Tanah runtuh – siapa bertanggungjawab?
Kejadian tanah runtuh yang mengorbankan beberapa jiwa di Bukti Antarabangsa telah mengejutkan seluruh tanah air sehingga pasukan keselamatan terpaksa berkampung di sana bagi proses-proses penyelamatan. Setelah operasi mencari dan menyelamat dihentikan, kini berlaku pula tuding menuding di antara keluarga mangsa, termasuk para penduduk yang mengalami kerugian dengan pihak berkuasa.
Berita melaporkan bahawa penduduk di sana telah pun membuat aduan kepada pihak berwajib berhubung pergerakan tanah yang berlaku yang boleh mengakibatkan tanah runtuh, namun, aduan tersebut dikatakan tidak dilayan. Walaupun sebelum ini telah pun berlaku kejadian tanah runtuh di situ, namun, pihak berkuasa nampaknya tetap tidak mengambil perhatian serius mengenainya. Dan sekarang, ‘hasilnya’ telah pun diketahui umum.
Dengan kejadian terbaru yang mengorbankan nyawa ini, barulah kerajaan membuka mata, dan walaupun kerajaan telah membuka mata, namun, pihak yang ‘dituding’ adalah pemaju ataupun kontraktor yang telah menjalankan kerja-kerja pembangunan di sana. Seperti biasa, kerajaan adalah sebuah institusi ‘suci’ yang tidak pernah bersalah di dalam apa jua keadaan. Sudah menjadi tabiat kerajaan Malaysia bahawa jika tidak berlaku kematian dalam apa-apa tragedi, tindakan biasanya tidak akan diambil. Jika jambatan telah bertahun-tahun runtuh di sebuah kampung, namun, selagi mana tidak berlaku kematian, maka jambatan itu akan tetap dalam keadaan seperti itu. Kadang-kadang telah berlaku kematian, namun tidak dilaporkan di dalam akhbar atau televisyen, maka biasanya kerajaan tetap menutup mata. Hanya jika telah ‘masuk TV’, barulah kerajaan Islam Hadhari ini akan bersuara, dan kerajaan biasanya bersuara sebagai hero, yang menyalahkan semua orang lain atas tragedi yang melanda. Inilah kehebatan kerajaan Malaysia yang tidak pernah melakukan apa-apa salah dan dosa!
Kini, setelah tanah runtuh ini mengorbankan nyawa dan begitu hangat diperkatakan sekarang, kerajaan hebat ini terus mengarahkan pemberhentian serta-merta semua pembangunan di lereng bukit. Dan kali ini, kita tidak tahulah berapa lama ‘tahi ayam’ akan hangat. Dahulu pun begitu juga semasa runtuhnya bangunan Highland Tower, semua pembangunan di lerang bukit diarahkan untuk dihentikan serta-merta. Ternyata tahi ayam hangatnya sementara sahaja. Kini, perkara yang sama berulang, maka sama-samalah kita saksikan berapa lama kehangatan tahi ayam kali ini akan kekal.
Setelah berlaku tragedi yang meragut nyawa, kerajaan kini tampil sebagai hero yang bakal menyelamatkan keadaan. Menteri-menteri sibuk duduk bercakap tentang membuat dan menguatkuasakan undang-undang tentang penerokaan atau pembangunan di lereng bukit. Tidak kurang suara-suara mereka yang masih tak habis-habis menyalahkan pemaju atau kontraktor yang degil yang masih meneruskan kerja-kerja pembangunan di lereng bukit. Sebelum menuding kepada pihak lain atau kepada faktor semulajadi, persoalannya, siapakah yang membuat undang-undang dan menentukan polisi bahawa rumah kediaman boleh dibina di kawasan lereng bukit?
Jika di kebanyakan negara kufur Timur seperti Jepun khususnya, menteri yang berkenaan biasanya akan terus meletak jawatan apabila gagal di dalam ‘menjaga’ apa yang sepatutnya mereka jaga di bawah portfolio masing-masing. Peletakan jawatan mereka antara lain adalah kerana ‘rasa bersalah’ di atas kegagalan kepimpinannya. Namun, di negara Islam Hadhari ini, tidak ada seorang pun Menteri yang akan rasa bersalah walaupun ratusan nyawa terkorban atas kegagalan pentadbirannya. Malah, mereka tampil sebagai hero yang menyalahkan orang lain dengan apa yang berlaku. Inilah kehebatan menteri-menteri kita, berbanding menteri-menteri di negara lain.
Dalam kehebatan lakonan mereka ini, mereka lupa bahawa Allah SWT telah lama memerhatikan mereka yang memerintah bukan dengan syariat Allah. Mereka menerapkan sistem kufur dan mereka menjadi pemerintah yang Kapitalis yang mementingkan diri sendiri. Mereka tidak pernah menjaga kebajikan rakyat dan tidak merasa bersalah sedikit pun dengan apa yang berlaku. Walhal di dalam Islam, Rasulullah menyatakan,
“Pemimpin itu adalah pemelihara dan mereka akan ditanya (bertanggungjawab) darihal pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Muslim]
Kepada para pemimpin yang tidak menjadi pemelihara rakyat dengan hukum-hukum Allah, ya, mereka sekarang boleh terlepas di dunia, namun di akhirat nanti, Allah Azza wa Jalla sedang menunggu untuk menghisab mereka. Na’uzubillah min zalik.