Talk Show beri kesedaran besarnya tanggungjawab ibu

TANGKAK1 Julai – Kehadiran Muslimah yang memenuhi “Talk ShowHarapan Wanita Untuk Masa Depan Malaysia Lebih Baik”di dewan L Deen Training Centre, menunjukkan sikap prihatin mereka dalam usaha menyediakan generasi yang lebih baik buat negara ini. Program yang berkonsepkan bual bicara ini diawali dengan menghayati ayat-ayat al-Qur’an daripada surah An-Nisa’: 60-65, yang mengandungi peringatan Allah SWT mengenai sesetengah manusia yang mengaku beriman tetapi masih menjalani kehidupan dengan berhukum kepada thaghut. Allah SWT memerintahkan agar mereka yang terpesong ini bertaubat dan seterusnya kembali berhukum kepada setiap perkara yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Sepanjang berlangsung program, Ustazah Asma’ selaku moderator telah mengajukan pelbagai persoalan untuk dirungkaikan oleh dua orang panel yang merupakan para aktivis Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) iaitu Ustazah Hana dan Ustazah Ummu Hajar. Semua yang hadir didedahkan kepada realiti pengabaian tanggungjawab wanita sebagai ibu pendidik generasi hasil menomborsatukan kerjaya dalam negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalisme ini.

Hana tidak menafikan bahawa atas desakan hidup dalam sistem yang rosak ini menyebabkan ramai wanita keluar bekerja bagi menambah pendapatan untuk perbelanjaan keluarga. Walaubagaimanapun, beliau turut berkongsi pengalamannya bergaul dengan sesetengah wanita yang mempunyai kerjaya yang hebat kerana memiliki citarasa materialistik yang tinggi. Sedangkan hukum bekerja bagi wanita adalah mubah (harus) tetapi hanya wajib bagi lelaki sebagai ketua keluarga. Maka, ramai anak-anak menjadi kesepian dan mula mengisi kekosongan belaian kasih sayang dengan orang-orang asing di luar rumah mereka. Natijahnya, pelbagai maksiat dan gejala sosial melibatkan anak-anak terjadi di negara ini.

Ummu Hajar pula menjelaskan bagaimana Islam mengatur kedudukan ibu sebagai insan yang utama dalam pengasuhan dan pendidikan anak-anak. Tugas wajib wanita sebagai umm (ibu) dan rabbatul bayt (pengatur rumah tangga) tidak boleh di tolak ketepi dan membiarkan wanita mempunyai kerjaya. Justeru, bagi mencetak generasi yang hebat, ibu perlu dicerdaskan terlebih dahulu. Para audien terpaku tatkala beliau menceritakan kehebatan dan usaha keras ibu kepada Muhammad Al-Fateh yang berazam menjadikan anaknya sebagai penakluk Kota Konstantinapol seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW sebagai pemimpin tentera terbaik.

Kedua-dua panel juga berkesempatan menjawab pelbagai perkongsian pengalaman dan persoalan untuk pencerahan audien yang hadir. Di antara persoalannya berkisar bagaimana seharusnya Muslimah mendepani arus kemodenan dan realiti yang semakin menggalakkan wanita membina kerjaya yang gemilang. Terdapat juga peserta yang berkongsi pengalaman mereka melihat keruntuhan institusi keluarga akibat ibu yang obses dengan kerjaya masing-masing.

Di akhir majlis, kedua-dua panel bersepakat untuk menyeru para Muslimah yang hadir agar giat menuntut ilmu sebagai bekal untuk dipraktikkan dalam mendidik anak-anak mereka. Audien juga diingatkan bahawa pihak musuh Islam khususnya Barat tidak pernah berehat daripada menyesatkan orang-orang Islam agar mengikuti jalan hidup mereka yang rosak. Tugas ibu yang amat berat ini akan menjadi lebih sempurna dengan adanya penerapan Islam yang kaffah oleh Khilafah Islamiyah.