oleh haiwan-haiwan di hutan. Ini adalah kerana, di mata orang-orang yang takut kepada Allah, mereka (Firaun) selama-lamanya tetap hanyalah  seperti tikus-tikus kurus yang bersembunyi di sebalik dinding di mana pagarnya sentiasa dijaga siang dan malam.

Antara keistimewaan beriman kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Kuasa, serta takut terhadap kekuatan dan balasanNya adalah ia akan menggilapkan hati, menghilangkan karat-karat yang menempel serta mengisinya dengan sifat kejantanan, keberanian dan keperkasaan. Sepertimana keberanian orang-orang yang terbaik yang pernah lahir sebelum kita, contohnya seperti Sufian ats-Tsauri, Abu Hanifah, an-Nawawi, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Ibnu Taimiyah, Syeikh Abdul Aziz al-Badri, Syeikhul Islam Mustafa Sabri, Sayyid Quthub, Abdul Qadir Awdah dan banyak lagi. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati mereka semua, serta orang-orang yang sama seperti mereka dalam hal perbuatan dan keberanian mereka. Mereka dan orang-orang yang seperti mereka merupakan cermin kepada kehormatan umat, serta cermin kebanggaan dan kejantanan mereka. Mereka semua menolak untuk hidup sebagai pengecut. Mereka lebih memilih untuk mati, dipenjara atau  keluar daripada kehidupan yang hina di celah-celah para penguasa zalim. Oleh yang demikian, adalah wajib untuk kita memahami tentang masalah takut ini, dan menyalurkannya dengan cara yang benar.

Sebagai tambahan, di sini kami ingin memberikan penjelasan berkaitan perkara ini, iaitu takut kepada Allah merupakan satu-satunya jalan untuk menyelamatkan diri daripada perhambaan dan penindasan manusia. Ketahuilah, bahawa takut kepada Allah SWT adalah satu-satunya jalan untuk keluar daripada perhambaan, kerana takut kepada Allah memberi kekuatan untuk membebaskan manusia daripada keburukan dirinya sendiri dan daripada keburukan orang lain. Berbeza dengan takut kepada selain daripada Allah, di mana ia akan membelenggu manusia dan menjadikan diri mereka seperti seorang hamba abdi yang diperhambakan oleh dirinya sendiri atau orang lain, di mana ia akan menjadi tawanan kepada dirinya sendiri  atau tawanan dalam penjara orang lain. Oleh kerana itu, takut kepada Allah akan sentiasa memberikan penentangan terhadap godaan dunia dan hawa nafsu diri mereka, menyakini bahawa dunia ini hanyalah sementara, tidak tertipu dan tidak terpengaruh dengan kemewahan dan perhiasan dunia. Dunia bagi diri mereka bukanlah cita-cita dan tujuan akhir atau tujuan kehidupan mereka, kerana mereka memandang dunia dengan pandangan yang remeh. Dunia bagi mereka tidak lebih hanya sebagai sebuah jambatan yang menghubungkan antara dunia dan akhirat, di mana ia mengambil dunia sekadar yang diperlukan saat ia menyeberangnya.

Allah SWT berfirman: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) di negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu  (kenikmatan) di dunia. Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu membuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.” (TMQ Al-Qasas [28] : 77).

Oleh yang demikian, sesuai dengan konsep pembebasan daripada belenggu dunia dan perangkap nafsu ini, seseorang itu mestilah benar-benar bebas daripada beban kebergantungan dan ketundukan dirinya kepada selain daripada Allah. Keterikatan dan kebergantungan dirinya di dunia ini hanyalah kepada syariah Allah dan kedaulatanNya semata-mata, dan tidak akan pernah menyerah atau tunduk kepada selain daripada Allah. Orang-orang yang bersikap sebegini sudah semestinya berbeza dengan golongan orang-orang yang hina, iaitu orang-orang yang menjadi hamba kepada dunia, tertipu dan terperdaya  dengan kemewahan dan perhiasan dunia. Akibatnya, mereka begitu tunduk dan patuh dengan dorongan syahwat dunia. Ini benar-benar membuatkan mereka hilang potensi kewibawaan, keperkasaan dan kemuliaan. Semua ini akan menjadikan mereka sentiasa ditawan oleh kehidupan yang sentiasa diselimuti kehinaan.

Persoalannya sekarang adalah, bagaimanakah mereka dapat menjadi sebahagian daripada manusia yang mulia dan perkasa sedangkan pada masa yang sama, mereka masih menjadi alat yang begitu taat dan patuh kepada para penguasa yang jahat dan zalim di dunia? Hidup mereka diarah dan dikawal oleh para pemerintah zalim. Mereka menjalankan segala perintah-perintahnya dan tidak ada sedikitpun keberanian untuk menolaknya. Sebaliknya, mereka mengusir para pengembang dakwah Islam, menangkap dan menyeksa mereka dalam usaha untuk menyenangkan hati tuan-tuan mereka, iaitu para penguasa zalim. Padahal pada hari kiamat  kelak, mereka (para penguasa zalim) ini akan berlepas diri apabila mereka tahu bahawa tempat mereka adalah di neraka. Allah SWT berfirman: “(Iaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri daripada orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat seksa. Dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali, dan berkatalah orang-orang yang mengikuti mereka: ‘Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri daripada mereka, sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami.’ Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka yang menjadi sesalan bagi mereka. Dan sekali-kali mereka tidak akan dapat keluar daripada api neraka.” (TMQ Al-Baqarah [2] : 166-167).

Sebagai penutup, kami ingin menyatakan sekali lagi bahawa takut kepada Allah dan mencari keredhaanNya akan mengangkat seseorang itu ke puncak kemuliaan dan menjadikan dirinya berada dalam kedudukan yang paling tinggi. Sebaliknya, perasaan takut kepada sesama makhluk yang bertujuan untuk mencari keredhaannya, akan mendatangkan murka Allah serta menurunkannya ke tingkat kehidupan yang paling rendah dan paling hina. “Mereka bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan sepertimana makannya binatang-binatang. Dan neraka adalah tempat tinggal bagi mereka.” (TMQ Muhammad [47] : 12).

Semoga Allah menjadikan kita di antara orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa, yakni orang-orang yang tidak takut kerana Allah serta tidak takut terhadap celaan orang-orang yang mencela. Dengan cara ini, kita akan mendapat kemenangan sepertimana kemenangan yang telah diraih oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Moga-moga Allah senantiasa meredhai mereka semua. “Dan sampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman.” (TMQ At-Taubah [9] : 112).

Wallahua’lam.